Ingat kerjaya, keluarga dan kesihatan
RAMAI di kalangan kita yang bertugas lupakan dua perkara penting dalam kehidupan. Pertama kepentingan keluarga kita dan kedua kesihatan kita.Kita melihat semasa muda, ramai yang tidak mengambil kira tentang masa yang perlu dilapangkan kepada keluarga terutama sekali anak-anak.Bekerja sepanjang hari sehingga larut malam kadang-kadang termasuk hujung minggu sehinggakan tiada masa untuk keluarga.Anak-anak yang baru membesar perlukan kasih sayang ibu bapa. Malangnya kalau bapa sibuk mengejar kerjaya dan lebih buruk lagi ibu pun bekerja, maka tinggallah anak-anak di tangan pengasuh rumah atau rumah pengasuh.
Kerap kali yang membuka perniagaan menjaga anak orang terdiri daripada kakitangan yang belum berumah tangga dan tidak hairanlah kalau pembangunan anak dilentur oleh persekitaran rumah pengasuh.Apa yang bakal dihadapi apabila anak sudah membesar ialah mereka tidak akan berasa kasih dan sayang kepada ibu bapa. Akan wujud jurang komunikasi antara ibu bapa dengan anak-anak apabila anak-anak sudah membesar dan inilah yang dapat kita lihat sebagai salah satu masalah sosial hari ini.Anak-anak tidak mendapat kasih sayang mencari kasih sayang di tempat lain. Mereka yang sanggup mengorbankan kerjaya mereka demi menjaga pembangunan minda anak- anak adalah mereka yang patut dicontohi. Bagaimana pun kadang kala tekanan hidup memerlukan kedua-dua ibu bapa mencari rezeki.
Sebenarnya jarang sekali pasangan yang ingin berkahwin berpengetahuan tentang ilmu keibubapaan. Selain daripada kursus sebelum berkahwin yang hanya dua tiga hari, ibu bapa jarang sekali mendidik anak-anak dengan tanggungjawab sebagai ibu bapa.
Kita lihat ibu-ibu yang mendidik anak-anak mereka sendiri seperti ibu kepada Tan Sri Azman Hashim, kesemua anaknya menjadi 'orang'. Ibu itulah dikenali sebagai ibu mithali.
Memang mudah bagi seseorang eksekutif melupakan tentang perlunya meluangkan sedikit masa untuk keluarga. Tambahan pula kadang kala kini ramai yang meluangkan masa di kelab atau bermain golf yang lazimnya mengambil masa sepanjang hari.Bapa yang agak baik sedikit membawa anak dan isteri ke kelab golf. Tetapi mereka kenalah melayan diri sendiri semasa si bapa bermain golf.Suatu perkara yang lazim berlaku juga ialah apabila permainan golf ini di tempat lain atau kadang kala di negara lain.Tidak kurang juga mereka yang terpaksa berjumpa pelanggan atau rakan perniagaan di malam hari atau terpaksa melayan untuk makan malam dan hiburan.
Ini membawa kepada perkara kedua yang penting iaitu kesihatan. Jarang sekali kita mendengar seseorang taat mengikuti jadual pemeriksaan doktor katakan setiap enam bulan.
Banyak penyakit yang boleh diperolehi di masa umur tua yang mungkin tidak diketahui semasa umur muda kerana masih bertenaga.Semasa mengejar kerjaya ini dengan keraian yang perlu diberi dan dihadiri serta mesyuarat yang tidak putus-putus, kerap kali makanan tidak terkawal dari segi akibat yang mungkin diterima.
Misalnya penyakit jantung boleh dihidapi melalui tekanan kerja, melalui makanan yang tidak mengira buruk baik kesannya.Seseorang yang gemar misalnya meminum air bergas berkemungkinan mendapat kencing manis di hari tua. Begitu juga penyakit darah tinggi yang boleh membawa strok atau angin ahmar.Dunia masa kini dipenuhi dengan pelbagai jenis vitamin dan penambaikkan makanan terutama sekali dengan pelbagai tuntutan seperti mengandungi herba tertentu. Mengambil ubat-ubat yang disangka akan mendatangkan kebaikan kepada badan yang sudah sihat akan membawa mudarat.Mungkin ini salah satu sebab kenapa ramai orang terkena pelbagai jenis barah selain yang jelas seperti barah paru-paru akibat menghisap rokok.
Antara penyakit-penyakit yang lazim dihadapi oleh warga tua atau selepas bersara ialah sakit jantung, kencing manis, darah tinggi, buah pinggang. Malahan ada kajian yang menyatakan walaupun umur purata untuk lelaki di Malaysia ialah 74 tahun tetapi 14 tahun terakhir dipenuhi dengan pelbagai penyakit.Ini melibatkan banyak wang perubatan dan rawatan. Tidak termasuk seseorang yang perlu menjaga sama ada isteri atau anak-anak.Walau apa sekali matlamat kehidupan kita, kita wajar ingat akan perlunya mencurahkan kasih sayang kepada keluarga dan badan kita sendiri. Minda yang sihat datangnya dari badan yang sihat.Bersara tidak bererti tidak melakukan apa-apa. Mereka yang duduk saja tidak melakukan apa-apa selepas bersara akan cepat menemui ajal.
DATO' SALLEH MAJID ialah Felo Utama
0 comments:
Post a Comment