Kelmarin saya sembang-sembang dengan sekutu-sekutu perniagaan saya yang berbangsa Cina. Banyak yang kami bualkan termasuklah tentang pengagihan kekayaan ekonomi, DEB, dan suasana bisnes masa kini. Banyak yang kami bualkan dan banyak juga yang ingin saya kongsikan di sini sehingga saya memutuskan untuk menulisnya dalam beberapa siri artikel. Harapan saya mana yang baik kita ambil iktibar manakala yang buruk kita jadikan sempadan.
Soalan cepumas yang saya lemparkan kepada rakan-rakan saya itu ialah, “Mengapa orang Cina pandai berniaga? Apakah yang menjadi faktor pendorong mereka agar berjaya dalam bisnes?”
Jawapan yang saya terima agak mengejutkan. Mereka sepakat mengatakan, “Cheh! Mana ada? Siapa kata? Itu tak betul maaa!”
Dalam penjelasan lanjut, mereka kata memang kebanyakan orang Cina bergiat dalam bisnes kerana lebih suka berdikari dalam mencari rezeki. Namun, tidak semua orang Cina yang bergiat dalam bisnes itu berjaya. Malah sebenarnya lebih ramai yang gagal daripada berjaya. Namun disebabkan majoritinya masyarakat niaga adalah berbangsa Cina, maka kejayaan bangsa Cina ini dalam bisnes adalah lebih terserlah.
Selanjutnya mereka menafikan orang Cina cekap berniaga berbanding bangsa lain. Sebaliknya mereka lebih suka mengaitkan kejayaan kaum mereka dalam bisnes dengan kecekapan dan kemahiran mengenalpasti peluang bisnes yang ada. Jika terjumpa peluang buat duit dan keuntungan, cepat-cepat mereka akan laksanakannya tanpa melengahkan masa. Berjaya atau gagal, itu lain cerita. Yang penting… mesti cuba dulu.
Kesimpulan saya setakat ini ialah memang budaya orang Cina lebih suka berniaga. Malah kedudukan seseorang dalam masyarakat lebih dipandang tinggi sekiranya terlibat dalam bisnes. Berbeza dengan kita, perasaan skeptikal seperti boleh berjayakah atau boleh hidupkah agak tebal lagi. Inilah yang mesti kita ubah jika kita ingin membudayakan bisnes dalam masyarakat kita.
Bagi kaum Cina, mesti ada keberanian. Ianya samada berjaya atau gagal. Kalau berjaya baguslah. Kalau gagal, cuba lagi… tiada istilah putus-asa. Maknanya, kegagalan adalah sebahagian asam-garam yang mesti hadapi dalam bisnes. Jadi, jangan takut gagal!
Hmm… pada pemerhatian saya, kebanyakan orang kita amat fobia jika gagal dalam bisnes. Belum mula bisnes dah terfikir tentang kegagalan. Kita kena berubah!
Kita sambung maklumat hasil sembang-sembang dengan rakan niaga Cina saya tempohari…
Saya tanya lagi kepada mereka… “Baguslah bisnesman Cina, selalu kerjasama dan tolong-menolong sesama sendiri. Ada persatuan, ada ‘Bamboo Network’, mudah buat pinjaman mulakan bisnes dan dapatkan supply pada harga yang amat kompetitif…”.
Betullah tu… kata mereka. Ini satu kekuatan yang ada pada peniaga bangsa Cina. Konsep Bamboo Network atau rangkaian buluh cukup jelas menggambarkan kekuatan ini. Tetapi menurut kawan saya ini, konsep rangkaian ini dilihat telah mula diamalkan oleh peniaga India terutamanya melibatkan bisnes restoran, kedai buku, kedai gunting dan tekstil. Orang Melayu? Takde lagi…
Namun salah seorang rakan mencelah mengatakan lebih tepat menyebut tentang konsep ‘kongsi’. Kongsi boleh dilihat sebagai satu organisasi yang besar yang saling berkongsi atau saling melindungi. Kita selalu dengar tentang kongsi gelap (samseng) tetapi ini tentang kongsi jaringan perniagaan, namun konsepnya sama. Ada presiden, lembaga pengarah, otai dan AJKnya. Semuanya terdiri daripada jutawan dan peniaga berjaya.
Kalau tiada modal, boleh mohon dapatkan modal. Kalau tiada pelanggan, akan direkomen beberapa pelanggan. Jika tiada pembekal, akan diberi senarai pembekal. tapi ada syarat-syaratnya.
Syarat utama ialah mesti berjanji sanggup bayar balik pinjaman. Bukan setakat pinjaman sahaja, tetapi mesti beri sumbangan kepada tabung kongsi tadi agar bantuan kewangan dapat diberi kepada peniaga lain pula. Selain itu, diwajibkan juga bantu peniaga baru dan beri sokongan yang sewajarnya sehingga mereka boleh berdikari.
Jika ada pertelingkahan atau penipuan, kes akan dibawa ke hadapan jawatankuasa tadi. Sebarang keputusan mesti dipatuhi. Fuh!…
Kesimpulannya, sebagai ahli kenalah berkhidmat, beri sumbangan dan bantuan kepada ahli yang lain. Mereka yang pernah dapat bantuan mesti tahu balas jasa persatuan!
Tetapi tidaklah semua peniaga Cina menyertai kongsi besar ini. Ramai juga yang sekadar bergantung kepada kongsi keluarga. Maknanya, memadai dapatkan bantuan daripada ahli keluarga untuk mulakan bisnes. Konsepnya tetap sama.
Bila difikirkan semula, sememangnya orang Cina mengamalkan budaya kongsi dalam kehidupan mereka seharian. Bukanlah suatu yang pelik jika kita lihat sebuah rumah didiami beberapa keluarga. Mereka berkongsi segalanya… ansuran rumah, beli perabot, wang belanja dapur dan sebagainya.
Seorang rakan Cina yang berasal dari Muar pernah ceritakan kepada saya yang anak saudaranya nak sambung belajar ke Australia dan dia kena sumbangkan RM10000 buat menampung sebahagian perbelanjaan anak saudaranya tadi.
Saya yang kehairanan mengapa pula dia yang terpaksa bersusah-payah terdiam apabila diterangkan bahawa ketika beliau (rakan saya itu) nak berangkat belajar di US dulu, pakcik, makcik dan adik-beradiknyalah yang berkongsi mengumpul duit bagi membiayai pelajarannya. Kini tibalah gilirannya menyumbang bagi membalas jasa keluarga mereka.
Itulah semangat kongsi!
Hmmm… bolehkah atau sanggupkah kita bertindak sama seperti itu, baik untuk bisnes ataupun keluarga kita?
Kita tengok orang Cina nak buat bisnes macam petik jari aje kan? Agak-agak berpuashati dengan perancangan, kajian, risiko dan hitung jangkaan untungrugi; maka bisnes tersebut dilancarkan.
Sering juga kita lihat anak-anak muda dan remaja Cina yang dah tak minat belajar memulakan bisnes mereka secara kecil-kecilan. Tak kiralah… jual VCD ke, buka kedai handphone ke, buka kedai videogame ke… pokoknya mereka ada duit nak mulakan bisnes mereka sendiri!
Saya tahu rahsia mereka… dari mana mereka dapat duit untuk dijadikan modal bisnes. Suntikan modal dari keluarga anda dah tahu, tapi ada satu lagi sumber. Berminat nak tahu?
Sebenarnya, sudah jadi kebiasaan atau budaya orang Cina… mereka akan buka tabung simpanan untuk setiap anak mereka. Selain tambahan simpanan setiap bulan, dipastikan simpanan ini beranak atau bertambah dengan sendirinya saban tahun. Maknanya dividen dan kadar faedahlah. Selain itu, skim insurans dan unit trust juga satu bentuk pelaburan yang popular di kalangan ibubapa Cina ini untuk anak-anak mereka.
Wang simpanan dan pelaburan ini tidak akan diusik sehinggalah anak mereka mencecah usia 18 atau 21 tahun. Bolehkah anda bayangkan berapa nilai simpanan dan pelaburan serta skim insurans yang telah matang selepas tempoh waktu tersebut?
Seterusnya apabila anak-anak ini mencapai umur berkenaan, mereka diberi kebebasan atau pilihan samada untuk melanjutkan pelajaran, mula mencari pekerjaan ataupun nak bisnes sendiri.
Jika pelajarannya cemerlang dan berminat masuk mana-mana universiti atau kolej, wang yuran dah tak jadi masalah lagi. Itulah gunanya wang simpanan dan pelaburan tersebut. Tak perlupun pada PTPTN.
Jika nak bekerja atau bisnes sendiri, mereka akan diberi kuasa menguruskan wang tersebut sendiri, tentunya dengan pengawasan keluarga. Jadi itulah ceritanya, bagaimana mereka mempunyai modal atau bekalan yang telah sedia ada untuk mereka.
Saya tahu perkara ini dari seorang rakan Cina ketika kerja sebagai salesman pada 1993 dulu. Puncanya saya tanya dia bagaimana dia mampu membeli kereta Wira baru walhal dia baru sahaja masuk kerja (umur dia 18 tahun) sedangkan saya yang dah kerja setahun lebih mampu pakai Saga sahaja.
Rupanya dia bayar pendahuluan kereta dari akaun simpanannya yang berjumlah berpuluh ribu ringgit. Kiranya kereta itu sebagai modal dan bayaran ansuran yang tinggi merupakan cabaran/motivasi agar beliau bekerja keras. Huhu.. jauh betul dengan saya yang terpaksa mulakan segalanya dari kosong!
Bila saya check semula dengan asssociates bisnes saya sekarang ni, confirm. Memang itulah cara mereka sediakan bekalan untuk anak-anak mereka demi masa depan.
p/s: mana yang baik bolehlah kita jadikan ikutan. Alhamdulillah, semua anak-anak saya telah disediakan akaun bekalan mereka masing-masing sejak lahir lagi. Ayuh! Mari kita mula menyimpan!