Andalusia ditawar RM1 juta

Seorang usahawan dari Kuala Lumpur menawarkan Rejab F.I. RM1 juta untuk membeli banglo setingkatnya di Perlis.


"PEMIDANG kayu jati yang mengandungi ayat Kursi."


JAUH di sudut hati seorang penulis buku dan novel terkenal, Rejab Ismail, 68, cintanya terhadap bahasa dan kesenian alam Melayu bukan sekadar digambarkan di dalam buku yang dihasilkannya.

Secara tidak langsung sentuhan jiwa halusnya itu telah mentransformasi kediamannya yang dibina di atas tanah seluas 0.2 hektar di Persiaran Jubli Emas, Repoh, Kangar, Perlis. Ia merupakan sebuah banglo bercirikan Melayu tradisional.

Dari pintu pagarnya, kelihatan pokok-pokok asoka berdiri megah di samping susunan pohon bakawali yang diatur cantik di luar pagar.

Melangkah masuk ke banglo yang dinamakan Andalusia ini, anda pasti terpesona dengan lamannya yang dihiasi dengan pepohon rendang seperti pokok langsoya, harum manis, orkid dan bonsai. Suasananya menyerupai sebuah perkampungan Melayu tradisi.


"TUGU puisi di tengah laman dan dan barangan antik menghiasi beberapa bahagian rumah ini."


Kedamaian persekitaran itu bertambah menarik kerana salah sebuah puisi Rejab, yang lebih dikenali dengan nama Rejab F.I., terpamer di dinding batu yang sengaja dibina di tengah-tengah landskap yang menghijau. Puisi itu menceritakan sejarah negeri Perlis.

Malah kehadiran sebuah tugu kayu dengan sebilah keris terhunus ke langit sudah cukup untuk mengenali jati diri seorang Melayu ini.

Menurut Rejab, batang pokok tersebut ditemui secara kebetulan oleh rakannya di Sungai Semandong, Perlis lebih 10 tahun lalu. Rejab kemudian membelinya kerana tertarik dengan nilai estetikanya.

"Sebagai anak Melayu, puisi dan keris sudah menjadi tradisi kita ditambah elemen pohon-pohon rendang yang menghiasi laman rumah," katanya.

Di belakang rumahnya pula, Rejab menerapkan konsep flora dan fauna. Di situ juga ditempatkan sangkar-sangkar burung, kolam ikan dan titi, wakaf dan tanah lapang untuk bercucuk tanam.


"GALERI Rejab F.I. melambangkan jati diri dan kesederhanaan Rejab Ismail, pemilik kediaman ini."


Jika dihayati, kawasan tersebut bagaikan taman hutan tropika. Suasananya nyaman dan relaks, lebih-lebih lagi tatkala mendengar bunyi siulan burung tekukur, merbah dan puyuh.

"Pokok-pokok di sini ditanam ketika ia masih kecil dan diperoleh di negeri ini pada harga murah. Tempoh lima tahun diperlukan untuk ia menjadi rendang seperti sekarang," ujarnya.


"ANDALUSIA pernah memenangi Pertandingan Dekorasi Banglo Tercantik kebangsaan."



"KRAF buatan tempatan turut menarik minat Rejab."


Jika laman Andalusia kaya unsur tropika, hiasan dalamannya didominasi perabot jati dan meranti - sesuatu yang wajib ada di dalam rumah Melayu tradisi.

Bagi Rejab, kehadiran perabot jati yang menghiasi setiap sudut rumahnya sudah memadai bagi menggambarkan identiti Melayu, ditambah dengan koleksi puisi dan buku yang ditulisnya sendiri sejak tahun 1967.

"Yang menjadi tarikan saya ialah pemidang kayu jati yang menampilkan ayat Kursi. Saya anggap ia sangat istimewa," akui bekas guru ini.


"TRANSFORMASI kesan pengaruh seni."



" "


Jelas Rejab, kebanyakan perabot jati tersebut didatangkan dari tanah Jawa, Indonesia.

"Saya beli sedikit demi sedikit daripada seorang ejen di Taiping, Perak, kerana kami sekeluarga mengamalkan kesederhanaan dalam berbelanja perkakasan rumah.

"Paling penting, kami tidak berhutang," terang Rejab.

Sebenarnya, ramai yang tidak tahu rumah berbumbung 14 dan berdindingkan batu bata ini pernah memenangi Pertandingan Dekorasi Banglo Tercantik peringkat kebangsaan.

"Pernah ada seorang usahawan dari Kuala Lumpur menawarkan RM1 juta untuk membeli rumah ini, tetapi saya enggan menjualnya," kata Rejab yang telah menghasilkan lebih 135 judul buku cerita masyarakat dan kanak-kanak.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

0 comments: