Rezeki lumayan 'abang burger' Seksyen 19
|
Bayangkanlah, setiap malam Faizal sanggup berembun di waktu malam, berpeluh-peluh menyiapkan burger hanya untuk memberi pendapatan lebih kepada ahli keluarganya.
Daripada melepak begitu sahaja, bersembang kosong hingga ke waktu tengah malam tanpa mendapat sesen duit, lebih baiklah berniaga. Dan untuk memastikan burgernya menjadi pilihan pelanggan, rasa dan skil perlu ada kelainan.Bermula sejak 20 tahun lalu, menjual burger menjadi punca pendapatan utama Faizal menyara keluarga.
Pernah bekerja sebagai pembantu di restoran, bapa kepada tujuh anak ini boleh tersenyum bangga kerana telah memiliki dua gerai burger dan satu stokis pembekal burger di Shah Alam, Selangor."Sejak usia saya belasan tahun lagi saya telah berminat membelek majalah sajian untuk melihat resipi. Saya suka mencuba resipi dan menghasilkan resipi sendiri untuk sajian ahli keluarga, paling seronok bila masakan yang direka mendapat pujian," Faizal mengimbas kenangan lalu.
Menceritakan tentang penglibatan beliau dalam dunia burger, Faizal berkata ia bermula secara kecil-kecilan dan separuh masa."Ketika itu, saya bekerja sebagai pekerja kilang, pada waktu malamnya saya berniaga burger. Memang seronok berniaga sendiri. Kiranya kitalah bos dan kita juga kuli."Pada masa yang sama saya memikirkan apakah kelainan yang boleh menarik pelanggan ke gerai burger saya. Salah satu cara dengan mencipta resipi istimewa untuk ditambah kepada resipi burger yang asal.
Persembahan
"Saya juga berlatih cara memasak seperti melambung daging untuk memberikan 'persembahan' kepada pelanggan sementara menunggu pesanan burger mereka siap," ujar lelaki kelahiran Teluk Intan, Perak ini.Setelah beberapa tahun berniaga secara separuh masa, Faizal mengambil keputusan untuk berniaga burger sepenuh masa."Saya dapati pendapatan menjual burger melebihi dari bekerja makan gaji, dari situ saya menanam tekad untuk lebih serius dalam perniagaan ini."Keuntungan dari jualan burger saya kumpul untuk memulakan sebuah lagi gerai burger dan untuk jangka masa panjang pula menjadi pembekal barangan burger," katanya.Gerai pertama yang dibuka Faizal ialah di Seksyen 19, berdekatan dengan Restoran Darul Ehsan, Shah Alam kemudian diikuti dengan gerai di Jalan Batas iaitu di hadapan rumahnya juga di Seksyen 19, Shah Alam.
Terlalu banyak suka duka yang dilalui oleh Faizal sepanjang 20 tahun berniaga burger di tepi jalan. Salah satu peristiwa yang tidak dapat dilupakan ialah kisah seorang lelaki yang memesan 10 biji burger ayam special."Lelaki tersebut memesan 10 biji burger ayam special. Setelah saya siap membungkus semua pesanannya, lelaki tersebut mengambilnya dengan wajah bengis. Tanpa berkata apa-apa dia terus masuk ke dalam kereta, saya pun tergamam."Tak sangka dahlah tak bayar, dia sempat pula mengambil pisau pemotong daging burger saya."Apapun saya bersyukur kerana tidak mengalami kejadian buruk yang membahayakan nyawa," ujarnya yang menganggap peristiwa tersebut satu pengajaran untuk tidak meletakkan pisau terdedah kepada pelanggan.
Selain peristiwa tersebut, Faizal juga tidak boleh melupakan peristiwa seekor kucing dilanggar di depan gerainya yang amat mengerikan.
Skil
Bagi pelanggan yang pernah memesan burger Faizal juga pasti tidak akan boleh melupakan skil Faizal membuat burger.
Mencari kelainan, Faizal membuat burger dengan gayanya sendiri, dia akan membuat lambungan daging tinggi dan menangkap dengan penuh gaya.
Itulah kelainan selain dari rasa burger yang begitu lazat hasil eksperimennya sendiri.
Kini Faizal sudah mampu memiliki rumah yang besar dan perniagaan yang stabil. Malah dia turut memiliki sebuah premis dan lori sendiri sebagai stokis kepada peniaga burger lain. Dengan pendapatan seumpama seorang jurutera di syarikat swasta, Faizal bersyukur dan jauh di sudut hatinya rasa puas kerana dapat membahagiakan seluruh ahli keluarga.
Faizal merupakan antara tiga pemenang pertandingan membuat burger sempena Kembara Kejayaan Lady's Choice anjuran Unilever Foodsolutions baru-baru ini. Dua lagi pemenang ialah Nazri Ismail dan Ruddy Ibrahim.
0 comments:
Post a Comment