Perbezaan antara 'guru' dengan 'cikgu'
Ramai orang berpendapat bahawa 'cikgu' dan 'guru' seerti dan perkataan itu boleh menggantikan satu sama lain.Ada pula pendapat yang mengatakan bahawa 'cikgu' merupakan panggilan kepada guru, misalnya, panggilan Cikgu Sarinah, Cikgu Alijah, Cikgu Salim dan lain-lain. 'Guru' pula maknanya, orang yang mengajar (teacher). 'Guru' pula membawa pengertian umum bagi 'cikgu'. Contoh ayat: 1. Cikgu Salwa mengajar di sekolah menengah. 2. Anaknya yang sulung menjadi guru. Perkataan 'cikgu' berasal daripada dua suku kata iaitu 'cik' - singkatan daripada perkataan 'encik'.Kata ganti nama 'encik' juga digunakan sebelum nama perempuan yang belum berkahwin atau digunakan sewaktu bercakap dengan perempuan atau lelaki yang tidak begitu dikenali. Singkatan bagi perkataan ini ialah 'cik'. Misalnya, Cik Hasyimah, Cik Faizal dan lain-lain. Kata ganti nama 'cik' yang diikuti perkataan 'gu', membentuk perkataan 'cikgu', yang digunakan sebagai panggilan kepada guru (dalam bahasa Inggeris, teacher).Perkataan 'guru' pula bererti orang yang mengajar, pendidik, pengajar, pengasuh (Kamus Dewan, halaman 420). Justeru, pendapat yang mengatakan bahawa perkataan 'cikgu' digunakan bagi nama panggilan, misalnya, Cikgu Kamisah, Cikgu Hasnah, Cikgu Farid dan lain-lain (nama-nama khas) dan perkataan 'guru' pula digunakan dalam bentuk nama am bagi perkataan 'cikgu', memanglah betul.Orang-orang dahulu mengatakan bahawa terdapat perbezaan makna dan tugas antara 'cikgu' dengan 'guru' sebab suku kata 'gu' dalam bahasa Sanskrit bererti orang yang mengajar, sementara suku kata 'ru' pula bererti 'contoh yang baik'. Kedua-dua suku kata itu disatukan menjadi perkataan 'guru' yang bererti 'orang yang mengajar dan menunjukkan contoh yang baik.. 'Cikgu' pula bererti orang yang tugasnya hanya mengajar. Menurut pendapat ini, orang yang dipanggil 'guru' lebih berat tugas dan tanggungjawabnya daripada 'cikgu' sebab 'guru' bertugas mengajar dan menunjukkan contoh yang baik dari segi peribadi dan tingkah laku.Oleh itu, perkataan 'guru' dengan 'cikgu' berbeza makna dan tugasnya. Cikgu hanya mengajar atau menyampaikan ilmu dan tugasnya selesai selepas waktu sekolah. Selepas waktu kerja, cikgu dan murid membawa haluan masing-masing - bak kata orang, 'Lu sapa, gua sapa'.Berbeza pula dengan guru yang tugasnya mengajar dan menunjukkan contoh yang baik untuk membentuk akhlak dan peribadi anak didiknya. TUAN GURU Pada masa dahulu, guru itu dipanggil 'tuan guru' kerana dihormati masyarakat, lantaran ilmu dan akhlaknya yang baik. Dapatan ini saya perolehi semasa pertemuan dan perbualan singkat saya dengan Dr Cikgu Muhammad Ariff Ahmad. Kesimpulannya, pendapat ini menegaskan bahawa ada perbezaan erti dan tugas di antara 'cikgu' dengan 'guru'. Saya begitu tertarik dengan kata-kata beliau yang pada hemat saya rasional dan mencetus ilham saya menulis rencana ini.Kini, zaman orang berguru telah lenyap ditelan masa. Kita tidak pernah lagi mendengar orang mengatakan, 'Saya menghantar anak berguru,' 'Anak saya berguru di Australia,' atau 'Lydia berguru di Maktab Rendah Tampines.' Orang mengatakan, 'Saya menghantar anak ke sekolah,' atau 'Anaknya belajar di seberang laut,' walaupun makna 'berguru' itu seerti dengan 'belajar'.Pada zaman dahulu kita pernah mendengar orang mengatakan, 'Anak saya berguru di pesantren.'Dalam Hikayat Hang Tuah dikatakan bahawa 'Hang Tuah pergi berguru ke Gunung Ledang,'dan 'Hang Tuah berguru dengan Adiputra,' atau orang mengatakan, 'Anak saya berguru dengan Tuan guru di kampung seberang.'Pada masa itu orang berguru ilmu agama atau ilmu mempertahankan diri. Orang yang berguru itu bukan sahaja mendapat ilmu, malah dia juga diasuh dan dididik mencontohi akhlak yang baik daripada tuan guru.Justeru, seseorang yang berguru biasanya tinggal berbulan-bulan atau bertahun-tahun dengan tuan guru sehingga selesai perguruannya, dan sesudah itu barulah dia boleh pulang ke negeri atau kampung halamannya dengan berbekalkan ilmu, akhlak dan peribadi yang baik. Pada pendapat saya, dapatan Dr Cikgu Muhammad Ariff Ahmad itu benar dan ada lojiknya. GURU KENCING BERDIRI Cuba ambil contoh peribahasa Melayu yang berbunyi, 'Guru kencing berdiri, murid kencing berlari.' Ia bermakna, kelakuan murid mencontohi kelakuan guru, terutama dalam hal yang tidak baik, sebab sebab tingkah laku yang buruk lebih cepat dan mudah ditiru.Peribahasa ini pula tidak boleh diubah menjadi 'Cikgu kencing berdiri, murid kencing berlari,' sebab pada masa ini sememangnya ramai cikgu kencing berdiri, sesuai dengan keadaan tandas awam sekarang yang memerlukan cikgu kencing berdiri! Selain itu, teringat pula saya pada pantun peribahasa yang mempunyai makna mendalam dan mengesankan. Pantun tersebut berbunyi: Berburu ke padang datar, Perkataan 'berguru' digunakan juga dalam pantun ini.Mengapa tidak digunakan perkataan 'bercikgu kepalang ajar?' Atau 'Belajar kepalang ajar' sebab tugas guru dengan cikgu berbeza.Begitu juga dengan erti dan penggunaan kekata itu. Maksud pantun ini ialah, ilmu yang tidak sempurna dituntut tidak ada faedahnya. Perkataan 'berguru' digunakan dalam pantun itu untuk menegaskan bahawa insan yang berjaya dalam kehidupan bukan sahaja mesti berjaya mendapat ilmu, malah dia mesti juga memiliki akhlak dan sahsiah diri yang baik diprolehi atau dicontohi daripada gurunya.Tanggungjawab guru lebih berat dan mencabar, sedangkan cikgu dibayar gaji untuk mengajar dalam jangka waktu tertentu.Kini, amat sukar kita dapatkan khidmat guru (asatizah) yang sanggup mengajar, mendidik dan mengasuh, di samping menunjukkan contoh akhlak yang baik dengan penuh ikhlas tanpa memikirkan sangat tentang upah atau ganjaran kebendaan. Zaman 'tuan guru', 'tok guru' dan 'mak guru' sudah berlalu. Panggilan tersebut sudah lapuk ditelan zaman dan hanya tinggal kenangan.Oleh itu, ibu bapa perlulah memainkan peranan mereka sebagai 'pak guru' dan 'mak guru' untuk mendidik akhlak, tingkah laku dan sahsiah anak-anak mereka.Peranan ibu bapa masa kini begitu rumit. Mereka bukan sahaja terpaksa bertungkus-lumus mencari nafkah bagi memenuhi tuntutan hidup dan memberi kesenangan kepada anak-anak, mereka juga harus berperanan menjadi 'guru' di rumah, seiring dengan kata-kata bahawa ibu bapalah guru pertama anak-anak dan rumah merupakan sekolah pertama bagi mereka. Ibu bapa sekarang bukan sahaja perlu menguasai ilmu keibubapaan, malah mereka harus menguasai ilmu keguruan.Ibu bapa sekarang perlu memainkan peranan mendidik, mengasuh dan membentuk peribadi mulia anak-anak agar gejala sosial yang berleluasa masa ini dapat dikurangkan bagi menaikkan martabat masyarakat dan bangsa.Walaupun sibuk mencari kemewahan hidup, kita tidak patut abaikan tanggungjawab dan tugas utama dan terpenting sebagai guru di rumah kerana orang yang dipanggil 'tuan guru', 'tok guru' dan 'mak guru' amat sukar ditemui masa kini.
dapat rusa belang kaki;
berguru kepalang ajar,
bagai bunga kembang tak jadi.
0 comments:
Post a Comment