LEBIH 30,000 PEKERJA MELAYU BERDEPAN RISIKO DIBUANG KERJA
LEBIH 30,000 pekerja Melayu/Islam dianggarkan mungkin berdepan dengan risiko dibuang kerja ekoran kegawatan ekonomi yang mencengkam seluruh dunia. Lantaran itu, masyarakat Melayu/Islam perlu menetapkan fokus dan keutamaannya dalam menghadapi krisis ini dengan teguh dan satu hati, kata Anggota Parlimen GRC Pasir Ris-Punggol, Dr Ahmad Magad, malam tadi. Semasa melancarkan sesi dialog pertama 'Bicara Bingkas Biznes', salah satu inisiatif di bawah pelan tindakan Dewan Perusahaan dan Perniagaan Melayu Singapura(DPPMS) semalam, Dr Ahmad yang juga Penasihat DPPMS, berkata: 'Aspek yang paling merbahaya dalam krisis ekonomi bagi kebanyakan negara bukan kadar pertumbuhan lembap atau kemerosotan pada eksport atau harga hartanah tetapi kadar pengangguran yang meningkat. 'Singapura, sebagai salah sebuah ekonomi paling terbuka di dunia, tidak akan terlepas daripada hakikat ini.' Menurut beliau, perangkaan terbaru menunjukkan seramai 7,000 pekerja telah dibuang kerja pada suku keempat tahun lalu dan jumlah ini dijangka terus meningkat pada suku pertama tahun ini. Jumlah penganggur yang mendapatkan bantuan juga semakin meningkat. 'Berdasarkan nisbah pekerja yang dibuang semasa krisis kewangan Asia pada 1998, dua daripada lima pekerja yang dibuang adalah Melayu. 'Oleh itu, diramalkan sekitar 30,000 pekerja Melayu berdepan dengan kemungkinan diberhentikan kerja,' tambah beliau. Encik Ahmad menyeru persatuan-persatuan Melayu/Islam supaya bergabung tenaga dan melakarkan strategi untuk membantu keluarga dan individu yang dilanda kesusahan meskipun yakin bahawa pemerintah akan melakukan yang termampu untuk mengurangkan kadar pengangguran di samping menolong para peniaga bangkit semula selepas kemelesetan ini. 'Masyarakat perlu menyokong usaha pemerintah dengan menggembleng tenaga dan kekuatan masing-masing untuk menunjukkan azam individu dan sosial dalam mengharungi fasa ekonomi yang mencabar. 'Di sebalik semua masalah, akan wujud peluang. Sebagaimana peribahasa Melayu, bulat air kerana pembetung, bulat kata kerana muafakat. Oleh itu, marilah bersepakat untuk memperkukuh tekad politik agar sama-sama dapat mengatasi tsunami ekonomi ini,' kata beliau lagi dalam dialog di auditorium Masjid Sultan itu. Sebagai respons terhadap krisis ekonomi sekarang, DPPMS telah melakarkan pelan tindakan untuk membantu para peniaga Melayu/Islam, termasuk inisiatif mengenali DPPMS dan program mendekati masyarakat. Malam tadi, dalam 'Bicara Bingkas Bisnes', beberapa wakil daripada Spring Singapore dan International Entreprise (IE) Singapore telah menjelaskan tentang geran-geran pemerintah yang boleh dimanfaatkan oleh para peniaga, sebagaimana yang diumumkan di bawah Pakej Daya Tahan Januari lalu.
0 comments:
Post a Comment