Memacu kedinamikan ekonomi Malaysia

BARU-BARU ini, ekonomi kapitalis anjuran Amerika-Yahudi musnah setelah beberapa institusi kewangan gergasi dunia jatuh lumpuh. Antara punca kejatuhan ekonomi Amerika-Yahudi adalah disebabkan industri institusi kewangan terlalu mudah meluluskan kemudahan kredit individu; kos kehidupan seharian yang tinggi kerana kenaikan harga minyak dunia; rakyat gagal memenuhi komitmen kredit; syarikat-syarikat pelaburan membeli terlalu banyak opsyen kadar bon-bon terbitan institusi kewangan sehingga menjejaskan pembayaran balik apabila panggilan terhadap komitmen bon-bon tersebut dibuat; dan banyak lagi.

Kita akui bahawa struktur sub-ekonomi kapitalis bukan sahaja disokong dengan rapi dari segi pelaksanaannya malahan diiktiraf dan diguna pakai oleh seluruh dunia. Ini terbukti melalui kewujudan Pertubuhan Perdagangan Bebas (FTO); pusat bebas cukai dunia seperti di Cayman Islands dan Bermuda; lambakan pelbagai mekanisme pelaburan dan tukaran mata wang seperti derivatif, jualan pendek dan panjang, opsyen, urus niaga kadar tukaran dan banyak lagi.

Memang jelas bahawa teori kapitalis anjuran Amerika-Yahudi ini menghalalkan cara agar 'wang terus membuat wang' tanpa sandaran nilai sebenar yang kukuh.

Bagi saya, kesan ekonomi kapitalis ini adalah sama seperti buih kecil yang terus membesar tanpa dapat dikawal lagi sehinggalah ia meletup baru-baru ini. Menurut laporan, kos untuk menangani krisis ekonomi Amerika sahaja tidak termasuk Eropah dan negara-negara sedunia, sudah menjangkau AS$3 trilion.

Dari perspektif positif, Malaysia selaku salah satu unit ekonomi gergasi Asia perlu merebut peluang untuk membentuk semula dan menentukan hala tuju struktur ekonomi baru bagi menggantikan ekonomi kapitalis anjuran Amerika-Yahudi yang sekian lama menguasai dunia.

MENGUKUHKAN KEMBALI KEDUDUKAN

Malaysia yang ekonominya peringkat awal berasaskan pertanian, kemudiannya perladangan dan seterusnya perindustrian, agak 'terkebelakang' apabila hala tuju ekonomi diasaskan kepada industri asas tani.

Hari ini, alasan bahawa ekonomi tersebut adalah kebal dari mana-mana krisis ekonomi juga tidak tepat kerana rata-rata harga barangan makanan masih tinggi.

Sejarah membuktikan bahawa Semenanjung Malaysia dengan kedudukan lokasinya yang strategik sejak awal lagi merupakan sebuah laluan pusat perdagangan antara tersibuk di dunia yang menghubungkan India, China, Jepun dan Australasia.

Kepentingan laluan dagangan ini juga diguna untuk membentuk empayar kerajaan seperti Kerajaan Funan (Segenting Kra), Kerajaan Kedah Tua, Kerajaan Gangga Negara di Beruas, Empayar Srivijaya yang pernah berpusat di Kota Gelanggi Johor, Kerajaan Kesultanan Melayu Melaka pada kurun 15, Kerajaan Johor-Riau pada kurun 17 dan disusuli dengan Portugis, Belanda dan Inggeris sehingga tahun 1957.

Menyedari hakikat ini, seiring dengan pertumbuhan ekonomi China sebagai pusat tenaga buruh termurah dunia yang kini diiktiraf sebagai 'negara pengilang antarabangsa' dan Jepun terus gagah dengan kuasa ekonomi dunia, Malaysia perlu mengukuhkan kembali kedudukannya sebagai laluan dagangan utama timur-barat.

Usaha ini ternyata penting kerana ia dipandang serius oleh Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial bagi Asia dan Pasifik PBB (UNESCAP) dalam memajukan Projek Keretapi Rentas Asia (Trans-Asian Railway), sebuah projek yang menghubungkan Singapura dan Guongzhou, China.

Negara kita, yang dilengkapi dengan pelbagai kekuatan infrastruktur; ditampung pula oleh firma gergasi dunia seperti Petronas dan Sime Darby Plantations; disokong oleh puluh ribuan modal insan yang dihasilkan oleh lebih 100 institut pengajian tinggi setahun; dikukuhkan pula dengan kedudukan pusat kewangan Islam dunia, sebenarnya sudah lama bersedia untuk melaksanakan ekonomi berasaskan perkhidmatan perdagangan antarabangsa melalui perkhidmatan logistik, pergudangan, 'entrepot' dan sebagainya.

Malaysia sudah pun bersedia memposisikan kedudukannya sebagai pusat perdagangan dunia setaraf dengan Rotterdam atau setidak-tidaknya, mengambil alih kedudukan Pelabuhan Keppel, Singapura.

Kita perlu menggemblengkan kekuatan infrastruktur sedia ada seperti Pelabuhan Tanjung Pelepas Johor yang sebahagiannya dimiliki oleh Maersk-Sealand International (syarikat kontainer perkapalan terbesar dunia), Lapangan Terbang Senai sebagai Pusat Kargo Udara Serantau, Projek 968 km Electrified Double Track (EDT) dari Johor Bahru-Padang Besar dengan kelajuan keretapi penumpang-kargo selaju 160 km/jam dan MISC Berhad, syarikat perkapalan terbesar negara dengan 190 buah kapal kesemuanya.

Pada masa yang sama, kita juga perlu mencari jalan untuk tumpukan usaha ke arah merealisasikan 'Jambatan Indah Johor Bahru-Singapura' yang lama tertangguh.

Dengan terbinanya jambatan tersebut maka lengkaplah jaringan infrastruktur yang akan memacu Malaysia ke arah pertumbuhan ekonomi pesat mendahului negara-negara jiran serantau dalam menyediakan pelbagai peluang pekerjaan, perniagaan, perkilangan, pembangunan yang melimpah-ruah sekali gus memberi anjakan kepada nilai hartanah dan modal insan negara.Saya yakin pertumbuhan ekonomi berasaskan perkhidmatan perdagangan antarabangsa ini akan bertindak sebagai 'pemangkin' kepada pelaburan asing langsung (FDI) yang Malaysia dambakan sekian lama.

FERIZ OMAR adalah Presiden Pertubuhan Profesional Melayu dan Pewaris Bangsa (ProWaris)

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

0 comments: