Usaha UMK lahirkan ‘pencipta’ peluang pekerjaan
KOTA BHARU 13 April – ‘Penganggur terhormat’ merupakan istilah yang lazimnya dikaitkan dengan lepasan institusi pengajian tinggi di negara ini dan masih menjadi fenomena. Namun amalan sekadar menanti peluang pekerjaan setimpal dengan status sebagai ‘produk’ universiti bukanlah suatu yang harus dilihat sebagai terhormat.Apatah lagi dengan tahap pengajian itu sepatutnya mewajarkan mereka bukan sekadar menanti tetapi berupaya memanfaatkan ilmu dan pengetahuan dengan membuka peluang kerja sendiri.
Sikap menunggu peluang dalam alam realiti penuh persaingan ini cuba dikikis oleh Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang bertapak di negeri yang juga digambarkan sebagai negeri ‘pengeksport’ usahawan dan tenaga kerja terbesar ke seluruh negara.UMK yang baru menginjak usia tiga tahun menyasarkan sekurang-kurangnya 10 peratus daripada graduan sulung mereka pada 2011 nanti sudah bergelar usahawan dan tidak bergantung kepada orang lain untuk mendapat peluang ‘rezeki’.Dekan Fakulti Perniagaan dan Keusahawanan (FKP), Prof. Dr. Mohamed Dahlan Ibrahim berkata, sasaran itu tidak sukar dicapai kerana hakikatnya lebih sembilan peratus atau 111 daripada 1,223 mahasiswa di situ sudah membuka ‘syarikat’ mereka sendiri.
Dr. Mohamed Dahlan memberitahu Utusan Malaysia, selari dengan kewujudan UMK sebagai universiti yang berteraskan keusahawanan, semua pelajar digalakkan untuk aktif berniaga sejak dari awal lagi bagi menyediakan tapak pengalaman.Jelasnya, UMK mahu melahirkan siswazah yang berupaya mencipta peluang kerja untuk orang lain dalam masyarakat dan bukannya yang hanya memikirkan untung nasib sendiri.“Kalau kita mahu melahirkan usahawan, kita kena didik bukan dengan teori tetapi beri mereka peluang untuk aplikasi apa yang diajar dalam kelas.
“Menyuap benda-benda teori adalah mudah dan mereka juga mungkin boleh menjawab kertas peperiksaan dengan cemerlang tetapi kita di sini mahu mahasiswa faham apa itu dunia keusahawanan secara praktikal.
“Untung rugi biarlah mereka tanggung dan rasa sendiri, kita cuma letak syarat mereka mesti memastikan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) tidak rendah daripada 2.0 dan sekiranya itu terjadi mereka dikehendaki menutup perniagaan,” katanya.Di universiti tersebut, selain pelajar FKP sendiri, semua yang mengikuti pelbagai jurusan di fakulti-fakulti lain diwajibkan mengambil 13 jam kredit subjek berkaitan perniagaan dan keusahawanan.Menurut Dr. Mohamed Dahlan, sejak Mac 2008 lagi, sebuah Suruhanjaya Syarikat Universiti (SSU) telah ditubuhkan untuk tujuan itu bagi memudahkan lagi proses melahirkan ‘tauke-tauke besar’ yang mana beliau sendiri bertanggungjawab selaku Pendaftar.Katanya, sebelum itu, sebarang permohonan untuk berniaga dalam kampus secara sah akan diproses mengikut permohonan dan perlu mendapat kebenaran khusus daripada Naib Canselor.
“Namun dengan lahirnya SSU, badan ini sendiri yang mendaftar dan mentadbir selia kesemua aktiviti keusahawanan pelajar di dalam kampus dan ia merupakan cerminan kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang beroperasi di dunia perniagaan sebenar.“Syarikat yang berdaftar dengan SSM secara automatik dikira sudah masuk senarai daftar SSU dan berpeluang mendapat pelbagai sokongan,” ujarnya.Beliau berkata, setakat ini terdapat 54 buah syarikat kesemuanya yang disenaraikan dengan SSU dan 42 daripadanya adalah syarikat yang berdaftar dengan SSM.Jelasnya, ia membabitkan penglibatan mahasiswa tahun satu hingga tiga dari pelbagai fakulti dan kesemuanya membuka perniagaan dengan modal sendiri.
0 comments:
Post a Comment