Otak-otak Melaka raih jualan lebih RM1.4 juta

MELAKA 25 April - Otak-Otak Melaka, sejenis makanan yang diperbuat daripada ikan yang dihasilkan oleh Cahaya Mala Enterprise (CME) meraih jualan melebihi RM1.4 juta pada tahun lepas.Pengurus CME Sukri Monel berkata CME juga menghasilkan sate, samosa, karipap dan pelbagai perencah masakan yang meraih jualan lebih RM100,000 bagi tempoh yang sama.

"Jumlah keseluruhan jualan produk syarikat kami pada tahun lepas melebihi RM1.5 juta. Ia meningkat RM500,000 berbanding tahun 2008," katanya di sini.Sukri berkata, syarikat yang ditubuhkan bersama isterinya Noormala Ismail pada 2005 itu mencatat jualan RM700,000 pada tahun 2007, 2006 (RM500,00), 2005 (RM100,00) dan pada tahun ini CME menyasarkan jualan lebih RM1.8 juta.Di sebalik catatan jualan yang tinggi untuk produk otak-otak, katanya CME sentiasa berhadapan dengan risiko kerugian yang tinggi kerana produk otak-otak mudah rosak.Bagi mengatasi masalah itu, CME menggunakan kaedah pembekuan 48 jam tetapi kaedah tersebut hanya dapat memanjangkan jangka hayat produk itu selama dua bulan berbanding kaedah blast freezer yang sedang dikaji oleh CME bersama Jabatan Perikanan yang dijangka boleh memanjangkan jangka hayat produk selama dua tahun.

Selain itu, beliau berkata, CME perlu menjual otak-otak dalam bilangan yang tinggi bagi mengatasi kerugian yang disebabkan oleh kerosakan produk tersebut.Katanya CME mempunyai agen yang memasarkan produknya di seluruh Melaka dan Negeri Sembilan selain belian oleh individu termasuk dari luar negara seperti Brunei, Jepun dan New Zealand.Selain daripada jualan kepada agen dan individu, CME memasarkan produknya melalui program promosi anjuran Jabatan Perikanan dan Jabatan Pertanian, katanya.CME belum lagi bercadang untuk memasarkan Otak-Otak Melaka ke luar negara kerana syarikat itu sedang berusaha menguasai pasaran dalam negara terlebih dahulu, katanya.

Beliau berkata syarikat itu mempunyai sebuah kilang di Taman Bertam Perdana di sini yang mempunyai 24 orang pekerja, yang mampu menghasilkan antara 10,000 dan 25,000 keping otak-otak sehari."Bagi menghasilkan 10,000 keping otak-otak, CME memerlukan 250 kg daun nipah dan 150 kg campuran ikan selain campuran bahan lain seperti lada kering dan garam.""Kami ambil bahan mentah utama daun nipah dan campuran ikan dari Johor," katanya.Beliau berkata, campuran bahan-bahan itu menjadikan Otak-Otak Melaka unik kerana mempunyai identiti rasa masyarakat Melaka berbanding otak-otak pengusaha lain.Bagi memastikan resipi tersebut sentiasa digemari, katanya CME sentiasa mendapatkan maklum balas pelanggan seterusnya memperbaiki resipi tersebut dari semasa ke semasa dan hasil usaha itu, Otak-Otak Melaka digemari bukan sahaja masyarakat Melayu tetapi masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Walau pun produk makanan tradisional berkenaan mempunyai pasaran masa depan yang cerah, katanya generasi muda kurang berminat untuk terlibat dalam penghasilan makanan itu.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

0 comments: