Skill-Tech ILKS pertama tawar SKM pertanian


pELATIH SEDANG DIBERI BIMBINGAN CARA MENGHASILKAN BAJA KOMPOS.

Keperluan kepada modal insan yang semakin mendesak dalam sektor pertanian memerlukan sokongan pelbagai pihak khususnya institusi latihan untuk melahirkan lebih ramai graduan terlatih.Selain institusi pengajian tinggi dan Majlis Latihan Pertanian Kebangsaan (NATC), hampir tidak ada syarikat yang sudi melabur dan menawarkan program latihan kemahiran dalam pertanian secara menyeluruh bagi mencapai matlamat murni ini.

Namun kewujudan Institut Skill-Tech yang terletak di Durian Tunggal, Melaka telah berjaya membuka mata masyarakat untuk melahirkan lebih ramai tenaga terlatih dalam bidang pertanian, sekali gus menyahut matlamat kerajaan memperkasa sektor tersebut.

Syarikat bumiputera terbabit berjaya membuktikan bahawa persepsi masyarakat selama ini yang menuduh generasi muda tidak meminati kerjaya berasaskan pertanian adalah tidak tepat.

Ini terbukti apabila ambilan pertama pelatih di bawah Skim Kluster Latihan Kemahiran Sumber Manusia untuk Institusi Latihan Kemahiran Swasta (ILKS) Bumiputera berjaya menarik lebih 200 pelajar mengikuti pelbagai bidang pertanian.

Menurut Pengerusi Eksekutif Skill-Tech, Nordin Abdul Malek, skim tersebut yang menawarkan pembiayaan percuma kepada semua belia bumiputera ternyata mendapat sambutan hebat pelatih dari seluruh negara.Amat memeranjatkan beliau apabila ramai pelatih dari Sabah dan Sarawak juga sanggup meninggalkan kampung halaman semata-mata ingin mengejar impian menjadi tenaga kerja pertanian terlatih dan usahawan tani."Ini membuktikan bahawa belia kita memang berminat dalam bidang pertanian, sekiranya diberi peluang yang sewajarnya.

"Malah mereka juga sudah mula melihat pertanian sebagai satu peluang perniagaan yang lumayan," ujar beliau.Skim yang dilancarkan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Saifuddin Abdullah, pada 30 Oktober lalu, memilih Institut Skill-Tech sebagai peneraju dalam bidang pertanian.Skim tersebut dilaksanakan dan dipantau oleh sebuah jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Dr. Zulkifli A Hassan.

Jawatankuasa tersebut turut dianggotai oleh pelbagai kementerian dan agensi kerajaan seperti Kementerian Sumber Manusia, Unit Perancang Ekonomi (EPU), Kementerian Kewangan, MeCD dan Mara yang bertujuan untuk menjamin kualiti dan pencapaian skim kluster berkenaan.

Difahamkan, Skill-Tech merupakan ILKS pertama yang menjalankan kursus pertanian sepenuhnya menggunakan Standard Latihan Pekerjaan Kebangsaan (NOSS) dan NATC."Memandangkan kursus menggunakan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia, pensijilan dan modul pelatih adalah sama dengan kolej latihan pertanian di bawah pusat latihan awam, " tambahnya lagi.

Nordin menambah, Skill-Tech menyasarkan pelatih seramai 2,000 orang, bermula tahun ini hingga tahun hadapan.Mereka menawarkan pelbagai bidang iaitu tanaman makanan (sayuran/buah-buahan), akuakultur (ikan air tawar), seni bina landskap, penyeliaan ladang, pemasaran pertanian, pemprosesan makanan, herba, bio-teknologi, pelancongan tani (agro-tourism), ternakan ayam (poltri) serta ternakan ruminan."Kepelbagaian bidang kursus membolehkan lebih ramai penyertaan belia kerana mereka boleh memilih kursus pertanian mengikut minat dan cita rasa masing-masing," katanya lagi.

Pusat latihan ini berkonsepkan ladang integrasi (integrated-farm) yang menggabungkan tanaman makanan, akuakultur dan pelancongan pertanian. Malah mulai tahun hadapan, ladang poltri dan ruminan akan diwujudkan untuk melengkapkan konsep integrasi tersebut.

Sebaik sahaja tamat latihan selama setahun, mereka akan dianugerahkan SKM Tahap 1 dan Tahap 2.Sebagai tambahan, mereka juga akan menerima Sijil Keusahawanan daripada Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), MeCD.Selepas tamat latihan, graduan digalakkan untuk mengusahakan pertanian sendiri sebagai usahawan yang akan dibantu oleh MeCD dengan pelbagai kemudahan perniagaan.Malah dalam tempoh latihan setahun, mereka juga diajar asas keusahawanan dengan menggunakan modul yang disediakan bersama Skill-Tech dan INSKEN.

Selain internship, pendedahan perniagaan hasil pertanian juga turut diberikan oleh pengusaha dan usahawan dalam bidang berkaitan melalui ceramah tetap bulanan.Pengalaman usahawan tersebut membolehkan mereka mengetahui strategi perniagaan berasaskan pertanian, disiplin serta tip-tip yang menjadi kunci kejayaan usahawan pertanian.Bagi mencapai Indeks Pencapaian Prestasi (KPI) yang ditetapkan kerajaan, Skill-Tech turut merancang mewujudkan skim inkubator usahawan tani bagi membolehkan graduan mereka terus dibimbing hingga mampu menjadi usahawan berdikari yang berjaya.

"Kami telah berunding dengan beberapa kerajaan negeri bagi mendapatkan tanah yang sesuai diusahakan sebagai ladang tanaman makanan komersial, " katanya.Kekurangan tenaga kerja mahir dalam bidang pertanian, memberi keazaman kepada Skill-Tech untuk menggalakkan graduannya menyambung latihan ke peringkat yang lebih tinggi.Ini bertujuan untuk menyahut cabaran masa depan bidang pertanian yang berteraskan kecekapan bekerja, kemahiran berteknologi serta berpengetahuan tinggi agar pengeluaran pertanian dapat dioptimumkan.

"Kita tetap menggalakkan sebahagian daripada mereka supaya menyambung kursus ke peringkat Diploma Kemahiran Malaysia pada masa depan," tambahnya.Selain latihan di dalam kampus, pelatih diwajibkan menjalani latihan industri di syarikat-syarikat berasaskan pertanian untuk memantapkan pengetahuan serta memberikan pengalaman sebenar alam pekerjaan pertanian. Justeru itu, Skill-Tech turut menjalinkan kerjasama industri dengan syarikat perladangan serta anak-anak syarikat milik kerajaan.
Graduan ini diyakini akan mudah mendapat pekerjaan, memandangkan kini sudah ada permintaan industri pertanian yang menempah mereka untuk bekerja apabila tamat latihan nanti.

Selain kemudahan latihan mengikut standard NOSS, Skill-Tech turut menyediakan pelbagai kemudahan lain di kampus seperti kolam renang, pusat rekreasi pertanian, surau terapung, dan pelbagai kemudahan berasaskan pertanian untuk keselesaan pelatih.Memandangkan kerajaan telah menyediakan peluang keemasan ini, Nordin menasihati para belia Bumiputera supaya merebut peluang mengikuti kursus pertanian di institut berkenaan.Lebih-lebih lagi, skim yang dibiayai menerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) ini tidak memerlukan pelatih membayar balik pembiayaan selepas tamat latihan.Malah, bagi memberi peluang yang lebih ramai, kerajaan hanya mengenakan syarat minimum boleh menulis, membaca dan mengira (3M) dengan baik bagi kebanyakan kursus (kecuali kursus bioteknologi, herba, pemasaran, pemprosesan makanan dan pelancongan pertanian) sebagai syarat minima kelayakan akademik."Syarat minima tersebut tidak bermakna kursus ini adalah untuk mereka yang tercicir atau lemah akademik kerana ada sebahagian pelatih kami adalah lulusan ijazah dari IPTA dalam dan luar negara," jelas Nordin lagi.Ternyata skim ini juga bertujuan untuk menjadikan pertanian sebagai kerjaya pilihan utama generasi muda kerana syarat umur peserta kursus yang ditetapkan oleh kerajaan adalah antara 16 hingga 35 tahun.

Bagi mencapai sasaran yang ditetap- kan kerajaan, Skill-Tech mempelawa belia Bumiputera menyertai kursus percuma ini bagi pengambilan Disember tahun ini yang masih dibuka untuk pendaftaran serta-merta.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

0 comments: