Usahawan SPA - Resepi Kejayaan.

Sanggupkah anda merapi bulu pubik pelanggan di salon kecantikan? Mungkin ada yang berasa geli mendengarnya tetapi khidmat ini ada disediakan di sebuah pusat kecantikan di Kuala Lumpur.




KALA diberitahu bahawa dia akan melakukan kerja-kerja berkaitan dengan pembersihan bulu badan termasuk merapi bulu kemaluan, Serene Tam agak terkejut mendengarnya. Jika sebelum ini, dia pernah terlibat dalam kerjaya yang memerlukannya membuat rawatan kecantikan di bahagian muka dan bahagian badan yang lain, kali ini Serene dapat menduga bahawa apa yang bakal dilakukannya memerlukan ketabahan dan kesabaran yang tinggi.

"Bukan kerana kerjanya susah. Dengan adanya latihan mengenai langkah-langkah penggunaan lilin (waxing) yang betul, pasti tidak sesukar mana. Tetapi apabila kita berhadapan dengan hal-hal sensitif seperti membersihkan dan merapi bulu pubik, kita perlu banyak bersabar dan bijak mengurus perasaan hampir setiap masa," ujarnya ketika ditemui di pusat kecantikan Strip yang terletak di Bangsar, Kuala Lumpur.

Memikul tanggungjawab sebagai seorang penggilap lilin profesional sejak enam tahun lalu, Serene menerima kira-kira 10 orang pelanggan dalam sehari yang datang kepadanya untuk mendapatkan perkhidmatan membuang bulu badan. Antaranya ialah di bahagian ketiak, seluruh tangan dan kaki dan yang paling intim ialah merapi bulu di bahagian kemaluan.


"KEBERSIHAN dan profesionalisme amat dipentingkan."


Jika ramai daripada kita berasa geli dan meluat mendengarnya, ada pula yang terbeliak kedua-dua biji matanya sebaik mendengar apa yang dikatakan tadi. Harus diingat bahawa mereka memilih kerjaya ini bukan hanya kerana duit tetapi kesanggupan menawarkan khidmat penjagaan dan kecantikan diri yang dikatakan susah dilakukan sendiri oleh segelintir orang.

Di luar negara, perkhidmatan sebegini sudah lama wujud dan mudah dibincangkan secara terbuka memandangkan budaya negara barat agak berbeza dan tidak terbatas. Di Malaysia atau kebanyakan negara Asia, mereka yang melakukan kerja-kerja seumpama ini dianggap tidak senonoh atau tidak beradab. Bagi mereka yang beragama Islam, keadaannya lebih rumit.


"MEMERLUKAN ketabahan dan kesabaran yang tinggi."


Jenawati Abd. Shukor tidak terlepas daripada stigma itu. Ketika dia mengambil keputusan melepaskan jawatan sebagai seorang jurutera pelan yang menjanjikan pendapatan empat digit yang lumayan, dia mula merasakan tamparan hebat yang bakal diterimanya daripada masyarakat sekeliling. Maklumlah, kerja mengurus sebuah pusat kecantikan dan mengurut sentiasa mendapat konotasi yang negatif.

Sampai sekarang pun, banyak kes-kes dan serbuan mengejut diadakan di pusat-pusat mengurut di ibu kota dan pinggir kota selepas pihak berkuasa tempatan menerima aduan daripada orang ramai mengenai perkara yang tidak elok berkaitan tempat tersebut.




Di pusat Sports Massage Centre, Equal Fitness, Jenawati atau Jena yang merupakan salah seorang pengarah yang aktif sejak lapan tahun lalu mempraktikkan konsep 'selamat' iaitu dia hanya menawarkan tukang urut mengikut jantina.

Ini bermakna jika seorang lelaki mahu pengurut wanita, ia sama sekali tidak dibenarkan. "Memang ada kalanya, pelanggan lelaki yang datang meminta khidmat tukang urut perempuan tetapi saya tegas mengatakan bahawa khidmat seperti itu tidak disediakan di sini. Kalau mereka mendesak, mereka boleh cari di tempat lain," jelasnya.

Jena yang mendapat restu suaminya dan lima anak-anaknya yang berusia antara lapan hingga 17 tahun, merasakan tugasnya agak berat untuk dipikul apabila ia dipandang serong oleh komuniti luar. Bak kata pepatah hanya kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Jena yakin persepsi ini dapat diubah sekiranya dia dan rakan tukang urut yang lain bersikap profesional serta menanamkan sifat disiplin yang tinggi dalam menjalankan tugas.

"Sejak pusat ini dibuka lapan tahun lalu, kami telah melatih kira-kira 5,000 orang pelajar khusus untuk urutan sukan. Ini tidak termasuk 24 orang tukang urut separuh masa yang bekerja di sini," katanya yang mempunyai satu lagi cawangan di Sooka Sentral, KL Sentral, Kuala Lumpur.


"PADA waktu kecemasan, ilmu urut badan boleh menyelamatkan nyawa."


Di Sports Massage Centre juga, mereka mengamalkan urut yang menyelitkan sains sukan dan bukannya tradisional. Sambil mengenal pasti dan memahami secara menyeluruh anatomi badan manusia, Jena dan tukang urut lain akan 'membantu' secara saintifik.

Namun, dalam kerja-kerja yang melibatkan sentuhan manusia secara langsung, ada kalanya perkara-perkara yang tidak diingini boleh berlaku. Hanya dengan bersikap waspada dan tidak mudah panik, anda dapat menghadapi masalah dalam masa sebenar.

Serene pula pernah beberapa kali berdepan dengan situasi yang genting. Oleh kerana rasa sakit tidak dapat dielakkan dalam teknik menggilap lilin terutamanya di bahagian sulit, ada seorang pelanggannya menangis.


"MERAPI bulu badan bagi kedua-dua perempuan dan lelaki."


Oleh kerana Strip turut menerima pelanggan lelaki sejak tahun lalu, kes-kes pelik juga berlaku dari semasa ke semasa. "Kes pelanggan lelaki menitiskan air mata masih lagi okey tetapi ada kes di mana apabila kami membersihkan bahagian sulit pelanggan lelaki, mereka mula berfikiran 'kuning'. Jika ini berlaku, kami akan suruh mereka keluar. Tiada tolak ansur!," jelasnya yang menyatakan jika pelanggan itu berdegil, mereka akan memaklumkan kepada pihak pengurusan syarikat. Ternyata tugas ini amatlah berat!

Dalam pada itu, Jena yang mula bekerja sepenuh masa pada awal tahun ini, melahirkan hasrat murni yang ingin dikongsi bersama orang ramai.

Menurutnya, pada waktu kecemasan, ilmu urut badan boleh menyelamatkan nyawa.

"Bapa saya yang berusia 69 tahun adalah seorang pesakit dan dia pernah diserang strok. Oleh kerana abang dan isterinya tahu mengurut, kesihatan bapa saya tidak tergugat teruk," ujar Jena.

Selain itu, kanak-kanak yang membawa beg sekolah yang berat, tidak terkecuali memperoleh rawatan mengurut bahu bagi menghalang sakit kepala yang berterusan sehingga membawa kepada migrain.


"JIKA seorang lelaki mahu pengurut wanita, ia sama sekali tidak dibenarkan."


Pernah sekali, Jena yang merawat seorang wanita yang baru bersalin tidak lama dahulu, menghadapi kesulitan bernafas. Jena memujuknya supaya menghela dan menghembuskan nafas perlahan-lahan berulang kali sehingga keadaannya kembali normal. Ketika itu, baru dia sedar pelanggannya yang datang jauh dari Teluk Intan, Perak mempunyai masalah lelah.

"Saya menasihatinya supaya melonggarkan otot-otot di belakang badan dan bahu yang terlalu tight disebabkan stres dan baru lepas bersalin," katanya yang beberapa minggu kemudian menerima panggilan penghargaan daripada wanita tersebut atas kemujaraban seni mengurut yang dimilikinya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

0 comments: