Bazzar SDSI

KOTA KINABALU 19 Dis. - Kerajaan Pusat memperuntukkan RM23 juta untuk membiayai program Satu Daerah Satu Industri (SDSI) di negeri ini bagi tahun 2009 dan 2010.

Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah, Datuk Ewon Ebin berkata, dana tersebut merupakan suntikan bagi meningkatkan lagi kualiti, kuantiti, jenis, promosi dan pemasaran produk SDSI."Kita yakin program SDSI akan lebih berdaya saing dan maju dalam masa dua tahun ini iaitu tempoh akhir Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), kita ada banyak perancangan untuk memajukan SDSI."Ini kerana sebelum ini, program-program SDSI yang diperkenalkan pada 2006, hanya menerima peruntukan RM550,000 yang disumbangkan kerajaan negeri bagi tempoh 2006 hingga 2008," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Bazar SDSI di Wisma Tun Fuad Stephens di sini hari ini.Ewon berkata, bagi memastikan peruntukan itu sampai kepada golongan sasar, semua pejabat daerah diminta mengenal pasti potensi-potensi yang ada di tempat mereka untuk diketengahkan.Sehingga kini kata Ewon, pihaknya hanya menerima 17 kertas cadangan dan permohonan dari beberapa pejabat daerah untuk membangunkan produk yang berpotensi di tempat mereka."Sekiranya tidak keberatan semua pejabat daerah termasuk pejabat daerah kecil digalakkan untuk mengemukakan cadangan atau sebarang keperluan mereka secepat mungkin," katanya.

Selain itu, katanya, jawatankuasa SDSI di peringkat kementerian perlu turut memainkan peranan proaktif dalam menyelaras, menangani dan memantau pelaksanaan program-program SDSI.Jawatankuasa itu, katanya, dianggotai oleh semua pegawai daerah dan juga dari pelbagai jabatan serta agensi kerajaan bagi memastikan program SDSI mencapai sasaran.Kerajaan juga katanya, sedia membantu usahawan SDSI melalui Institut Penyelidikan dan Pertanian Malaysia (MARDI) Institut Standard dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM), Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Mara, dan Koperasi Pembangunan Desa (KPD).

Jelasnya, bantuan pihak MARDI ialah mesin dan teknologi pemprosesan makanan, SIRIM (teknologi pembungkusan dan mesin), Matrade (pasaran antarabangsa), Mara (pembiayaan kewangan) dan KPD (usahawan contoh)."Bagi membantu usahawan-usahawan SDSI untuk meningkatkan keupayaan dan pengetahuan, kementerian melalui Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan bersama MARDI turut menganjurkan kursus tertentu.

"Kursus-kursus ini adalah khusus tentang teknologi pemprosesan makanan dalam produk-produk yang dikeluarkan di daerah, hasil daripada kursus ini kita telah berjaya melahirkan usahawan SDSI baru," katanya.Menurutnya, antara produk baru yang berjaya dilahirkan melalui kursus tersebut ialah bahan makanan yang berasaskan nenas, halia, tauhu, kerepek dan ikan yang dipelbagaikan."Selain itu, Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Sabah (Sedco) melalui Sedcovest Holdings Sdn. Bhd. turut memberi bantuan dengan menganjurkan kursus dalam pembuatan produk-produk makanan tertentu," katanya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

0 comments: