Pusat sehenti keperluan Muslimah
|
Cantik dan bergaya. Lembut dan ceria. Elegan dan menarik. Semuanya indah dan kena dengan gelaran yang diberi, Ratu.
Keindahan fabrik itu juga ditambah pula dengan dekorasi yang menghiasi galeri yang sememangnya sesuai untuk kaum Hawa memilih satu demi satu tudung pilihan tanpa rasa kekok dan dalam keadaan selesa.
Ketika penulis berada di galeri tersebut, tidak putus-putus pelanggan memasukinya, dari yang berdarjat tinggi, artis, malah orang-orang biasa dengan selamba mencuba pelbagai tudung, selendang serta skaf yang terdapat di situ dengan dibantu dengan pembantu-pembantu kedai yang bertindak sebagai jururunding.
Di atas meja pula berteraburan tudung-tudung yang telah dicuba oleh pelanggan. Pelanggan yang datang bukan mencuba sehelai atau dua helai, bahkan berbelas-belas helai dan hanya membeli satu sahaja, namun itu tidak menjadi masalah kepada pengurus galeri. Ini adalah lumrah pelanggan untuk mencari yang bersesuaian.Pengurus De Galeri Ratu (M) Sdn. Bhd., Maizani Husain, 26, berkata, keadaan inilah membuatkan Ratu begitu istimewa dan memberi keselesaan kepada pelanggan untuk mencuba tudung tanpa ada batasan dan malu.
Ditanya mengapakah dipilih nama Ratu bagi galeri ini, Maizani memberitahu, ia dikaitkan dengan anggun, cantik, sempurna dan penampilan wanita itu sendiri.''Kami mahu menawarkan Ratu sebagai pusat sehenti bagi barang hiasan diri dan fesyen yang boleh membuat seseorang itu kelihatan cantik dan bergaya.
''Di Ratu, untuk kelihatan cantik, sebanyak 300 pilihan tudung, skaf dan selendang daripada pelbagai jenis fabrik ditawarkan,'' katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Menurut Maizani, dengan pembukaan galeri Ratu ini, pelanggan berpeluang mendapatkan tudung yang mempunyai jenama eksklusif.''Tudung sebegini agak kurang di pasaran sedangkan permintaannya ada malah begitu memberangsangkan. Mereka yang berminat dengan jenama eksklusif ini kadangkala mencari hingga ke luar negara. Justeru itu, bagi menampung permintaan yang ada, Ratu dibuka pada 27 Disember lalu,'' kata bekas pegawai bank ini.
Sebenarnya, tujuan penubuhan Ratu, ujarnya adalah bagi menyediakan pusat sehenti bagi menawarkan jenama tudung Muslimah yang memenuhi tuntutan syarak.
Mampu
Harganya juga sangat berpatutan dan semua golongan mampu untuk memiliki tudung Ratu.
Walaupun ia eksklusif namun tidak bererti harganya mahal. Anggaran sehelai tudung di Ratu ialah dari RM35 hingga RM499 sehelai.''Pada kami, di Ratu, kualiti sangat dititik beratkan. Setiap produk keluaran kami dipastikan mengikut spesifikasi yang dikehendaki sebelum dijual atau diedarkan. Kami tidak mahu pelanggan membuat aduan itu ini mengenai produk kami. Yang kami mahu, mereka berpuas hati dan datang kembali untuk membuat pembelian yang seterusnya,'' katanya yang sedang sarat mengandung anak sulung.
Dari raut wajah yang sedikit penat mungkin kerana kandungannya yang semakin membesar itu, Maizani yang sanggup berhenti kerja sebagai pegawai bank begitu yakin dengan perniagaan keluarga ini.Baginya, pusat sehenti tudung adalah idea yang paling baik bagi membolehkan wanita-wanita mendapatkan tudung pilihan mereka tanpa perlu ke beberapa buah kedai yang bukan sahaja membuang masa tetapi sering tidak dapat pilihan yang dikehendaki.
''Tetapi di Ratu, kata sahaja rekaan mana yang diminati, semuanya ada. Selain itu, apa yang menarik mengenai tudung Ratu, ia dikeluarkan dalam bilangan yang terhad.
''Hanya 20 helai untuk setiap satu rekaan. Ini bagi mewujudkan eksklusifnya jenama kami. Malah ramai pelanggan menyukai konsep ini bagi mengelakkan ramai yang memakai rekaan dan fabrik yang sama.''Bahkan kami tidak pernah mengulangi rekaan yang telah ada di pasaran. Oleh itu, siapa yang lambat, akan menyesal tidak akan dapat rekaan yang diminatinya,'' katanya.
Lulusan Sarjana Muda Sains Komputer, Universiti Sains Malaysia ini memberitahu, tudung yang menjadi kegilaan sekarang ialah tudung letak seperti yang sering dipakai oleh penyanyi tersohor negara, Datuk Siti Nurhaliza dan tudung siap pasang yang mempunyai butang di belakang.
''Ia seperti goreng pisang panas. Permintaannya terlalu 'hangat' sehingga ada yang kempunan untuk memilikinya. Namun kami di Ratu cuba sedaya upaya menyempurnakan permintaan mereka. Oleh itu, setiap bulan, kami akan memperkenalkan koleksi baru bagi memberi kesegaran dalam setiap rekaan kami,'' katanya.
Automatik
Di samping itu, menurutnya, bagi pelanggan yang membuat pembelian RM100 ke atas, secara automatik akan menjadi ahli Ratu secara percuma.Keistimewaan menjadi ahli di mana setiap belian akan diberi diskaun sebanyak 10 peratus dan apabila terdapat jualan murah, tambahan 10 peratus lagi. Ahli juga akan menerima hadiah apabila menyambut hari ulang tahun, baucar dan diberitahu mengenai kedatangan stok baru. Kini telah hampir 1,000 orang telah menjadi ahli.Selain itu, beliau memberitahu, syarikatnya ingin mendapatkan pengedar.
Bagi melayakkan menjadi pengedar, individu perlu membeli produk bernilai RM5,000 ke atas dan akan mendapat diskaun sebanyak 40 peratus.
0 comments:
Post a Comment