Dua restoran pelbagai konsep setempat


MOHD. Basri Abdul Aziz (kanan) dan Normazilla Chik Omar bersama sajian istimewa di Restoran Chipz.

PEMILIHAN nama Citra Aroma oleh pemilik restoran ini memang mampu menarik perhatian pelanggan. Mahu membuktikan kepelbagaian aroma yang menyelerakan di restorannya membuatkan Nur Azrin Mohd. Rashid berusaha menghidangkan pelbagai jenis juadah masakan untuk pelanggannya.

Bagaimanapun, restoran yang mengambil tempat di Seksyen 6, Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor, ini lebih mengkhusus kepada masakan dari Negeri Sembilan dan Melaka.

Ini kerana, menurut Nur Azrin masakan dari dua negeri ini mudah diterima dan mendapat sambutan masyarakat Malaysia tidak mengira bangsa.

"Menu istimewa kami ialah asam pedas yang kami sediakan mengikut resipi asli Melaka. Sejak restoran ini dibuka tujuh bulan lalu, saya dapati pelanggan amat meminati hidangan ini terutama untuk makan tengahari," jelasnya ketika ditemui di premisnya.Nur Azrin yang bekerjasama dengan kakaknya, Norazwa menitikberatkan kepuasan pelanggan.Justeru, setiap pelanggan yang datang dialu-alukan untuk memberi komen tentang mutu dan kesedapan hidangan yang mereka nikmati.

"Konsep ini secara tidak langsung memberitahu kami apa yang kebanyakan pelanggan gemari. Dari situ para chef akan dapat menyesuaikan resipi dengan cita rasa pelanggan," katanya yang mempunyai tukang masak berpengalaman lebih 20 tahun dalam penyediaan makanan.Demi meluaskan lagi pasaran perkhidmatan penyediaan makanan, Nur Azrin telah merancang untuk menyediakan perkhidmatan penghantaran makanan ke rumah."Saya lihat kebanyakan ibu bapa kini bekerja, jadi saya bercadang menyediakan perkhidmatan menghantar makanan ke rumah dan mereka tidak perlu ke kedai untuk membeli makanan," jelas Nur Azrin lagi.

Gerai di Citra Aroma

Kesibukan dan gaya hidup yang mengejar masa juga menyebabkan kebanyakan pasangan berkeluarga selesa membungkus makanan untuk dibawa pulang selepas waktu kerja.Menyedari hakikat itu maka, Nur Azrin telah bekerjasama dengan bekas chef di sebuah hotel terkemuka untuk memenuhi ruang hadapan di restorannya dengan konsep gerai.

Pemilihan Noormah Sirone, 51, yang mempunyai pengalaman lebih 12 tahun sebagai chef untuk membuka gerai khas di bahagian hadapan restoran Citra Aroma telah membeli lebih banyak pilihan kepada pelanggan."Saya hanya menyediakan empat menu sahaja, iaitu nasi ayam, bihun sup utara, mi rebus dan laksa utara," ujar wanita kelahiran Bagan Serai, Perak ini.Menurut Noormah, gerainya mendapat sambutan terutama daripada pasangan yang ingin membungkus makanan selepas waktu kerja. Selain keenakannya, ia juga mudah dan cepat disediakan.

Restoran berjiran

Sementara itu di Restoran Chipz, namanya sahaja sudah cukup untuk menjelaskan jenis masakan yang disajikan.Terletak bersebelahan dengan Citra Aroma, ia umpama pelengkap dengan sajian masakan-masakan Barat dikendali oleh Chef Mohd. Basri Abdul Aziz, 26.

Jejaka kelahiran Kelantan ini memiliki diploma penyediaan makanan dari Institut Kemajuan Ikhtisas Pahang (IKIP).Dengan persekitaran selesa dan dekorasi indah ala Barat yang diilhamkan oleh pereka hiasan dalaman, Noraini Alias, membangkitkan suasana eksklusif lagi mendamaikan.Mohd. Basri yang ditemui dalam sesi mencuba makanan berkata, restoran ini mempunyai dua suasana."Pelanggan boleh memilih untuk menikmati makanan dalam hawa dingin atau di luar," jelasnya.Menurut Mohd. Basri, antara menu yang mendapat perhatian pelanggan ialah sup cendawan, sirloin steak, spaghetti bolognaise, fish and chip dan sebagainya."Kami juga menyediakan minuman istimewa iaitu jus buah naga Bagi pelanggan yang ingin mencuba silalah berkunjung ke Restoran Chipz," ujarnya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

0 comments: