Puyuh semakin digemari.


norhayati Othman memberi makan burung puyuh ternakannya di Felda Bukit Permai, Kulaijaya, Johor. - UTUSAN / RAJA JAAFAR ALI


KULAIJAYA 8 Mac - Sektor pertanian merupakan salah satu bidang menarik untuk diterokai kerana ia bukan sahaja memberikan kepuasan kepada pengusaha malah mampu memberikan pulangan lumayan jika dilakukan dengan bersungguh-sungguh.

Umum mengetahui bahawa sektor pertanian merupakan antara sektor terpenting dalam memacu ekonomi sesebuah negara kerana ia berkait rapat dengan sumber bekalan makanan.

Kesan daripada pertambahan bilangan penduduk, permintaan terhadap bekalan makanan di seluruh dunia semakin meningkat dan ia memerlukan lebih banyak pengeluaran bahan mentah untuk menampung keperluan semasa.

Walaupun sektor pertanian sering dianggap kelas ketiga oleh sesetengah pihak, namun tidak kurang juga yang berminat untuk menyertai sektor itu bagi menjadikannya sebagai kerjaya dalam kehidupan.Penternakan burung puyuh mungkin tidak sehebat penternakan lembu atau kambing, tetapi ia tetap menjanjikan pulangan lumayan kerana permintaan terhadap ternakan itu semakin meningkat sejak akhir-akhir ini sehingga melebihi bekalan yang ada.

Seorang penternak, Norhayati Othman, 29, berkata, ternakan burung puyuh merupakan bidang yang menarik dan menjanjikan pulangan lumayan kerana permintaan yang tinggi.

"Permintaan terhadap burung puyuh di sekitar Johor sahaja menjangkaui 6,000 ekor sebulan dan semakin meningkat setiap bulan sehingga memaksa para pengusaha untuk menambah bilangan ternakan mereka dari semasa ke semasa untuk menampung keperluan," katanya ketika ditemui di Felda Bukit Permai, di sini baru-baru ini.Norhayati berkata, seekor burung puyuh yang matang dijual pada harga antara RM2 hingga RM2.50, bergantung kepada saiznya.

Beliau berkata, penternakan burung puyuh sama seperti penternakan ayam iaitu terbahagi kepada dua jenis - burung puyuh daging dan telur.Menurutnya, ramai pengusaha memilih untuk menternak burung puyuh daging kerana permintaan terhadap daging adalah lebih tinggi berbanding telur."Tumpuan pasaran adalah disasarkan kepada pengusaha restoran di sekitar kawasan Senai, Kulaijaya, Air Hitam dan Kluang untuk dijadikan hidangan kepada para pelanggan."Pada peringkat awal agak sukar untuk mendapatkan pasaran kerana tidak ramai pengusaha restoran yang berani menjadikannya sebahagian daripada hidangan di restoran mereka," katanya.Norhayati memberitahu, setelah hampir dua tahun mengusahakan ternakan burung puyuh beliau mampu meraih pendapatan bersih antara RM2,000 hingga RM3,000 sebulan bergantung kepada permintaan.

Katanya, setiap proses dilakukannya sendiri, bermula daripada menternak, penyembelihan, pembungkusan sehingga pengedaran kerana beliau menjalankan penternakan berskala kecil.

"Pada masa sekarang saya hanya menternak antara 5,000 hingga 6,000 ekor puyuh sebagai permulaan dan saya bercadang untuk menambah kepada 10,000 ekor pada masa akan datang bagi menambah pendapatan bulanan," katanya.Beliau memberitahu, para pengusaha tidak perlu menunggu lama untuk mendapatkan pulangan kerana dalam tempoh tidak sampai sebulan mereka mampu untuk mendapatkan hasil.Pada kebiasaannya, para pengusaha hanya perlu menunggu antara 20 ke 25 hari untuk memastikan ternakan mereka matang sebelum boleh dipasarkan kepada pelanggan."Kadangkala tak sampai 20 hari para penternak sudah boleh memasarkan ternakan mereka sekiranya sudah cukup besar dan matang," katanya.Norhayati memberitahu, para penternak kini berhadapan dengan masalah kekurangan bekalan kerana permintaan terhadapnya sentiasa meningkat setiap masa.Katanya, para penternak mendapatkan bekalan puyuh daripada Institut Kemajuan Ternakan Ayam (IKTA) Johor Bahru yang menjadi pembekal tunggal.

"Pada masa ini pihak IKTA sedang mencari alternatif lain untuk menambah bekalan untuk dibekalkan kepada para penternak dan ia dijangka selesai dalam tempoh terdekat," katanya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

0 comments: