SDSI - Membantu usahawan tempatan


Seorang pengusaha rumpai laut memperkenalkan produknya semasa pameran SDSI di Pusat Perdagangan Sabah di Kota Kinabalu, Sabah, baru-baru ini.

KOTA KINABALU 20 Julai - Bidang keusahawanan ternyata mampu memberi pulangan lumayan jika diusahakan dengan bersungguh-sungguh.Sejarah membuktikan bahawa bidang itu bukan sahaja menjanjikan pendapatan lumayan kepada pengusahanya tetapi mampu mencorakkan kekayaan ekonomi sesebuah negeri dan negara.Bagaimanapun, untuk berjaya dalam bidang itu bukan mudah. Pelbagai rintangan dan cabaran bakal ditempuhi sama ada dari segi kewangan, pengurusan dan saingan.

Menyedari masalah itu, kerajaan telah merancang pelbagai program bagi membantu usahawan tempatan untuk bermula dan maju dalam perniagaan yang diceburi.

Antara program yang dianjurkan kerajaan bagi mencapai matlamat itu adalah pameran Satu Daerah Satu Industri (SDSI) yang diadakan di sini, baru-baru ini.Ketua Jawatankuasa penganjur, Steven Sampil berkata, pameran itu bertujuan memantapkan lagi pembangunan dan perkembangan program SDSI di negeri ini.''Pameran ini diharap dapat menjadi landasan kepada pengusaha SDSI dari semua daerah dan wilayah di Sabah mempamerkan dan memperkenalkan produk mereka kepada orang ramai.''Ia juga memberi peluang untuk memperluaskan rangkaian perniagaan demi membantu mereka dalam memajukan perniagaan dan memberi pendedahan serta pengalaman kepada pengusaha SDSI berkenaan,'' katanya.Beliau menambah, program anjuran Kementerian Pembangunan Perindustrian negeri dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan negeri dan pusat seperti pejabat-pejabat daerah dan Majlis Amanah Rakyat (Mara) itu diadakan setiap tahun.

Menurutnya, melalui pameran tersebut usahawan bumiputera juga dapat berjumpa dan berbincang sesama mereka bagi mengembangkan lagi perniagaan mereka.

Dalam pada itu katanya, bagi memastikan matlamat program ini tercapai, pihaknya telah menggariskan empat komponen utama dalam pameran tersebut iaitu pameran, seminar, klinik usahawan dan padanan perniagaan.Justeru, katanya, sebanyak 100 gerai telah disediakan untuk pengusaha SDSI dari seluruh negara dan agensi kerajaan terbabit seperti Mara."Melalui pameran ini pengunjung dapat menyaksikan berbagai jenis produk dari semua daerah dan wilayah di negeri ini. Pengunjung juga dapat merasai produk SDSI dari negeri lain seperti Sarawak, Melaka dan Perak," katanya.Katanya, melalui komponen kedua iaitu seminar ia memberi tumpuan kepada meningkatkan pengetahuan, pendedahan dan kemahiran kepada pengusaha melalui pembentangan kertas kerja.Jelasnya, seramai kira-kira 300 peserta menyertai seminar selama tiga hari yang membentangkan sebanyak 18 kertas kerja berkaitan keusahawanan itu.

Tambah beliau, dalam memastikan usahawan mendapat bantuan dan tunjuk ajar yang betul, klinik usahawan juga diadakan."Klinik usahawan ini akan memberi tumpuan kepada memberi khidmat nasihat dan panduan kepada pengusaha SDSI yang memerlukannya agar pengusaha ini mendapat gambaran dan pengetahuan yang lebih jelas berkenaan perniagaan secara khusus dan amnya."Secara terperinci mereka akan mendapat bimbingan bagaimana menembusi pasaran nasional dan antarabangsa, mendapat pembiayaan, menyediakan rekod perniagaan dan sebagainya," ujarnya.Tambahnya, sesi padanan perniagaan juga akan diadakan serentak dengan klinik usahawan berkenaan.Menurut beliau, sesi padanan perniagaan itu diadakan bagi memberi peluang kepada pengusaha SDSI mengadakan perbincangan bersama rakan-rakan niaga baru yang berminat untuk memajukan produk keluaran pengusaha terbabit.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

0 comments: