Memberi makna kepada buku
|
Begitulah hebatnya peranan sebuah buku yang diberikan sambutan khusus hari ini sebagai Hari Buku Sedunia. Sedikit mengenai latar belakang Hari Buku Sedunia, sambutannya setiap 23 April adalah bersempena mengingati penulis tersohor dunia iaitu William Shakespeare dan Miguel deCervantes. Kedua-dua mereka meninggal pada 23 April 1616. Shakespare juga dilahirkan pada 23 April 1564.
Bagaimanapun, sambutan hari buku dikatakan bermula lebih awal iaitu daripada tradisi masyarakat Catalan di Barcelona, Sepanyol yang meraikan Festival of the Rose. Pesta yang dikaitkan dengan pengorbanan kasih sayang itu menyaksikan pasangan kekasih bertukar sekuntum bunga mawar dengan sebuah buku.Turut disambut pada tanggal yang sama seperti yang diisytiharkan oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) ialah Hari Hak Cipta. Di kebanyakan negara seperti Jepun, India, China dan United Kingdom, Hari Buku Sedunia adalah sambutan yang dinanti-nantikan oleh masyarakatnya. Ia merupakan hari untuk khalayak pembaca memberi penghormatan tertinggi kepada pemikiran yang diterjemahkan menerusi penulisan buku.
Mengambil contoh negara jiran Indonesia, Hari Buku Sedunia tidak pernah dibiarkan berlalu dengan pengisian yang kosong. Perkara itu bukanlah sesuatu yang menghairankan kerana masyarakat Indonesia sememangnya terkenal sebagai sebuah komuniti dunia yang sangat mengagungkan buku. Kerana itu juga Indonesia tidak pernah sunyi daripada melahirkan buku-buku yang dianggap sebagai karya agung dan diperdebatkan dengan meluas oleh masyarakatnya.Budaya mengagungkan buku di kalangan penduduk Indonesia juga menjadikan negara itu sebagai salah sebuah pusat penterjemahan buku terbesar selain India. Kebanyakan buku antarabangsa yang diiktiraf terbaik boleh didapati dengan mudah di negara berkenaan. Usaha penterjemahan yang sangat aktif itu membolehkan cabang ilmu dari seluruh dunia berkembang dengan pantas di Indonesia.Keadaan agak berbeza di negara kita apabila amalan membaca dan membudayakan buku tidak begitu mendapat perhatian. Ia terbukti apabila tidak ramai di kalangan kita yang menyedari adanya sambutan Hari Buku Sedunia. Waima di kalangan mereka yang mengaku sebagai pencinta buku sekali pun. Bukan tiada usaha dilakukan untuk meraikannya, namun sokongan dan penglibatan daripada masyarakat agak hambar.
Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) misalnya, tidak pernah terkecuali menganjurkan pelbagai aktiviti dalam menyemarakkan sambutan tersebut. Seperti yang berlangsung di PNM hari ini, Hari Buku Sedunia dipenuhi dengan pelbagai aktiviti menarik seperti kempen galakan membaca dan sebagainya.
Negara juga tidak pernah ketandusan penggiat yang boleh merancakkan industri penulisan dan penerbitan buku. Di kalangan penerbit misalnya, terdapat tidak kurang daripada 150 buah syarikat yang mengeluarkan buku secara aktif setiap tahun. Begitu juga dengan penulis berbakat yang saban tahun melahirkan buku-buku yang mencerminkan ketinggian pemikiran dan penguasaan kesusasteraan yang membanggakan.Namun, disebabkan masyarakat kita agak asing dengan dunia buku, penulis berbakat besar itu hanya bersinar di dalam kelompok yang kecil sahaja. Tanpa perhatian dan penglibatan daripada orang ramai, keinginan penulis serta penerbit untuk menghasilkan buku turut terbantut. Ia secara tidak langsung memberi kesan kepada usaha membudayakan masyarakat berilmu menerusi medium pembacaan.
Dalam masa yang sama, negara juga berdepan dengan cabaran untuk mencapai hasrat menerbitkan sekurang-kurangnya satu judul buku bagi setiap 1,000 penduduk.Bagi mencapai hasrat itu, negara perlu menerbitkan kira-kira 26,000 judul buku. Ia merupakan pertambahan lebih tiga kali ganda daripada jumlah penerbitan buku yang berjumlah kira-kira 6,000 hingga 7,000 ketika ini.Bagaimanapun kita perlu positif bahawa sasaran itu bukanlah sesuatu yang mustahil untuk dicapai. Di peringkat kerajaan dan swasta misalnya, usaha membudayakan masyarakat yang cintakan buku itu didokong oleh pelbagai agensi. Antaranya Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM), Majlis Industri Buku Malaysia (MBIC) dan Persatuan Penerbit Buku Malaysia (PPBM).
Turut terbabit secara langsung dalam usaha memperkayakan penerbitan buku ialah Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) yang sehingga kini sudah menterjemahkan kira-kira 900 judul buku.Sementelah aliran pembacaan di kalangan masyarakat juga menunjukkan peningkatan minat yang menggalakkan. Daripada pengamatan sewaktu mengunjungi Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) yang sedang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) ketika ini, dapat disimpulkan bahawa kita sebenarnya tidak ketandusan masyarakat yang cintakan buku. Kerana itu juga PBAKL masih mampu bertahan sehingga ke hari ini, iaitu pada tahun ke-28 usia penganjurannya.Namun, dalam memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan penerbitan buku, ia juga perlu seiring dengan usaha memberi makna kepada buku tersebut. Ilmu yang terkandung di dalam sebuah buku tidak membawa erti jika ia gagal menarik pembaca untuk menghargainya. Kerana itu juga, penggiat industri buku perlu seiring dengan perubahan minat dan selera pembaca hari ini.Antaranya ialah usaha mengkomersialkan sesebuah buku. Pengkomersialan di sini bukanlah bermaksud kecenderungan untuk menerbitkan novel-novel remaja atau buku berunsur politik yang popular.
Tetapi bagaimana untuk memberikan nafas yang lebih segar kepada sebuah buku yang diterbitkan. Apa yang diperhatikan, kebanyakan buku yang diterbitkan seolah-olah bukan bertujuan untuk dipasarkan.Tiada nilai-nilai popular dan komersial yang boleh menarik pembaca menjadikan buku tersebut sebagai koleksi peribadi. Keadaan itu lebih ketara di kalangan penerbit institusi pengajian tinggi (IPT) yang seperti mendokumenkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang dijalankan oleh saintis.Lalu terhasillah buku dengan tajuk serta kupasan yang sangat berakademik dan terlalu berat untuk dibaca. Tidak dinafikan buku sebegini ditujukan kepada khalayak pembaca yang tertentu.Namun itu tidak bermakna penerbitan buku akademik perlu bersifat akademik sepenuhnya. Barangkali penerbit di IPT boleh berkolaborasi dengan penulis kreatif dalam menjadikan buku akademik lebih komersial dengan sasaran pembaca yang lebih meluas.
0 comments:
Post a Comment