Temasya Batik




Rai kraf Melayu: Temasya Batik dan Tenun Malaysia 2008 serlah produk kontemporari

BERMULA kelmarin, Temasya Batik dan Tenun Malaysia 2008 yang menghimpunkan ratusan produk kraf seumpamanya membuka pintu kepada orang ramai di Kompleks Kraf Kuala Lumpur di Jalan Conlay, berhampiran kawasan segi tiga emas Bukit Bintang. Bertemakan 'Batik dan Tenun Mewarnai Dunia' temasya ini yang julung kali memberi fokus utama pada keunikan kraf batik dan tenun tempatan, antara lain bertujuan menggalakkan penggunaan batik dan tenun sebagai objek hiasan dalaman serta peragaan fesyen masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

Jika imej batik pada kain sarung yang sering dipakai ibu atau persalinan mahupun kemeja yang digayakan di majlis formal masih melekat di ruang minda, mungkin wajar anda berkunjung ke Temasya Batik dan Tenun Malaysia 2008 yang dianjurkan Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia serta Kraftangan Malaysia. Selain fabrik dan pakaian siap, anda tentu terpegun melihat kepelbagaian produk yang dihasilkan daripada kain batik dan tenun dalam gaya kontemporari. Sarung kusyen, sofa, bunga hiasan malah tanglung bermotif batik menjadi antara produk terbaru yang dicipta melalui evolusi kreatif pereka batik dan kain tenun. Tidak disangkal lagi, batik dan tenun kini lebih kontemporari serta mampu menyerlah biar dalam bentuk apa sekalipun. Sudah tentu, Temasya Batik dan Tenun Malaysia 2008 memberi perhatian kepada nilai komersial dan pendidikan minda kreatif dalam memastikan kesinambungan warisan negara terutama di kalangan generasi muda.

katanya pada pertemuan dengan Sabtu di pejabatnya di Kompleks Kraf Kuala Lumpur, Rabu lalu. Yusak berkata, Kraftangan Malaysia mahu mempamerkan evolusi yang tercetus daripada hasil seni batik dan kraf yang dikeluarkan dalam pelbagai bentuk dan produk melalui temasya 10 hari ini.

"Kita mahu orang ramai lihat sendiri kemajuan yang dicapai dalam bidang rekaan batik dan tenun. Banyak perkakasan hiasan dalaman seperti sarung kusyen batik dan kain tenun Pahang misalnya, boleh menambah warna dan keriangan pada hiasan dalaman rumah," katanya.

Yusak berkata, seramai 150 usahawan batik dan tenun mengambil bahagian pada program jualan kraf batik dan tenun sepanjang temasya itu.

"Usahawan batik dan tenun kebanyakan dari negeri pantai timur seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang akan memperaga serta menjual hasil kraf masing-masing sepanjang temasya ini.

"Usahawan dari Perlis, Melaka, Johor, Kuala Lumpur dan Selangor juga menjual hasil batik dan tenunan mereka. Sesuai dengan ketibaan Ramadan dan persiapan Aidilfitri, orang ramai boleh mengambil kesempatan mendapatkan produk batik dan tenun terkini untuk digayakan pada pagi Syawal," katanya.

Yusak berkata, Kraftangan Malaysia meneliti latar belakang usahawan yang menyertai temasya itu.

"Kami menyemak latar belakang usahawan terutama rekod penyertaan mereka dalam program seperti ini. Kita beri peluang adil kerana mahu usahawan batik dan tenun mendapat peluang mempamerkan hasil kraf mereka pada program seperti ini," katanya.

Beliau berkata, maklum balas yang diterima menunjukkan usahawan yang mengikuti program anjuran Kraftangan Malaysia mencatat nilai jualan memberangsangkan.

Yusak berkata, bagi pengunjung muda termasuk kanak-kanak, acara khusus membabitkan kumpulan itu turut diadakan seperti demonstrasi kraf dan pelbagai pertandingan peringkat kanak-kanak.

"Sekurang-kurangnya enam jenis demonstrasi akan diadakan sepanjang temasya ini iaitu demonstrasi batik lukis, songket limar, pua, tenun dastar, batik canting dan batik terap atau blok," katanya.

Yusak berkata, pihaknya sedia melayan permintaan mana-mana pihak terutama pertubuhan atau institusi pendidikan yang ingin mendapatkan khidmat lawatan berpandu ketika mengunjungi Temasya Batik dan Tenun Malaysia 2008.

"Kita memang menyediakan khidmat lawatan berpandu sepanjang temasya ini. Ini membolehkan pengunjung diberi maklumat dan pemahaman betul mengenai industri batik dan tenun serta seni yang tercetus dari bidang ini," katanya.

Ketika meninjau dewan jualan temasya itu, didapati pelbagai produk berasaskan batik dan tenun dijual pada harga berpatutan malah ada sesetengah daripada barangan terbabit ditawarkan pada harga lebih rendah.

Selain kain batik sutera mahupun creep atau shiffon, pengunjung juga boleh membeli pelbagai perkakasan lain yang diperbuat daripada batik dan tenun seperti bunga batik, seluar, kemeja, lukisan batik dan peralatan hiasan rumah.

Antara gerai jualan yang menawarkan koleksi batik eksklusif dan kontemporari ialah Erna Batek di Gerai No 81 dan 82 dan Viena Collection (lot 86) yang tidak keberatan berkongsi produk jualan untuk tatapan pembaca.

Di Laman Plaza pula suasana riuh-rendah dengan hilai tawa dan gelagat kanak-kanak melakar motif batik, menerap batik selain menguji kreativiti menghiasi kipas batik. Aktiviti seperti ini terutama pada musim cuti sekolah tentunya bermanfaat serta membawa kenangan indah bukan saja kepada kanak-kanak malah ibu bapa.

Bagi anda yang ingin mengunjungi Temasya Batik dan Tenun Malaysia 2008 serta menghabiskan dua hari terakhir cuti sekolah, apa kata lawati Kompleks Kraf Kuala Lumpur di Jalan Conlay.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

0 comments: