Kota-Kota Rasulullah.




MENYELUSURI sirah Nabi Muhammad s.a.w. selama 63 tahun hayat baginda, kita dapati junjungan mulia ini telah menjejaki beberapa kota sama ada atas tujuan dakwah, hijrah, perjalanan mukjizat mahupun perniagaan.

Sempena sambutan Maulidur Rasul tahun ini, barangkali menjadi sesuatu yang menarik andai kita dapat mengimbas kembali kehidupan baginda bukan sahaja dari sudut keperibadiannya, bahkan juga mengekori jejak perjalanannya.

Mengenali lebih dekat kota-kota yang pernah baginda jejaki pastinya akan menambahkan penghayatan kita dalam mendalami sejarah hidup baginda.

Kota pertama yang begitu sinonim dengan Nabi Muhammad s.a.w tentulah kota kelahirannya iaitu Mekah. Nabi Muhammad telah diputerakan di Mekah, Arab Saudi pada hari Isnin, 12 Rabiulawal bersamaan 20 April 571 Masihi.

Kelahiran putera kepada Abdullah dan Aminah ini membawa lentera ke seluruh pelosok tanah haram dan diriwayatkan penduduk Mekah, mereka melihat sinaran cahaya yang sungguh menghairankan dan menggirangkan saat baginda dilahirkan. Kala itu, api-api yang disembah kaum Majusi turut terpadam.

Dengan kelahiran junjungan mulia itu, bertambah terkenal kota Mekah yang berpasir dan berdebu.

Kini, kota Mekah, tempat terbinanya Kaabah menjadi tumpuan umat Islam seluruh dunia bagi menunaikan ibadat haji, Rukun Islam kelima. Mekah atau Makkah al-Mukarramah terletak kira-kira 73 kilometer (km) dari timur Jeddah, ibu kota Arab Saudi di ketinggian 277 meter (910 kaki) dari paras laut.

Bandar raya ini terletak di antara gunung-ganang yang telah ditakrifkan sebagai pengembangan kontemporari bandar raya itu. Ia berpusat di sekitar Masjid al-Haram.

Dianggarkan sejumlah 3.5 juta umat Islam membanjiri tanah suci Mekah khususnya pada bulan Zulhijjah setiap tahun ketika musim haji.

Kota kedua yang dijejaki Nabi Muhammad s.a.w ialah Bosra di Syam (kini, Syria) ketika mengikuti bapa saudaranya, Abu Talib. Ketika itu, baginda berusia 12 tahun. Abu Talib yang amat menyayangi Nabi Muhammad merupakan penjaga baginda setelah bapa, ibu dan datuknya, Abdul Mutalib wafat.

Semasa pemergian baginda ke kota itulah, sifat kenabian Nabi Muhammad s.a.w berjaya dikesan oleh seorang pendeta Nasrani, Bahira. Antaranya, Bahira menyaksikan kelompok awan yang menaungi rombongan perniagaan Abu Talib ketika perjalanan dan ia tidak pernah berlaku sebelum ini. Bahira adalah insan pertama yang meminta agar Abu Talib benar-benar menjaga Nabi Muhammad s.a.w kerana jika diketahui kewujudan baginda, pasti orang Yahudi akan menghapuskannya.

Bosra kini merupakan satu bandar bersejarah mengandungi kota-kota era Rom, Byzantine dan Islam yang telah musnah. Ia telah diiktiraf sebagai kawasan warisan dunia oleh Pertubuhan Pendidikan Sains dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO).


MEKAH kini menjadi tumpuan umat Islam seluruh dunia untuk menunaikan haji manakala Madinah, Baitulmuqaddis dan Euthopia terus dikenang sebagai kota yang kaya dengan sirah Rasulullah.


Nabi Muhammad s.a.w direkodkan pernah ke Syam sekali lagi ketika membantu memperdagangkan barangan hartawan wanita, Siti Khadijah Khuwailid yang kemudiannya menjadi isteri baginda. Siti Khadijah terpikat dengan keluhuran akhlak dan sifat amanah yang dimiliki baginda yang terkenal dengan jolokan al-Amin dalam kalangan masyarakat Arab Quraisy.

