Hayati semangat, keberanian Ahmadinejad
KITA perlu tabik pada ketegasan Mahmoud Ahmadinejad. Kritikan pedas Presiden Iran itu terhadap sikap double standard Barat di Geneva kelmarin mencerminkan pendirian beliau yang tidak pernah berubah.Ahmadinejad sentiasa skeptikal terhadap Barat. Uniknya telahan negatif terhadap Barat itu tidak pernah tersasar.Pada persidangan antiperkauman anjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kelmarin, beliau menuduh Barat menggunakan Holocaust sebagai alasan untuk menghalalkan tindakan rejim Zionis ke atas rakyat Palestin.Dalam kata lain, Ahmadinejad menuduh Barat menjadikan Palestin sebagai sasaran balas dendam bagi pihak Yahudi. Kritikan keras beliau itu menyebabkan delegasi dari negara-negara Kesatuan Eropah bertindak keluar dewan. Namun beliau tidak pernah peduli dengan semua itu.
Barat mengecam pembunuhan beramai-ramai ke atas bangsa Yahudi dalam tragedi Holocaust. Mereka menangisi kematian jutaan penduduk Yahudi di tangan rejim Hitler.
Bagaimanapun, sewaktu rakyat Palestin dibunuh dan hak mereka dinafikan secara begitu kejam oleh bangsa Yahudi ketika ini, dunia Barat hanya mampu melihat. Tiada tindakan tegas untuk menghentikan kekejaman tersebut. Ia adalah satu bentuk double standard yang sangat nyata.Amat tepat untuk Ahmadinejad menjadikan sidang antiperkauman itu sebagai platform menyuarakan kebencian terhadap Israel. Sebelum ini beliau telah pun berulang kali mahu memadamkan Israel dari peta dunia.Walaupun kritikan Ahmadinejad itu dikatakan menyimpang dari tujuan sebenar persidangan tetapi mana lagi platform untuk beliau meluahkan rasa. Persidangan itu dihadiri oleh semua bangsa dan negara. Ia juga bertujuan menangani masalah perkauman. Jadi wajarlah kekejaman Israel itu diperkatakan pada sidang itu oleh Ahmadinejad.
Sayangnya, semangat pemimpin bertubuh kecil itu tidak dihayati oleh dunia Islam dan Arab sendiri. Beliau mempertahankan maruah Palestin. Berjuang untuk orang Arab sedangkan darah yang mengalir dalam tubuhnya ialah darah Parsi.
Alangkah bertuah jika semangat dan keberanian itu turut 'diwarisi' oleh pemimpin-pemimpin dunia Arab sendiri. Namun apa yang kita lihat hanyalah semangat berpuak-puak dan pentingkan diri mendominasi negara-negara Arab ketika ini.
Bayangkan jika dunia Arab bersatu dan tidak tunduk pada tekanan Barat, sudah pasti nasib rakyat Palestin telah lama terbela. Tidak perlu lagi untuk Ahmadinejad berdiri di rostrum sidang antiperkauman itu. Kesengsaraan penduduk Palestin terutama di Gaza adalah bukti bagaimana perpecahan menghancurkan bangsa Arab. Mereka gagal menghayati semangat bangsa Parsi yang diwarisi oleh Ahmadinejad dan rakyat Iran.Dan jika dilihat pada konteks politik semasa negara ini, keadaan sama bakal berlaku kepada masyarakat Melayu jika soal perpaduan terus dipandang remeh.Perpecahan dan semangat assabiyah keterlaluan di kalangan masyarakat Arab perlu dijadikan sempadan. Tiada apa yang boleh dicapai sekiranya tiada perpaduan dalam mana-mana bangsa ataupun negara.
Sekiranya gerakan untuk menyatu dan menguatkan semula masyarakat tidak disemarakkan sekarang, orang Melayu akan terus terpinggir - dalam semua segi - dan ketika itu tidak guna untuk kita menyesal.
0 comments:
Post a Comment