Medium pengiklan LCD

OOH Media Digital Interaktif Out Of Home (OOH) adalah skrin iklan digital terbaru sesuai dengan trend masa kini.


PAPARAN televisyen LCD yang menyediakan ruang pengiklanan dan sembang.


Dalam kehidupan hari ini, manusia lebih kerap berada di luar rumah berbanding di kediaman sendiri. Disebabkan itu, pengiklanan melalui televisyen barangkali bukanlah satu medium yang cukup berkesan.Habis sahaja waktu pejabat, sesetengah orang lebih suka bertemu dengan rakan-rakan sambil melepak di restoran atau pusat beli-belah, berbanding terus pulang ke rumah. Itu sudah menjadi sebahagian daripada gaya hidup masa kini.Justeru itu, perkhidmatan terkini Pengiklanan Media Digital Interaktif Out Of Home (OOH) yang diperkenalkan di negara ini, merupakan satu trend baru yang amat bersesuaian dengan situasi masyarakat hari ini.

Bersifat interaktif, perkhidmatan OOH adalah satu medium pengiklanan elektronik menerusi skrin iklan digital yang ditempatkan di kawasan tumpuan seperti di restoran dan pusat beli-belah. Bagaimanapun buat masa ini, ia hanya terdapat di 16 lokasi di Lembah Klang termasuk di Restoran Kayu Nasi Kandar Taipan USJ, Subang Jaya, Selangor.

Teknologi tersebut dibawa oleh anak syarikat Kumpulan Emkay, MKN At-Life Sdn. Bhd. Setelah trend tersebut diperluas dengan jayanya di Singapura, kini teknologi tersebut dibawa ke Malaysia.MKN At-Life Sdn. Bhd. merupakan syarikat kerjasama Kumpulan Emkay dengan sebuah syarikat pengiklanan media digital popular di Singapura, At-Life Pte. Ltd.At-Life Singapura cukup berpengalaman dalam pengiklanan media digital dan sudah memasang sebanyak 260 skrin di negara tersebut.Memulakan operasinya di Singapura sejak tahun 2005, para pelanggannya terdiri daripada McDonald's, Delifrance dan Koufu. OOH turut diletakkan di bangunan-bangunan pencakar langit.


DARI kiri: Sirajudin, Azmil Khuzaid dan Prakesh Bell pada majlis pelancaran OOH di Restoran Kayu Nasi Kandar Taipan USJ, Selangor baru-baru ini.


Dilaporkan, iklan media digital At-Life ditonton 4.8 juta golongan muda, 4.8 juta profesional dan 4.6 juta rangkaian penonton berkeluarga setiap bulan.

OOH beroperasi dengan meletakkan televisyen LCD di lokasi-lokasi berkenaan. Melalui televisyen LCD , pengiklan atau pengunjung restoran boleh mengiklankan sesuatu iklan hanya dengan menggunakan khidmat pesanan ringkas (SMS) dan ia akan terpapar pada skrin.

"Ia bukan sahaja untuk pengiklanan, bahkan pengunjung juga boleh memberikan komen secara terus kepada pengusaha restoran menerusi SMS dan dipaparkan terus di skrin. Dengan cara itu, pengusaha restoran dapat mengetahui tindak balas pelanggan dengan pantas.

"Tambah mengujakan para pengunjung, mereka juga boleh berkomunikasi atau bersembang dengan rakan mereka yang berada di restoran lain yang juga dilengkapi perkhidmatan ini," kata Pengarah Urusan MKN At-Life, Azmil Khuzaid Zakaria pada majlis pelancaran tersebut.

Menyentuh tentang pengiklanan luar rumah, Azmil berkata, ia kini menjadi wahana berkesan buat syarikat-syarikat mempromosikan produk mereka.

"Gaya hidup masyarakat hari ini yang suka menghabiskan masa di luar rumah seperti duduk-duduk sambil minum-minum di restoran menyebabkan banyak syarikat memilih kaedah pengiklanan seumpama ini.

Bagaimana dengan kandungan iklan yang bakal dipaparkan melalui pengiklanan OOH itu? Azmil Khuzaid memberitahu, segalanya bergantung kepada kehendak pelanggan.

Tambahnya, melalui OOH, mereka yang ingin mengiklankan perkhidmatan seperti kelas berenang, kelas tuisyen dan sebagainya boleh mengiklankannya menggunakan SMS pada harga yang lebih murah, berbanding mengiklankannya di media lain.

"Itu satu lagi kelebihan yang dimiliki melalui kaedah ini," ujarnya.

Menyentuh tentang perancangan syarikat itu dalam memperluaskan OOH, Azmil berkata, untuk permulaan mereka ingin mengembangkan perkhidmatan ini di Johor memandangkan ia berdekatan dengan Singapura yang telah pun menikmati kemudahan tersebut.

"Kemudian, barulah ia akan dikembangkan secara berperingkat-peringkat di selatan, utara serta Pantai Timur Semenanjung Malaysia, sebelum memasuki Sabah dan Sarawak," ujarnya yang mensasarkan 300 lokasi OOH seluruh negara, menjelang hujung tahun depan.


SALAH sebuah paparan media digital OOH yang dipasang di Restoran Kayu Nasi Kandar Taipan USJ, Selangor.


Azmil berkata, syarikatnya juga merancang untuk memperluaskan rangkaian perniagaannya ke negara Asia Tenggara yang lain termasuk di Thailand, Brunei dan Indonesia.Turut hadir pada majlis pelancaran tersebut ialah Ketua Pegawai Maklumat At-Life Pte Ltd, Prakash Bell dan Ketua Eksekutif Kayu Nasi Kandar, Sirajudin Mohemed Mydin.Sirajudin berkata, rangkaian Kayu Nasi Kandar kini bekerjasama dengan MKN At-Life untuk mewujudkan sistem interaktif berkenaan di semua 10 cawangan restoran Kayu Nasi Kandar."Setiap Restoran Kayu Nasi Kandar akan dilengkapi dengan lima paparan televisyen OOH yang menyiarkan pelbagai iklan dalam bentuk visual dan SMS," katanya.

Dana yang diperuntukkan untuk seunit OOH ialah kira-kira RM2,000 termasuk kos membeli seunit televisyen bersaiz 42 inci.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

0 comments: