MIDF sasar RM200j dana bantu usahawan PKS

MALAYSIAN Industrial Development Finance Bhd (MIDF) menyasar menyalurkan keseluruhan dana berjumlah RM200 juta menerusi Skim Pinjaman Mudah Enterpris Kecil dan Sederhana (EKS) yang ditawarkannya, menjelang akhir tahun ini.Setakat ini, katanya, MIDF telah menyalurkan pinjaman berjumlah RM34 juta kepada 44 syarikat PKS yang terbabit dalam sektor perkhidmatan dan pembuatan menerusi skim berkenaan.

“Kami menyasar menyalurkan baki pinjaman berjumlah kira-kira RM166 juta lagi sebelum akhir tahun ini untuk dimanfaatkan syarikat PKS. Ia bagi membantu mereka meningkatkan perniagaan ketika keadaan ekonomi negara yang kini semakin bertambah baik,” katanya ketika ditemui pada program Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2010 di Kuching, Sarawak, kelmarin. MIDF, anak syarikat Permodalan Nasional Bhd (PNB), menerima peruntukan dana berjumlah RM200 juta menerusi skim pinjaman mudah EKS menerusi pembentangan Bajet 2010 yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, tahun lalu.

Ia adalah dana tambahan kepada skim sedia ada yang menerima peruntukan berjumlah RM230 juta menerusi Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9). Nik Izani menjelaskan, setakat 31 Mac lalu, MIDF telah menyalurkan pinjaman berjumlah RM687 juta di bawah skim EKS, menerusi modal pusingan di bawah peruntukan RMK-9. Katanya, skim EKS yang disediakan kumpulan perbankan itu mendapat sambutan memberangsangkan berikutan ia menawarkan kadar faedah rendah iaitu empat peratus. “Kadar faedah yang ditawarkan lebih rendah daripada bank komersial lain dan MIDF akan secara agresif mempromosikan skim EKS tahun ini, termasuk pembabitannya dalam MSAM 2010,” katanya. Dalam pada itu, MIDF turut menawarkan tempoh menangguhkan bayaran balik pinjaman, yang mana peminjam hanya perlu membayar kadar faedah saja dalam tempoh dua tahun. Beliau berkata, langkah itu bermatlamat untuk tidak membebankan peminjam yang masih dalam peringkat awal menjalankan projek atau perniagaan mereka.

“Apabila mereka sudah mula menghasilkan produk dan dapat menjana aliran tunai, peminjam akan diminta meneruskan bayaran ansuran penuh selepas tempoh itu,” katanya pinjaman maksimum ditawarkan ialah RM3 juta dengan tempoh bayaran balik antara lima hingga 15 tahun. Nik Izani menambah, Skim EKS tidak saja ditawarkan kepada peminjam yang ingin memulakan perniagaan, malah kepada syarikat yang mahu mengembangkan perniagaan mereka. MIDF yang ditubuhkan pada 1960, meraikan ulang tahun ke-50 tahun ini dan mempunyai tiga perniagaan teras iaitu bank pelaburan, pengurusan aset dan pembiayaan pembangunan. Agensi di bawah Kementerian Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu turut mendapat mandat untuk mengendalikan beberapa skim pinjaman mudah untuk EKS. Ia termasuk Skim Pinjaman Mudah untuk Modenisasi dan Automasi; Skim Pinjaman Mudah untuk Pembangunan Automotif serta bagi penempatan semula kilang.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

0 comments: