Mencari rezeki dan solat Jumaat


Apabila sampai waktu solat Jumaat, umat Islam perlu segera solat dan segala urusan jual beli di luar masjid perlu dihentikan.


Berdasarkan ayat-ayat tersebut, apa sahaja urusan perlu ditinggalkan demi menunaikan sembahyang Jumaat. Dan urusan tersebut boleh dikerjakan semula selepas selesai menunaikan sembahyang Jumaat.

Umum mengetahui mengenai kewajipan menunaikan sembahyang Jumaat kepada lelaki Muslim. Golongan lelaki Muslim juga mempunyai tanggungjawab mencari rezeki bagi menyara kehidupan mereka dan juga keluarga mereka.

Dalam kesibukan mencari rezeki, ada segelintir lelaki Muslim sering dilihat mengabaikan tanggungjawab untuk menunaikan sembahyang Jumaat. Misalnya, ada lelaki Muslim yang bekerja dan meneruskan pekerjaannya tanpa menunaikan sembahyang Jumaat. Apatah lagi pekerjaan yang melibatkan perniagaan makanan khususnya restoran.

Pengalaman peribadi penulis mengunjungi kedai makan pada waktu sembahyang Jumaat mengukuhkan perkara ini.Ada pekerja restoran tersebut masih lagi meneruskan tugasnya membancuh air, tanpa mempedulikan langsung kewajipan untuk sembahyang Jumaat. Malah, majikannya juga dilihat tidak langsung mempedulikan perkara tersebut.

Besar sangatkah kerugiannya jika pekerjaan membancuh air itu ditinggalkan seketika untuk menunaikan sembahyang Jumaat? Tidak adakah pekerja lain yang perempuan yang boleh membancuh air? Kalau ibadat yang hanya wajib sekali seminggu itupun tidak tertunaikan, bagaimana pula agaknya dengan ibadat sembahyang pada waktu-waktu lain setiap hari? Adakah mereka menunaikannya atau juga meninggalkannya?

Ada juga baiknya jika restoran-restoran itu ditutup pada hari Jumaat seperti yang dilakukan oleh sebuah restoran lain yang pernah penulis kunjungi. Sekurang-kurangnya kita tiada rasa curiga tentang ibadat mereka. Atau sekurang-kurangnya, tutup seketika pada waktu sembahyang Jumaat seperti mana yang dijelaskan dalam ayat yang dinyatakan sebelum ini.

Bukan tidak boleh menjalankan perniagaan pada hari Jumaat tetapi hentikan seketika aktiviti itu untuk meluangkan waktu menunaikan sembahyang Jumaat. Selesai sembahyang Jumaat, maka sambunglah semula pekerjaan yang ditinggalkan tadi. Ataupun, tinggalkan aktiviti itu kepada wanita Muslim untuk menggantikannya. Manakala yang lelakinya bersegera menunaikan sembahyang Jumaat.Daripada segi untung rugi perniagaan tersebut masih sama kerana masih ada orang yang menguruskannya sementara menunggu orang lelaki selesai urusan sembahyang Jumaat mereka.

Rasulullah SAW pernah bersabda dalam satu hadis baginda yang antara lainnya bermaksud: "kebinasaan terhadap kaum yang meninggalkan sembahyang Jumaat atau Allah akan menutup hati mereka, kemudian menjadikan mereka orang yang lalai".

Adakah segelintir lelaki Muslim yang tidak menunaikan sembahyang Jumaat tadi sudah tertutup pintu hati mereka kerana sudah meninggalkan ibadat itu sejak sekian lama? Dan kerana itu mereka tiada langsung rasa takut kepada azab Allah kerana meninggalkan suruhan-Nya. Malah tiada juga rasa bersalah kerana meninggalkan suruhan Allah.

Pepatah Melayu menyebut: "Alah bisa tegal biasa". Pada peringkat awal meninggalkan amalan itu, mungkin juga ada rasa takut kepada Allah, malu kepada orang sekeliling atau rasa berdosa. Tetapi, kalau sudah biasa meninggalkan sembahyang Jumaat itu, maka seseorang itu tidak akan ada rasa apa-apa bila tidak melakukannya.Penulis percaya, semua keluarga inginkan yang baik-baik untuk ahli keluarga mereka. Pastinya mereka sudah memberikan didikan agama kepada anak masing-masing. Tetapi, adakah persekitaran membantu anak-anak yang sudah terdidik dengan didikan agama tadi untuk terus memantapkan lagi amalan agama mereka?Apa yang dikhuatirkan, dengan persekitaran yang sedemikian, anak-anak yang sudah mempunyai didikan agama akhirnya akan terpengaruh dengan persekitaran tersebut. Penulis terkedu dengan soalan yang ditimbulkan oleh anak sendiri apabila melihat pasangan lelaki dan perempuan memasuki sebuah restoran pada waktu sembahyang Jumaat.

Soal anak penulis: "Orang lelaki tu tak sembahyang Jumaat ke?" Dan ketika kami meninggalkan kedai tersebut sekitar pukul 2 petang, lelaki itu masih di situ. Peliknya pada fikiran penulis. Soalnya, kenapa pasangan perempuannya seperti tidak kisah dengan kewajipan sembahyang Jumaat yang tertanggung ke atas bahu pasangan lelakinya itu. Lelaki yang tidak mantap ibadatnya itukah pilihan hatinya untuk berumahtangga?Kalaulah sembahyang Jumaat yang hanya sekali seminggu itupun tidak ditunaikan, adakah orang yang sama menunaikan sembahyang-sembahyang pada waktu yang lain?Kalau rakyat Palestin masih menunjukkan keupayaan mereka untuk bersembahyang di atas runtuhan tapak masjid yang dimusnahkan oleh Israel, dan dalam keadaan menyabung nyawa demi menunaikan tanggungjawab mereka kepada Allah, kenapa pula segelintir lelaki Muslim tidak boleh meninggalkan seketika urusan mencari rezeki dan menuju ke masjid yang tersergam indah dan masih utuh binaannya untuk menunaikan tanggungjawab yang sama?

lRoziah Sidik @ Mat Sidek ialah Pensyarah Jabatan Pengajian Arab dan Tamadun Islam Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

0 comments: