Memperkaya nilai buluh


KEPELBAGAIAN produk daripada buluh yang dipamerkan sempena Minggu Kreativiti dan Inovasi di Pusat Sains Negara, Kuala Lumpur.


MENTALITI masyarakat, sebut sahaja mengenai pokok buluh, kebanyakan mereka tentunya mempunyai persepsi negatif dan menganggap tumbuhan botani dalam kategori rumput itu tidak mempunyai sebarang kegunaan.

Antara yang sering didengar adalah buluh boleh menyebabkan gatal atau miang, mengaitkannya dengan kejadian mistik serta menganggapnya sebagai habitat haiwan berbahaya seperti ular.

Bukan menyalahkan mana-mana pihak, namun tanggapan sebegitu tidak lagi sesuai digunakan dalam kehidupan masyarakat moden seperti sekarang kerana untuk terus maju, kita perlu sentiasa berfikiran positif.

Sebenarnya, setiap sumber yang dicipta di alam ini termasuk tumbuhan-tumbuhan mempunyai kebaikan dan kelebihannya tersendiri untuk dimanfaatkan oleh manusia.

Apa yang paling penting adalah usaha penerokaan dan penyelidikan perlu dilaksanakan dengan gigih bagi memastikan segala pencarian dapat membuahkan hasil.

Sama seperti pokok buluh, kebanyakan kita hanya mengetahui tumbuhan tersebut sering digunakan untuk beberapa tujuan seperti menyediakan makanan tradisional lemang ketika musim perayaan selain membuat rakit serta jambatan merentasi sungai di kawasan-kawasan pedalaman, selain membuat meriam buluh.

Namun, selain kegunaan biasa seperti itu, buluh sebenarnya mempunyai seribu satu kegunaan lain yang mungkin kita tidak pernah terfikir dan juga mempunyai potensi besar digunakan dalam pembangunan pelbagai rangkaian produk.

Menurut Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Datuk Dr. Abdul Latif Mohmud, buluh merupakan tumbuhan yang dekat dengan masyarakat terutama di peringkat akar umbi.

"Buluh merupakan sumber alam yang patut diteroka dan diperbaharui setiap masa menerusi pelaksanaan pelbagai program pemfokusan secara berterusan agar tumbuhan ini kekal sebagai sumber yang berharga.

"Selain melibatkan masa pertumbuhan yang singkat iaitu hanya enam bulan, semua bahagian pada pokok buluh juga boleh digunakan untuk pelbagai manfaat iaitu batangnya yang kuat dan kukuh boleh dibuat pelbagai produk sementara rebungnya pula boleh dimakan," katanya selepas merasmikan Forum Buluh - Material Untuk Milenium Baru di Kepong, Selangor, baru-baru ini.

Forum yang diadakan sempena Minggu Kreativiti dan Inovasi itu turut mendapat kerjasama dan sokongan daripada Persatuan Kreativiti dan Inovasi Malaysia (MACRI) menerusi penglibatan secara langsung dalam projek pembangunan dan penyelidikan industri berasaskan buluh.

Presiden MACRI, Datuk Ghazi Sheikh Ramli berkata, melalui gabungan berkenaan, sebanyak lima langkah dan matlamat korporat telah digariskan sebagai panduan merealisasikan pengkomersialan produk berasaskan buluh.

"Antara yang dicadangkan adalah seperti mewujudkan projek penanaman mini di kawasan tertentu, meningkatkan pengeluaran buluh menerusi teknik penjagaan dan rawatan yang betul dan mewujudkan perkampungan buluh untuk menarik perhatian masyarakat.

"Selain itu, kita juga bercadang untuk membina restoran, kafe atau pusat spa daripada buluh bagi memberi peluang kepada orang ramai merasai gaya hidup berkonsepkan buluh serta membuka pusat kraf yang dikenali sebagai 'Bamboo Memories' supaya orang kampung yang menghasilkan barangan kraftangan daripada buluh dapat memasarkan produk mereka," jelasnya.

Di Malaysia, penanaman buluh telah dijalankan sejak tahun 1923. Namun disebabkan projek penanaman yang tidak terancang dan bertaburan di banyak kawasan, pemantauan sepenuhnya sukar untuk dilaksanakan.

Menyedari hakikat itu, FRIM bersama pihak kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) telah menjalankan pelbagai usaha penanaman secara ladang di kawasan yang berpotensi agar ia dapat melibatkan kuantiti pokok yang banyak dan kualitinya boleh dijaga mengikut keperluan.

Antara kawasan tersebut adalah seperti di Nami, Kedah dan juga di Rantau, Negeri Sembilan yang melibatkan kawasan tanaman seluas lebih kurang 100 ekar di samping projek yang bakal dilaksanakan di Rompin, Pahang pada masa akan datang.

Selain itu, FRIM turut menjalankan projek pembangunan sosio ekonomi bagi pembuatan produk buluh di beberapa daerah di Pahang menerusi Projek Industri Buluh Orang Asli dan juga Projek Perintis Buluh Negara.

Dalam usaha memperkembangkan pembangunan industri buluh ini, pengetahuan mengenai kelebihan dan nilai komersial produk buluh seharusnya diperluaskan kepada semua peringkat masyarakat.

Mengambil contoh negara luar seperti India, Thailand, Jepun, Eropah dan Amerika Utara, mereka mempunyai projek penanaman serta pembangunan produk berasaskan buluh yang stabil dan kukuh sehingga boleh dieksport untuk menambahkan pendapatan negara.

Terdapat dua teknik penanaman buluh iaitu menggunakan biji benih dan juga pembiakan vegetatif (tampang) iaitu melibatkan cara seperti percambahan rizom, pemotongan kulum, pemotongan dahan serta tisu kultur.Kebiasaannya, penanaman jenis pemotongan dahan dan tisu kultur lebih mendapat sambutan kerana ia mempunyai kadar pertumbuhan yang tinggi sehingga melebihi 90 peratus.Namun, pemilihan teknik-teknik tersebut juga bergantung kepada jenis spesies yang ditanam dan juga capaian saiz yang diinginkan untuk tujuan penggunaan tertentu.Menarik mengenai buluh, berdasarkan ujian kejuruteraan struktur yang dijalankan, didapati bahawa tumbuhan tersebut mempunyai kekuatan tegangan lebih kukuh berbanding kebanyakan aloi atau besi selain kekuatan komprehensifnya lebih baik daripada campuran konkrit.

Oleh kerana itu, buluh kini banyak digunakan sebagai material asas dalam pembinaan struktur bangunan seperti tiang sokongan, lantai, dan juga pada bahagian bumbung.

Mungkin sesuatu yang pelik, namun itulah realitinya apabila buluh juga sebenarnya boleh dibangunkan sebagai produk tekstil yang lembut, mempunyai sifat anti bakteria, kelebihan menyerap air yang lebih tinggi daripada kain kapa, serta sesuai digunakan ketika cuaca panas.

Apa yang menarik lagi, buluh turut dikatakan mampu mengurangkan kandungan karbon dioksida dalam atmosfera sebanyak 12 tan untuk satu hektar tanamannya serta menghasilkan sebanyak 35 peratus oksigen.Kegunaan lain buluh adalah ia boleh digunakan dalam pembuatan perabot, kasut, lantai rumah, rangka basikal, papan luncur, penyapu dan tidak kurang juga sebagai tumbuhan hiasan lanskap.Melihat kepada kepelbagaian kegunaan buluh, masyarakat di negara ini perlu membuka mata meneroka dan menggunakan sepenuhnya sumber tersebut dalam usaha mengurangkan kebergantungan kepada tanaman kayu untuk menyelamatkan hutan.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

0 comments: