Idea Memulakan Perniagaan: # 2– Ubahsuai Produk Di Pasaran

SELAIN daripada Mengenalpasti Gelagat Pengguna, satu lagi kaedah yang juga praktikal untuk kita gunakan sebagai idea bagi memulakan sesuatu perniagaan ialah dengan mengubahsuai produk yang sediaada di pasaran.

Seorang kawan saya yang telah lama berniaga pernah memberitahu: ‘kebanyakan idea bisnes yang baik bukannya original, tetapi ubahsuaian daripada idea orang lain’.

Selaras dengan itu, kita boleh mendapatkan idea dengan memerhati berbagai produk yang terdapat dan digunakan oleh pengguna di persekitaran kita. Kita juga boleh melihat di warung-warung, kedai-kedai, pasar malam atau di super / hyper market, atau pun melayari halaman internet, yang menjual berbagai barangan / aksesori / servis. Seterusnya, gunakan kreativiti kita untuk mengubahsuai mana-mana produk tersebut yang difikirkan kompetitif untuk diniagakan.

Antara perkara-perkara yang boleh kita lakukan terhadap produk sediaada ialah seperti berikut:

  • Mengubah warna, bahan buatan atau rupabentuk.
  • Menjadikan lebih besar / kecil atau lebih berat / ringan.
  • Menambahbaik kegunaan, keupayaan atau tahap keselamatan.
  • Menjadikan lebih laju / perlahan.
  • Meningkatkan / mengurangkan tahap kualiti.
  • Menambah / mengurangkan kuantiti
  • Menjadikan lebih mudah di bawa atau disimpan.
  • Memudahkan cara pembaikan, senggaraan atau pembersihan.
  • Meningkatkan lagi tahap keselesaan.
  • Menambah ciri-ciri baru.
  • Memudahkan cara kendalian, penghantaran atau pembukusan.
  • Meluaskan lagi fungsi kegunaan.

Perlu diberi perhatian bahawa setiap pengubahsuaian yang kita lakukan kepada produk sediaada tersebut, tumpuan kita mestilah kepada faktor keperluan di pasaran dan penerimaan oleh pengguna sasaran selepas ianya diubahsuai.

Contohnya, kita mengurangkan kualiti produk supaya dapat dijual dengan lebih murah; atau kita mengubah warna, bahan buatan atau rupabentuk supaya lebih digemari atau sebagai alternatif untuk dipilih oleh pengguna; atau kita mengurangkan kuantiti menjadikan pekej yang lebih kecil supaya produk lebih portable atau boleh dijual dengan pekej yang lebih murah serta mampu dibeli oleh sesetengah golongan pengguna.

AKHIRNYA, walau sejauh mana kita berinovasi dan melahirkan idea kreatif melakukan pengubahsuaian, kita juga harus berwaspada mengenai prinsip berikut: ‘Seorang pencipta/pereka yang handal tidak semestinya seorang peniaga yang baik’. Oleh itu, untuk memulakan sesuatu perniagaan, lengkapkan juga diri kita dengan keupayaan-keupayan lain yang diperlukan untuk mengurus perniagaan.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

0 comments: