Malay Town lesu, 'tenggelam'


MALAY Town di Kuantan nampak suram kerana hanya gerai-gerai kecil dibuka. - UTUSAN/RUSHDI SALLEH

KUANTAN 2 Mac - Jika rakyat Kedah berbangga dengan Pekan Rabu, Pekan Melayu dan Pekan Cina di Alor Setar, penduduk Pahang pula boleh bermegah dengan Malay Town di sini.

Bagaimanapun, akibat ketiadaan promosi menyebabkan ia kelihatan lesu dan kurang pengunjung, malah sebahagian penduduk tempatan tidak menyedari akan kewujudan Malay Town tersebut.Tambahan pula kedudukannya yang terletak bersebelahan dengan sebuah pasar raya besar di bandar Kuantan ini menyebabkan Malay Town agak tenggelam.

Salah satu faktor kerajaan negeri mewujudkan Malay Town yang dibuka Oktober tahun lalu bertujuan menarik pelancong luar berkunjung ke Kuantan.

Malay Town dibina daripada Projek Putra Square Koridor Raya Multimedia (MSC) yang membabitkan kos hampir RM400 juta bagi mewujudkan konsep kawasan perniagaan yang mewakili identiti tiga kaum utama negara ini.Selain Malay Town, pengunjung juga boleh berkunjung di dua buah lagi kawasan perniagaan berasaskan kaum iaitu China Town dan Indian Town.Di sana, pelbagai jenis makanan, pakaian, permainan dan kelengkapan rumah dijual dengan harga berpatutan berdasarkan kebudayaan setiap kaum.Di Malay Town, selain terpesona dengan keunikan budayanya, pengunjung juga berpeluang membeli-belah dengan menaiki beca yang siap dihias indah dengan bunga-bungaan.

Menurut Pengurus Pekan Budaya, Zainab Ahmad, keadaan premis perniagaan ini nampak suram kerana hanya gerai-gerai kecil dibuka.Walaupun lot-lot kedai itu telah dibeli sepenuhnya tetapi ia belum beroperasi kerana dalam proses untuk mendapatkan penyewa.''Justeru, pihak pengurusan merancang untuk mengadakan beberapa program di sini supaya dapat memperkenalkan Malay Town kepada orang ramai," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut mengharapkan agar lot-lot kedai yang telah dibeli ini dibuka secepat mungkin dalam usaha menarik lebih ramai pengunjung dan memeriahkan lagi kawasan perniagaan ini.''Pihak pengurusan menyasarkan dalam masa lima tahun akan datang semua lot kedai ini akan dibuka sepenuhnya.''Pada masa itu, kawasan perniagaan ini akan bertambah rancak dan setanding dengan kawasan perniagaan terkenal di ibu negara," jelasnya sambil memberitahu beberapa buah hotel di kawasan berhampiran bakal dibuka tidak lama lagi.

Pusat perniagaan bertemakan kebudayaan itu merupakan yang pertama di negara ini yang bakal dilengkapi kompleks beli-belah, pejabat, bazar, dewan konvensyen yang boleh memuatkan 5,000 orang dan juga sebuah hotel yang akan siap sepenuhnya dalam tempoh lima tahun akan datang.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

0 comments: