Stailo: Transformasi batik jejaka




Jendela KL ketengah gaya moden kontemporari

TANGGAPAN klise batik sebagai persalinan tradisi seolah terus melekat. Ditambah kecenderungan menyesuaikan batik dengan penggayaan menghadiri majlis rasmi dan bersifat kebudayaan, membuatkan pesona batik terpinggir daripada kelasnya yang tersendiri. Faktor rekaan dan corak batik yang statik meletakkan ciptaan itu jauh daripada pilihan penggemar fesyen semasa. Situasi sedemikian sedikit sebanyak ‘menjauhkan’ aura sebenar batik sebagai sebahagian daripada pelengkap fesyen harian.

Namun persepsi negatif itu berjaya dilentur Jendela KL apabila menghasilkan ilham kreatif batik khusus untuk jejaka bagi melengkapi gaya moden kontemporari masa kini. Menterjemah gaya batik untuk disesuaikan dengan kehidupan lelaki moden, Jendela KL menonjolkan gaya tersendiri bagi identiti batik menerusi sentuhan elegan dan kontemporari. Mainan warna dengan rekaan kreatif digarap sebaik mungkin membuatkan setiap koleksi yang dipaparkan begitu eksklusif. Tidak seperti imej biasa ditonjolkan pada kemeja batik, Jendela KL mengilhamkan batik dengan corak dan warna lebih kontemporari. Tidak perlu sarat dengan corak dan seni batik canting, kemeja lelaki ilham Jendela KL dicetuskan begitu sederhana kerana menitikberatkan soal keselesaan.



Menggunakan pula fabrik Itali Loro Piana dan Lanificio Fratelli Cerruti, rekaan pakaian nampak begitu selesa dan lembut untuk disesuaikan dengan iklim negara Asia.

Himpunan koleksi Jendela KL menterjemahkan gaya kasual untuk bersantai, gaya ke pejabat serta gaya eksklusif untuk ke majlis rasmi. Tidak bermakna imej santai harus kosong tiada gaya, Jendela KL memberi sentuhan dari segi perincian dan teknik padanan fabrik batik dengan kain polos.

Gaya kontemporari dijelmakan bagi ilham ke pejabat. Bukan saja sesuai untuk gaya sederhana ke pejabat, kemeja Jendela KL nampak berseri jika disesuaikan untuk ke acara luar pejabat dan bertemu pelanggan. Imejnya yang lebih sederhana meletakkan penampilan pemakai cukup terampil.

Jendela KL juga mengilhamkan rekaan sut ke pejabat bermula dengan potongan klasik sehinggalah kepada gaya lebih moden. Sut jalur dan hitam masih lagi beridentitikan kemeja di bahagian dalam. Imej mewah antara yang diterapkan dalam rekaan jaket tradisi.

Lari daripada kebiasaan, Jendela KL turut menampilkan rekaan daring kain kaftan menerusi pelbagai potongan gaya pada kain putih yang labuh mencecah kaki. Potongan di leher dan bahagian kaki antara yang ditonjolkan sebahagian daripada kelainan.

Bukan itu saja, Jendela KL juga memberi nafas baru bagi rekaan baju kostum songket. Warna krim mendominasi rekaan itu yang dipadankan dengan kain songket.

Pastikan anda tidak ketinggalan untuk mengintai di butik Jendela KL untuk menjadi sebahagian daripada pencetus gaya terkini!

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

0 comments: