Bingung kebanjiran model antarabangsa
Keputusan meninggalkan dunia model kerana ingin menumpukan perhatian sepenuhnya kepada keluarga tidak pernah mematahkan semangat Marini untuk terus berjuang dalam dunia peragaan.
PENONTON dan penggiat fesyen yang hadir menyaksikan Minggu Fesyen Antarabangsa Malaysia (M-IFW) keenam, anjuran Malaysian International Fashion Alliance (MIFA), pada tahun lepas terpesona dan bersorak kegembiraan.
Jika sebentar tadi mereka dipertontonkan koleksi fesyen yang diperagakan oleh barisan model antarabangsa, suasana tiba-tiba bertukar ceria apabila wajah yang selama ini menyepikan diri timbul memperagakan busana label Granoff.Ternyata kemunculan bekas model terkenal Marini, 42, mencipta kejutan dan memukau pandangan para hadirin.Menampilkan langkah catwalk yang menggoda dalam persalinan sut formal berseluar pendek, ia bagaikan mengembalikan memori dan kegemilangan pentas fesyen era 90-an."Terkejut dan gementar ketika Pengarah Kreatif Granoff, Mansur Tun Abdul Aziz menghubungi saya untuk memperaga sut formal label mereka di pertunjukan fesyen MIFA."Maklumlah, sudah 13 tahun saya meninggalkan dunia peragaan pentas fesyen," jelas Marini yang mengambil keputusan berhenti dari dunia model pada tahun 1995 ketika mengandungkan cahaya mata yang ketiga.Bagi peminat fesyen tempatan yang tidak ketinggalan membelek majalah atau menyaksikan pertunjukan fesyen sekitar tahun 1990, pasti mengenali wanita berketinggian 177 sentimeter itu.
Marini atau nama sebenarnya, Nik Nafisah Marini Nik Othman Ariff Kamil merupakan model yang memiliki signatur dan gaya tersendiri.Sejak berkecimpung dalam industri peragaan fesyen tempatan seawal usia 18 tahun, Marini yang berdarah kacukan Serani (sebelah ibu) dan Melayu (sebelah bapa) secara terus-menerus menjadi tumpuan pereka dan editorial majalah fesyen.Anak sulung daripada empat orang adik-beradik itu masih ingat. Malaysia ketika itu kekurangan model Melayu, khususnya yang tinggi lampai. Selain beliau, Celia Fong dan Shasa antara model seangkatan yang aktif dan mendapat perhatian."Kehadiran Soraya Dean dan Tengku Azura telah membuka mata banyak pihak bahawa model Melayu dan Malaysia memiliki potensi setaraf model antarabangsa."Tapi fenomena itu semakin dilupakan. Kini, kebanyakan pihak lebih selesa dan yakin memilih kelompok model dari luar negara. Mengapa perlu model antarabangsa? Seharusnya kita memberi peluang kepada model Malaysia," luah Marini yang kurang berpuas hati dengan kebanjiran model antarabangsa.
Beliau menyifatkan pentas fesyen tampak lebih indah apabila dihiasi dengan wajah-wajah model Malaysia yang melangkah anggun dan bergaya dalam persalinan busana jenama antarabangsa.
Kemudian, barulah penggemar fesyen tempatan yakin dan berpendapat bahawa pakaian jenama luar negara juga sesuai digayakan di tubuh badan mereka.Bimbang masalah ini berterusan dan menutup peluang anak tempatan mencipta nama dalam bidang peragaan, Marini menubuhkan agensi model Strut yang mula beroperasi pada bulan April tahun lalu.Kewujudan Strut bukan sekadar melatih bakat-bakat baru dengan silibus peragawati yang betul. Malah, Strut mengajar aspek penampilan, imej diri, etika dan bengkel kemahiran sosial."Berbekalkan pengalaman hampir 20 tahun dalam bidang ini, saya berusaha menyalurkan ilmu yang ada kepada model baru. Jika bukan kumpulan senior yang memberi bimbingan, kepada siapa model junior ingin mendapatkan tunjuk ajar?
"Saranan saya kepada bakat baru, ambil berat soal disiplin, jadi diri sendiri dan jangan sombong. Usah fikir menjadi model untuk popular kerana populariti itu tidak kekal lama," nasihat Marini yang merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Strut.
Marini yang gemarkan fesyen ringkas memberitahu, barisan model pada hari ini terlalu 'berusaha' supaya nampak hebat di atas pentas.Sedangkan hakikatnya, tugas mereka ialah menyerlahkan kehebatan busana, bukannya mempamerkan kehebatan diri di pentas fesyen.Sementara itu, supermodel terkenal dan bekas juri American Next Top Model, Janice Doreen Dickinson, 55, telah mengambil inisiatif yang sama.Enggan membiarkan pengalaman model yang diperoleh selama 30 tahun terperap begitu sahaja, anak kelahiran Brooklyn, New York itu membuka agensi model The Janice Dickinson.
Agensi model yang beroperasi pada November 2005 di Hollywood itu memberi peluang kepada ratusan model baru untuk mencipta nama dalam dunia peraga.Walaupun lantang menyuarakan pendapat dan gemar menegur dengan nada sinis, barisan model baru masih boleh menerima kritikan tersebut. Mereka percaya setiap teguran itu adalah nasihat terbaik daripada Janice.
0 comments:
Post a Comment