Barat tidak lagi memonopoli pasaran dunia - Dr. Mahathir

KUALA LUMPUR 6 April - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad memberitahu, negara-negara Barat tidak lagi memonopoli ekonomi dan ilmu pengetahuan kerana kebanyakan produk untuk pasaran dunia kini dihasilkan di negara-negara Asia.Beliau menambah, tidak ada satu ideologi atau falsafah mendominasi dunia sekarang kerana idea untuk membangunkan ekonomi global kini datang daripada semua masyarakat serta negara dan tidak ada sesiapa yang memonopoli ilmu pengetahuan sama ada negara Barat atau Timur.Katanya, negara-negara Barat perlu lihat kepada realiti bahawa produk baru untuk pasaran global datang dari Asia dan di Eropah pula pasaran kewangan telah runtuh.Oleh itu, tegas beliau, Barat perlu melakukan perniagaan yang sebenar bukan memanipulasi pasaran kewangan.

"Mereka perlu keluar daripada perniagaan yang tidak memberi keuntungan seperti memanipulasi pasaran kewangan kerana ia telah runtuh dan kini terpaksa berdepan dengan krisis ekonomi yang teruk."Satu cara sahaja untuk menyelamatkan ekonomi mereka iaitu dengan menjual barang sebenar bukan melakukan manipulasi," katanya.Beliau berkata demikian dalam persidangan video ketika menyertai sesi dialog yang dikendalikan oleh Dr. Frank Jurgen Richter mengenai "Pemindahan Kuasa dari Barat ke Timur dan Dorongan Baru Dalam Perniagaan" dengan 300 peserta Seminar dan Pameran Lebuh Raya Antarabangsa PLUS (Piece 2010) di sini hari ini.Dr. Mahathir kini berada di Sarajevo, Bosnia untuk menghadiri Forum Perniagaan Bosnia selama dua hari yang bermula hari ini.

Katanya, negara-negara Barat kini berhadapan dengan krisis ekonomi yang teruk di mana banyak industri terpaksa ditutup dan terpaksa melaksanakan polisi perlindungan bagi melindungi beberapa industri penting dari produk murah dari Cina serta negara-negara lain.

"Untuk memulihkan ekonomi negara Barat, mereka perlu mengawal sistem ekonomi kapitalisme kerana sistem tersebut memusnahkan ekonomi mereka."Pengaliran modal perlu dikawal kerana ia mampu menjejaskan ekonomi sesebuah negara seperti yang berlaku sekarang."Ini kerana terlalu banyak modal di dalam pasaran sehinggakan bank-bank tidak dapat memungut semula pinjaman yang diberikan menyebabkan keruntuhan sistem kewangan negara Barat," katanya.

Dr. Mahathir menegaskan, negara-negara Barat perlu membentuk sebuah institusi untuk mengawal sistem ekonomi kapitalisme dan pasaran kewangan.Ketika ditanya apakah nasihat yang akan diberikan sekiranya berjumpa dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama, Dr. Mahathir memberitahu:

"Nasihat pertama ialah jangan buat terlalu banyak janji semasa kempen Presiden."

Dr. Mahathir juga memberitahu, Obama perlu lari daripada tradisi kepimpinan AS yang mempunyai satu objektif iaitu mendominasi dunia melalui kekuatan tentera.Mengenai China, beliau memberitahu, AS perlu bekerja dengan negara itu kerana China akan terus menjadi kuasa ekonomi dan kuasa tentera.Maka katanya, jangan sekali-kali menghalang pembangunan ekonomi negara tersebut untuk kemakmuran dunia

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

0 comments: