Usahawan Kompang


Mohd. Iswan Abdul Rahim bersama deretan kompang pelbagai saiz dan alat-alat muzik tradisional lain di kedai menjual dan membaiki peralatan tradisional Wandarisnor Enterprise di Kampung Majidee, Johor Bahru semalam.
- Gambar RAJA JAAFAR ALI

JOHOR BAHRU 26 Dis. - Alat muzik tradisional iaitu kompang bukanlah sesuatu yang baru bagi kehidupan masyarakat Melayu dari dahulu hingga sekarang.Malah, paluan alat muzik itu terus kerap kedengaran apabila tibanya musim cuti sekolah semasa kenduri perkahwinan atau majlis berkhatan.

Bagaikan kehilangan seri sesuatu majlis terutama 'kenduri kahwin' sekiranya tiada paluan kompang bergema mengiringi ketibaan sang raja sehari.

Namun dalam kompang 'melayari' zaman kemasyhurannya, tiada siapa yang tahu bagaimana gendang itu diperbuat dan apakah bahan yang digunakan dan yang pasti, pembuat kompang seakan semakin 'pupus' di bumi ini.

Tidak ramai yang mempunyai minat sekaligus kepakaran dalam menghasilkan kompang yang bermutu dan mampu menghasilkan lantunan bunyi yang bagus.Atas rasa untuk meneruskan warisan zaman berzaman, Abdul Rahim Kasiman, 65, membuka sebuah syarikat yang menjual pelbagai saiz kompang dan alatan muzik yang lain.Menurutnya, dia telah menceburkan diri dalam pembuatan kompang itu sejak tahun 1995 dan pada waktu itu tempat beroperasinya hanyalah di kediamannya iaitu di Larkin Perdana di sini.Namun, itu cerita 13 tahun lalu, kini perusahaan warisan keluarga itu yang kini bernaung di syarikat Wandarisnor Enterprise dan bertapak di Kampung Majidee di sini semakin dikenali di seluruh negara.

Walaupun tiada publisiti yang dibuat, tetapi kualiti barangan yang dihasilkan menjadi 'azimat' pada kemajuan perniagaan itu.Kelantangan lantunan bunyi kompang buatan syarikat tersebut berjaya memikat hati siapa yang mendengarnya."Setiap bulan secara purata sebanyak 30 hingga 60 biji kompang dihasilkan dengan bantuan dua orang anak saya dan beberapa orang pekerja," katanya yang ditemui di sini hari ini.Bagaimanapun, jumlah itu bertambah apabila tiba musim cuti sekolah dan kenduri kahwin.

"Kadang kala tidak menang tangan dibuatnya apabila mendapat tempahan yang banyak," katanya.Menurutnya, seorang pembuat kompang perlu mempunyai kemahiran dalam menentukan kualiti kulit kambing dan kayu yang digunakan bagi memastikan kualiti kompang tersebut.Tambahnya, ketelitian amat dititikberatkan bagi menghasilkan kompang yang nyaring bunyinya.Katanya, bahan yang digunakan bagi membuat kompang adalah kulit kambing betina kerana kulitnya nipis dan kayu leban.Turut dijual di kedai tersebut ialah rebana, gabus dan hasil kraf tangan lain seperti bakul, sudip dan tong sampah yang diperbuat daripada rotan.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

0 comments: