Impian Tony Fernandes tercapai
PELANCARAN penerbangan tambang murah jarak jauh London Stansted-Kuala Lumpur oleh AirAsia X bakal memberikan manfaat kepada ramai orang, tetapi bagi Ketua Eksekutif Kumpulan AirAsia Bhd, Datuk Seri Tony Fernandes, ia memberikan makna tersendiri kepadanya.
Bagi Tony, pelancaran perkhidmatan itu menandakan tercapainya sebuah impian yang sudah lama terpendam dalam dirinya, belum lagi dikira ia telah mencetuskan satu revolusi bagi perjalanan udara di antara Eropah dan Asia. “Ia adalah detik yang sungguh bermakna dan istimewa buat saya,” katanya ketika berucap di hadapan tetamu dan media antarabangsa yang berhimpun di London County Hall, London bagi majlis pelancaran perkhidmatan penerbangan lima kali seminggu itu yang akan bermula 11 Mac 2009, dengan harga bermula £99 (RM499) sehala.Sambil mengimbas liku-liku perjalanannya dalam industri penerbangan, Tony berkata, sememangnya impian pertamanya adalah untuk memulakan perkhidmatan penerbangan jarak jauh kos rendah di antara London dan Kuala Lumpur. “Saya mengimpikan semua ini sejak berusia 12 tahun lagi. Apabila saya tiba di sekolah saya di sini, saya ingin terus pulang kerana saya tidak pernah melihat sebuah bilik asrama seperti itu di sepanjang hayat saya memandangkan saya datang dari sebuah tempat yang cantik dan menyenangkan seperti Malaysia. “Saya terus menelefon ibu bapa saya merayu mereka untuk membenarkan saya pulang.
Ibu negara Britain itu menjadi destinasi kelima AirAsia X, yang memulakan perkhidmatan penerbangan komersilnya dengan penerbangan dari Kuala Lumpur ke Gold Coast, Australia pada 2 November 2007, sebelum menambah destinasinya ke bandar raya Hangzhou, China serta Perth dan Melbourne tahun ini. - Bernama
Laluan Kuala Lumpur-Perth yang bermula 2 November lalu, menggunakan pesawat baru jenis Airbus A330 yang diterima pada 31 Oktober - pesawat pertama daripada 25 pesawat A330s yang ditempah.
Syarikat penerbangan tambang murah itu dijangka menerima pesawat A330 keduanya bulan depan, manakala bakinya dijangka tiba secara berperingkat sehingga 2013. Bagi penerbangan di antara London Stansted-Kuala Lumpur, AirAsia X akan menggunakan pesawat Airbus A340 daripada Air Canada.
“Ini adalah rundingan awal sebelum kami membuat keputusan sama ada menggunakan Boeing 787 atau A350,” kata Tony, sambil menambah bahawa kumpulan AirAsia lebih banyak menggunakan pesawat Airbus, maka besar kemungkinan syarikat itu akan menggunakan A350.
Selain menawarkan tiket pada harga £99, penumpang juga boleh menempah tempat duduk premium pada harga £549 (RM2,745) yang membolehkan mereka menikmati salah satu daripada 30 tempat duduk kulit yang boleh dibaringkan dan mempunyai ruang kaki lebih luas untuk penerbangan selama 12 hingga 13 jam.
Pada kebiasaannya, harga tambang di antara London ke Malaysia adalah sekitar £500 (RM2,500) hingga £600 (RM3,000).
0 comments:
Post a Comment