Setelah diangkat menjadi Rasul ketika berusia 40 tahun, Nabi Muhammad s.a.w mula menyebarkan dakwah. Antara kota yang pernah dijejaki Rasulullah untuk berdakwah ialah Ta'if yang merupakan sebuah bandar dalam negara Arab Saudi dan terletak kira-kira 97 km dari kota Mekah.Nabi Muhammad s.a.w memilih kota itu kerana menyangkakan kota subur itu lebih mudah menerima Islam setelah baginda menerima tentangan hebat daripada kaum musyrikin Mekah.

Namun kedatangan baginda telah diejek dan dihina oleh penduduk Ta'if dengan balingan batu sehingga tubuhnya berdarah. Keadaan itu menyebabkan malaikat Jibril turun dan bertanyakan kepada Nabi Muhammad s.a.w, adakah baginda mahu malaikat menghancurkan kota itu dengan menghempapkan gunung. Namun Nabi Muhammad s.a.w menolak dan sekadar berdoa moga-moga Ta'if melahirkan zuriat yang menyembah Allah yang Esa. Doa baginda dimakbulkan apabila kota Ta'if kemudiannya menerima Islam.

Begitulah terpujinya akhlak Nabi Muhammad s.a.w. Biar seteruk mana tentangan yang diterima, baginda tidak menyimpan dendam dan tidak akan membalas perbuatan yang jahat dengan kejahatan.

Ta'if kini merupakan satu daerah yang cukup terkenal dengan tanaman anggur dan madu. Padang pasirnya juga ditumbuhi kaktus. Berpopulasi penduduk 521,273 orang, majoriti penduduknya adalah Islam bermazhab Sunni.Selain itu, Nabi Muhammad s.a.w juga menjejaki masjid al-Aqsa di kota Baitulmuqaddis (Jerusalem) di Palestin menerusi satu perjalanan mukjizat yang dinamakan Isra' Mikraj. Masjid al-Aqsa disebutkan dalam al-Quran sebagai tempat transit baginda sebelum dimikraj ke langit dalam peristiwa yang berlaku pada 27 Rejab 620 Masihi.

Kini, Baitulmuqaddis adalah sebuah kota yang kaya dengan tamadun dan budaya. Kota lama Baitulmuqaddis (juga dikenali sebagai Baitulmuqaddis Timur) dikelilingi dengan tembok yang dibina sejak kurun ke-15 lagi. Kota lama ini terbahagi kepada empat kawasan iaitu Islam, Kristian, Yahudi dan Armenia.

Sehingga hari ini, status semasa kota itu masih menjadi konflik dan terus dipertikaikan.

Sebelum berhijrah ke Madinah, Nabi Muhammad s.a.w meminta sebahagian pengikutnya berhijrah ke Habsyah (kini Euthopia) untuk mendapatkan perlindungan rajanya, Raja Najasyi yang diketahui tidak berlaku zalim. Najasyi mengalu-alukan ketibaan mereka dan tidak membenarkan mereka diserah kepada penguasa di Mekah.


NABI MUHAMMAD pernah ke Syam atau kini Syria untuk berdagang bersama bapa saudaranya, Abu Talib.


Walaupun Nabi Muhammad s.a.w tidak turut serta dalam hijrah itu, namun peristiwa penghijrahan sekumpulan umat Islam Mekah ke Habsyah tetap menjadi sejarah.

Peristiwa hijrah ke kota Madinah atau nama asalnya, Yathrib pula berlaku pada 622 Masihi. Ketika itulah bermulanya permulaan kalendar hijrah. Penghijrahan ini berlaku bukan kerana umat Islam takut ancaman puak Quraish Mekah tetapi kerana jemputan penduduk Madinah sendiri.Selepas tiba di Madinah, Nabi Muhammad s.a.w. merangka sebuah perlembagaan bagi menyatupadukan penduduk Madinah. Perlembagaan itu dipersetujui oleh semua penduduk Madinah dan dikenali sebagai Piagam Madinah.Di Madinahlah terletaknya masjid pertama dalam Islam iaitu Masjid Quba'. Di kota itu jugalah terletaknya Masjid an-Nabawi yang mana terdapat makam Nabi Muhammad s.a.w, kawasan yang dibina di atas tapak rumah baginda.Nabi Muhammad s.a.w wafat di Madinah pada tahun 632 Masihi.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

0 comments: