Usahawan perlu ada pelan pemasaran.
KOTA TINGGI 25 Dis. - Golongan usahawan perlu mempunyai pelan pemasaran yang lebih agresif bagi memastikan mereka sentiasa berdaya saing dalam bidang perniagaan semasa yang semakin mencabar ekoran situasi ekonomi global.Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, ia boleh dicapai jika setiap usahawan sentiasa bekerja keras, memiliki jati diri tinggi di samping minat mendalam dan kesediaan menambah ilmu dari semasa ke semasa."Dengan cara itu, seterusnya pengurusan pemasaran yang agresif akan memastikan segala usaha serta pelaburan yang dibuat mencapai matlamat dan sasaran keuntungan," katanya.Beliau berkata demikian ketika merasmikan Myportal dan Program Strategic Entrepreneur Executive Development System (Seeds) di Akademi Kemahiran dan Latihan Insan (AKLI) Jalan Johor di sini, baru-baru ini.
Hadir sama, Ketua Penolong Pengarah Institut Keusahawanan Negara (Insken), Porozi Yahya; Pengerusi Eksekutif Edorey Technologies, Mohmad Nazri Ab. Rahman; Pengetua Seeds, Kapten Kamarulzaman Al Marwan dan Pengarah Urusan Edorey Marketing, Ahmad Zakir Abdul Rahman.Saifuddin berkata, pelan yang tersusun dan melangkaui masa dalam pasaran akan menjadikan usahawan sentiasa bersedia terhadap sebarang kemungkinan pada masa depan dalam pasaran.Justeru, menurutnya, ia memerlukan sikap proaktif dan ketajaman fikiran dengan dimantapkan lagi dengan kemahuan, kesungguhan dan komitmen berterusan dalam diri mereka.Katanya, ia akan memberi kekuatan untuk berdepan dengan masalah semasa termasuk krisis kewangan global yang dikhuatiri turut memberi kesan kepada negara.
Sementara itu, Kamarulzaman berkata, Myportal merupakan sebuah aplikasi laman web Do It Yourself (DIY) mesra pengguna pertama di dunia.Di Malaysia, katanya, ia mula beroperasi sejak 17 Ogos lalu setelah menjalani proses pembangunan dan penyelidikan (R&D) selama 7 tahun yang diterajui oleh tim Edorey Technologies.Menurutnya, ia dilengkapi sistem pengurusan kandungan (content management system - CMS) dengan pakej pasang siap yang mudah dikendalikan.Beliau berkata, Myportal memiliki ciri-ciri yang membolehkan pemiliknya yang tahu menggunakan MS Word mampu mengemaskinikan laman web dengan mudah dan pantas tanpa memerlukan kepakaran teknikal yang tinggi."Laman web ini sesuai untuk kegunaan peribadi, kerjaya, keluarga, sektor kerajaan, swasta, syarikat, agensi, perniagaan, perkhidmatan, persatuan dan sekolah dengan yuran tahun yang rendah," katanya.Dalam pada itu, Kamarulzaman berkata, setakat ini seramai 16 orang dipilih menjadi pelatih sulung program Seeds yang merupakan program latihan keusahawanan belia lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).Katanya, ia bermatlamat untuk melahirkan kumpulan usahawan pintar peringkat eksekutif yang diselia Kumpulan Edorey.
"Kursus selama sebulan itu dengan sokongan Inskens adalah program realiti pembangunan usahawan bertaraf eksekutif pertama diadakan di negara ini."Pelajar akan dinilai setiap minggu dan hanya yang mencapai kepiawaian tertentu akan meneruskan kerjaya usahawan peringkat amali seterusnya," katanya.
0 comments:
Post a Comment