Beli dan jimat


SUASANA pusat beli -belah dikerumuni pelanggan.

Jualan Penjimatan Malaysia (Malaysia Savings Sale) 2008 saji keseronokan, diskaun hebat .DISEMBER datang lagi! Bagi mereka yang berkeluarga, ketibaan tahun baru mungkin bukanlah sesuatu yang ditunggu-tunggu. Ini kerana, ketika inilah tiba-tiba senarai perbelanjaan keluarga terutama keperluan si anak, panjang berjela. Perayaan Hari Raya Aidiladha dan Krismas pasti mendahului senarai beli-belah barang perlu. Mungkin tidak semestinya tampil dengan persalinan baru pada pagi Aidiladha, namun peruntukan secukupnya perlu bagi membiayai kos balik kampung serta belanja meraikan tetamu.

Mereka yang menyambut Krismas pula tentunya awal-awal lagi sudah bersedia dengan senarai barang keperluan supaya 25 Disember ini menjadi ceria. Tidak cukup itu sambutan perayaan, semester baru persekolahan bakal menjengah. Jika diikutkan, peruntukan bagi tujuan persekolahan anak-anak lebih penting daripada segala-galanya. Buku, pakaian sekolah, kasut dan peralatan belajar semuanya seolah-olah ‘menjerit-jerit’ meminta ditukar baru. Bayangkan berapa kos diperlukan andai sebuah keluarga mempunyai lima anak sedang bersekolah? Justeru, apa alternatif terbaik dalam meringankan kekusutan kewangan bulan ini? Jawapannya mudah, tentu saja program Jualan Penjimatan Malaysia (Malaysia Savings Sale) 2008 (MSS 2008) selama 37 hari bermula hari ini hingga 4 Januari depan.

DISKAUN hebat sehingga 70 peratus menanti pelanggan sepanjang MSS 2008.

Menyedari rakyat perlu beringat dalam menguruskan perbelanjaan dalam keadaan ekonomi dunia sekarang, MSS 2008 kali ini membawa pendekatan baru iaitu membeli-belah dan berjimat. Dalam keadaan sekarang, mungkin ramai berkira dalam berbelanja, namun keadaan berubah jika anda berkunjung ke pusat beli-belah atau premis yang menyertai MSS 2008. Inilah keseronokan yang dijanjikan selama 37 hari mulai hari ini!

Program karnival beli-belah atau jualan mega bukanlah baru di Malaysia. Program hebat ini diadakan dengan hasrat menjadikan Malaysia terutama Kuala Lumpur sebagai syurga beli-belah. Selain menjana pengaliran masuk wang asing ke dalam negara, karnival beli-belah atau jualan mega ini dapat menarik lebih ramai pelancong asing. Ini tentunya memberi manfaat kepada sektor pelancongan tempatan.

Sudah resam manusia suka berbelanja terutama jika berkunjung ke tempat baru. Begitu jugalah pelancong asing terutama dari Timur Tengah yang dilihat berbelanja besar setiap kali membeli-belah di Bukit Bintang mahupun Suria KLCC.

Selain kepelbagaian produk dan harga murah berbanding bandaraya besar dunia lain, Kuala Lumpur berpotensi menjadi syurga beli-belah dengan jalinan sistem perhubungan baik dan keramahan penduduknya.

Hakikat pelancong gemar berbelanja di Malaysia terbukti apabila Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika melancarkan MSS 2008 dilaporkan berkata, negara menerima kemasukan 20.9 juta pelancong tahun lalu dengan mencatatkan perolehan RM46.1 bilion dalam bentuk resit jualan.

Najib berkata, dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini pula negara menerima 14.7 juta pelancong asing iaitu peningkatan 4.4 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Antara penjana pendapatan utama sektor pelancongan ini adalah peruncitan. Saya difahamkan, kegiatan membeli-belah ini menjana keuntungan kedua terbesar selepas sektor perhotelan (penginapan) dengan menyumbang RM12.2 bilion daripada jumlah keseluruhan perbelanjaan pelancong.

“Justeru, kita harus memperkukuhkan sektor ini bagi menarik lebih ramai pelancong daripada destinasi baru," katanya.

Dalam menganjurkan karnival beli belah, 2008, kerajaan dilaporkan membelanjakan kira-kira RM10 juta untuk promosi dan pengiklanan selain menganjur pelbagai acara, kempen serta program khusus bagi menggalakkan kegiatan membeli belah dalam negara.

Pengurus Besar, Sekretariat Shopping Malaysia, Tony Mariadass, berkata MSS 2008 mahu menyampaikan mesej bahawa sekarang adalah masa terbaik untuk rakyat Malaysia termasuk pelancong asing membeli-belah.

“Kita menekankan jika rakyat Malaysia atau pelancong asing membeli-belah sepanjang MSS 2008, kita akan dapat berjimat.

“Biarpun membeli-belah untuk menyambut Aidiladha, Krismas, tahun baru 2009, Tahun Baru Cina atau mendapatkan peralatan baru persekolahan sesi depan, sekarang adalah masa terbaik mendapatkan apa saja dihajati,” katanya sambil menambah pelbagai aktiviti dan program disusun sepanjang kempen 37 hari bagi menghangatkan MSS 2008 bermula hari ini.

Mariadass berkata, banyak kompleks beli-belah menyertai MSS 2008 kerana menyedari ini peluang terbaik meningkatkan jualan ketika orang ramai berhati-hati untuk membeli barangan terutama produk mewah.

Beliau berkata, pusat beli-belah di seluruh negara masing-masing berlumba menarik kunjungan pembeli dengan tawaran menarik, malah ada barangan ditawarkan pada kadar diskaun 70 peratus.

Mariadass berkata, pelbagai acara hebat termasuk persembahan pancaragam di Pasar Seni Kuala Lumpur juga dirancang bagi menambah keseronokan MSS 2008 selain aktiviti yang dikendalikan pengurusan pusat beli-belah.

Beliau berkata, pelbagai program promosi dilakukan di lokasi terpilih termasuk di Sabah dan Sarawak bagi menggalak rakyat membeli-belah termasuk penduduk negara sempadan iaitu Thailand, Singapura, Indonesia dan Brunei Darussalam, selain pelancong jauh.

INFO: Jualan Penjimatan Malaysia (Malaysia Savings Sale) 2008

  • MSS 2008 berlangsung lebih sebulan iaitu 37 hari mulai hari ini hingga 4 Januari 2008 - semestinya beli-belah menjadi terapi minda terbaik!

  • Sebelum ini dikenali sebagai Malaysia Year-End Sale atau jualan akhir tahun, MSS 2008 tampil dengan konsep baru iaitu membeli dan berjimat.

  • MSS 2008 dijangka meriah sempena sambutan perayaan Aidiladha, Krismas, tahun baru 2009 dan Tahun Baru Cina makin hampir. Selain itu, pembukaan semester baru persekolahan merancakkan minat membeli-belah.

  • Selain beli-belah, pelbagai aktiviti hebat seperti persembahan hiburan, muzik dan sajian juadah enak mengisi program MSS 2008.

    * Majlis perasmian MSS 2008 peringkat negeri dijadual berlangsung di Kota Kinabalu (esok), Pulau Pinang (3 Disember), Langkawi (5 Disember) dan Johor Bahru (12 Disember).

  • Pelanggan termasuk rakyat tempatan dan pelancong asing yang membeli pada kadar minimum RM200 menggunakan kad kredit, MasterCard boleh mendapatkan hadiah eksklusif serta layak menyertai pertandingan yang menawarkan hadiah bernilai RM100,000 (terma dan syarat ditetapkan).

  • City Fringe Festival dianjurkan di zon beli-belah Bukit Bintang setiap Jumaat dan Sabtu mulai jam 6 petang hingga 11 malam. Orang ramai dihiburkan dengan pelbagai persembahan termasuk akrobat, pemuzik akustik dan badut.

  • Pertandingan Band Krismas MSS 2008 diadakan sepanjang Disember dengan pusingan awal pada 13 dan 14 Disember, manakala pusingan akhir dijadualkan di Pasar Seni pada 20 Disember depan.

  • Kunjungi International Xtreme Autoshow di Stadium Putra Bukit Jalil pada 26 hingga 28 Disember. Anda akan melihat kereta ekstrem yang diubahsuai. Demonstrasi juga diadakan di beberapa lokasi terpilih di Pulau Pinang, Melaka dan Kuala Lumpur.

  • Saksikan kehebatan artis bertaraf dunia di Ziryab International Music & Arts Festival 2008 Gala Show pada 13 Disember di Mayang Sari Grand Ballroom, Hotel JW Marriot, Kuala Lumpur. Sila layari www.ziryabfest.com untuk tempahan tiket dan maklumat lanjut.

  • Pameran koleksi jam mewah dan berprestij bertemakan, A Journey Through Time II mampu membuat anda terpana. Kunjungi Galeri Starhill, Kuala Lumpur mulai 4 hingga 14 Disember depan.

  • Peminat golf, jangan lupa berkunjung ke pameran terbesar, Golf Malaysia Showcase 2008 di Dewan Pameran Mid Valley, Kuala Lumpur dari 11 hingga 16 Disember depan.

  • Bazar jalanan menanti pelancong di Pekan Kuah, Langkawi selama dua hari mulai 5 Disember depan.

  • Peraduan hiasan tema terbaik bagi pusat beli-belah Lembah Klang akan menyaksikan kehebatan dekor pasar raya mulai 3 hingga 26 Disember. Antara pasar raya yang menyertai pertandingan ini ialah Berjaya Times Square; IOI Mall; Mid Valley Megamall; Pavilion Kuala Lumpur; Subang Parade Shopping Centre; Sungei Wang Plaza; Sunway Pyramid Shopping Mall dan The Curve.

  • Pek selamat datang kepada pelancong boleh didapati di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Terminal Tambang Murah (LCCT) Sepang. Pek ini antara lain memberi panduan MSS 2008 termasuk lokasi beli-belah termurah dan hebat.
    • Digg
    • Del.icio.us
    • StumbleUpon
    • Reddit
    • RSS
    Read Comments

    0 comments: