Busana Rozyta jadi pusat latihan sehenti


ROZYTA Mohd. Iman (kanan) akan memberikan latihan daripada peringkat asas sehingga peringkat tertinggi dalam bidang jahitan.

PENGALAMAN ditipu pelanggan kadang kala boleh menyebabkan seseorang usahawan itu menjadi tawar hati untuk terus berniaga.

"Manakan tidak, selepas diminta menyediakan segala persiapan untuk majlis persandingannya, segala wang yang dilaburkan untuk membeli pakaian dan peralatan pelamin hangus begitu sahaja," cerita seorang pengusaha butik, Rozyta Mohd. Iman, tentang pengalamannya ditipu pelanggan yang enggan membayar khidmatnya.

Bagaimanapun itu semua tidak mematahkan semangatnya kerana ia adalah asam garam hidup sebagai usahawan, malah menjadikannya lebih matang dalam mengendalikan perniagaan.

Bagi pemilik Busana Fesyen Rozyta itu, kejayaannya membuka butik sendiri tahun lepas selepas lebih 15 tahun terlibat dalam bidang jahitan yang hanya dijalankan secara sambilan di rumah sebelum ini merupakan satu peluang yang tidak harus disia-siakan."Saya bermula dengan belajar menjahit dari arwah ibu dan kemudiannya meningkatkan kemahiran dengan mengikuti kursus di Institut Kemahiran Utara naungan Mara," kata Rozyta yang mempunyai empat orang anak berusia antara enam hingga 17 tahun.Katanya, ketika melakukan perniagaan dari rumah, kerja-kerja menjahit kadang kala terpaksa juga dilakukan di dapur kerana dia masih perlu menyediakan masakan untuk anak-anak dan suami yang pulang dari sekolah dan pejabat.Kini segalanya telah berubah apabila Rozyta telah mempunyai butik sendiri yang juga merupakan pusat latihan untuk melahirkan usahawan wanita dalam bidang jahitan dan perniagaan berkaitan dengan fesyen wanita.

Transformasi

Butik yang diusahakan Rozyta bukan hanya sekadar butik biasa yang memperagakan pakaian rekaan terkini dan mengambil tempahan, tetapi apa yang lebih penting ialah ia telah ditransformasikan menjadi sebuah pusat latihan usahawan wanita.

"Mereka yang berminat menjadi usahawan jahitan boleh mendapat latihan di sini yang akan menawarkan kursus jangka pendek dan panjang," kata Rozyta ketika ditemui di butiknya yang terletak Bandar Perda, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Antara bidang-bidang yang ditawarkan oleh Butik Rozyta ialah kursus lengkap mengenai jahitan wanita dan lelaki, pakaian seragam, sulaman, menjahit langsir dan sarung kusyen.Menurutnya, seseorang peserta kursus perlu menjalani latihan sekurang-kurangnya selama dua bulan untuk satu kursus asas jahitan pakaian wanita, sulaman atau langsir."Selain daripada belajar menjahit, para peserta juga akan didedahkan mengenai peluang-peluang perniagaan yang mereka boleh ceburi," katanya yang telah melatih lebih 300 peserta sejak dua tahun lepas.

Kelebihan belajar menjahit di tempat ini ialah segala kemudahan jahitan disediakan termasuk kain dan alatan jahitan dan pelajar boleh belajar dalam suasana yang selesa."Ini kerana bagi setiap sesi pembelajaran, saya hanya mengendalikan enam hingga 10 orang pelajar sahaja supaya peserta dapat memberi lebih tumpuan," katanya.Selepas tamat latihan, para peserta juga boleh juga bekerja secara sambilan di butik dengan melakukan kerja-kerja menjahit mengikut tempahan.Ketika ini, Butik Rozyta mempunyai empat orang kakitangan sepenuh masa dan juga melatih kakitangan praktikal daripada beberapa institusi latihan kerajaan.Ditanya mengenai kos untuk belajar di butik itu, Rozyta menyatakan pakej pembelajaran di butik ini bermula dengan kos RM1,300 untuk pakej latihan lengkap bagi pakaian wanita.Katanya, butiknya kini sedang merancang untuk menjual pakaiannya di Internet selaras dengan kemajuan teknologi dan trend pembelian terkini."Jika ada rezeki, saya juga berhasrat untuk membuka sebuah kilang pakaian yang mana boleh menerima tempahan dari Internet," katanya.

Kesimpulannya, mungkin ramai daripada kita yang mampu menjadi tukang jahit dengan kemahiran semula jadi dimiliki tetapi berapa ramai pula yang mampu menjadikan ia sebagai satu perniagaan yang berjaya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

0 comments: