Transformasi snek tradisional
|
Kini, setiap hari dan masa, juadah ini boleh diperoleh di rak-rak premis membeli-belah atau kios-kios makanan ringan dengan paket yang lebih komersial.
Dengan memperkenalkan pek komersial ini, snek tradisional bakal dikenali bukan sahaja di kalangan rakyat tempatan tetapi ke arena antarabangsa.Usaha bijak ini dilakukan oleh PVI Food Industries Sdn. Bhd. iaitu syarikat milik penuh Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang.
Ketua Pegawai Operasinya, Abdul Rahim Abu berkata, pengenalan snek tradisional Pinang-Penang Oriental Flavour dalam paket komersial bagi menyebarluaskan kewujudannya di kalangan generasi muda yang masih tidak mengenal makanan tradisi ini.''Walaupun diketahui, selalunya snek ini boleh ditemui semasa hari raya sahaja, namun bukan semua rumah orang menjamukannya. Sekarang, orang lebih suka, juadah yang ringkas dan biskut ala Barat. Justeru itu, dibimbangi, snek-snek seperti ini akan dilupai sedikit demi sedikit.''Ditambah pula dengan kegilaan generasi muda dalam menikmati snek ala Barat kerana terpengaruh dengan iklan dan tawaran promosi yang dibuat. Ekoran itu, PVI mengambil inisiatif mengumpulkan produk hiliran penduduk luar bandar yang berkualiti dan meletakkan di dalam program inkubator,'' katanya di Pusat Dagangan Dunia Putra, baru-baru ini.
Menurut Abdul Rahim, reformasi pembungkusan yang menarik, pasti membuat pelanggan teruja untuk memilikinya sementelah setelah merasa juadah di dalamnya, yang dijamin lazat dan menepati cita rasa, sudah tentu tidak cukup satu untuk memilikinya.
''Setakat ini, kami mempunyai 12 produk termasuklah lapan snek tradisi, sambal belimbing buluh dan tiga jenis biskut,'' ujarnya.
Bercerita mengenai produk, katanya, setakat ini semuanya dipaketkan dalam berat 150g iaitu paket keluarga dan bakal diperkenalkan dalam berat 40g. Dengan pengisian nitrogen di dalam pembungkusan, produk ini boleh bertahan selama 18 bulan.
Istimewanya produk snek ini adalah dari segi rasa, kerangupan dan kualitinya. Kebanyakan resipinya telah diolah mengikut cara masakan Pulau Pinang iaitu banyak menggunakan rempah ratus.Sementara itu, Pengurus Pemasaran Emina (M) Sdn. Bhd., Azlihana Abdul Rahim, yang bertindak sebagai pengedar Pinang di kawasan tengah memberitahu, di samping snek tradisional, turut dipasarkan sambal belimbing buluh yang sememangnya terkenal di kalangan masyarakat Pahang.''Sambal yang boleh dimakan bersama dengan nasi, roti dan snek ini boleh bertahan selama sebulan. Khasiatnya memang banyak terutama dalam membantu menurunkan kolestrol dan tekanan darah,'' katanya yang turut berkecimpung dalam bisnes hamper untuk hari perayaan dan majlis.
Bagi yang berminat dengan produk PVI ini, bolehlah hubungi 012-3450256.
0 comments:
Post a Comment