Jadi pusat alat solek, dandanan gobal

KUALA LUMPUR 13 April. - Malaysia berpotensi besar untuk muncul sebagai pusat global bagi alat solek dan alat dandanan halal, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir.

Beliau berkata, produk itu boleh dihasilkan bagi pasaran eksport kerana Malaysia amat kaya dengan herba-herba unik.

“Syarikat-syarikat mempunyai kelebihan dalam memasuki pasaran global kerana kita telah berjaya menimbulkan kesedaran tentang Standard Halal Malaysia, yang dianggap premium pada skala global,” katanya selepas merasmikan Persidangan Kosmetik dan Alat Dandanan Halal Antarabangsa 2010 di sini hari ini.

“Pasaran kosmetik global bernilai AS$334 bilion dan pasaran kosmetik halal dunia dianggarkan bernilai AS$13 bilion,” katanya, sambil menyebut data-data daripada Institut Sains Penjagaan Peribadi Australia.

Bercakap kepada pemberita, beliau berkata industri itu mungkin merupakan sektor berikutnya yang akan berkembang dalam industri halal, selepas makanan halal dan kewangan Islam.

“Industri ini yang wujud sejak 1980 di negara ini, telah menyaksikan pertumbuhan kukuh khususnya dalam tahun-tahun kebelakangan ini, dan menyumbang 10-20 peratus daripada keseluruhan pasaran kosmetik tempatan. “Pasaran kosmetik halal baru berusia setahun jagung tetapi dalam tempoh sekarang hingga ia matang, peluang yang ada amat luas dan tidak terbatas.

“Malaysia berada pada kedudukan yang amat baik untuk memanfaatkan industri yang pesat berkembang ini,” tegas Mukhriz.

Beliau berkata, berdasarkan tinjauan industri, kosmetik dan alat dandanan halal menguasai sembilan peratus pasaran produk halal pada 2005.

Menurut beliau, tinjauan itu juga menunjukkan 57.6 peratus umat Islam di Singapura dan 37.7 peratus di Indonesia, sedar akan kewujudan produk itu dan akan membelinya jika ada.

“Daripada angka ini, lebih separuh mengakui kesukaran mendapatkan produk kosmetik halal,” kata menteri itu sambil menambah bahawa kira-kira 25 peratus kosmetik yang dijual kini disahkan halal di Timur Tengah.

Pada majlis perasmian persidangan itu, Mukhriz juga melancarkan Malaysia Trade majalah pertama di negara ini yang memberikan tumpuan kepada isu-isu perdagangan dan disasarkan kepada pengeksport dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

0 comments: