5 Cara Mudah Jaga Penampilan Diri



Penampilan diri yang bersih dan kemas dapat menarik minat orang lain terutama orang tersayang mendampingi kita. Berwajah kacak adalah satu pakej tetapi perlu disertakan juga dengan kebersihan seluruh anggota tubuh badan. Tambah lagi jika anda mahu memikat hati si dia. Disarankan kepada anda, jangan sesekali memandang remeh terhadap perkara ini.

Okay boys, anda sudah tahu penampilan fizikal memainkan peranan penting. Kini tiba waktunya anda memeriksa seluruh tubuh badan. Berdiri di hadapan cermin dan mulakan memeriksa anggota badan satu persatu. Jika ada yang tidak memuaskan, lakukan sesuatu demi kebaikan anda. Selain itu, tip yang diberikan ini dapat mengubah penampilan dan pastinya anda akan berasa lebih selesa serta yakin. Si dia juga pasti mahu mendekati diri anda.

1. Rambut kemas, bersih dan sihat
Ada wanita menyifatkan rambut lelaki sama pentingnya dengan penjagaan wajah. Mungkin kerana rambut adalah mahkota wanita, dan mereka juga mahu kaum lelaki memiliki rambut yang kemas,bersih serta sihat. Tidak kiralah apa jua potongan rambut yang anda gayakan, kebersihan dan kesihatan rambut perlu diutamakan. Bagi anda yang mempunyai masalah kelemumur pula pastinya merimaskan orang lain. Begitu juga dengan rambut yang kering, ia akan kelihatan kusut masai. Jadi, untuk mengatasi masalah ini, penggunaan produk bersesuaian dengan masalah rambut dan kulit kepala adalah sangat penting. Rambut berkelemumur perlu diatasi dengan syampu khas pencegah kelemumur. Manakala masalah rambut kering perlu disertakan dengan penggunaan perapi atau pelembap selepas rambut disyampu.


Rambut beruban juga antara masalah yang mula menghantui lelaki muda. Masalah ini bukan sahaja disebabkan faktor genetik tetapi juga faktor pemakanan. Sekiranya anda mengalami masalah ini, atasinya dengan cara mewarnakan rambut. Bagi yang pertama kali ingin mewarnakan rambut, disarankan anda mendapat khidmat dan nasihat dari salun. Tanya mereka yang pakar untuk tip lakukan sendiri di rumah. Sekiranya anda memilih untuk berambut panjang, pastikan anda menggayakannya dengan kemas.

2. Rawat Wajah Anda
Sejak beberapa tahun lalu, produk penjagaan wajah khas untuk lelaki bertambah dengan cepatnya di pasaran. Pelbagai jenama mengikut masalah wajah boleh dipilih. Syarikat pengeluar produk ini juga mula menyedari bahawa bukan hanya wanita sahaja perlu mengambil tahu soal penampilan serta kebersihan wajah. Berbeza dengan produk wanita, produk penjagaan wajah untuk lelaki lebih ringkas. Untuk lelaki, gunakan tiga produk asas yang mudah dan ringkas. Tiga langkah asas itu termasuklah mencuci, menyegar dan melembap. Gunakan tiga produk ini sekurang-kurangnya dua kali sehari. Sekiranya anda ingin menggunakan pelembap, pilih produk yang mengandungi pelindung matahari untuk siang, dan gunakan pelembap malam sebelum tidur. Gunakan skrub dua minggu sekali selepas mencuci dan sebelum menggunakan penyegar. Tujuannya adalah untuk menanggalkan sel-sel kulit mati yang masih melekat di wajah.


Anda juga boleh menjaga kulit wajah dari dalam. Seperti kata Dr. Perricone, pakar anti penuaan, untuk menjadikan kulit sentiasa sihat dan kelihatan muda, makan makanan yang berkhasiat. Contohnya ikan salmon (mengandungi DMAE, astaxanthin and asid lemak), sayur-sayuran berdaun hijau, cantaloupe, buah beri biru, rasberi, strawberi (kaya antioksidan), kekacang, asparagus, brokoli, bayam dan sudah tentu minum air kosong lebih banyak.



3. Cukur atau trim rerambut

Sesetengah wanita menyukai lelaki yang mempunyai bulu atau rerambut di tubuh badan terutama di bahagian wajah serta dada. Walau bagaimanapun, ini tidak bermakna anda perlu melupakan soal penjagaannya. Bagi wanita lain pula, pasangan atau teman yang sentiasa menjaga (trim) rerambut di wajah atau bahagian dada adalah satu kepuasan bagi mereka. Jadi, jangan biarkan rerambut yang tumbuh di tubuh badan terbiar. Trim dan cukur di bahagian yang perlu atau anda boleh memilih melakukan permanent hair removal.

4. Manicure Pedicure
Kebanyakan wanita menyukai lelaki yang memiliki tangan serta jari yang kuat. Tetapi jika tangan dan jari anda kelihatan seperti ‘sarung tangan buruk’, sudah tentu mengubah minat mereka. Mungkin manicure dan pedicure jarang dilakukan oleh lelaki. Kononnya ia hanya dilakukan oleh wanita. Itu dulu, sekarang manicure dan pedicure perlu menjadi satu habit dalam grooming lelaki. Anda perlu lakukan proses ini sekurang-kurangnya sekali dalam sebulan. Kalau boleh lakukan di salun kecantikan yang menyediakan khidmat ini.

5. Gigi Putih Bersih
Senyuman menawan adalah sangat penting. Walaubagaimanapun, senyuman tidak akan menawan jika anda mempunyai masalah gigi dan mulut. Bukan sahaja mengeluarkan bau nafas yang busuk malah gigi juga tidak bersih (berwarna kekuningan). Ini boleh menimbulkan rasa mual pada orang lain. Pastinya anda tidak mahu menerima teguran yang memalukan itu. Sekiranya gigi anda memerlukan rawatan, tanyalah doktor gigi anda mengenai rawatan pemutihan gigi yang sesuai. Sebagai tambahan, gunakan juga produk pemutih gigi yang terdapat di pasaran dan lakukan sendiri di rumah.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

0 comments: