Usahawan Jambu Air


Tan Jui Seng menunjukkan buah jambu yang terdapat di ladangnya di Muar.

MUNGKIN menyedari masa depannya dalam dua pekerjaan bergaji tetap tidak sebaik mana kerana bersekolah setakat umur 13 tahun sahaja, maka keputusan yang diambil menceburi bidang pertanian sebagai jalan terakhir.

Namun, faktor sampingan lain juga tidak boleh diketepikan kerana keputusan memilih tanaman jambu air sebenarnya bermula sebagai hobi.

Chua Yap Keng dan Tan Jui Seng sebenarnya rakan kongsi yang mengusahakan tanaman jambu air dan mengabadikan nama mereka pada ladang yang diberi nama Keng Seng Nursery sebagai tanda keakraban dan perkongsian harapan dalam bidang pertanian.

Yap Keng berkata, dia pada mulanya dipertemukan dengan seorang rakan dari Taiwan ketika berurusan dalam perniagaan perabot yang memperkenalkannya baka jambu air dari Taiwan.Dia mengambil baka tersebut yang hanya disebut sebagai baka warna hijau, merah dan loceng lalu cuba menanamnya di kawasan rumah di Muar.

Namun akhirnya dia menggunakan baka warna merah memandangkan jambu air hijau itu susah hendak ditanam manakala baka loceng mudah gugur.Meskipun mereka mengetahui kos untuk membiayai projek satu ekar sahaja mencecah RM10,000, namun bertekad untuk mencuba sesuatu yang baru.Yap Keng berkata, dia tidak mahu masalah tersebut merencatkan minatnya untuk menceburkan diri dalam penanaman buah-buahan, memandangkan itulah minatnya sejak kecil.

''Sebab itu saya banyak kali mencuba menanam benih jambu, (sebab) mahu tengok yang mana sesuai,'' katanya.Katanya, rakan tersebut memperkenalkan benih jambu itu dan dia membawa pulang kira-kira 10 pokok untuk ditanam di kawasan rumahnya di Jalan Ismail, Muar.Benih pokok tersebut kemudiannya ditanam di ladang mereka di Batu 23, Lenga, Pagoh di Muar Johor bermula 2003 membabitkan 70 pokok jambu.Yap Keng, 43 dan Jui Seng, 38, kemudian memulakan penanaman di kawasan tersebut yang berkeluasan dua hektar di Bukit Pasir Muar,Menurutnya, jambu tersebut yang dikenali sebagai jambu Johor, mudah untuk dijaga kerana tidak banyak masalah.

Mereka hanya perlu memastikan baja diberi mengikut kadar yang ditetapkan iaitu kira-kira 40 pokok bagi satu beg.Harga baja tersebut pada mulanya RM200 satu beg kini turun kira-kira 20 peratus.Pada masa sama, dia juga beruntung kerana Jui Seng pakar dalam menyediakan benih jambu tersebut, menjadikannya mereka gandingan yang baik untuk memajukan projek tersebut,Ketika ini, tiga ladang mereka yang keseluruhannya berkeluasan lapan hektar (20 ekar) ditanam dengan 1,000 pokok jambu.

Menurutnya, jambu tersebut matang dan boleh dipetik selepas 18 bulan ditanam.Ladang mereka kini mampu mengeluarkan antara 10 dan 15 tan buah sebulan dan dipasarkan di kawasan sekitar pada harga RM4.50 sekilogram.Untuk memastikan jambu telah mencapai saiz pasaran, setiap kilogram mengandungi antara lima dan tujuh biji.Jambu tersebut menurut Yap Keng, amat menarik kerana bukan sahaja rasanya yang manis tetapi warnanya yang merah pekat dan senang untuk dijaga.Bagaimanapun untuk mengekalkan rasa manis, jambu perlu dipetik pada waktu cuaca panas.

Untuk menjaga kesegaran dan memastikan jambu selamat dimakan, dia tidak menggunakan racun untuk mengawal serangga sebaliknya membungkus buah jambu pada pokok.Pokok jambu tersebut dikatakan mempunyai jangka hayat sehingga 33 tahun.Katanya, terdapat rakannya yang dikatakan mengeksport buah tersebut ke negara Arab tetapi setakat ini dia hanya menjual untuk pasaran tempatan.Selain itu, agensi Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani iaitu Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) juga membeli hasil tanaman tersebut.

Ketika ini, selain tanaman jambu, ladang mereka juga ditanam dengan ciku, durian dan dokong secara kecil-kecilan.Usaha mereka walaupun bermula dengan kepayahan dan terpaksa melalui proses mencuba tanpa asas pertanian yang kuat, kini sudah mula menampakkan hasil.Jumlah pekerja seramai 10 orang tidak menjadikan mereka malas, sebaliknya selalu 'turun padang' memeriksa tanaman kerana minat yang mendalam tersemat di dalam jiwa.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

0 comments: