Keropok lekor Kg. Losong


NORLIZA Razali membungkus keropok lekor yang menjadi nadi utama dalam industri pelancongan di Kampung Losong, Kuala Terengganu.

KUALA TERENGGANU 22 April - Selama lebih 30 tahun, Kampung Losong di sini terkenal di seluruh negara kerana penghasilan keropok lekor yang merupakan antara makanan tradisional paling popular di Terengganu.Malah kerana popularitinya, Kampung Losong diiktiraf sebagai pusat perniagaan keropok lekor di Terengganu oleh kerajaan negeri.

Bagaimanapun, kewujudan semakin banyak kedai dan gerai baru menjual keropok lekor di sekitar daerah ini sekarang memberi saingan hebat kepada peniaga di Kampung Losong.

Ini membuatkan kira-kira 20 peniaga di Kampung Losong mencari jalan untuk meningkatkan usaha bagi memastikan para pelanggan terus menjadikan keropok lekor Losong sebagai pilihan utama.Ini termasuk usaha menubuhkan Persatuan Pengusaha Keropok Lekor Losong (PKLL) selepas 30 tahun kawasan perniagaan itu diwujudkan dalam usaha mencari kesepakatan untuk meningkatkan perniagaan.

Pengerusi Persatuan Pengusaha Keropok Lekor Losong (PKLL), Suhaimi Ali berkata, selama ini peniaga lebih bersikap mementingkan perniagaan masing-masing dan tiada kerjasama dalam memastikan Kampung Losong terus dikenali ramai.Menurutnya, mesyuarat pertama persatuan itu diadakan pada 24 April ini untuk membincangkan hala tuju serta pelan perniagaan masa hadapan.''Saya berharap penubuhan persatuan ini bukan sahaja membolehkan kami bersama meningkatkan perniagaan masing-masing malah mempromosikan Kampung Losong sebagai pusat perniagaan keropok lekor,'' katanya.Menurut beliau, pelbagai pendekatan perlu dicari bagi memastikan para pelanggan terus datang membeli di Kampung Losong.

''Usaha perlu dilakukan bagi mengelak keropok lekor Kampung Losong 'tenggelam' dengan kewujudan semakin banyak pengusaha di sekitar kawasan ini,'' ujarnya.Beliau memberitahu, pada masa kini kebanyakan pelanggan yang membeli keropok lekor di Kampung Losong merupakan pelancong dari luar Terengganu.''Orang tempatan jarang membeli keropok lekor dan jika ada pun, mereka membeli dalam kuantiti yang sedikit dan perniagaan hanya rancak pada hujung minggu dan musim cuti,'' jelasnya.

Katanya, setiap kedai menjual sehingga 500 kilogram keropok lekor sehari apabila tiba musim cuti.Beliau memberitahu, mereka yang mengunjungi Taman Tamadun Islam (TTI) di Pulau Wan Man di sini turut singgah di Kampung Losong untuk membeli keropok lekor.

Beliau berkata, keropok lekor Kampung Losong dikenali ramai dengan bentuknya yang kecil iaitu sepanjang 12.7 sentimeter.''Bentuknya ini membezakan ia dari keropok lekor yang dihasilkan di kampung lain," ujarnya.Beliau memberitahu, persatuan akan bekerjasama dengan para peniaga di Kampung Losong untuk memikirkan cara meningkatkan promosi keropok lekor mereka.''Promosi dilihat amat penting untuk memastikan lebih ramai pelanggan mengenali keropok lekor dari Kampung Losong.''Selain itu, kami juga akan cuba mencari kesepakatan untuk menyelaraskan harga jualan untuk faedah bersama," ujarnya.Beliau menjelaskan, persatuan itu juga akan memastikan mutu keropok lekor Kampung Losong sentiasa terjaga bagi mengelak imej makanan itu tercalar.''Bagaimanapun, setakat ini, kami tidak pernah menerima sebarang aduan berhubung kualiti dan mutu keluaran produk di sini," katanya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

1 comments:

kampung_gurl said...

As salam. Saya dari UMP. Boleh saya dapatkan contact no untuk keropok lekor kg. Losong?