Fragmen seni Siti Nurhaliza
|
Apa jua yang dimilikinya hari ini bukannya datang bergolek. Sebaliknya ia merupakan hasil kerja keras sehingga menjadi penyanyi nombor satu negara.
Sememangnya tarikh ini cukup signifikan bukan sahaja buat tuan punya badan tetapi juga peminat dan penyokong yang tidak pernah berhenti menyokongnya sejak daripada mula.
Mungkin akan ada yang bertanya masih relevan lagikah Siti diangkat sebagai penyanyi nombor satu Malaysia? Atau ada yang berpendapatan popularitinya sudah tidak sehebat dulu.Lebih-lebih lagi selepas mendirikan rumah tangga bersama usahawan terkenal, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa pada 21 Ogos 2006 yang telah mencetuskan perdebatan dan polemik.
Popular atau tidak rasanya ia tidak perlu dipertikaikan kerana sehingga kini namanya terus menjadi sebutan dan mempunyai nilai berita yang cukup tinggi.Umum mengetahui segala-gala pencapaian dan kejayaan yang dikecapi oleh anak kepada pasangan Allahyarham Tarudin Ismail dan Siti Salmah Bachik ini sepanjang bergelar penyanyi.Jika diselak lembaran hidupnya sejak 15 tahun lalu, pastinya ia telah mencatatkan pelbagai kenangan indah yang pasti tidak akan dilupakan oleh wanita berusia 31 tahun ini.Dalam satu perbualan dengannya baru-baru ini, Siti sendiri ada kalanya tersenyum sendirian tatkala terkenangkan perjalanan seni yang penuh warna-warni itu.
Terlalu banyak kenangan manis yang telah dilakar dan secara peribadi, Siti sendiri tidak menyangka bahawa sudah 15 tahun dia menghiburkan peminat dan masyarakat.Jelas Siti, tempoh yang dilaluinya itu telah merakamkan fragmen yang menggambarkan tangis, ketawa dan duka seorang yang bernama Siti Nurhaliza."Saya amat bersyukur kerana apa yang saya impikan dan hajatkan sepanjang 15 tahun ini semuanya diperkenankan dan dimakbulkan Allah.
"Memang banyak sangat kejayaan yang telah saya kecapi setakat ini dan ia tidak terungkap dengan kata-kata."Saya bertuah kerana kejayaan yang saya kecapi bukan kerana saya seorang tetapi mereka yang banyak membantu dan menyokong saya seperti keluarga, peminat dan pihak media," ungkapnya penuh jujur saat diminta merumuskan usia 15 tahunnya dalam bidang seni.Antara impian yang sudah tercapai seperti dimaksudkan Siti adalah mengadakan konsert pertamanya sebelum berusia 20 tahun, bertemu empat mata dengan penyanyi pujaannya, Celine Dion dan juga menghiburkan peminatnya di seluruh negara menerusi konsert jelajah pada tahun 2004.Lebih membanggakan dan meninggalkan kenangan manis buat Siti apabila dia berpeluang mengadakan konsert solonya di Royal Albert Hall, London, lima tahun lalu selain persembahan di luar negara dan melawat negara-negara yang selalu menjadi mainan mimpinya.
Kerana itulah kata Siti, dia tidak pernah kesal memilih bidang seni sebagai mata pencarian kerana dia amat percaya apa yang tertulis semuanya merupakan ketentuan Allah.
"Apa yang saya lalui sepanjang tempoh itu sudah cukup lengkap untuk menggambarkan siapa diri saya yang sebenar."Kejayaan yang dikecapi dan disulami dengan kegagalan membuatkan saya menjadi lebih kuat dan matang jika hendak dibandingkan 15 tahun lalu," ujar Siti yang mula menempa nama sebaik sahaja bergelar juara Bintang HMI terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada tahun 1995.Memang harus diakui, bukan mudah untuk menjadi seseorang seperti Siti Nurhaliza. Kalau tidak dikuatkan iman dan semangat, memang ia akan membuatkan seseorang itu mudah menyerah kalah.Apatah lagi untuk berdepan dengan tohmahan, kritikan dan pelbagai fitnah serta cerita-cerita dusta yang sering dilemparkan kepadanya.Itu belum lagi dengki khianat daripada orang-orang sekeliling yang sentiasa tidak berpuas hati terhadap pencapaian dirinya sehingga dia pernah digelar sebagai penutup periuk nasi orang lain.
