Mencari pelapis generasi berinovasi


Zulkifli Haron turut turun pada memberi bimbingan kepada peserta kursus.


"KREATIVITI dan inovasi merupakan pengetahuan penting yang perlu diterapkan dalam diri setiap lapisan masyarakat.''Perluasan aplikasi ilmu ini pasti dapat membantu negara membangun dengan lebih baik tanpa memerlukan sokongan pihak luar sekali gus mengelak penjajahan ekonomi,''

Demikian harapan Pengarah Urusan Zull Design Autotronic (ZDA), Zulkifli Haron, ketika berucap pada majlis pelancaran Bengkel MEGA Ke Arah Rakan Inovasi Peringkat Kebangsaan 2010 Siri II, di Sekolah Menengah Teknik Tuanku Jaafar (SMTTJ), Seremban, Negeri Sembilan baru-baru ini.

Majlis perasmiannya telah disempurnakan oleh Setiausaha Bahagian Inovasi dan Pengkomersialan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datin Nur Wahidah Wong Abdullah.

Hadir sama, Penolong Ketua Pengarang II Kumpulan Utusan, Ahmad Abdul Hamid dan Pengetua Sekolah, Arshad Md. Yusof

Bengkel MEGA Ke Arah Rakan Inovasi telah dicetuskan oleh Utusan Malaysia menerusi akhbar sisipan MEGA dengan kerjasama syarikat ZDA.SMTTJ merupakan lokasi penganjuran kedua selepas bengkel yang sama diadakan di Sekolah Menengah Teknik Kajang, Selangor Februari lalu.Ia sebagai menyokong usaha kerajaan yang mahu rakyat negara ini meraikan kreativiti menerusi sambutan Malaysia Inovatif 2010.Sama seperti penganjuran pertama, bengkel tersebut dibimbing oleh Zulfadzli Haron.

Bengkel yang bertujuan serta menarik minat masyarakat dalam bidang reka cipta itu memberi fokus kepada aktiviti teori dan praktikal.

Ia dilihat sebagai platform pendidikan teknikal terbaik untuk memupuk minat serta membimbing masyarakat ke arah menjadikan bidang tersebut sebagai kerjaya dan sumber pendapatan.Menurut Zulkifli lagi, kreativiti tidak boleh dilihat sebagai bahan pelajaran semata-mata, sebaliknya ia mencerminkan sikap dan kesungguhan seseorang.

Katanya, kreativiti dan inovasi merupakan elemen paling penting dalam dunia kerana tanpanya, manusia tidak akan ke mana-mana.Justeru, setiap ahli masyarakat diseru supaya sentiasa bergerak ke hadapan mencari dan memperkembangkan inovasi baharu tanpa rasa jemu.

Sejak bengkel berkenaan dianjurkan, pihak ZDA telah menerima banyak pertanyaan dan respons positif menerusi laman web mereka.

Malah, bilangan peserta bengkel juga meningkat dua kali ganda berbanding bengkel siri pertama dengan penyertaan dari segenap peringkat umur.

''Perkembangan baik ini menunjukkan sebenarnya ramai rakyat Malaysia meminati bidang inovasi cuma mereka tidak mempunyai platform yang sesuai untuk bertanya dan berdialog.

'Jadi menerusi bengkel ini, kita akan memberi peluang kepada mereka mengetengahkan idea di samping mempelajari ilmu baru dalam dunia inovasi,'' katanya yang telah berpengalaman lebih 15 tahun menganjurkan kursus seumpama itu.Sejak penganjuran kursus berkenaan, pihaknya turut menggalakkan para peserta menghantar idea inovasi mereka kepada pihak ZDA dalam bentuk lukisan.Ia bertujuan untuk memberi motivasi kepada mereka supaya melihat bidang reka cipta mempunyai potensi dari sudut kerjaya dan kewangan serta dapat menjamin masa hadapan.''Kita akan membayar antara RM50 hingga RM100 untuk setiap lukisan yang dihantar tidak kira sama ada ia boleh berfungsi atau tidak.''Jika produk yang dicipta boleh diperkembang dan dikomersialkan, kita juga akan membayar royalti kepada pencipta produk.

''Kita sangat-sangat memerlukan pelapis. Jadi menerusi cara ini, kita akan dapat mengenalpasti para peserta yang berpotensi terutama daripada kalangan remaja atau lebih dikenali sebagai generasi Y,'' katanya.Dalam perkembangan lain, beliau juga bercadang untuk mengambil para peserta yang berbakat sebagai anak angkat untuk menerima biasiswa ZDA dalam membantu mereka memperkembangkan bakat inovasi.

Ini kerana, beliau amat yakin dengan bakat yang dimiliki oleh rakyat negara ini dan percaya jika mereka diberi peluang, bidang inovasi dan kejuruteraan reka cipta pasti dapat berkembang dengan cemerlang.''Setiap manusia memiliki bakat kreativiti sejak dilahirkan cuma perkembangannya tidak berguru.''Jadi, menerusi peluang ini, saya pasti para peserta akan dapat mempelajari bagaimana mencipta inovasi, menghasilkan produk dan seterusnya memasarkannya,'' jelasnya.Beliau memberitahu, bengkel yang diadakan sebulan sekali itu akan terus bergerak ke negeri-negeri lain dengan sasaran penyertaan peserta seramai 100,000 menjelang akhir tahun ini.Malah beliau bercadang supaya setiap peserta bengkel secara automatik akan menjadi ahli Kelab Reka Cipta ZDA dan Utusan Malaysia yang dirancang penubuhannya tidak lama lagi.

Sementara itu, Datin Nur Wahidah Wong pula menyifatkan penganjuran bengkel berkenaan sebagai sesuatu yang bermanfaat untuk menggalakkan rakyat bersaing dalam era globalisasi.

''Kejayaan negara mempunyai kaitan rapat dengan kejayaan rakyat.

'Jadi, untuk mencapai kecemerlangan, rakyat mesti berani keluar daripada norma kehidupan biasa untuk menghasilkan perubahan positif,'' katanya.

Beliau memberitahu, MOSTI akan sentiasa menyokong usaha memperkembangkan inovasi menerusi kerjasama dengan jabatan kerajaan, pihak swasta dan juga badan bukan kerajaan (NGO).

Ahmad pula berharap agar setiap ahli masyarakat tidak kira umur harus mengambil peluang menyertai bengkel tersebut.''Jika mereka bersungguh-sungguh, tidak mustahil kelompok generasi inovasi ini akan dapat menjana ciptaan yang cukup berguna untuk negara pada masa depan,'' jelasnya.Pada bengkel itu juga, pihak SMTTJ mengadakan pameran inovasi mini untuk mengetengahkan hasil rekaan dan kreativiti pelajar-pelajar sekolah tersebut.

Maklumat lanjut mengenai Bengkel MEGA Ke Arah Rakan Inovasi, boleh hubungi Jabatan Pengurusan Jenama, Utusan Melayu di talian 03-9221 0202 atau emel lieya@utusan. com.my . Mereka juga boleh me layari laman web www.zulldesign.com.my

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

0 comments: