Bisnes Nasi Lemak Lagi!
Dalam post terdahulu, saya telah bercerita sedikit mengenai betapa ‘masyuknya’ bisnes gerai nasi lemak berdasarkan pengalaman beberapa hari bantu mertua dengan bisnesnya. Apa tidaknya, saya jadi tukang bungkus dan juruwang… lenguh tangan ini membungkus nasi lemak dan lenguh juga kira duit!
Itu cerita mertua saya yang telah berkecimpung dalam bisnes nasi lemak sejak 20 tahun yang lalu. Orang lama, banyak pengalaman! Kini, saya sambung kisah kejayaan buat duit hasil bisnes nasi lemak juga, tetapi lain sedikit cara dan kaedahnya!
Dalam sibuk-sibuk bantu mertua, saya berpeluang bertemu dan berkenalan dengan rakan-rakan mertua yang rata-ratanya warga emas yang datang berkumpul (melepak?) berhampiran gerai mertua saya. Biasalah… berkongsi cerita pasal agama, politik, harga minyak naik, anak cucu dan sebagainya. Dah pencen, nak cerita apa lagi… ye tak?
Salah seorangnya adalah Pak Din yang menurut mertua saya adalah tokey besar! Mertua saya sempat menunjukkan rumah Pak Din yang terletak tidak jauh dari situ. Wah! Hebat! Tak tahulah bagaimana rupa dalamannya tetapi dari luar ia kelihatan mewah!
Risik punya risik, rupa-rupanya Pak Din sekeluarga juga bisnes nasi lemak tetapi bukanlah seperti mertua saya yang membuka gerai. Sebaliknya Pak Din sekeluarga hanya mengusahakan bisnes nasi lemak bungkus sahaja. Macam mana tu?
Begini… setiap hari Pak Din dan ahli keluarganya akan memasak dan menyediakan 2000 bungkus nasi lemak. Semua kerja-kerja memasak dan membungkus ini dilakukan di ruang khas di rumahnya sendiri dengan dibantu oleh krew seramai 7 orang yang terdiri daripada anak-anak dan jirannya.
Istimewanya, mereka tak perlu keluar untuk menjual nasi lemak tersebut. Kesemua nasi lemak yang telah siap dibungkus itu akan diambil sendiri oleh para pelanggannya yang terdiri daripada pengusaha restoran cina dan mamak!
Fakta menarik: Pak Din hanya mempunyai 5 pelanggan sahaja iaitu pengusaha restoran cina dan mamak tadi. Sebelum subuh, mereka akan datang sendiri ke rumah Pak Din untuk mengambil bekalan nasi lemak bungkus dengan van masing-masing.
Khabarnya Pak Din menjual nasi lemak yang siap dibungkus itu pada harga 80 sen dan ia akan dijual semula oleh pengusaha restoran pada harga RM1.30. Jadi kiralah pendapatan kasar harian Pak Din:
2000 bungkus nasi lemak x 80 sen sebungkus = RM1600 sehari!
Katalah kos beras, bahan masakan dan upah pekerja memakan 50% daripada jumlah tersebut, ini bermakna Pak Din dapat income bersih RM800 sehari!
Hmm… macam-macam cara kita boleh cari rezeki di bumi Allah ini. Terpulanglah kepada kita cara mengusahakannya. Bak kato oghang kampung den, si Nabil tuu… “lu pikirlah sendiri… assalamualaikum!”
0 comments:
Post a Comment