Namun bagi Siti, dia tidak pernah ambil pusing semua itu kerana pokok pangkal, semuanya harus datang dari diri sendiri."Kalau saya hanya duduk dan memikirkan apa yang orang memperkatakan tentang diri saya, memang saya tidak akan berpeluang melakukan apa yang mahu dilakukan."Saya harus bergerak ke depan dan memikirkan perkara yang dapat menjadikan saya seorang yang lebih baik dalam apa jua perkara sekali pun," katanya.Pada masa yang sama, pelantun lagu Purnama Merindu dan Biarlah Rahsia ini masih lagi melihat dirinya mempunyai kelemahan yang perlu diperbaiki.Tanpa segan-silu Siti memberitahu dia mahu terus memperbaiki kemahiran komunikasi serta pertuturannya dalam bahasa Inggeris yang sering diperkatakan masyarakat.
Bukan itu sahaja, pemenang Vokal Wanita Terbaik Anugerah Industri Muzik sebanyak 10 kali itu juga mahu terus belajar dan mempelajari teknik nyanyian agar lebih menarik seandainya mahu melakukan sesuatu yang berbeza dalam muziknya."Saya juga terus mahu menghasilkan dan menerbitkan album yang bagus dan memiliki muzik serta bunyi yang baru seiring dengan peredaran zaman."Selain itu, saya masih menyimpan impian untuk melahirkan album Inggeris dan sebuah album yang muziknya dimainkan dengan iringan orkestra."Bukan itu sahaja, saya juga masih mahu mengadakan konsert tradisional, konsert mega dan beraksi di Dewan Filharmonik Petronas."Bagi merealisasikan impian saya itu, saya akan terus berkerja keras kerana semuanya akan terhasil kalau kita bersabar dan berusaha untuk mendapatkannya," kata Siti yang akan lahir dengan album terbarunya berkonsepkan pop menjelang pertengahan atau penghujung tahun ini.
Teringat kata-kata Siti dalam satu perbualan tidak lama dulu apabila dia juga memasang impian dan mahu melihat albumnya khususnya tradisional untuk dicalonkan dan seterusnya memenangi anugerah Grammy.Siti yang juga dikenali sebagai artis yang tidak betah duduk diam itu juga menyifatkan ulang tahun ke-15 sebagai anak seni membawa seribu makna dalam dirinya.Kini dia boleh tersenyum lebar dan bangga apabila sudah berjaya mengeluarkan produk kecantikan atas namanya sendiri selepas 15 tahun memasang impian.Produknya yang baru sahaja dilancarkan pada 30 Mac lalu itu dengan jenama Simply Siti merangkumi penjagaan kulit muka dan juga barangan kosmetik lain antaranya gincu, pembayang mata, maskara dan pemerah pipi.
Simply Siti juga dilihat sebagai tiket untuk terus meluaskan dan mengukuhkan empayar Siti bukan sahaja sebagai seorang penghibur tetapi juga ahli perniagaan."Simply Siti adalah refleksi kepada apa yang saya suka dan impikan selama ini."Dengan lahirnya Simply Siti juga, ia adalah sebagai jaminan dan persediaan untuk masa depan jika saya sudah tidak menyanyi lagi," ujarnya.Bagaimana dengan anak pula? Sudahkah Siti bersedia untuk berehat dan menumpukan perhatian kepada keluarga?"Insya Allah, masa itu akan tiba juga. Tetapi buat masa ini saya akan sibuk dengan produk saya sehingga hujung tahun," katanya.
0 comments:
Post a Comment