Roti Norway bakal tembusi Asia


SHAHRUL Nafry menunjukkan salah satu pastri yang dijual di The Bakery Moments di Petaling Jaya, baru-baru ini.

PETALING JAYA 5 Julai - Din Baker Handel Sdn. Bhd. (Din Baker) yang membuka kedai roti, sandwich dan pastri francais berjenama The Bakery Moment (TBM) dari Norway merancang mengembangkan perniagaannya ke seluruh Asia dan Asia Barat selepas lebih tiga tahun menembusi pasaran Malaysia.

Syarikat milik 60 peratus bumiputera itu dalam proses untuk mendapatkan permohonan francaisor induk sebelum meluaskan sayap ke negara-negara berpotensi tersebut.

Pengurus Negaranya, Shahrul Nafry berkata, setakat ini pihaknya menerima maklum balas positif daripada sebuah syarikat dari Asia Barat yang berminat untuk bekerjasama dan mendapatkan hak francais tersebut.Beliau berkata, pihaknya turut menyasarkan untuk menyerah hak perniagaan di kedua-dua wilayah berkenaan pada tahun ini dan konsep perniagaannya pula akan diserahkan pada tahun depan.

"Produk roti, sandwich dan pastri dari Norway ini amat berkualiti dan rasanya berbeza daripada roti yang diusahakan syarikat pesaing. Ini menyebabkan banyak negara berminat untuk menjalankan francais dan mengusahakan produk berkenaan,'' katanya.Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini baru-baru ini.Din Baker memulakan operasinya di Malaysia sejak 2005 yang menawarkan produk roti, sandwich dan pastri melalui jenama TBM manakala produk dalam kotak dan tin yang diimport 100 peratus dari Norway berjenama Pure Norway (PN).

Kini, kedai roti itu mempunyai lebih 30 kakitangan di enam buah cawangan yang terletak di Lembah Klang iaitu di Ikano Damansara, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Berjaya Times Square, Pejabat Korporat DiGi Shah Alam serta Pavilion dan terkini di Suria KLCC pada 2 Julai lalu.Menurut Shahrul Nafry, pihaknya akan membuka lima buah lagi kedai roti TBM sepanjang tahun ini di Lembah Klang dengan pertambahan seramai 25 kakitangan.Sebuah cawangan akan dibuka di Bangsar Shopping Centre pada September depan, bangunan baru CIMB Bank di Jalan Raja Laut (6 Ogos), Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT), Axis Pandan di Cheras (November) dan G Tower di Jalan Tun Razak pada November depan.

Din Baker turut merancang untuk membuka cawangan francais TBM di Melaka, Johor Bahru dan Pulau Pinang pada tahun depan.Shahrul Nafry menambah, produk roti, sandwich dan pastri dengan kandungan utamanya tepung diimport dari Norway adalah segar, bebas daripada bahan kimia dan berkhasiat.

Selain itu, katanya, bagi memastikan mutu dan kualiti terpelihara, Din Baker turut menghantar setiap kakitangannya berkursus di Norway setiap tahun bagi meningkatkan kepakaran mereka membuat roti, sandwich dan pastri.Ketika ditanya mengenai prestasi jualan produk berjenama TBM di sini, beliau berkata, pada suku pertama tahun ini, syarikat mencatatkan peningkatan 3.27 peratus dalam keuntungan.Beliau memberitahu, pihaknya yakin trend ini akan berterusan memandangkan orang ramai yakin terhadap produk TBM selain mendapat produk pada harga yang berpatutan iaitu antara RM3.80 hingga RM10.80.TBM menawarkan lima aneka roti, 21 sandwic dan 300 jenis pastri yang ketiga-tiganya merupakan makanan ruji rakyat Norway.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

0 comments: