Kraf terbaik ke Harrods




PEMILIK gedung ternama Harrods, Mohammed Al-Fayed pernah dilaporkan membeli sebuah beg tangan kulit buaya di Langkawi berharga RM25,800 dan beberapa produk kulit mahal semasa mengunjungi ladang buaya di pulau legenda itu, 11 tahun lalu.

Beliau turut menghadiri pameran produk Malaysia di Carcosa Seri Negara.

Ketika itu, timbul cakap-cakap kemungkinan produk buatan Malaysia akan mendapat tempat di ruang jualan Harrods yang mempunyai keluasan satu juta kaki persegi (90,000 meter persegi), merangkumi 330 kedai di Brompton Road, Knightsbridge London.

Bagaimanapun apakah tidak cukup bermutu produk Malaysia ketika itu sehinggakan kehangatan untuk membawanya ke London senyap begitu sahaja.

Umum tahu bahawa Harrods merupakan gedung membeli-belah mewah yang mengutamakan produk berkualiti tinggi dan asli bagi pelanggannya. Untuk masuk ke situ pun sudah bersyarat, mesti berpakaian kemas, tidak boleh memakai beg galas dan sebagainya.


BARANGAN pewter.


Justeru, untuk berada di tempat dan diterima di pasaran terbaik seperti itu, produk yang mahu dijual juga perlulah yang terbaik.

Langkah pertama

Kraftangan Malaysia dalam memulakan langkah mempromosi produk kraf negara di gedung berprestij itu mengambil masa kira-kira setahun untuk memastikan hanya ciri-ciri terbaik yang ada pada setiap produk kraf diterbangkan beribu kilometer jauhnya dari Kuala Lumpur ke London sebagai merealisasikan angan-angan yang dipasang 11 tahun lalu.

Slogan Malaysian Craft at Its Best mengiringi 3,173 unit produk kraf daripada 410 rekaan yang dibawa untuk dipamerkan, yang merupakan pilihan wakil Harrods Limited sendiri untuk dipromosikan selama sebulan di gedung itu, mulai 25 Februari hingga 28 Mac ini.

Sememangnya, peluang memperagakan kraf Malaysia di Harrods ini merupakan satu pengiktirafan kepada produk Malaysia kerana gedung itu memang mengamalkan kawalan mutu yang ketat dan tapisan produk yang tinggi.

Empat wakil Harrods Limited yang diketuai Pengarah Jualan Pengiklanan & Penajaannya, Guy Cheston berkunjung ke Malaysia pada 24 hingga 28 November 2008 untuk meneliti produk kraf yang akan dipromosi daripada empat bidang kraf iaitu hasil rimba, tekstil (batik, tenunan dan songket), seramik dan logam.


BEKAS simpan sapu tangan.


Sebelum itu, Kraftangan Malaysia mengadakan bengkel kerja untuk mengenal pasti produk sedia ada dan menyediakan lakaran serta lukisan teknikal produk baru yang dicadangkan khusus untuk pasaran di Harrods.

Usahawan yang terlibat ialah mereka yang bersedia memasuki pasaran eksport dan usahawan yang menyertai program Satu Daerah Satu Industri.

Mereka dipilih berdasarkan rekaan dan kualiti yang dikeluarkan, keupayaan pengeluaran, mempunyai kemudahan bengkel atau kilang yang lengkap, modal kerja dan tenaga kerja.

Hasilnya, sebanyak 1,042 rekaan produk kraf dipamerkan di Bangunan Seri Anjung Kraftangan Malaysia dan daripada itu, sebanyak 410 jenis rekaan dipilih oleh pihak Harrods dengan nilai keseluruhan produk yang dibawa sepanjang promosi Kraf Malaysia di Harrods, sebanyak RM1.4 juta. Produk itu akan diperaga dan dipromosikan di beberapa lokasi di dalam gedung Harrods.

Rundingan di Harrods

Ruang pameran itu telah ditinjau oleh Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal bersama beberapa pegawai semasa mengadakan rundingan dengan pihak Harrods pada Ogos tahun lalu sempena berlangsungnya Minggu Malaysia di Potters Field Park, London.


UKIRAN kayu.


Ketika ditemui pada pratonton majlis pelancaran promosi kraf Malaysia itu, baru-baru ini, Shafie berkata Harrods Limited menyediakan ruang untuk jualan, pameran dan peragaan produk seluas 900 kaki persegi (81 meter persegi).

Shafie juga berkata, melalui promosi kraf itu, seni budaya dan warisan turut dikomersialkan bagi mencapai visi menjadikan Malaysia sebagai hab seni, budaya dan warisan di peringkat antarabangsa.

Atas inisiatif itu, pasaran kraf mahu diperluas melalui promosi seperti di Harrods. Usaha itu selari dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan seni kraf sebagai satu daripada penyumbang kepada ekonomi negara.

Menurut Shafie, sebelum ini hanya produk pewter berjaya menembusi pasaran London sedangkan pasaran kraf di United Kingdom merupakan ketiga terbesar di dunia. Harrods pula antara gedung ternama menawarkan produk seperti kraf.




Hasil usahawan kraf Malaysia itu diuruskan jualan dan promosinya di Harrods oleh anak syarikat Kraftangan Malaysia, Karyaneka Sdn. Bhd.

Usahawan kraf yang terlibat seramai 66 orang iaitu 23 daripada kraf hasil rimba, 17 daripada kraf tekstil, 10 daripada bidang logam, masing-masing lapan daripada fesyen dan seramik.

Pelancaran promosi

Pelancaran promosi kraf Malaysia di Harrods ini akan disempurnakan oleh Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah. Turut berangkat hadir ialah Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Sepanjang promosi itu, pelanggan Harrods berpeluang melihat dan mencuba aktiviti demonstrasi mewarna batik. Sebanyak 54 pasang pakaian tekstil Kraf Malaysia iaitu batik, tenun dan songket akan turut diperagakan pada majlis pelancaran itu.

Sekiranya usaha promosi di Harrods berjaya, Kraftangan Malaysia berkemungkinan meneroka pasaran di gedung tersohor dunia lain termasuk di Paris dan New York. - Bernama

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

0 comments: