Bisnis Kecantikan Lelaki
Definisi ketrampilan dan fesyen mengikut Zulfazli
KECANTIKAN bagai sinonim dengan wanita. Sungguh tidak kena jika lelaki dikaitkan dengan kecantikan, tata rias diri mahupun gaya berfesyen. Lelaki fitrahnya gagah, macho dan perkasa. Konsep menghias diri bagi sesetengah lelaki adalah taboo, malah tidak pernah wujud dalam kamus hidup. Namun di sebalik kejantanan lelaki, soal menjaga keterampilan diri tidak sepatutnya diketepikan. Masih ada ruang untuk lelaki tampil segak mengikut acuan dan kehendak diri. Begitulah pandangan perunding imej terkenal mewakili kromosom XY, Zulfazli Suhadi yang sudah lebih 15 tahun berkecimpung dalam bidang solekan.
Sambil mengakui lelaki juga harus tampil menarik seperti wanita, jejaka bagaimanapun disaran mengambil pendekatan sederhana dalam bergaya dan menghias diri. Bagi Zulfazli, cantik bagi lelaki tidak bermakna memerlukan mereka mengenakan alat solek cuma perlu disesuaikan dengan keadaan dan imej diri. “Jangan pula keterlaluan bila menggunakan produk berteraskan wajah. Lelaki tidak harus kelihatan cantik, mereka perlulah menggunakan produk wajah pada batas tertentu.
ZULFAZLI menunjukkan kaedah merawat wajah jejaka. |
“Cukup bagi lelaki mementingkan soal kebersihan wajah, menggunakan pencuci wajah, penyegar dan pelembap yang bersesuaian,” kata Zulfazli ketika ditemui di butiknya di Puchong, Selangor, baru-baru ini.
Bersama XY - Ikon Lelaki, pakar solekan itu cuba merungkai personaliti yang harus dimiliki lelaki selain memberi panduan imej sebenar lelaki. Tidak ketinggalan, Zulfazli memberi tip bergaya tanpa menjejaskan imej maskulin.
Tafsiran kecantikan mengikut persepsi anda?
Kecantikan secara tidak langsung menjurus kepada seseorang yang dilihat cantik. Cantik tidak seharusnya dikaitkan dengan wanita saja kerana seorang lelaki juga harus tampak kacak serta berimej gagah. Cantik tidak harus dilihat dari sudut luaran semata-mata sebaliknya faktor dalaman dan kebersihan harus diambil kira.
Siapa yang layak digelar cantik?
Bagi saya, seseorang itu akan lebih cantik tanpa secalit solekan pada wajah. Tidak semua orang akan dilihat cantik. Mungkin bukan secara realiti mereka tidak begitu, tetapi pada waktu tertentu seseorang akan lebih menyerlah, khususnya pada gambar. Jika berkeadaan sedemikian, orang itu dilihat cantik secara fotogenik.
Mengapakah hanya wanita dikaitkan dengan kecantikan?
Ini kerana cantik itu hanya untuk seorang wanita. Lelaki tidak harus menjadi cantik kerana tafsiran kacak itu adalah paling ideal menggambarkan ciri seorang lelaki. Lelaki harus dikaitkan dengan kacak dan gagah. Mereka tidak harus menjadi cantik.
Wajarkah lelaki juga menjadi cantik?
Mengapa tidak seorang lelaki menjadi cantik? Cantik tidak salah tetapi usahlah berlebihan. Janganlah kerana ingin menjadi cantik berlebih-lebih mengalahkan wanita. Adalah lebih bermakna seorang lelaki menumpukan perhatian kepada penampilan dan kebersihan wajah. Biarlah kecantikan itu seimbang tanpa perlu bersolek.
Bagaimana pula lelaki dikaitkan dengan alat solek wanita?
Seseorang lelaki itu tidak terlepas daripada menggunakan alat solek jika mereka berada di dalam industri yang memerlukan mereka bergaya dan berdepan dengan masyarakat. Pada majlis tertentu juga, lelaki harus mengenakan sedikit solekan bagi mengelak wajah lebih berminyak dan tidak bermaya. Cuma saranan saya, tidak begitu ketara bagi seorang lelaki menggunakan alat solek hingga hilang daya kelelakian dan macho seorang lelaki.
Alasan untuk seorang lelaki untuk lebih bergaya?
Faktor gaya hidup lelaki sendiri yang seolah-olah tidak mengambil peduli soal penjagaan wajah menjadi penyebab untuk mereka berimej ala kadar. Ini jelas apabila penjagaan wajah paling tidak diberi perhatian. Kulit berminyak, berjerawat hinggalah badan berbau yang menampakkan penampilan tidak gah.
Pada waktu kebiasaan, perlukah lelaki untuk tampil cantik?
Tidak dapat saya nafikan yang lelaki zaman sekarang khususnya di bandar mula menjaga penampilan diri. Tidak saja pada pakaian, mereka juga semakin menitik-beratkan soal penjagaan wajah. Langkah terbaik untuk lelaki sebegini, eloklah sekadar menggunakan tisu basah untuk memastikan kulit wajah tidak berminyak, mengenakan titisan penyegar mata untuk mata lebih bersinar serta menggunakan pelembap bibir tanpa menggunakan bedak asas.
Bagaimana pula dengan penampilan wajah dan dandanan ke majlis rasmi?
Jika perlu, tidak salah untuk berbedak secara sederhana untuk mengelak wajah berminyak mahupun menutupi jerawat. Rambut pula haruslah disisir rapi biar nampak kemas.
Penampilan yang harus dielak apabila menghadiri majlis rasmi?
Berbanding wanita yang sering bergaya dan mementingkan penampilan apabila menghadiri majlis rasmi, seorang lelaki sering gagal mengenakan persalinan bersesuaian. Jangan sesekali memilih mengenakan kemeja-T dan berseluar denim. Mungkin gaya sebegitu nampak ringkas tetapi perlulah disesuaikan dengan keadaan majlis terutama kenduri kahwin. Selain mengenakan tuksedo, kemeja lengan panjang, berbaju Melayu dan batik juga adalah pilihan tepat untuk bergaya di majlis rasmi.
Bagaimana pula dengan imej lelaki berjambang?
Apabila lelaki memilih untuk berjambang, pastikan yang mereka sentiasa membentuk cantik jambang agar tidak berserabut. Memang menarik dan kacak apabila lelaki berjambang tetapi biarlah kena pada gayanya. Seeloknya biarlah wajah dicukur untuk gaya yang lebih bersih sempurna.
Perlukah lelaki ke salun kecantikan?
Tidak salah bagi lelaki mengikut aliran terkini mahupun untuk mendapatkan gaya bersesuaian dengan penampilan terbaru. Mungkin dengan membuat potongan rambut terbaru akan menampakkan berlainan dan menjadi lebih bergaya dan disenangi ramai? Apa salahnya berbelanja sedikit untuk memastikan penampilan kita lebih menarik.
Apakah sesuai bagi lelaki untuk menggunakan pencuci wajah, penyegar dan kemudian pelembap? Apakah ini menghilangkan imej maskulin mereka?
Memang rumit untuk melakukan semua rutin penjagaan wajah. Tidak perlu sampai menggunakan produk sampingan yang rumit hingga menyukarkan seorang lelaki menjaga wajah. Lakukan rutin mencuci, menyegar dan memakai pelembap sudah memadai untuk mendapatkan kulit wajah normal dan tidak berminyak.
Pandangan anda mengenai jejaka Malaysia hari ini?
Secara keseluruhan, saya boleh katakan lelaki di negara ini semakin bijak bergaya. Malah, mereka sudah mulai berdandan. Ini jelas dapat dilihat cara mereka mengenakan pakaian ke pejabat, memilih fabrik, gandingan warna bersesuaian antara kemeja dan seluar. Begitu juga penampilan remaja lelaki yang semakin bijak memilih jenama yang saling berkait dengan karektor diri.
Bagaimana pula dengan fesyen dan pilihan gaya untuk lelaki hari ini?
Bukan saja pada fesyen yang semakin ke depan, pelbagai produk berasaskan penjagaan wajah khusus untuk lelaki semakin banyak di pasaran. Pengguna semakin banyak pilihan membuktikan yang lelaki juga semakin bijak memilih. Pengeluar produk yang dulunya ragu-ragu mengenai potensi pasaran untuk lelaki sudah mengubah persepsi sebegitu apabila mendapati ada permintaan untuk lelaki. Situasi ini adalah suatu perkembangan yang baik.
Mengikut kaca mata anda, siapakah di antara selebriti lelaki di Malaysia yang mencerminkan lelaki ideal dan bergaya?
Saya memilih Hans Isaac kerana penampilannya yang sering menepati tema majlis. Gayanya yang macho dengan karektor dan pembawaan imej lelaki maskulin melengkapkan karektor aura lelaki hebat.
Profil
Nama: Zulfazli Suhadi
Umur: 42 tahun
Tarikh lahir: 16 Ogos 1967
Tempat lahir: Sungai Besar, Selangor
Tinggi: 170 sentimeter
Berat: 70 kilogram
Profesion: Jurusolek artis dan perunding kecantikan
1 comments:
Dapatkan Panduan Bina Otot Badan Lelaki Disini Agar Anda Lebih Macho, Tegap Dan Bertambah Kacak....Hehe...
Jangan Segan2..Realisasikan Badan Impian Anda.....
Post a Comment