Body Kit

Penggunaan bodykit hakikatnya bukan sekadar sebagai kosmetik kereta, ia juga menambah prestasi kenderaan terutama dari segi aerodinamik.


MODIFIKASI kenderaan semakin mendapat sambutan peminat kereta.


MODIFIKASI kenderaan khususnya kereta semakin berkembang pesat di Malaysia. Kelibat kereta modifikasi sama ada yang ringkas atau ekstrem semakin banyak di jalan raya.

Pengaruh dari negara-negara pengeluar kereta terkenal dunia seperti Jepun sangat kuat di kalangan pemilik kenderaan empat roda itu. Ia bukan sahaja menjadi obses orang muda malah golongan veteran.

Apatah lagi kebelakangan ini kereta-kereta retro seperti Datsun, Nissan dan Toyota yang juga semakin mendapat tempat di kalangan peminat automobil.

Semakin ramai mekanik berkebolehan mengubahsuai kereta-kereta 'tua' menjadi 'muda' semula, selain disokong industri alat ganti alternatif yang murah.

Satu aspek yang kini dititikberatkan oleh peminat kereta ialah kit kenderaan atau bodykit. Dalam dunia automotif, industri ini mula berkembang pesat pada akhir tahun 1990-an.

Bodykit bukan sahaja didapati secara meluas di pasaran selepas jualan atau kedai aksesori, malah ia juga kini menjadi pilihan industri sebagai keperluan pengeluar kelengkapan asal (OEM).

Kit kenderaan ialah koleksi modifikasi luaran kereta yang biasanya melibatkan komponen seperti spoiler bumbung belakang, skirting sisi dan lips (ada yang menggelarnya spoiler) depan serta belakang. Ini ditambah komponen lain seperti diffuser, skup bonet dan lain-lain.

Kebiasaannya kit seperti itu dipadankan dengan rekaan secara teliti dari depan sehingga belakang kenderaan supaya ia aerodinamik, terkini, menarik, tidak selekeh dan sepadan.

Satu ketika dahulu bodykit OEM amat jarang ditemui setiap kali kita membeli kereta baru tetapi trend masa kini adalah sebaliknya.

Dengan pelbagai reka bentuk, ada pengeluar menggunakan tuner bebas yang tersohor termasuk Impul, AMG, Wald dan Brabus.

Di Malaysia terdapat beberapa syarikat yang menghasilkan kit kenderaan sama ada OEM atau selepas jualan. Antaranya Air Master Trading Sdn. Bhd. (Air Master) dengan kilang pengeluarannya di Sri Damansara, Kuala Lumpur.

Menurut Pengurus Perniagaan Air Master, Hong Soo Hoe, bodykit bukan sesuatu yang diada-adakan untuk tujuan kosmetik tetapi ia banyak melibatkan fakta saintifik yang dapat membantu kelancaran kereta terutama ketika memecut pada kelajuan tinggi.

Katanya, setiap kenderaan dibina dengan bahagian bawahnya berbeza dikenali sebagai kesan permukaan iaitu bahagian yang dibina bagi merapatkan ruang antara lantai dengan permukaan tanah.


SOO HOE menunjukkan pelbagai produk bodykit di kilangnya di Sri Damansara.


Tambahnya, kebanyakan kenderaan keluaran kilang kedudukannya agak tinggi. Ia mengakibatkan kereta tidak stabil ketika dipandu laju, seolah-olah terapung yang boleh mengakibatkan hilang kawalan."Bodykit yang lengkap dipasang sebagai kesan permukaan bagi mengurangkan aliran angin bawah kenderaan dengan mengalihkannya ke tepi sekali gus dapat mengurangkan kesan apungan tadi," katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Terdapat pelbagai bahan yang digunakan oleh pengeluar untuk menghasilkan kit kenderaan daripada yang paling murah sehinggalah kepada bahan mentah mewah seperti gentian kaca, polyurethane (PU), acrylonitrile butadiene styrene (ABS) dan gentian karbon yang paling popular dan ringan tetapi sangat mahal.

PU menjadi pilihan bagi bodykit kerana ia lebih tahan lasak selain tidak retak dalam apa cuaca sekali pun.

Namun bagi Air Master, material yang menjadi pilihan bagi mengeluarkan produknya ialah plastik bertetulang gentian (FRP)."Kami gunakan FRP kerana ia lebih kukuh dan fleksibel selain mudah dibentuk," jelas So Hoe.Tambahnya, syarikat itu mengeluarkan bodykit untuk sebahagian besar jenama besar popular termasuk kenderaan mewah seperti Honda, Toyota, Nissan dan Mitsubishi."Kami juga mengeksport bodykit ke Amerika Syarikat, Eropah, Rusia, Asia Barat, Australia dan rantau Asia dengan rekaan terkini yang dinamik dan sporty," ujarnya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

0 comments: