Setiausaha mesti jaga rahsia


Shariffa Rasheedah Al Junied.

KEJAYAAN sebuah syarikat sering dikait dengan peranan seorang setiausaha. Bukan sahaja dari segi ketelitian membuat kerja, malah sikap dalam menjaga kerahsiaan syarikat dan hal peribadi majikan perlu menjadi keutamaan.

Dalam kata lain, setiausaha perlu amanah dalam kerja mereka.

Ini kerana kelancaran kerja majikan dan sebuah syarikat banyak bergantung kepada pengurusan setiausaha.

Secara tidak langsung, setiausaha menjadi ilham kepada majikannya atau sesebuah organisasi itu dalam melahirkan suasana kerja yang positif.

Sementara itu, seorang setiausaha perlu menjaga penampilan agar lebih ceria dan mudah didekati termasuk cara solekan, pakaian dan berkomunikasi.Menurut penasihat imej dan latihan D'Navechee, Shariffa Rasheedah Al Junied, setiausaha mempunyai peranan dan amalan yang penting iaitu seseorang perlulah bersikap setia kepada organisasi dan ketuanya dalam aspek menjalankan tugas yang diamanahkan.Mereka juga perlu menjaga kerahsiaan syarikat dan hal peribadi majikan.

"Seorang setiausaha akan menjaga rahsia syarikat dan juga hal ehwal majikannya. Walaupun timbul tekanan kerana berlakunya lebihan kerja, setiausaha perlu memikul tanggungjawab tersebut. Oleh itu, setiausaha perlu pandai mengatur masa. Panduan ringkas, jangan bawa kerja ke rumah. Selain itu, setiausaha perlu tegas supaya tiada kecuaian dan kebocoran dalam maklumat penting dan rahsia dalam dokumen," katanya yang ditemui di sidang media seminar setiausaha anjuran Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd. (UP&D) di Hotel Istana baru-baru ini.Selain Rasheedah, pengasas syarikat kecantikan D'Navechee dan juga pemenang anugerah Wanita Ikon anjuran majalah Wanita, Datuk Azlina Hj. Che Abdullah antara panel yang akan menyampaikan seminar.

Seminar yang akan diadakan pada 27 April ini mendapat kerjasama daripada D'Navechee, DCL dan Hotel Istana, Kuala Lumpur.Menuruh Rasheedah, setiausaha juga perlu sensitif kepada persekitaran ketua dan organisasinya sebelum sebarang cadangan.Baginya, bekerja dengan majikan wanita lebih mudah kerana mereka saling memahami keperluan.Bahkan, setiausaha wanita dapat memahami majikan wanita dengan hanya membaca bahasa tubuh badan."Pada era ini, kerjaya setiausaha lebih mencabar. Oleh itu, mereka perlu menjaga peribadi untuk berhadapan dengan orang ramai. Misalnya, cara berpakaian amat penting untuk mengelakkan gangguan seksual. Namun, setiausaha masih boleh bergaya dengan ketrampilan peribadi

yang menarik dan mempunyai imej yang tersendiri," jelasnya.Selain itu, imej seorang setiausaha sama ada mereka bertudung atau tidak amat penting kerana ia mencerminkan identiti majikan dan syarikat."Mereka perlu kemas dan gaya tidak boleh terlalu menonjol. Tidak semestinya perlu mengenakan kot dan memilih warna gelap. Kriteria pakaian penting untuk menceriakan suasana. Setiausaha boleh memilih pakaian yang bersifat kewanitaan dengan memilih warna yang ceria seperti kuning, oren atau merah samar.

Dari sudut psikologi, setiausaha boleh berubah dan warna ceria boleh membina perasaan yang baik," katanya yang pernah menjadi pembantu dan setiausaha Azlina.Dalam pada itu, seminar itu turut menampilkan Roslan Shah yang akan bertindak sebagai pengacara majlis dan Hattan yang akan menghiburkan para peserta. Seminar ini juga akan dimeriahkan lagi dengan persembahan pertunjukan fesyen oleh De'Zain Boutique.Setiap peserta hanya perlu membayar RM300 untuk menyertai seminar ini termasuk kertas kerja seminar, sagu hati, cabutan bertuah, minum pagi, makan tengah hari dan minum petang.Untuk maklumat lanjut atau sebarang pertanyaan, sila hubungi Azizah Rashidi atau Ann Fara di talian 03-92856577 dan faks 03-9274645 atau dapatkan borang di www.mybooks.com.my

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

Kehidupan selepas perceraian


Impak perceraian tersebut bukan setakat pada diri anda malah seluruh ahli keluarga juga merasai kepedihannya. - Gambar hiasan

PERCERAIAN adalah satu perkara yang amat merugikan. Ia seperti satu krisis kehidupan yang memberi impak amat besar terhadap orang yang diceraikan. Impak tersebut bukan sahaja terhadap individu terbabit malah anak-anak, adik- beradik dan ahli keluarga yang lain.

Kalau anda wanita yang mempunyai pengalaman atau sedang melalui proses perceraian, jangan menganggap anda berseorangan kerana di luar sana ada ramai yang senasib dengan anda.

Perasaan yang ditanggung? Sudah tentu menyakitkan. Impak perceraian tersebut bukan setakat pada diri anda malah seluruh ahli keluarga juga merasai kepedihannya.Antara yang dirasakan oleh mangsa cerai ialah kehilangan, dikhianati dan keliru. Semua perkara ini bukanlah sesuatu yang diinginkan oleh mereka yang terlibat dalam perceraian.Persoalan yang sering berlegar di fikiran ialah apa yang akan berlaku selepas ini? Ketahuilah, perceraian bukanlah pengakhir kehidupan.

Ia bukan satu perkara yang mudah. Juga bukanlah satu pilihan yang telah dirancang, namun jangan risau kerana terdapat beberapa langkah yang boleh diambil apabila anda terpaksa berhadapan dengan situasi baru ini."Saya sudah tidak sanggup melalui pengalaman sebegini."Perceraian memang menyakitkan. Tiada satu ubat pun yang boleh menghilangkan dengan segera. Ia adalah satu proses pemulihan yang mengambil masa mungkin sehingga bertahun lamanya.

Jika anda mengalami perceraian, anda pastinya akan berasa sedih dan dinafikan. Hati anda hancur dan sedih hingga mungkin menyebabkan anda tidak mahu mempunyai hubungan dengan sesiapapun.Jangan sesekali membiarkan emosi menguasai diri kerana inilah masanya anda perlu membangunkan diri anda kembali. Anda perlu meletakkan kehidupan pada tahap yang paling stabil.Memang perasaan sedih itu normal dan tidak dinafikan juga tangisan akan memberikan kelegaan sekali gus memulihkan hati secara perlahan.Tiada masalah jika anda memberikan ruang untuk memikirkan kembali masalah tersebut tetapi bangkitlah untuk satu sinar yang lebih baik."Saya masih mencintainya dan amat berharap dia menerima saya kembali."

Kebanyakan isteri yang telah diceraikan mengakui masih menyayangi bekas suami. Ini kerana mereka telah memberikan sepenuh hati dan mengabdikan diri kepada pasangan masing-masing.

Bagi isteri hanya maut yang boleh memisahkan dengan suami, tetapi malangnya hanya isteri yang beranggapan sedemikian. Suami tidak mahu meneruskan perjanjian yang telah dimeterai semasa dia melafazkan akad nikah dahulu.Anda tidak mempunyai kuasa untuk mengubah fikiran suami dan sekalipun anda memaksa ia mungkin tidak akan berlaku.Apabila kembali tenang, mungkin anda boleh cuba fikirkan siapa yang anda mahukan untuk menemani hidup sepanjang hayat.Sudah tentu suami yang menyayangi diri anda dan menerima anda seadanya.

Apabila anda seikhlas hati menyintai seorang lelaki, pasti anda mengharapkan dia juga berperasaan sama terhadap anda bukan?Cinta sejati perlu lahir dari hati yang ingin dicintai. Cinta yang ditolak dan diri yang dikhianati memang memeritkan. Tetapi mahukah anda apabila pasangan anda kembali kepada anda tanpa perasaan cinta dan ikhlas? Tidak, bukan!Sudah tentu anda mahukan suami yang dulunya pernah mengucap cinta pada anda saat melafazkan pernikahan, walau anda inginkan saat itu kembali kini, anda perlu menerima hakikat yang anda tidak boleh memaksa dia mencintai anda seperti dulu."Saya rasa seperti tidak wujud di hati suami dan dikhianati."Walaupun diketepikan oleh suami jangan sekali-kali merasakan dia telah mengubah keyakinan diri anda. Anda tetap individu yang mempunyai harga diri dan disayangi oleh ahli keluarga serta sahabat.

Perceraian itu tidak akan mengubah nilai baik yang ada pada anda. Ingatlah manusia adalah ciptaan Tuhan dengan mempunyai matlamat, mempunyai bakat, pendapat dan boleh mengubah kehidupan kepada yang lebih baik.

Memang perceraian membuatkan anda berasa marah. Tetapi anda perlu mengajar diri untuk berhadapan dengan perasaan negatif tersebut.

Tidak dinafikan juga kemarahan itu boleh memberikan anda motivasi dan meningkat diri serta kerjaya ke tahap yang lebih baik.

Tetapi awas, silap langkah, kemarahan boleh membinasakan diri anda kembali.

"Nampaknya apa saja yang saya buat semuanya tidak kena...hidup saya kini tidak sebaik dulu."

Lapan puluh peratus daripada tenaga digunakan untuk 'memproses' perasaan. Sebab itu, seseorang akan berasa letih jika terlalu tertekan dengan masalah. Tahap keyakinan diri juga memang akan terjejas.Selepas berkahwin, sedikit sebanyak hubungan bersama rakan-rakan biasanya akan berkurangan. Selepas bercerai anda rasa keseorangan dan mahu mengasingkan diri.Akhirnya sikap tersebut memberi kesan kepada prestasi kerja dan seterusnya kewangan anda.Lawan perasaan tersebut, beritahu diri dan buat pilihan untuk jalan yang lebih baik.

"Apakah pilihan yang saya boleh ambil selepas diceraikan?" Dapatkan khidmat sokongan dan kaunseling. Cari seorang kaunselor bertauliah yang pernah anda dengar menerusi media atau risalah. Kini terdapat juga pusat perlindungan dan penjagaan sementara untuk mangsa cerai.l Ucap selamat tinggal pada masa lampau, carilah pekerjaan baru dan sumber kewangan jika itulah isu utama perceraian.Jika tidak tahu caranya, minta tolong pada sesiapa yang tahu untuk membuat resume. Banyak laman web yang menyediakan khidmat mencari pekerjaan untuk mereka yang memerlukan.l Tetapkan matlamat jangka pendek pasti akan memberi satu sinar baru. Sebagai contoh, anda boleh mulakan gaya hidup baru dengan cara yang lebih sihat.Pastikan anda bersenam setiap hari dan makan makanan yang berkhasiat. Terima hakikat bahawa anda telah bercerai. Cari buku motivasi tentang kehidupan selepas bercerai dan bina semangat baru.l Berdoa dan beribadat mampu memberi kekuatan dalaman. Malah apabila anda mendekatkan diri kepada Tuhan anda akan lebih mengenali diri anda dan berasa bersyukur dengan apa yang telah Tuhan beri.

Apabila anda tenang, semua perkara dapat diatasi dengan baik.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

Meningkatkan profesionalisme setiausaha


Mengikuti kursus kesetiausahaan di Institut Generasi, Jalan Leboh Ampang, Kuala Lumpur menjadikan tiga rakan ini lebih berpenampilan dan berkeyakinan.


SEBELUM ini mungkin ramai ibu bapa tidak begitu bersetuju jika anak gadisnya mahu bergelar setiausaha. Bagi mereka, lebih baik anak-anak menjadi jurutera, akauntan, arkitek, doktor atau setidak-tidaknya seorang guru kerana kerjaya tersebut dilihat lebih profesional berbanding setiausaha.

Apatah lagi, kebanyakan masyarakat ketika itu memandang rendah kerjaya setiausaha terutama dengan wujudnya tanggapan menyatakan mereka yang bergelar setiausaha adalah wanita cantik yang seksi dan gatal, malah sering dilabel sebagai penggoda. Tidak kurang yang beranggapan mereka ini kaki ampu dan suka membodek bos.

Namun, senario itu telah lama berubah. Kini, bidang kesetiausahaan dilihat sebagai satu lapangan profesional yang sama penting dengan kerjaya lain dan turut mempunyai masa depan yang cerah.

Antara institusi pengajian tinggi swasta yang giat melahirkan ramai setiausaha berkebolehan ialah Institut Generasi yang terletak di Jalan Leboh Ampang, Kuala Lumpur.

Di institut ini, pelajar diberi pendedahan latihan kemahiran industri yang mirip amalan kerja sebenar yang bukan sahaja dapat membantu graduan tersebut tetapi juga organisasi tempat mereka bekerja kelak.Kaunselor dan Ketua Jabatan Pembangunan dan Kemajuan institut tersebut, Suhaila Osman berkata, sukatan pelajaran yang disediakan melalui program Pengurusan Perniagaan dan Kesetiausahaan amat menarik dan lebih berorentasikan kerjaya sebenar.Institut juga menyediakan jadual waktu kuliah yang fleksibel bagi membolehkan pelajarnya memilih jadual pembelajaran mengikut kesesuaian sama ada secara sepenuh masa atau separuh masa.

''Ini membolehkan mereka dapat menguruskan jadual tanpa mengganggu aktiviti kerja harian," jelas Suhaila.Bagaimanapun katanya, untuk program Pengurusan Perniagaan dan Kesetiausahaan, institut yang telah 10 tahun beroperasi ini hanya membuka pintunya kepada golongan wanita sahaja.Ini bagi memberi peluang kepada mereka untuk mengubah gaya hidup dengan memegang jawatan bertaraf profesional terutamanya setiausaha mahupun pembantu peribadi.Suhaila berkata, pengambilan hanya dibuat setahun sekali dan pendaftaran dibuka sekarang hingga 5 Mei 2009.Jika berminat, kunjungi Institut Pendidikan Generasi di 51-53, Jalan Leboh Ampang, Kuala Lumpur (berhampiran LRT Masjid Jamek, Kuala Lumpur) untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai kursus ini. Sebarang pertanyaan, hubungi talian 03-20704081.

Mengubah gaya hidup

Memilih untuk melangkah dalam bidang kesetiausahaan dianggap Zalikha Awaluddin, 19, sebagai satu keputusan bijak kerana langkah itu akhirnya telah mengubah nasib dirinya yang kini mempunyai masa depan lebih cerah.Meskipun, selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) agak kabur mengenai pilihan kursus yang bersesuaian, atas dorongan keluarga, Zalikha memilih jurusan kesetiausahaan yang dirasakan sepadan dengan personalitinya yang lemah-lembut dan gemar bergaya.Pelajar jurusan Sijil Pengurusan Perniagaan dan Kesetiausahaan Semester 2 di Institut Generasi itu memberitahu, setelah mempelajari lebih mendalam tentang dunia setiausaha, timbul minat yang mendalam untuk terus menceburi bidang tersebut yang dilihat setanding dengan kerjaya lain.

''Malah, peluang pekerjaannya juga luas. Tidak hanya bergantung harap untuk menjadi setiausaha semata-mata, sebaliknya apa yang dipelajari turut relevan untuk diaplikasikan dalam bidang lain khususnya perniagaan atau pentadbiran," kata Zalikha yang berhasrat untuk meneruskan pengajian sehingga ke peringkat diploma.Padangan itu dipersetujui rakannya, Nur Aqila Mohd. Yahaya, 19, yang berpendapat, bukan saja kerjaya setiausaha kini lebih menjamin masa depan malah menyeronokkan apabila kemahiran yang dipelajari telah membantu meningkatkan kemahiran diri.Baginya, bidang tersebut juga mengajar seseorang itu mendisiplinkan diri menjadi individu yang lebih baik dan bertanggungjawab dalam melaksanakan tugasan atau kepercayaan yang diberi.

''Bagaimanapun, saya tidak nafikan kerjaya ini terdedah kepada pelbagai risiko dan cabaran apatah lagi jika mendapat bos yang garang dan bersifat menjengkelkan.''Sebab itu, sesiapa yang menceburi bidang ini perlu menyiapkan diri mereka daripada segi fizikal dan mental agar lebih mudah berhadapan dengan segala masalah dan cabaran yang timbul. Memang, kerja ini nampak senang pada sesetengah orang tetapi sebenarnya ia tidak semudah yang disangka," kata pelajar yang berasal dari Cheras, Kuala Lumpur ini.

Sementara itu, Tabitah Malini, 24, memberitahu, dirinya memandang tinggi individu yang memilih kerjaya setiausaha kerana mereka mempunyai tahap kesabaran dan kemahiran berkomunikasi yang tinggi.Lebih dihormati jika setiausaha itu berkemahiran dan cekap dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan oleh majikan.''Biarpun saya baru setahun belajar jurusan Pengurusan Perniagaan dan Kesetiausahaan ini, saya sudah rasai cabarannya. Tetapi apa yang menarik, saya seronok dan gembira mendalami bidang ini," katanya

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

Memperkaya nilai buluh


KEPELBAGAIAN produk daripada buluh yang dipamerkan sempena Minggu Kreativiti dan Inovasi di Pusat Sains Negara, Kuala Lumpur.


MENTALITI masyarakat, sebut sahaja mengenai pokok buluh, kebanyakan mereka tentunya mempunyai persepsi negatif dan menganggap tumbuhan botani dalam kategori rumput itu tidak mempunyai sebarang kegunaan.

Antara yang sering didengar adalah buluh boleh menyebabkan gatal atau miang, mengaitkannya dengan kejadian mistik serta menganggapnya sebagai habitat haiwan berbahaya seperti ular.

Bukan menyalahkan mana-mana pihak, namun tanggapan sebegitu tidak lagi sesuai digunakan dalam kehidupan masyarakat moden seperti sekarang kerana untuk terus maju, kita perlu sentiasa berfikiran positif.

Sebenarnya, setiap sumber yang dicipta di alam ini termasuk tumbuhan-tumbuhan mempunyai kebaikan dan kelebihannya tersendiri untuk dimanfaatkan oleh manusia.

Apa yang paling penting adalah usaha penerokaan dan penyelidikan perlu dilaksanakan dengan gigih bagi memastikan segala pencarian dapat membuahkan hasil.

Sama seperti pokok buluh, kebanyakan kita hanya mengetahui tumbuhan tersebut sering digunakan untuk beberapa tujuan seperti menyediakan makanan tradisional lemang ketika musim perayaan selain membuat rakit serta jambatan merentasi sungai di kawasan-kawasan pedalaman, selain membuat meriam buluh.

Namun, selain kegunaan biasa seperti itu, buluh sebenarnya mempunyai seribu satu kegunaan lain yang mungkin kita tidak pernah terfikir dan juga mempunyai potensi besar digunakan dalam pembangunan pelbagai rangkaian produk.

Menurut Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Datuk Dr. Abdul Latif Mohmud, buluh merupakan tumbuhan yang dekat dengan masyarakat terutama di peringkat akar umbi.

"Buluh merupakan sumber alam yang patut diteroka dan diperbaharui setiap masa menerusi pelaksanaan pelbagai program pemfokusan secara berterusan agar tumbuhan ini kekal sebagai sumber yang berharga.

"Selain melibatkan masa pertumbuhan yang singkat iaitu hanya enam bulan, semua bahagian pada pokok buluh juga boleh digunakan untuk pelbagai manfaat iaitu batangnya yang kuat dan kukuh boleh dibuat pelbagai produk sementara rebungnya pula boleh dimakan," katanya selepas merasmikan Forum Buluh - Material Untuk Milenium Baru di Kepong, Selangor, baru-baru ini.

Forum yang diadakan sempena Minggu Kreativiti dan Inovasi itu turut mendapat kerjasama dan sokongan daripada Persatuan Kreativiti dan Inovasi Malaysia (MACRI) menerusi penglibatan secara langsung dalam projek pembangunan dan penyelidikan industri berasaskan buluh.

Presiden MACRI, Datuk Ghazi Sheikh Ramli berkata, melalui gabungan berkenaan, sebanyak lima langkah dan matlamat korporat telah digariskan sebagai panduan merealisasikan pengkomersialan produk berasaskan buluh.

"Antara yang dicadangkan adalah seperti mewujudkan projek penanaman mini di kawasan tertentu, meningkatkan pengeluaran buluh menerusi teknik penjagaan dan rawatan yang betul dan mewujudkan perkampungan buluh untuk menarik perhatian masyarakat.

"Selain itu, kita juga bercadang untuk membina restoran, kafe atau pusat spa daripada buluh bagi memberi peluang kepada orang ramai merasai gaya hidup berkonsepkan buluh serta membuka pusat kraf yang dikenali sebagai 'Bamboo Memories' supaya orang kampung yang menghasilkan barangan kraftangan daripada buluh dapat memasarkan produk mereka," jelasnya.

Di Malaysia, penanaman buluh telah dijalankan sejak tahun 1923. Namun disebabkan projek penanaman yang tidak terancang dan bertaburan di banyak kawasan, pemantauan sepenuhnya sukar untuk dilaksanakan.

Menyedari hakikat itu, FRIM bersama pihak kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) telah menjalankan pelbagai usaha penanaman secara ladang di kawasan yang berpotensi agar ia dapat melibatkan kuantiti pokok yang banyak dan kualitinya boleh dijaga mengikut keperluan.

Antara kawasan tersebut adalah seperti di Nami, Kedah dan juga di Rantau, Negeri Sembilan yang melibatkan kawasan tanaman seluas lebih kurang 100 ekar di samping projek yang bakal dilaksanakan di Rompin, Pahang pada masa akan datang.

Selain itu, FRIM turut menjalankan projek pembangunan sosio ekonomi bagi pembuatan produk buluh di beberapa daerah di Pahang menerusi Projek Industri Buluh Orang Asli dan juga Projek Perintis Buluh Negara.

Dalam usaha memperkembangkan pembangunan industri buluh ini, pengetahuan mengenai kelebihan dan nilai komersial produk buluh seharusnya diperluaskan kepada semua peringkat masyarakat.

Mengambil contoh negara luar seperti India, Thailand, Jepun, Eropah dan Amerika Utara, mereka mempunyai projek penanaman serta pembangunan produk berasaskan buluh yang stabil dan kukuh sehingga boleh dieksport untuk menambahkan pendapatan negara.

Terdapat dua teknik penanaman buluh iaitu menggunakan biji benih dan juga pembiakan vegetatif (tampang) iaitu melibatkan cara seperti percambahan rizom, pemotongan kulum, pemotongan dahan serta tisu kultur.Kebiasaannya, penanaman jenis pemotongan dahan dan tisu kultur lebih mendapat sambutan kerana ia mempunyai kadar pertumbuhan yang tinggi sehingga melebihi 90 peratus.Namun, pemilihan teknik-teknik tersebut juga bergantung kepada jenis spesies yang ditanam dan juga capaian saiz yang diinginkan untuk tujuan penggunaan tertentu.Menarik mengenai buluh, berdasarkan ujian kejuruteraan struktur yang dijalankan, didapati bahawa tumbuhan tersebut mempunyai kekuatan tegangan lebih kukuh berbanding kebanyakan aloi atau besi selain kekuatan komprehensifnya lebih baik daripada campuran konkrit.

Oleh kerana itu, buluh kini banyak digunakan sebagai material asas dalam pembinaan struktur bangunan seperti tiang sokongan, lantai, dan juga pada bahagian bumbung.

Mungkin sesuatu yang pelik, namun itulah realitinya apabila buluh juga sebenarnya boleh dibangunkan sebagai produk tekstil yang lembut, mempunyai sifat anti bakteria, kelebihan menyerap air yang lebih tinggi daripada kain kapa, serta sesuai digunakan ketika cuaca panas.

Apa yang menarik lagi, buluh turut dikatakan mampu mengurangkan kandungan karbon dioksida dalam atmosfera sebanyak 12 tan untuk satu hektar tanamannya serta menghasilkan sebanyak 35 peratus oksigen.Kegunaan lain buluh adalah ia boleh digunakan dalam pembuatan perabot, kasut, lantai rumah, rangka basikal, papan luncur, penyapu dan tidak kurang juga sebagai tumbuhan hiasan lanskap.Melihat kepada kepelbagaian kegunaan buluh, masyarakat di negara ini perlu membuka mata meneroka dan menggunakan sepenuhnya sumber tersebut dalam usaha mengurangkan kebergantungan kepada tanaman kayu untuk menyelamatkan hutan.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

Hayati semangat, keberanian Ahmadinejad

KITA perlu tabik pada ketegasan Mahmoud Ahmadinejad. Kritikan pedas Presiden Iran itu terhadap sikap double standard Barat di Geneva kelmarin mencerminkan pendirian beliau yang tidak pernah berubah.Ahmadinejad sentiasa skeptikal terhadap Barat. Uniknya telahan negatif terhadap Barat itu tidak pernah tersasar.Pada persidangan antiperkauman anjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kelmarin, beliau menuduh Barat menggunakan Holocaust sebagai alasan untuk menghalalkan tindakan rejim Zionis ke atas rakyat Palestin.Dalam kata lain, Ahmadinejad menuduh Barat menjadikan Palestin sebagai sasaran balas dendam bagi pihak Yahudi. Kritikan keras beliau itu menyebabkan delegasi dari negara-negara Kesatuan Eropah bertindak keluar dewan. Namun beliau tidak pernah peduli dengan semua itu.

Barat mengecam pembunuhan beramai-ramai ke atas bangsa Yahudi dalam tragedi Holocaust. Mereka menangisi kematian jutaan penduduk Yahudi di tangan rejim Hitler.

Bagaimanapun, sewaktu rakyat Palestin dibunuh dan hak mereka dinafikan secara begitu kejam oleh bangsa Yahudi ketika ini, dunia Barat hanya mampu melihat. Tiada tindakan tegas untuk menghentikan kekejaman tersebut. Ia adalah satu bentuk double standard yang sangat nyata.Amat tepat untuk Ahmadinejad menjadikan sidang antiperkauman itu sebagai platform menyuarakan kebencian terhadap Israel. Sebelum ini beliau telah pun berulang kali mahu memadamkan Israel dari peta dunia.Walaupun kritikan Ahmadinejad itu dikatakan menyimpang dari tujuan sebenar persidangan tetapi mana lagi platform untuk beliau meluahkan rasa. Persidangan itu dihadiri oleh semua bangsa dan negara. Ia juga bertujuan menangani masalah perkauman. Jadi wajarlah kekejaman Israel itu diperkatakan pada sidang itu oleh Ahmadinejad.

Sayangnya, semangat pemimpin bertubuh kecil itu tidak dihayati oleh dunia Islam dan Arab sendiri. Beliau mempertahankan maruah Palestin. Berjuang untuk orang Arab sedangkan darah yang mengalir dalam tubuhnya ialah darah Parsi.

Alangkah bertuah jika semangat dan keberanian itu turut 'diwarisi' oleh pemimpin-pemimpin dunia Arab sendiri. Namun apa yang kita lihat hanyalah semangat berpuak-puak dan pentingkan diri mendominasi negara-negara Arab ketika ini.

Bayangkan jika dunia Arab bersatu dan tidak tunduk pada tekanan Barat, sudah pasti nasib rakyat Palestin telah lama terbela. Tidak perlu lagi untuk Ahmadinejad berdiri di rostrum sidang antiperkauman itu. Kesengsaraan penduduk Palestin terutama di Gaza adalah bukti bagaimana perpecahan menghancurkan bangsa Arab. Mereka gagal menghayati semangat bangsa Parsi yang diwarisi oleh Ahmadinejad dan rakyat Iran.Dan jika dilihat pada konteks politik semasa negara ini, keadaan sama bakal berlaku kepada masyarakat Melayu jika soal perpaduan terus dipandang remeh.Perpecahan dan semangat assabiyah keterlaluan di kalangan masyarakat Arab perlu dijadikan sempadan. Tiada apa yang boleh dicapai sekiranya tiada perpaduan dalam mana-mana bangsa ataupun negara.

Sekiranya gerakan untuk menyatu dan menguatkan semula masyarakat tidak disemarakkan sekarang, orang Melayu akan terus terpinggir - dalam semua segi - dan ketika itu tidak guna untuk kita menyesal.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

Memberi makna kepada buku


SEBAHAGIAN pengunjung memenuhi ruang pameran buku pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009 di PWTC, Kuala Lumpur yang akan berlangsung sehingga Ahad ini.

IBARAT lautan luas yang tidak berpenghujung untuk diteroka, begitulah juga lautan ilmu yang dimiliki oleh sebuah buku. Menerusi buku, kita diajak berkelana ke sebuah dimensi kehidupan dan pemikiran yang sepenuhnya berbeza. Buku juga menghidupkan semula tokoh-tokoh silam dan membina kembali tamadun lampau untuk dijelajahi.

Begitulah hebatnya peranan sebuah buku yang diberikan sambutan khusus hari ini sebagai Hari Buku Sedunia. Sedikit mengenai latar belakang Hari Buku Sedunia, sambutannya setiap 23 April adalah bersempena mengingati penulis tersohor dunia iaitu William Shakespeare dan Miguel deCervantes. Kedua-dua mereka meninggal pada 23 April 1616. Shakespare juga dilahirkan pada 23 April 1564.

Bagaimanapun, sambutan hari buku dikatakan bermula lebih awal iaitu daripada tradisi masyarakat Catalan di Barcelona, Sepanyol yang meraikan Festival of the Rose. Pesta yang dikaitkan dengan pengorbanan kasih sayang itu menyaksikan pasangan kekasih bertukar sekuntum bunga mawar dengan sebuah buku.Turut disambut pada tanggal yang sama seperti yang diisytiharkan oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) ialah Hari Hak Cipta. Di kebanyakan negara seperti Jepun, India, China dan United Kingdom, Hari Buku Sedunia adalah sambutan yang dinanti-nantikan oleh masyarakatnya. Ia merupakan hari untuk khalayak pembaca memberi penghormatan tertinggi kepada pemikiran yang diterjemahkan menerusi penulisan buku.

Mengambil contoh negara jiran Indonesia, Hari Buku Sedunia tidak pernah dibiarkan berlalu dengan pengisian yang kosong. Perkara itu bukanlah sesuatu yang menghairankan kerana masyarakat Indonesia sememangnya terkenal sebagai sebuah komuniti dunia yang sangat mengagungkan buku. Kerana itu juga Indonesia tidak pernah sunyi daripada melahirkan buku-buku yang dianggap sebagai karya agung dan diperdebatkan dengan meluas oleh masyarakatnya.Budaya mengagungkan buku di kalangan penduduk Indonesia juga menjadikan negara itu sebagai salah sebuah pusat penterjemahan buku terbesar selain India. Kebanyakan buku antarabangsa yang diiktiraf terbaik boleh didapati dengan mudah di negara berkenaan. Usaha penterjemahan yang sangat aktif itu membolehkan cabang ilmu dari seluruh dunia berkembang dengan pantas di Indonesia.Keadaan agak berbeza di negara kita apabila amalan membaca dan membudayakan buku tidak begitu mendapat perhatian. Ia terbukti apabila tidak ramai di kalangan kita yang menyedari adanya sambutan Hari Buku Sedunia. Waima di kalangan mereka yang mengaku sebagai pencinta buku sekali pun. Bukan tiada usaha dilakukan untuk meraikannya, namun sokongan dan penglibatan daripada masyarakat agak hambar.

Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) misalnya, tidak pernah terkecuali menganjurkan pelbagai aktiviti dalam menyemarakkan sambutan tersebut. Seperti yang berlangsung di PNM hari ini, Hari Buku Sedunia dipenuhi dengan pelbagai aktiviti menarik seperti kempen galakan membaca dan sebagainya.

Negara juga tidak pernah ketandusan penggiat yang boleh merancakkan industri penulisan dan penerbitan buku. Di kalangan penerbit misalnya, terdapat tidak kurang daripada 150 buah syarikat yang mengeluarkan buku secara aktif setiap tahun. Begitu juga dengan penulis berbakat yang saban tahun melahirkan buku-buku yang mencerminkan ketinggian pemikiran dan penguasaan kesusasteraan yang membanggakan.Namun, disebabkan masyarakat kita agak asing dengan dunia buku, penulis berbakat besar itu hanya bersinar di dalam kelompok yang kecil sahaja. Tanpa perhatian dan penglibatan daripada orang ramai, keinginan penulis serta penerbit untuk menghasilkan buku turut terbantut. Ia secara tidak langsung memberi kesan kepada usaha membudayakan masyarakat berilmu menerusi medium pembacaan.

Dalam masa yang sama, negara juga berdepan dengan cabaran untuk mencapai hasrat menerbitkan sekurang-kurangnya satu judul buku bagi setiap 1,000 penduduk.Bagi mencapai hasrat itu, negara perlu menerbitkan kira-kira 26,000 judul buku. Ia merupakan pertambahan lebih tiga kali ganda daripada jumlah penerbitan buku yang berjumlah kira-kira 6,000 hingga 7,000 ketika ini.Bagaimanapun kita perlu positif bahawa sasaran itu bukanlah sesuatu yang mustahil untuk dicapai. Di peringkat kerajaan dan swasta misalnya, usaha membudayakan masyarakat yang cintakan buku itu didokong oleh pelbagai agensi. Antaranya Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM), Majlis Industri Buku Malaysia (MBIC) dan Persatuan Penerbit Buku Malaysia (PPBM).

Turut terbabit secara langsung dalam usaha memperkayakan penerbitan buku ialah Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) yang sehingga kini sudah menterjemahkan kira-kira 900 judul buku.Sementelah aliran pembacaan di kalangan masyarakat juga menunjukkan peningkatan minat yang menggalakkan. Daripada pengamatan sewaktu mengunjungi Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) yang sedang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) ketika ini, dapat disimpulkan bahawa kita sebenarnya tidak ketandusan masyarakat yang cintakan buku. Kerana itu juga PBAKL masih mampu bertahan sehingga ke hari ini, iaitu pada tahun ke-28 usia penganjurannya.Namun, dalam memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan penerbitan buku, ia juga perlu seiring dengan usaha memberi makna kepada buku tersebut. Ilmu yang terkandung di dalam sebuah buku tidak membawa erti jika ia gagal menarik pembaca untuk menghargainya. Kerana itu juga, penggiat industri buku perlu seiring dengan perubahan minat dan selera pembaca hari ini.Antaranya ialah usaha mengkomersialkan sesebuah buku. Pengkomersialan di sini bukanlah bermaksud kecenderungan untuk menerbitkan novel-novel remaja atau buku berunsur politik yang popular.

Tetapi bagaimana untuk memberikan nafas yang lebih segar kepada sebuah buku yang diterbitkan. Apa yang diperhatikan, kebanyakan buku yang diterbitkan seolah-olah bukan bertujuan untuk dipasarkan.Tiada nilai-nilai popular dan komersial yang boleh menarik pembaca menjadikan buku tersebut sebagai koleksi peribadi. Keadaan itu lebih ketara di kalangan penerbit institusi pengajian tinggi (IPT) yang seperti mendokumenkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang dijalankan oleh saintis.Lalu terhasillah buku dengan tajuk serta kupasan yang sangat berakademik dan terlalu berat untuk dibaca. Tidak dinafikan buku sebegini ditujukan kepada khalayak pembaca yang tertentu.Namun itu tidak bermakna penerbitan buku akademik perlu bersifat akademik sepenuhnya. Barangkali penerbit di IPT boleh berkolaborasi dengan penulis kreatif dalam menjadikan buku akademik lebih komersial dengan sasaran pembaca yang lebih meluas.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

Keropok lekor Kg. Losong


NORLIZA Razali membungkus keropok lekor yang menjadi nadi utama dalam industri pelancongan di Kampung Losong, Kuala Terengganu.

KUALA TERENGGANU 22 April - Selama lebih 30 tahun, Kampung Losong di sini terkenal di seluruh negara kerana penghasilan keropok lekor yang merupakan antara makanan tradisional paling popular di Terengganu.Malah kerana popularitinya, Kampung Losong diiktiraf sebagai pusat perniagaan keropok lekor di Terengganu oleh kerajaan negeri.

Bagaimanapun, kewujudan semakin banyak kedai dan gerai baru menjual keropok lekor di sekitar daerah ini sekarang memberi saingan hebat kepada peniaga di Kampung Losong.

Ini membuatkan kira-kira 20 peniaga di Kampung Losong mencari jalan untuk meningkatkan usaha bagi memastikan para pelanggan terus menjadikan keropok lekor Losong sebagai pilihan utama.Ini termasuk usaha menubuhkan Persatuan Pengusaha Keropok Lekor Losong (PKLL) selepas 30 tahun kawasan perniagaan itu diwujudkan dalam usaha mencari kesepakatan untuk meningkatkan perniagaan.

Pengerusi Persatuan Pengusaha Keropok Lekor Losong (PKLL), Suhaimi Ali berkata, selama ini peniaga lebih bersikap mementingkan perniagaan masing-masing dan tiada kerjasama dalam memastikan Kampung Losong terus dikenali ramai.Menurutnya, mesyuarat pertama persatuan itu diadakan pada 24 April ini untuk membincangkan hala tuju serta pelan perniagaan masa hadapan.''Saya berharap penubuhan persatuan ini bukan sahaja membolehkan kami bersama meningkatkan perniagaan masing-masing malah mempromosikan Kampung Losong sebagai pusat perniagaan keropok lekor,'' katanya.Menurut beliau, pelbagai pendekatan perlu dicari bagi memastikan para pelanggan terus datang membeli di Kampung Losong.

''Usaha perlu dilakukan bagi mengelak keropok lekor Kampung Losong 'tenggelam' dengan kewujudan semakin banyak pengusaha di sekitar kawasan ini,'' ujarnya.Beliau memberitahu, pada masa kini kebanyakan pelanggan yang membeli keropok lekor di Kampung Losong merupakan pelancong dari luar Terengganu.''Orang tempatan jarang membeli keropok lekor dan jika ada pun, mereka membeli dalam kuantiti yang sedikit dan perniagaan hanya rancak pada hujung minggu dan musim cuti,'' jelasnya.

Katanya, setiap kedai menjual sehingga 500 kilogram keropok lekor sehari apabila tiba musim cuti.Beliau memberitahu, mereka yang mengunjungi Taman Tamadun Islam (TTI) di Pulau Wan Man di sini turut singgah di Kampung Losong untuk membeli keropok lekor.

Beliau berkata, keropok lekor Kampung Losong dikenali ramai dengan bentuknya yang kecil iaitu sepanjang 12.7 sentimeter.''Bentuknya ini membezakan ia dari keropok lekor yang dihasilkan di kampung lain," ujarnya.Beliau memberitahu, persatuan akan bekerjasama dengan para peniaga di Kampung Losong untuk memikirkan cara meningkatkan promosi keropok lekor mereka.''Promosi dilihat amat penting untuk memastikan lebih ramai pelanggan mengenali keropok lekor dari Kampung Losong.''Selain itu, kami juga akan cuba mencari kesepakatan untuk menyelaraskan harga jualan untuk faedah bersama," ujarnya.Beliau menjelaskan, persatuan itu juga akan memastikan mutu keropok lekor Kampung Losong sentiasa terjaga bagi mengelak imej makanan itu tercalar.''Bagaimanapun, setakat ini, kami tidak pernah menerima sebarang aduan berhubung kualiti dan mutu keluaran produk di sini," katanya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

Toyota Camry bekas Exco Pakatan Perak dilelong

Kereta Toyota Camry 2.4 yang sebelum ini digunakan sebagai kenderaan rasmi exco pakatan pembangkang ketika menerajui pentadbiran kerajaan negeri akan dilelong oleh kerajaan negeri Perak.

IPOH: Kerajaan negeri Perak akan melelong 16 buah kereta Toyota Camry 2.4 yang sebelum ini digunakan sebagai kenderaan rasmi exco pakatan pembangkang ketika menerajui pentadbiran kerajaan negeri.Menurut kenyataan tender terbuka yang dihantar ke bahagian iklan sebuah akhbar berbahasa Melayu di sini hari ini, lelongan kereta itu akan berlangsung di tempat letak kereta Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini mulai 9.30 pagi hingga 4 petang pada 4 hingga 18 Mei ini.Kenyataan tender yang dikeluarkan pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak itu menyatakan kenderaan berkenaan boleh dibeli secara pukal atau seunit dengan harga rizab RM148,000 sebuah.Kereta itu adalah yang menggunakan nombor pendaftaran AGS10, AFD11, AFD22, AFD33, AFD55, AFD66, AFD77, AFD88, AFD99, AFD333, AFD999, AFF33, AFF88, AFF99, AGS828 dan AEU606 yang kesemuanya didaftarkan pada 9 Jan tahun ini.

Kenyataan tender itu turut menyebut, semua kenderaan itu adalah baru yang digunakan antara satu hingga dua bulan, perbatuan rendah dan masih dalam tempoh jaminan tiga tahun oleh syarikat pengeluar.Selain itu ia turut menyebut kenderaan berkenaan juga mempunyai nombor pendaftaran orang kenamaan, cermin 'tinted' yang bernilai RM2,000 serta bebas daripada sebarang kejadian kemalangan.Bagaimanapun, difahamkan kereta rasmi yang bernombor pendaftaran AGS10 yang digunakan oleh bekas Menteri Besar Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin tidak akan dilelong kerana beliau dikatakan telah membuat tempahan membeli kereta tersebut.Dokumen tender boleh didapati pada waktu pejabat mulai 4 Mei hingga 18 Mei ini di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Bahagian Pengurusan, Aras 3, Bangunan Perak Darul Ridzuan dengan harga RM20 senaskah.Mereka yang ingin membeli kenderaan berkenaan perlu menghantar kembali surat tawaran tender itu sebelum pukul 12 tengah hari pada 18 Mei ini

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

Media asing sudah mula burukkan imej Najib, kata Mahathir

Media asing sudah mula burukkan imej Najib, kata Mahathir

PETALING JAYA: Belum pun tiga minggu Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak mengambil alih kepimpinan sebagai Perdana Menteri yang keenam, tetapi media Barat sudah memulakan langkah memburuk-burukkan beliau, kata Tun Dr. Mahathir Mohamad.Dr. Mahathir menambah, dari Perancis sehingga ke Britain dan Australia, rencana-rencana yang disiarkan membawa mesej yang sama dengan dipercayai maklumat disalurkan oleh rakyat tempatan.

Najib mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada 3 April lalu."Perdana Menteri yang baru dikatakan amalkan rasuah dan terlibat dalam kes bunuh."Penulis Australia mengatakan bahawa Malaysia adalah negara pariah," kata Dr. Mahathir sambil menambah, "saya tidak boleh percaya usaha memburuk-burukkan yang begtiu banyak berlaku pada waktu yang sama secara kebetulan."Turut disertakan dalam usaha mengecam Perdana Menetri baru ialah dakwaan bahawa beliau akan membawa kembali konsep kepimpinan "Mahathirism"."Dengan ini, akhbar Barat nampaknya cuba menunjukkan yang Perdana Menteri keempat (Dr. Mahathir) merupakan seorang diktator yang menangkap orang tanpa sebab, memanipulasikan kehakiman, mengawal media dan sebagainya," katanya.Justeru kata Dr. Mahathir, beliau menyerahkan kepada rakyat Malaysia untuk menghakimi dan mendefinisikan konsep "Mahathirism"."Mereka adalah pengundi yang Najib perlu mengambil berat. Media asing mempunyai agenda sendiri," kata beliau dalam blognya.Rakan-rakan media Barat di Malaysia pula menyalurkan dengan berita anti-Najib, jelas beliau.Katanya lagi, Najib boleh menjangkakan lebih banyak laporan sedemikian daripada akhbar-akhbar asing.Pun begitu, apa yang rakyat Malaysia fikir adalah penting dan Perdana Menteri perlu membersihkan imejnya dari segi persepsi mereka.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

Gagal rancang beri tekanan kepada warga tua


KESIHATAN fizikal dan mental mesti dijaga seiring dengan peningkatan usia.



DR. ANG KIM TENG





TIDAK dinafikan, kesedaran terhadap kesihatan fizikal semakin meningkat di kalangan warga emas. Malah, di mana-mana saja, warga emas dilihat semakin menitikberatkan aspek pemakanan serta melakukan senaman secara konsisten bagi menghindari penyakit seperti jantung, darah tinggi dan kencing manis.

Namun tidak begitu apabila bercakap tentang kesihatan mental.

Menurut Presiden Persatuan Kesihatan Mental Malaysia (MMHA), Dr. Ang Kim Teng, kegagalan menyiapkan benteng pertahanan mental sebelum bersara adalah antara faktor utama warga emas kerapkali mengalami tekanan dan terdedah kepada kemurungan.

“Kesilapan utama ialah selepas bersara baru hendak merancang. Malah menerusi pemerhatian dan kajian saya, ramai yang hanya mengambil berat mengenai kesihatan fizikal berbanding mental,” katanya.

Ujar Kim Teng, sudah tiba masanya kesihatan mental bagi mereka yang menuju ke usia emas ini dititikberatkan. Jelasnya, perkara ini bukan sukar untuk dilakukan walaupun sudah mencecah umur 70 tahun.

Jelasnya lagi, kesihatan mental yang tidak dijaga akan membawa kepada gangguan emosi yang parah berikutan usia mereka yang semakin lanjut.

“Dengan menanam pemikiran positif, secara tidak langsung, warga emas ini menguatkan sistem imunisasi, menjadi lebih gembira dan kuat dalam menghadapi hari tua,” ujarnya pada pelancaran program Golden Third Age (G3A).

Bukan sekadar itu, kurang kesedaran mengenai kekuatan kuasa emosi turut menjadi punca mengapa ramai warga emas di Malaysia mudah menghadapi tekanan serta berasa kesunyian.Kim Teng juga menambah, jangan terkejut sekiranya idea membunuh diri juga wujud dalam pemikiran warga emas akibat gangguan emosi yang tidak dirawat dari awal.

“Dengan jumlah warga emas yang mencecah dua juta orang, jelas sekali Malaysia sedang menuju ke arah penuaan penduduk yang dijangka melebihi 10 peratus menjelang tahun 2025.“Justeru, tanpa kekuatan emosi dan fizikal, nescaya kita tidak dapat mengharungi usia emas dengan sempurna,” tegasnya yang berpendapat tiada kerja yang khusus, anak-anak yang telah besar serta berpindah ke persekitaran baru juga menjadi sebahagian faktor kepada kemurungan dan gangguan emosi lain yang dihadapi oleh golongan ini.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

Buku ubah kehidupan

Lebih daripada 60 judul buku telah ditulis oleh Quindlen tentang banyak hal, tetapi dalam How Reading Changed My Life, dia ingin menceritakan tentang pengalamannya sebagai seorang pembaca.


ANNA QUINDLEN


HARI Khamis ini atau tepatnya 23 April 2009 adalah Hari Buku Sedunia. Tanpa disedari buku telah banyak mempengaruhi hidup kita. Ia memberi inspirasi kepada kita dan menjadi teman kala suka dan duka. Setidak-tidaknya, itulah yang berlaku pada Anna Quindlen. Dalam bukunya sepanjang 88 halaman, How Reading Changed My Life mengisahkan bagaimana pada masa kecilnya, dia kerap bermain di luar rumah seperti 'anak-anak normal' yang lain. Namun, dia mengakui, pada dasarnya kegiatan itu tidak selalu menyenangkannya. Dia mendapati 'tenggelam' di dalam keasyikan buku sentiasa membuatnya riang. "Ada bahagian terbaik dari diriku iaitu 'bergelut' dengan buku," tulis Quindlen.

Lebih daripada 60 judul buku telah ditulis oleh Quindlen tentang banyak hal, tetapi dalam How Reading Changed My Life, dia ingin menceritakan tentang pengalamannya sebagai seorang pembaca.

"Tokoh-tokoh imajiner (buku) itu sentiasa menantiku pulang dan aku membawanya kembali ke kehidupan," ujarnya yang mengungkap betapa buku-buku dalam koleksinya telah mencipta daya tarikan yang luar biasa. Dalam buku tersebut, Quindlen melukiskan masa kanak-kanak, remaja, dan dewasanya sebagai sebuah perjalanan waktu yang ditandai dengan kesedaran baru yang diperolehnya daripada kegiatan membaca sama ada novel dan bukan fiksyen. "Saya percaya membaca pelbagai karya orang lain akan mengajar kita untuk menghayati dan menafsir pengalaman orang lain dan ini menjadikan saya menemukan 'mutiara-mutiara baru' dalam kehidupan saya," ujar Quindlen lagi di dalam bukunya.

Membaca karya-karya besar dan kitab-kitab suci membolehkan pembaca mengumpul pengalaman hidup berbeza sekali gus memahaminya dengan cara yang berbeza pula. Pembaca yang sama bakal menafsirkan dan 'merasakan' denyutnya dalam intonasi yang berlainan. Malah, setiap kali pembaca itu membuka halaman karya-karya, semakin 'kaya' dia. Membaca dalam konteks itu bukan lagi hafalan, tetapi memberi sebuah makna hidup yang baru. Ini kerana pengalaman hidup, pengetahuan, dan 'kekayaan batin' yang dipelajarinya sentiasa bertambah dari sehari ke sehari. Dan inilah yang dimaksudkan oleh Quindlen sebagai kesedaran baru atau 'mutiara-mutiara baru'. Membaca bukanlah sekadar mengasah fikiran, bahkan lebih daripada itu. Ia memberi santapan rohani. Maka di sinilah wujud keasyikan membaca, misalnya kita memperkayakan rohani kita dengan membaca karya-karya Pradmoedya Ananta Toer, Hamka, Naguib Mahfuz, Naawal El-Saadawi dan Ernest Hemingway. Kita menghadapi teks-teks yang mereka tulis berdasarkan kisah hidup, pengamatan, pengalaman empati dan kepedulian, pengetahuan dan juga kekeliruan mereka. Membaca dengan demikian, menyajikan kita apa yang kita 'dapat' daripada kehidupan yang kita jalani dengan apa yang Pradmoedya, Hamka dan Hemingway renungkan dari perjalanan hidup mereka. Bukankah ini memperkayakan pengalaman, pengetahuan dan kekayaan batin kita.




Derek Braker, seorang pengkritik buku tersohor di Amerika, membuat komentar dan memuji buku How Reading Changed My Life. "Membaca buku ini ibarat hadir dalam sebuah pesta," komen Braker. Katanya lagi: "Ia suatu pesta yang mana di dalamnya terkumpul segala cerita, pengalaman suka-duka, perjalanan intelektual, perjalanan hidup, dan lebih daripada itu, kita 'tenggelam' dalam dunia keasyikan membaca yang tersendiri. Bukankah apabila kita menghadiri sesuatu pesta, misalnya pesta menyambut Tahun Baru yang sering dirayakan oleh anak-anak muda, mereka akan tenggelam dalam keseronokan dan ekstasi yang tersendiri. Demikianlah membaca yang juga mempunyai ekstasi yang tersendiri. Cuma yang harus dibezakan ekstasi 'mana' yang memberikan kesan mendalam."

Quindlen dengan reputasinya yang pernah menjadi kolumnis surat khabar The New York Times memang layak menerima pujian Braker itu. Quindlen merupakan wanita ketiga dalam sejarah surat khabar tersebut yang beroleh kesempatan menulis kolum 'pendapat' yang amat berpengaruh itu. Dia juga pernah memenangi Pulitzer Prize untuk kategori komentar pada tahun 1992. Koleksi tulisan kolumnya dibukukan menjadi Thinking Out Loud yang diterbitkan oleh Random House dan duduk di deretan buku terlaris The New York Times selama lebih daripada tiga bulan. Quindlen juga menulis tiga buah novel terlaris iaitu Object Lesson, Black and Blue dan One True Thing yang kemudiannya difilemkan dan dibintangi oleh Meryl Streep.

Dengan pengalamannya yang panjang, Quindlen seperti ingin membahagikan sejarah dirinya sebagai penulis sekali gus pembaca dalam kapasitinya yang otoritatif. Dalam How Reading Changed My Life, Quindlen berupaya mengaitkan pengalaman membaca dengan kebiasaan membaca, dan bagaimana semua itu berubah dari waktu ke waktu. Dalam bukunya itu, Quindlen secara otoritatif membuat daftar atau senarai buku yang mampu 'menggiurkan' perasaan banyak 'ulat buku' atau pencinta buku. Dia menyenaraikan 10 buku yang boleh membantu remaja berasa lebih manusiawi; 10 novel moden yang membuat saya (Quindlen) bangga menjadi penulis; dan 10 buku bukan fiksyen yang membantu kita memahami dunia.

Bagi Quindlen, membaca buku bukanlah semata-mata sarana untuk menghimpun pengetahuan, tetapi juga cara untuk memperkuatkan hubungan emosi, mendalami realiti kehidupan, bahkan menghadapi cabaran ketidakadilan. Menerusi karya The Forsyte Saga karya John Galsworthy, dia mengakui telah membentuk kematangan psiko-seksualnya. Karya Charles Dickens pula telah mendorong lahirnya komitmen liberal untuk menentang ketidakadilan sosial.

Dalam kategori '10 buah buku yang akan saya selamatkan bila terjadi kebakaran', Quindlen menyebut antara lain, Bleak House karya Charles Dicken, Anna Karenina karya Leo Tolstoy dan The Collected Works of W.B. Yeats serta The Collected Plays of William Shakespeare. Manakala buku The French Lieutannant's Woman karya John Fowles dan The Bluest Eye karya Toni Morrison merupakan dua di antara 10 novel moden yang membuat Quindlen bangga menjadi penulis. Karya The Adventures of Sherlock Holmes oleh Arthur Conan Doyle dan The Spy Who Came in From the Cold karya John Le Carre, dimasukkan pula dalam senarai '10 novel misteri yang paling saya sukai untuk dibaca pada musim panas'.

Buku How Reading Changed My Life bukan sahaja menunjukkan keluasan bacaan Quindlen, bahkan memperlihatkan membaca adalah cinta abadinya. Dia membandingkan membaca buku seperti pertemuan dua sahabat yang akrab iaitu buku dan pembaca yang mana kedua-duanya menjadikan aktiviti hidup kita lebih bermakna. Pada hemat penulis, buku How Reading Changed My Life merupakan realisasi semangat dan budaya Iqra' yang dianjurkan al-Quran dalam kehidupan kita.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

Protes jejas industri seks

Kejadian tunjuk perasaan antikerajaan melumpuhkan Pattaya sekali gus menjejaskan sektor pelancongan di bandar tersebut.


PATTAYA yang dahulunya merupakan sebuah perkampungan nelayan kini berubah wajah selepas pelancongan berasaskan hiburan dan seks semakin berkembang di bandar tersebut.

KERAJAAN Thailand terpaksa mengisytiharkan darurat selepas kumpulan penyokong bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra yang menyarung baju-T berwarna merah merusuh teruk sehingga menakutkan pemimpin negara asing yang sepatutnya menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN di Pattaya baru-baru ini. Bukan itu sahaja, perbuatan ribuan penunjuk perasaan antikerajaan itu yang sanggup bertempur dengan polis dan tentera Thailand turut mencetuskan kebimbangan penduduk tempatan.Keadaan darurat dengan darah membasahi setiap jalanan di pantai peranginan Pattaya yang berlaku itu turut mencetuskan amaran kepada pelancong-pelancong asing agar meninggalkan bandar tersebut dan jangan keluar dari bilik hotel penginapan masing-masing.Sungguhpun terdapat larangan itu, ia memerlukan satu jangka masa yang panjang untuk menghalang pelancong asing berparti sepanjang malam di Pattaya. Ini kerana kawasan itu adalah salah satu pusat percutian yang begitu popular dan menjadi pilihan pelancong asing.

"Ya... darurat bukan sesuatu yang baik, tetapi saya kenal siapa yang datang jika kami berada dalam zon peperangan."Saya suka berparti di sini. Minuman bir murah, cuacanya baik dan 'budak-budak perempuan' kesemuanya bekerja keras," kata pelancong Britain, Peter Norton dengan suara menjerit ketika ditemubual dalam suasana muzik disko yang kuat. Sambil itu, Norton kelihatan merenung tajam ke arah Emma, 21, seorang pondan cantik di Pattaya.

Bagaimanapun, pekerja seks jalanan dan penari tiang lucah memberitahu, keadaan huru-hara yang berlaku di Thailand termasuk penutupan lapangan terbang antarabangsa utama di Bangkok telah menutup periuk nasi mereka."Kami adalah warga Thailand yang baik dan mesra, tetapi sekarang... semua orang di seluruh dunia menganggap kami ganas dan bersengketa sesama sendiri."Kenapa mesti bergaduh? Kita mempunyai darah yang sama, kita perlu lebih bertoleransi," kata Emma yang memakai gaun berwarna oren bercorak bunga sambil diperhatikan lelaki-lelaki asing.Emma melihat kejadian yang berlaku di televisyen yang memaparkan beribu-ribu penunjuk perasaan antikerajaan menyerbu hotel mewah di mana pemimpin-pemimpin ASEAN sedang berkumpul untuk membincangkan kemerosotan ekonomi global dan pelancaran roket Korea Utara pada Sidang Kemuncak ASEAN di Pattaya dengan wajah yang penuh benci.

Keadaan huru-hara yang berlaku itu telah memaksa pemimpin Thailand membatalkan sidang kemuncak tersebut sekali gus mengisytiharkan darurat di Pattaya untuk beberapa jam sambil pemimpin-pemimpin negara dipindahkan dengan sebahagian daripada mereka dilihat menaiki helikopter melalui bumbung hotel.


GADIS-GADIS pekerja seks tetap keluar di jalanan untuk mencari pelanggan dalam suasana rusuhan yang memburuk di Pattaya, selatan Thailand baru-baru ini.


"Saya sangat kecewa kerana ia adalah satu perhimpunan dan perbincangan yang penting bagi seluruh rakyat ASEAN."Thailand adalah tempat pelancongan yang popular dan jika mereka melihat keadaan huru-hara ini, mereka tidak akan datang lagi," katanya.Pattaya mula menjadi destinasi popular selepas tercetusnya Perang Vietnam dan ia menjadi destinasi pilihan pelancong untuk menikmati percutian di pantai dan bar sepanjang tahun.

Bekas perkampungan nelayan itu sekarang telah menjadi tempat berdirinya pelbagai kedai seperti kedai tato, salon, sauna dan bar-bar yang diberi pelbagai nama seperti Candy Shop dan Don't Tell Mama.'Orang baik pergi ke syurga. Manakala orang jahat pergi ke Pattaya' - kata-kata ini dipetik daripada sehelai baju-T yang dijual di situ.Kebanyakan pelancong berkata, sandiwara politik yang berlaku di Thailand adalah satu fenomena yang akan dilupakan dalam sedikit masa lagi.

"Memang kami agak takut, tetapi kami ke sini hanya untuk berhibur. Kami tidak berasa mereka akan menentang kami dan diharapkan semuanya selamat sepanjang kami berada di sini," kata salah seorang lelaki British yang mengadakan parti di Pattaya selepas berjaya menamatkan pengajiannya."Saya nampak darah di merata-rata tempat dan ia menakutkan. Keadaan di negara kami selamat tetapi tidak di sana (Pattaya)," kata seorang pelancong Jerman, Raymond Beel yang membatalkan perjalanan selepas kejadian rusuhan berlaku di Pattaya.Dalam perjalanan Beel ke Thailand pada 24 Mac lalu, beliau mendapati, masih banyak pelancong asing singgah ke negara itu, namun perniagaan menghadapi masalah ekoran rusuhan yang berlaku dan ditambah pula dengan kemelesetan ekonomi global yang menyebabkan mata wang asing jatuh."Sekarang ini, bar-bar hanya dipenuhi dengan gadis-gadis pekerja. Tidak ada pelancong. Orang hanya lalu lalang tetapi tidak mengeluarkan duit untuk ke sana. Sedangkan sebelum ini, mereka sanggup berhabis untuk menikmati enam gelas besar bir sepanjang malam. Kini, hanya dua gelas bir sahaja yang boleh dihabiskan kerana kebanyakannya pulang awal ke hotel kerana takut terperangkap di dalam rusuhan," ujarnya.

Beliau menambah: "Pernahkah anda mendengar mengenai kemerosotan nilai mata wang? Mereka fikir mereka menghadapi masalah, tetapi mereka perlu lihat apa masalah yang dihadapi di sini. Sebelum ini, nilai mata wang agak tinggi iaitu 75 bath bagi 1 dolar tetapi sekarang, hanya 50 bath."Sementara itu, seorang gadis bar memberitahu, mereka hanya mengenakan caj serendah 50 peratus dan pelanggan seks tetap masih banyak diterima, cuma pelanggan baru yang masih takut untuk datang.Kaew Yoo wan, 28, seorang pekerja bar terkenal yang merupakan anak kepada petani, pula memberitahu, beliau mengharapkan kejadian rusuhan antikerajaan tersebut tidak akan berlaku lagi kerana ia meletakkan mereka di dalam masalah.

"Saya tahu terdapat satu mesyuarat besar antara negara yang diadakan di sini tetapi ia tidak membantu perniagaan kami," katanya sedih.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

Memacu kedinamikan ekonomi Malaysia

BARU-BARU ini, ekonomi kapitalis anjuran Amerika-Yahudi musnah setelah beberapa institusi kewangan gergasi dunia jatuh lumpuh. Antara punca kejatuhan ekonomi Amerika-Yahudi adalah disebabkan industri institusi kewangan terlalu mudah meluluskan kemudahan kredit individu; kos kehidupan seharian yang tinggi kerana kenaikan harga minyak dunia; rakyat gagal memenuhi komitmen kredit; syarikat-syarikat pelaburan membeli terlalu banyak opsyen kadar bon-bon terbitan institusi kewangan sehingga menjejaskan pembayaran balik apabila panggilan terhadap komitmen bon-bon tersebut dibuat; dan banyak lagi.

Kita akui bahawa struktur sub-ekonomi kapitalis bukan sahaja disokong dengan rapi dari segi pelaksanaannya malahan diiktiraf dan diguna pakai oleh seluruh dunia. Ini terbukti melalui kewujudan Pertubuhan Perdagangan Bebas (FTO); pusat bebas cukai dunia seperti di Cayman Islands dan Bermuda; lambakan pelbagai mekanisme pelaburan dan tukaran mata wang seperti derivatif, jualan pendek dan panjang, opsyen, urus niaga kadar tukaran dan banyak lagi.

Memang jelas bahawa teori kapitalis anjuran Amerika-Yahudi ini menghalalkan cara agar 'wang terus membuat wang' tanpa sandaran nilai sebenar yang kukuh.

Bagi saya, kesan ekonomi kapitalis ini adalah sama seperti buih kecil yang terus membesar tanpa dapat dikawal lagi sehinggalah ia meletup baru-baru ini. Menurut laporan, kos untuk menangani krisis ekonomi Amerika sahaja tidak termasuk Eropah dan negara-negara sedunia, sudah menjangkau AS$3 trilion.

Dari perspektif positif, Malaysia selaku salah satu unit ekonomi gergasi Asia perlu merebut peluang untuk membentuk semula dan menentukan hala tuju struktur ekonomi baru bagi menggantikan ekonomi kapitalis anjuran Amerika-Yahudi yang sekian lama menguasai dunia.

MENGUKUHKAN KEMBALI KEDUDUKAN

Malaysia yang ekonominya peringkat awal berasaskan pertanian, kemudiannya perladangan dan seterusnya perindustrian, agak 'terkebelakang' apabila hala tuju ekonomi diasaskan kepada industri asas tani.

Hari ini, alasan bahawa ekonomi tersebut adalah kebal dari mana-mana krisis ekonomi juga tidak tepat kerana rata-rata harga barangan makanan masih tinggi.

Sejarah membuktikan bahawa Semenanjung Malaysia dengan kedudukan lokasinya yang strategik sejak awal lagi merupakan sebuah laluan pusat perdagangan antara tersibuk di dunia yang menghubungkan India, China, Jepun dan Australasia.

Kepentingan laluan dagangan ini juga diguna untuk membentuk empayar kerajaan seperti Kerajaan Funan (Segenting Kra), Kerajaan Kedah Tua, Kerajaan Gangga Negara di Beruas, Empayar Srivijaya yang pernah berpusat di Kota Gelanggi Johor, Kerajaan Kesultanan Melayu Melaka pada kurun 15, Kerajaan Johor-Riau pada kurun 17 dan disusuli dengan Portugis, Belanda dan Inggeris sehingga tahun 1957.

Menyedari hakikat ini, seiring dengan pertumbuhan ekonomi China sebagai pusat tenaga buruh termurah dunia yang kini diiktiraf sebagai 'negara pengilang antarabangsa' dan Jepun terus gagah dengan kuasa ekonomi dunia, Malaysia perlu mengukuhkan kembali kedudukannya sebagai laluan dagangan utama timur-barat.

Usaha ini ternyata penting kerana ia dipandang serius oleh Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial bagi Asia dan Pasifik PBB (UNESCAP) dalam memajukan Projek Keretapi Rentas Asia (Trans-Asian Railway), sebuah projek yang menghubungkan Singapura dan Guongzhou, China.

Negara kita, yang dilengkapi dengan pelbagai kekuatan infrastruktur; ditampung pula oleh firma gergasi dunia seperti Petronas dan Sime Darby Plantations; disokong oleh puluh ribuan modal insan yang dihasilkan oleh lebih 100 institut pengajian tinggi setahun; dikukuhkan pula dengan kedudukan pusat kewangan Islam dunia, sebenarnya sudah lama bersedia untuk melaksanakan ekonomi berasaskan perkhidmatan perdagangan antarabangsa melalui perkhidmatan logistik, pergudangan, 'entrepot' dan sebagainya.

Malaysia sudah pun bersedia memposisikan kedudukannya sebagai pusat perdagangan dunia setaraf dengan Rotterdam atau setidak-tidaknya, mengambil alih kedudukan Pelabuhan Keppel, Singapura.

Kita perlu menggemblengkan kekuatan infrastruktur sedia ada seperti Pelabuhan Tanjung Pelepas Johor yang sebahagiannya dimiliki oleh Maersk-Sealand International (syarikat kontainer perkapalan terbesar dunia), Lapangan Terbang Senai sebagai Pusat Kargo Udara Serantau, Projek 968 km Electrified Double Track (EDT) dari Johor Bahru-Padang Besar dengan kelajuan keretapi penumpang-kargo selaju 160 km/jam dan MISC Berhad, syarikat perkapalan terbesar negara dengan 190 buah kapal kesemuanya.

Pada masa yang sama, kita juga perlu mencari jalan untuk tumpukan usaha ke arah merealisasikan 'Jambatan Indah Johor Bahru-Singapura' yang lama tertangguh.

Dengan terbinanya jambatan tersebut maka lengkaplah jaringan infrastruktur yang akan memacu Malaysia ke arah pertumbuhan ekonomi pesat mendahului negara-negara jiran serantau dalam menyediakan pelbagai peluang pekerjaan, perniagaan, perkilangan, pembangunan yang melimpah-ruah sekali gus memberi anjakan kepada nilai hartanah dan modal insan negara.Saya yakin pertumbuhan ekonomi berasaskan perkhidmatan perdagangan antarabangsa ini akan bertindak sebagai 'pemangkin' kepada pelaburan asing langsung (FDI) yang Malaysia dambakan sekian lama.

FERIZ OMAR adalah Presiden Pertubuhan Profesional Melayu dan Pewaris Bangsa (ProWaris)

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

Budaya membaca trend negara maju

LAUTAN pengunjung dan ulat buku yang hadir di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009 yang dijangka mencecah sasaran 2.5 juta pelawat tahun ini. Dengan jumlah hampir 10 peratus daripada penduduk Malaysia, ia membuktikan rakyat negara ini sememangnya masyarakat yang cintakan buku.Perkembangan ini mampu memberi impak positif kepada industri dan pasaran buku dalam memupuk minat membaca yang tinggi di samping menjadi momentum penting kepada tahap literasi negara pada masa hadapan.Ini dikuatkan lagi dengan perangkaan terkini Jabatan Statistik Negara 2008 bahawa kadar literasi atau celik huruf rakyat Malaysia adalah tinggi berbanding negara Asia Tenggara lain.Bagaimanapun usaha berterusan perlu ditingkatkan bagi meningkatkan kadar literasi rakyat agar setanding dengan negara maju lain di dunia.Berdasarkan kepada statistik tersebut, ia menunjukkan kadar literasi rakyat negara ini yang berumur 15 tahun ke atas ialah 93.2 peratus. Ia merupakan satu kejayaan kepada negara.Statistik ini berkemungkinan besar berkait rapat dengan transformasi sistem pendidikan negara yang sedang dilaksanakan. Di samping itu, kewujudan Dasar Buku Negara (DBN) turut meningkatkan amalan dan tabiat membaca rakyat Malaysia.

Ia merupakan perkembangan memberangsangkan berbanding laporan dan kajian akademik sebelum ini. Pada 2005, profil pembaca mendapati rakyat Malaysia berumur di bawah 40 tahun kurang membaca. Iaitu sekadar dua buah buku sahaja setahun.

Sementara itu, bagi kumpulan berumur 10 tahun dan ke atas pula, daripada 85 peratus rakyat yang membaca, 77 peratus hanya membaca akhbar. Tiga peratus membaca majalah dan buku manakala 1.6 peratus yang lain membaca komik.Perkara ini jelas menunjukkan rakyat negara ini masih lagi cenderung membaca bahan bacaan ringan. Berbanding rakyat negara maju, mereka lebih gemar membaca bahan bacaan lebih berat dalam bentuk buku. Ia termasuk generasi muda yang seawal sekolah rendah lagi.Oleh itu, tabiat ini perlu diperbaiki dari semasa ke semasa melalui dasar sedia ada yang lebih menyeluruh dan dipertingkatkan seiring dengan tahap literasi rakyat negara ini.Ini kerana menurut Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, objektif pengembangan budaya membaca di kalangan rakyat wajar dilihat dari aspek memperkasa agenda nasional. Ia dilaksanakan secara bersepadu dengan proses pembinaan tamadun negara, bangsa dan pembangunan modal insan tanpa kompromi.

Kadar literasi yang tinggi di kalangan penduduk di negara ini juga menunjukkan lebih banyak bahan bacaan tradisional seperti buku dan lain-lain. Ia termasuk kerancakan aktiviti penterjemahan serta penerbitan diperlukan bagi menampung peningkatan indeks celik huruf di negara ini.Usaha ini perlu digiatkan walaupun lambakan bahan bacaan digital secara percuma begitu meluas serta mudah diakses di internet.Kehadiran aplikasi e-book, blog dan sebagainya tidak menggugat industri penerbitan bahan bacaan bercetak bahkan merancakkan lagi budaya membaca serta tradisi ilmu di negara kita.

Laporan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) 2007/2008 menunjukkan kadar literasi rakyat Malaysia berada di belakang negara maju seperti Jepun, Britain, Amerika Syarikat, Australia dan Jerman yang mempunyai kadar literasi tinggi sehingga 99 peratus.Lazimnya semakin negara menempah kemajuan, rakyatnya lebih banyak dan kuat membaca. Ini kerana budaya membaca menjadi trend dan tradisi masyarakat negara maju sejak dahulu lagi.Tambahan pula kedudukan Malaysia dalam Indeks Pembangunan Pendidikan Untuk Semua meningkat ke tangga 45 daripada 129 negara yang terlibat dalam kaji selidik Laporan Pemantauan Global 2009 berbanding kedudukan 56 yang dicapai pada tahun 2008.

Ini menunjukkan bahawa kerajaan komited menuju negara maju tidak lama lagi dan pencapaian itu bermakna Malaysia sebagai antara penyokong kuat Agenda Pendidikan Untuk Semua (EFA) menjelang 2015 bagi merealisasikan misi buta huruf sifar.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

SEMINAR SETIAUSAHA: “LEGASI KECEMERLANGAN ORGANISASI”

Seperti tahun-tahun sebelumnya, kemunculan April akan dinanti dengan penuh harapan khusus oleh para setiausaha untuk menjamu selera di samping menikmati halwa telinga dan mata dengan persembahan artis pilihan masing-masing. April juga akan memperlihatkan perhimpunan para setiausaha untuk bersantai di tempat-tempat eksklusif sambil berhibur.

Dikesempatan ini juga kebanyakan hotel dan kelab terkemuka akan berlumba-lumba untuk menawarkan pakej terbaik bagi menarik peserta ke lokasi mereka.

Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd. (UP&D) juga tidak terkecuali dalam mengisi kalender sempena minggu setiausaha ini. Namun, konsep yang diinisiatif oleh UP&D sejak tahun 2002 sangat berbeza dengan anjuran organisasi lain. Selaras dengan usaha menjana minda masyarakat, UP&D menampilkan persembahan majlis dengan gabungan antara nilai-nilai akademik serta maklumat dan persembahan hiburan.

Pada tahun 2009 ini iaitu kali yang kelapan, UP&D sekali lagi menganjurkan seminar setiausaha bagi merai dan menghargai sumbangan para setiausaha khususnya dalam pembentukan organisasi yang cemerlang. Seminar ini akan diadakan pada 27 April 2009 (Ianin), bertempat di Mahkota 3, Hotel Istana, Kuala Lumpur bermula pada pukul 8.30 pagi hingga 5.00 petang. Seminar pada tahun ini mendapat kerjasama daripada D’Navechee, DCL dan Hotel Istana, Kuala Lumpur.Selaras dengan perkembangan teknologi maklumat dan pembinaan sahsiah ilmu, seminar setiausaha ini diadakan untuk memberi penerangan, pengetahuan dan justifikasi bagaimana seseorang setiausaha berperanan. Tema seminar pada kali ini akan memberi fokus kepada peranan penting seseorang setiausaha dalam mempertingkatkan intergriti serta imej syarikat atau organisasi. Walaupun pada dasarnya mereka adalah pembantu kepada ketua, namun tidak dapat dinafikan seorang setiausaha mempunyai peranan tertentu, bukanlah sekadar penghias pejabat. Setiausaha juga perlu berketrampilan menaraik dan bijak dalam tutur kata dan pergaulan.

Berpandukan pengalaman sebagai majikan dan setiausaha, ahli panel akan berkongsi pengetahuan dan ilmu bagaimana untuk melahirkan setiausaha yang produktif serta inovatif. Kita perlu abaikan stigma konvensional bahawa seseorang setiausaha hanyalah merupakan penyeri atau orang suruhan ketua jabatan. Menyedari potensi dan kebolehan diri, perubahan sikap, kesanggupan menghadapi cabaran serta mengambil tindakan secara proaktif adalah di antara langkah ke arah kejayaan seseorang setiausaha.

Konsep dan kandungan seminar akan berfokus kepada beberapa kepekaan, peranan dan tanggungjawab seseorang setiausaha untuk membina semangat bagi meningkatkan ketrampilan, pemahaman, kesedaran, merebut peluang, motivasi diri dan pembinaan organisasi ke arah kecemerlangan dan kegemilangan.Penganjuran seminar ini bukan sahaja diadakan sebagai mengisi kalendar minggu setiausaha yang banyak dianjurkan oleh pelbagai pihak, tetapi lebih daripada itu. Penganjuran ini akan berfokus kepada menyediakan pendedahan kepada para peserta (setiausaha khususnya) mengenai sikap dan perancangan masa depan dalam bidang kesetiausahaan.Selain itu, sebagai setiausaha, mereka juga perlu mengetahui teknik dan petua komunikasi yang cemerlang dan petua penampilan diri yang anggun dan menawan. Sebagai pegawai penting dalam organisasi, setiausaha perlu bijak menggunakan kelebihan komunikasi dan penampilan ini bagi menyakinkan masyarakat atau pelanggan untuk terus berurusan dengan majikan masing-masing.

Melalui seminar ini juga para setiausaha akan diberi peluang untuk mengenali potensi diri dalam melakukan sesuatu tindakan agar ia lebih berkeyakinan kerana perubahan diri, minda dan sikap ke arah yang lebih dinamik sememangnya sedia ada dalam diri mereka, Cuma sesetengah mereka tidak berkeupayaan untuk menzahirkan kehebatan atau kebolehan tersebut.

Ahli panel yang ditampilkan untuk berkongsi pengetahuan, ilmu dan pengalaman dalam seminar sehari ini merupakan “model” yang seharusnya boleh dijadikan ikutan. YBhg. Dato’ Azlina Hj. Che Abdullah, pengasas syarikat kecantikan D’Navechee dan juga pemenang anugerah Wanita Ikon anjuran majalah Wanita serta Puan Shariffa Rasheeda Al-Junied, perunding imej DCL adalah panel yang akan berkongsi petua dan pengalaman untuk meningkatkan integriti seseorang setiausaha ke arah yang lebih cemerlang dan berketrampilan menarik.Selain kedua-dua penel tersebut, seminar kali ini tidak ketinggalan menampilkan artis sebagai nilai tambah kepada intipati seminar itu. Kehadiran Roslan Shah yang akan bertindak sebagai pengacara majlis dan Hattan yang akan menghiburkan para peserta semasa makan tengah hari secara tidak langsung dapat dijadikan hiburan santai kepada para setiausaha. Seminar ini juga akan dimeriahkan lagi dengan persembahan pertunjukan fesyen oleh De’Zain Boutique.Setiap peserta hanya perlu membayar RM300 untuk menyertai seminar ini termasuk kertas kerja seminar, sagu hati, cabutan bertuah, minum pagi, makan tengah hari dan minum petang.

Untuk maklumat lanjut atau sebarang pertanyaan, sila hubungi Azizah Rashidi atau Ann Fara di talian 03-92856577 dan faks 03-9274645.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

Pendiam tidak semestinya baik

PENGALAMAN pahit yang dilalui oleh Syuhada menjaga ibu bapanya yang tersiar di ruangan ini dua minggu lalu menarik perhatian Puan Eira kerana dia juga mengalami masalah yang sama. Yang berbeza beliau menjaga bapa mertuanya yang mengidap pelbagai jenis penyakit.

Masalahnya dia cepat pemarah dan suka komplen tentang cara hidup kami dan dirinya sendiri. Apa yang kita buat tidak pernah memuaskan hatinya. Makan tak mahu di meja tetapi mahu makan dalam bilik lepas tu pinggan dibiarkan di lantai dengan lebihan makanan bertaburan. Masalahnya tentulah banyak semut dan lipas, bila ditegur dia buat pekak. Kalau gunakan tandas kita kena standby cuci balik sebab dia tak peduli apa yang terjadi lepas dia gunakan.

''Bila banyak komplen kami hantar dia pergi ke rumah anak perempuannya, tak sampai 10 minit heboh nak balik rumah kita. Bila kita tinggalkan, dia balik sendiri. Dengan syarat saya ada di rumah, suami saya tak ada dia tak peduli. Sebab saya boleh masak makanannya. Kerana anak-anaknya sendiri pun tak pedulikan dia.

''Saya bukanlah menantu mithali. Mulut saya bising juga dengan perangai oran tua yang pemalas ni, dia memang pemalas dalam banyak hal terutama nak solat, bila kita suruh dia bagi alasan sakit kepala, demam, tak boleh berjalan nak ambil wuduk, terasa nak pitam, nak termuntah dan macam-macam lagi. Pendek kata kalau boleh dia memang tak mahu disuruh solat, dia nak duduk aja sambil tonton tv atau tidur.

Demikian cerita Eira panjang lebar dalam e-melnya kepada penulis. Ceritanya berbeza dengan kisah yang di e-mel oleh Noramira bukan pasal mertua tetapi tentang suami yang suka sangat menuduh isterinya nusyuz apabila menegur perbuatan suaminya yang suka sangat buat skandal dengan wanita.

''Sebagai isteri saya rasa berhak menegur perbuatan suami kita yang tak baik, tapi bila kita tegur dia tuduh saya nusyuz. Dia sengaja takutkan saya dengan perkataan nusyuz supaya saya tidak tegur dan marah perbuatannya yang suka buat skandal itu. Nusyuz juga menjadi senjatanya untuk menyakitkan hati saya. Sementelah saya surirumah sepenuh masa.

''Sebenarnya sudah lama saya memendam rasa kerana sering dituduh nusyuz, tetapi sebagai isteri yang tidak bekerja, saya tak berani bertindak, bila dia marah saya cuma diam dan menangis. Itulah sahaja kekuatan saya. '

"Kalau mengadu pada keluarganya ataupun keluarga saya pun tak ada siapa pun yang akan percaya cakap saya, kerana suami saya Kay ini mempunyai ciri-ciri suami penyayang, penyabar dan seorang alim, jadi siapa percaya kalau saya cerita dia curang ada skandal? Dia di luar saja nampak baik, tetapi di dalam berulat.

''Mungkin pembaca pun jemu bila baca cerita pasal suami curang, tetapi itulah keadaannya kalau kita percayakan suami kita seratus peratus, terutama bila kita lihat suami kita baik, tak banyak cakap, cukup solat 5 waktu, jadi apabila dia kata ada kerja luar, balik lewat, kita akan percayakan dia seratus peratus, sebab tak ada tanda-tanda dia curang apa lagi ada skandal.

''Saya suka mengingatkan kaum wanita khususnya yang baru berkahwin atau yang terlalu sayangkan suami, kalau boleh semak balik taraf sayang anda itu jangan percayakan suami 100 peratus, percayakan dia 30 ke 40 peratus sahaja, sebab kita tidak menyesal kerana perbuatan kita itu. Belajarlah dari kesilapan saya, dulu rumah tangga saya aman damai, tapi setelah 15 tahun berkahwin dan ada 4 orang anak yang sudah pun dewasa, baru saya nampak perubahannya, semuanya kerana saya terlalu percayakan dia lebih 100 peratus.

''Sebab alimnya, mengamalkan suruhan Allah menarik perhatian saya, tentang solatnya, puasanya, namun itu semua kita tidak boleh percaya bulat-bulat mesti ada sedikit curiga kerana suami yang nampak baik pun sukar kita boleh percaya. 'Macam Kay, nampak alim, tapi iman dia tak kuat, boleh digegarkan dengan sms jiwang-jiwang, pujuk rayu wanita. Hinggakan dia sanggup menipu untuk memuaskan hatinya. 'Banyak dosa dia lakukan menipu kami anak beranak, sanggup melupakan dan meninggalkan kami, pada bila-bila masa apabila dia mendapat panggilan telefon atau sms daripada kekasihnya. Dia lebih utamakan memenuhi kehendak kekasihnya Izah daripada kami keluarganya sendiri. Pada mulanya saya tak sedar perubahannya, fikirkan dia baik macam dulu juga, tapi entah macam mana saya ternampak gambar mereka berdua di tepi pantai dan dalam bilik hotel yang disorokkan dalam buku bacaannya. Terkejut besar saya, macam biasalah bila kita tanya dia tak akan mengaku walaupun gambarnya ada di tangan kita.

''Kemuncak kemarahannya bila borang izin nikahnya kali kedua atau nak berpoligami saya tidak mahu tandatangan. Akibatnya saya dan anak-anak jadi mangsa dia melepaskan marahnya.

''Saya ada alasan mengapa tak izinkan dia kahwin lagi, kerana saya masih kuat dan boleh melayani dia dengan baik, saya sediakan makan minum, pakaiannya semuanya saya urus sendiri tanpa pembantu rumah. Paling utama pendapatannya tidaklah banyak, cukup untuk kami anak beranak sahaja, jadi macam mana dia nak tanggung keluarga barunya nanti. ''Marahnya semakin menjadi-jadi setiap kali kekasihnya hantar sms dan menelefon bertanya bila mereka boleh berkahwin. Seolah-olah tak ada lelaki lain yang boleh berkahwin dengannya. Alasan Kay susah nak cari wanita sanggup berpoligami tanpa meminta sesen pun daripada suami, kerana dia bekerja dan boleh tanggung diri dan anak-anak yang bakal dilahirkannya nanti. ''Memang hari ini dia janji tak minta duit, esok bila dah kahwin, macam-macam yang dia minta, terutama nafkah anak yang dilahirkannya nanti. Saya tak tahulah sama ada Kay bodoh percaya cakap kekasihnya, atau kekasihnya yang memang bodoh.

''Saya katakan pada Kay rupanya ada jua lelaki dayus yang cuma mahu berkahwin tapi tak perlu beri nafkah atau bertanggungjawab ke atas isterinya. Apakah dia sudi menjadikan dirinya pemuas nafsu isterinya sahaja. Tapi kata Kay itu janji bakal isterinya saya tak perlu bimbang cuma tanda tangan borang poligaminya itu sahaja. Lebih dahsyat lagi, kata Kay bakal isterinya juga sanggup tanggung duit saku dan makan minumnya bila diperlukan. Sebenarnya saya tahu itu semua adalah penipuan mereka untuk menyenangkan hati saya agar mengizinkan mereka berkahwin.

''Sejak rahsianya terbongkar saya buat intipan sendiri, kerana saya tahu Kay memang cuai, hari ini dia sorok bil hotel atau restoran tempat mereka selalu keluar makan, esok lusa saya akan jumpa. Tak tahulah kalau dia sengaja suruh saya jumpa untuk menyakitkan hati saya.

''Namun dari bil-bil tersebut saya tahu tempat-tempat mereka sering melepak dan menginap ataupun keluar makan. Kerana itu juga saya terjumpa gambar mereka berpelukan dalam bilik hotel. Camera digital zaman ini memang canggih-canggih tak perlu orang ketiga untuk merakamkan gambar mereka berdua.

''Perbuatan mereka bukan rahsia lagi kepada anak-anak. Kadang kala saya teringat nak bawa mereka bersama mencari ayah mereka yang tak balik-balik atau pergi kawasan mana mereka selalu lepak. Surat saman polis juga menjadi bukti ke mana mereka pergi makan angin.

''Kay fikir isteri yang tak bekerja boleh diperbodohkan dengan cerita dongengnya. Kadang tu bila dia berbohong saya katakan tolonglah jangan buat dosa lagi. Saya tahu ke mana awak pergi. Kalau saya ikutkan hati dan kalau saya tidak ada anak-anak sudah lama saya ke pejabat agama untuk memerdekakan diri.

''Saya tak sanggup hidup sepanjang hayat dengan seorang penipu yang bergelumang dengan dosa. Dan seorang hipokrit kalau depan saudara mara mesranya dengan isteri dan anak-anak kalahkan drama tv semata-mata nak tunjuk bahawa kamilah keluarga bahagia, sedangkan tidak.

''Tapi bila balik ke rumah mula tunjuk muka monyok dan cakap yang bukan-bukan. Paling saya meluat bila dia ugut nak ceraikan saya, dia ingat saya takut? Saya dah bersedia nak tinggalkan dia dan nak tengok sangat dia bela anak-anak. Nak tengok setakat mana kesempurnaan hidupnya tanpa saya, seperti dia selalu cabar saya.

''Janganlah ingat tanggungjawab suami cukup sempurna dengan mengenyangkan perut anak isteri sahaja. Tak guna kenyangkan mereka dengan air mata, hatinya disakiti, emosi diugut, dan hatinya dicarik-carik dengan ugutan demi ugutan.

''Kalaulah saya tidak sabar dan bersikap mengalah sejak mula berkahwin lagi sudah pasti perkahwinan kami tidak akan jejak hingga 15 tahun. Tapi kali ini saya nekad, saya tak takut diceraikan. Ramai wanita di luar sana boleh hidup tanpa suami, asalkan kita sanggup berkorban.

''Sesungguhnya Islam itu adil. Suami dan isteri ada hak mempertahankan dirinya. Dengan segala bukti penipuan Kay dan Izah di bilik hotel, saya pasti menang. Ketika itu nanti dia akan tahu siapa sebenarnya nusyuz.'' Demikian cerita Noramira tentang perjuangan hidupnya.

Masalah yang dilalui oleh Noramira banyak berlaku di kalangan kita, ia benar-benar memerlukan kesabaran yang tinggi. Untuk mengambil jalan mudah hidup bersendirian memang senang tetapi sanggupkah anda? Kalau sudah biasa hidup seperti burung dalam sangkar?

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

Seminar Setiausaha 2009


Cetak Emel
setiausahaadv1450.jpg
Download Borang

Seperti tahun-tahun sebelumnya, kemunculan April akan dinanti dengan penuh harapan khusus oleh para setiausaha untuk menjamu selera di samping menikmati halwa telinga dan mata dengan persembahan artis pilihan masing-masing. April juga akan memperlihatkan perhimpunan para setiausaha untuk bersantai di tempat-tempat eksklusif sambil berhibur.

Dikesempatan ini juga kebanyakan hotel dan kelab terkemuka akan berlumba-lumba untuk menawarkan pakej terbaik bagi menarik peserta ke lokasi mereka.

Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd. (UP&D) juga tidak terkecuali dalam mengisi kalender sempena minggu setiausaha ini. Namun, konsep yang diinisiatif oleh UP&D sejak tahun 2002 sangat berbeza dengan anjuran organisasi lain. Selaras dengan usaha menjana minda masyarakat, UP&D menampilkan persembahan majlis dengan gabungan antara nilai-nilai akademik serta maklumat dan persembahan hiburan.

Pada tahun 2009 ini iaitu kali yang kelapan, UP&D sekali lagi menganjurkan seminar setiausaha bagi merai dan menghargai sumbangan para setiausaha khususnya dalam pembentukan organisasi yang cemerlang. Seminar ini akan diadakan pada 27 April 2009 (Ianin), bertempat di Mahkota 3, Hotel Istana, Kuala Lumpur bermula pada pukul 8.30 pagi hingga 5.00 petang. Seminar pada tahun ini mendapat kerjasama daripada D’Navechee, DCL dan Hotel Istana, Kuala Lumpur.

Selaras dengan perkembangan teknologi maklumat dan pembinaan sahsiah ilmu, seminar setiausaha ini diadakan untuk memberi penerangan, pengetahuan dan justifikasi bagaimana seseorang setiausaha berperanan. Tema seminar pada kali ini akan memberi fokus kepada peranan penting seseorang setiausaha dalam mempertingkatkan intergriti serta imej syarikat atau organisasi. Walaupun pada dasarnya mereka adalah pembantu kepada ketua, namun tidak dapat dinafikan seorang setiausaha mempunyai peranan tertentu, bukanlah sekadar penghias pejabat. Setiausaha juga perlu berketrampilan menaraik dan bijak dalam tutur kata dan pergaulan.

Berpandukan pengalaman sebagai majikan dan setiausaha, ahli panel akan berkongsi pengetahuan dan ilmu bagaimana untuk melahirkan setiausaha yang produktif serta inovatif. Kita perlu abaikan stigma konvensional bahawa seseorang setiausaha hanyalah merupakan penyeri atau orang suruhan ketua jabatan.
.
Menyedari potensi dan kebolehan diri, perubahan sikap, kesanggupan menghadapi cabaran serta mengambil tindakan secara proaktif adalah di antara langkah ke arah kejayaan seseorang setiausaha.

Konsep dan kandungan seminar akan berfokus kepada beberapa kepekaan, peranan dan tanggungjawab seseorang setiausaha untuk membina semangat bagi meningkatkan ketrampilan, pemahaman, kesedaran, merebut peluang, motivasi diri dan pembinaan organisasi ke arah kecemerlangan dan kegemilangan.

Penganjuran seminar ini bukan sahaja diadakan sebagai mengisi kalendar minggu setiausaha yang banyak dianjurkan oleh pelbagai pihak, tetapi lebih daripada itu. Penganjuran ini akan berfokus kepada menyediakan pendedahan kepada para peserta (setiausaha khususnya) mengenai sikap dan perancangan masa depan dalam bidang kesetiausahaan.

Selain itu, sebagai setiausaha, mereka juga perlu mengetahui teknik dan petua komunikasi yang cemerlang dan petua penampilan diri yang anggun dan menawan. Sebagai pegawai penting dalam organisasi, setiausaha perlu bijak menggunakan kelebihan komunikasi dan penampilan ini bagi menyakinkan masyarakat atau pelanggan untuk terus berurusan dengan majikan masing-masing.

Melalui seminar ini juga para setiausaha akan diberi peluang untuk mengenali potensi diri dalam melakukan sesuatu tindakan agar ia lebih berkeyakinan kerana perubahan diri, minda dan sikap ke arah yang lebih dinamik sememangnya sedia ada dalam diri mereka, Cuma sesetengah mereka tidak berkeupayaan untuk menzahirkan kehebatan atau kebolehan tersebut.

Ahli panel yang ditampilkan untuk berkongsi pengetahuan, ilmu dan pengalaman dalam seminar sehari ini merupakan “model” yang seharusnya boleh dijadikan ikutan. YBhg. Dato’ Azlina Hj. Che Abdullah, pengasas syarikat kecantikan D’Navechee dan juga pemenang anugerah Wanita Ikon anjuran majalah Wanita serta Puan Shariffa Rasheeda Al-Junied, perunding imej DCL adalah panel yang akan berkongsi petua dan pengalaman untuk meningkatkan integriti seseorang setiausaha ke arah yang lebih cemerlang dan berketrampilan menarik.

Selain kedua-dua penel tersebut, seminar kali ini tidak ketinggalan menampilkan artis sebagai nilai tambah kepada intipati seminar itu. Kehadiran Roslan Shah yang akan bertindak sebagai pengacara majlis dan Hattan yang akan menghiburkan para peserta semasa makan tengah hari secara tidak langsung dapat dijadikan hiburan santai kepada para setiausaha. Seminar ini juga akan dimeriahkan lagi dengan persembahan pertunjukan fesyen oleh De’Zain Boutique.

Setiap peserta hanya perlu membayar RM300 untuk menyertai seminar ini termasuk kertas kerja seminar, sagu hati, cabutan bertuah, minum pagi, makan tengah hari dan minum petang.

Untuk maklumat lanjut atau sebarang pertanyaan, sila hubungi Azizah Rashidi atau Ann Fara di talian 03-92856577 dan faks 03-9274645.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

Setiausaha mesti jaga rahsia


Shariffa Rasheedah Al Junied.

KEJAYAAN sebuah syarikat sering dikait dengan peranan seorang setiausaha. Bukan sahaja dari segi ketelitian membuat kerja, malah sikap dalam menjaga kerahsiaan syarikat dan hal peribadi majikan perlu menjadi keutamaan.Dalam kata lain, setiausaha perlu amanah dalam kerja mereka.Ini kerana kelancaran kerja majikan dan sebuah syarikat banyak bergantung kepada pengurusan setiausaha.

Secara tidak langsung, setiausaha menjadi ilham kepada majikannya atau sesebuah organisasi itu dalam melahirkan suasana kerja yang positif.Sementara itu, seorang setiausaha perlu menjaga penampilan agar lebih ceria dan mudah didekati termasuk cara solekan, pakaian dan berkomunikasi.Menurut penasihat imej dan latihan D'Navechee, Shariffa Rasheedah Al Junied, setiausaha mempunyai peranan dan amalan yang penting iaitu seseorang perlulah bersikap setia kepada organisasi dan ketuanya dalam aspek menjalankan tugas yang diamanahkan.

Mereka juga perlu menjaga kerahsiaan syarikat dan hal peribadi majikan.

"Seorang setiausaha akan menjaga rahsia syarikat dan juga hal ehwal majikannya. Walaupun timbul tekanan kerana berlakunya lebihan kerja, setiausaha perlu memikul tanggungjawab tersebut. Oleh itu, setiausaha perlu pandai mengatur masa. Panduan ringkas, jangan bawa kerja ke rumah. Selain itu, setiausaha perlu tegas supaya tiada kecuaian dan kebocoran dalam maklumat penting dan rahsia dalam dokumen," katanya yang ditemui di sidang media seminar setiausaha anjuran Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd. (UP&D) di Hotel Istana baru-baru ini.Selain Rasheedah, pengasas syarikat kecantikan D'Navechee dan juga pemenang anugerah Wanita Ikon anjuran majalah Wanita, Datuk Azlina Hj. Che Abdullah antara panel yang akan menyampaikan seminar.Seminar yang akan diadakan pada 27 April ini mendapat kerjasama daripada D'Navechee, DCL dan Hotel Istana, Kuala Lumpur.Menuruh Rasheedah, setiausaha juga perlu sensitif kepada persekitaran ketua dan organisasinya sebelum sebarang cadangan.

Baginya, bekerja dengan majikan wanita lebih mudah kerana mereka saling memahami keperluan.Bahkan, setiausaha wanita dapat memahami majikan wanita dengan hanya membaca bahasa tubuh badan."Pada era ini, kerjaya setiausaha lebih mencabar. Oleh itu, mereka perlu menjaga peribadi untuk berhadapan dengan orang ramai. Misalnya, cara berpakaian amat penting untuk mengelakkan gangguan seksual. Namun, setiausaha masih boleh bergaya dengan ketrampilan peribadi

yang menarik dan mempunyai imej yang tersendiri," jelasnya.Selain itu, imej seorang setiausaha sama ada mereka bertudung atau tidak amat penting kerana ia mencerminkan identiti majikan dan syarikat."Mereka perlu kemas dan gaya tidak boleh terlalu menonjol. Tidak semestinya perlu mengenakan kot dan memilih warna gelap. Kriteria pakaian penting untuk menceriakan suasana. Setiausaha boleh memilih pakaian yang bersifat kewanitaan dengan memilih warna yang ceria seperti kuning, oren atau merah samar.Dari sudut psikologi, setiausaha boleh berubah dan warna ceria boleh membina perasaan yang baik," katanya yang pernah menjadi pembantu dan setiausaha Azlina.Dalam pada itu, seminar itu turut menampilkan Roslan Shah yang akan bertindak sebagai pengacara majlis dan Hattan yang akan menghiburkan para peserta. Seminar ini juga akan dimeriahkan lagi dengan persembahan pertunjukan fesyen oleh De'Zain Boutique.

Setiap peserta hanya perlu membayar RM300 untuk menyertai seminar ini termasuk kertas kerja seminar, sagu hati, cabutan bertuah, minum pagi, makan tengah hari dan minum petang.

Untuk maklumat lanjut atau sebarang pertanyaan, sila hubungi Azizah Rashidi atau Ann Fara di talian 03-92856577 dan faks 03-9274645

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

Resipi donut tujuh dekad

Krispy Kreme Doughnuts And Coffee akan menemui peminat donut dengan 15 jenis perisa bermula 27 April ini di kedai pertamanya di Berjaya Times Square.


TERDAPAT 15 perisa ditawarkan kepada pelanggan menerusi kedai pertama di Berjaya Times Square.


PEMINAT donut kini berpeluang menikmati sajian kegemaran mereka apabila rangkaian kedai donut popular Krispy Kreme Doughnuts And Coffee melebarkan sayap perniagaannya di Malaysia.

Krispy Kreme yang wujud sejak tahun 1937 itu mula diperkenalkan di Carolina, Amerika Syarikat. Di cawangan pertamanya di Malaysia, terdapat 15 perisa ditawarkan kepada para penggemar donut di Berjaya Times Square yang akan dibuka pada 27 April ini.

Antara perisa itu adalah original glazed, chocolate iced glazed, chocolate iced kreme filled, powdered strawberry filled dan chocolate iced with sprinkles.

Peminat donut juga boleh memilih untuk mencuba perisa glazed vanilla cake, green tea twist, hershey's dark chocolate, New York cheesecake, hershey's cookies & cream, chocolate iced cake dan almond all over.Kesemua perisa yang disediakan itu masih mengekalkan keunggulan resipi turun temurun sejak 72 tahun lalu. Krispy Kreme menjadi kegemaran ramai di seluruh dunia kerana hidangannya sentiasa segar dan berkualiti.Dianggarkan kira-kira 18,000 donut sehari mampu disediakan di kedai tersebut dan dijual pada harga antara RM2.50 hingga RM2.80 sebiji.Ia mula dikenali menerusi perisa original glazed yang boleh dinikmati terus selepas dimasak. Sekali cuba, pastinya anda mahu mencubanya lagi dengan perisa yang lain pula.

Lebih menarik lagi, sempena pembukaan cawangan pertama di Malaysia, peminat donut boleh melihat dengan lebih dekat proses menyediakan donut Krispy Kreme yang dilakukan dari awal sehinggalah siap untuk dijual.Sementara itu, hiasan premis masih mengekalkan konsep sejarah awal penubuhannya dan cawangan Krispy Kreme tersebut juga mendapat sentuhan dekorasi berunsurkan moden.Bagi peminat Krispy Kreme, mereka bukan hanya dapat mencuba kelembutan donut itu, malah anda juga tidak perlu berfikir panjang untuk melegakan tekak dengan hirupan kopi yang menyegarkan.Sempena pembukaan pertama cawangannya itu, pelbagai tawaran bakal menemui pengunjung yang tentunya sanggup beratur di premis tersebut tepat pukul 10 pagi, 27 April ini.

Pelanggan pertama yang berjaya membeli satu dozen Krispy Kreme Original Glazed akan memenangi hadiah 52 dozen donut percuma selama setahun.Bagi pelanggan yang berada di tangga kedua dan ketiga, mereka tidak akan pulang dengan tangan kosong. Mereka yang bertuah itu akan menerima The Silver Ticket iaitu donut percuma selama enam bulan.

Bagi pemenang ketiga pula, anda akan membawa pulang Bronze Ticket untuk menikmati donut percuma selama tiga bulan.Dalam pada itu, bagi pelanggan yang tidak bernasib baik untuk menerima tawaran tersebut, mereka berpeluang meraih hadiah donut percuma selama sebulan dan cawan Krispy Kreme Doughnuts And Coffee.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

Peluang sertai bengkel kambing dan ikan air tawar


Bengkel kambing yang diadakan di Ladang Syamille Agro Farm bakal memberi pendedahan kepada peserta dalam pelbagai aspek ternakan.


Selepas menganjurkan beberapa siri bengkel pertanian sejak setahun lepas melibatkan penanaman cendawan, ternakan ikan keli dan kambing, tahun ini program bertujuan melahirkan usahawan pertanian tersebut diteruskan lagi.

Pada tahun ini ia bermula dengan Bengkel Usahawan Bersama Mega Utusan Malaysia melibatkan teknologi fertigasi iaitu penanaman menggunakan sistem pengairan baja dan air serentak untuk pokok cili.

Beberapa siri bengkel tersebut diadakan dan mendapat sambutan menggalakkan peserta dari serata pelosok negara.

Bengkel anjuran Utusan Malaysia itu mendapat penajaan Agro Bank, selain kerjasama strategik dengan May Consult, sebuah syarikat perunding pertanian tempatan.

Dua bengkel akan diadakan serentak iaitu Bengkel Usahawan Kambing pada 24 hingga 27 April ini di Ladang Syamille Agro Farm Sdn. Bhd. di Kuala Kangsar, Perak, manakala Bengkel Usahawan Ikan Air Tawar-Ketutu, Haruan akan diadakan pada 25 hingga 27 April di Sungai Petani Kedah. Bersama-sama ini disertakan borang penyertaan untuk mereka yang berminat menyertai bengkel tersebut dengan bayaran RM150 seorang.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments