Nasi bungkus, pelancong mewah
BARU-baru ini ramai terkejut dengan kenyataan Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said yang mahu menjadikan Pulau Redang sebagai destinasi percutian mewah dengan hanya menawarkan pakej penginapan melebih RM1,500 semalaman selain hanya membenarkan pembangunan hotel atau resort lima bintang sahaja.
Malah, kenyataan MB Terengganu itu yang menggambarkan mereka yang memakan nasi bungkus merupakan golongan yang menjejaskan alam sekitar, kurang dapat diterima pelancong domestik yang rata-rata bukan pelancong bertaraf ‘mewah’.
Kenyataan mahu menjadikan Pulau Redang sebagai lokasi pelancongan mewah itu juga menerima pelbagai reaksi pro dan kontra di kalangan peminat selam skuba, pencinta alam sekitar dan juga agensi yang berkaitan dengan pelancongan.
Aktiviti rekreasi marin penulis bermula di Pulau Redang kira-kira 16 tahun lalu.
Malah, sepanjang waktu itu juga, penulis mengenali segelintir orang kampung Pulau Redang ketika mereka masih lagi menjadikan Kuala Sungai Redang sebagai perkampungan mereka.
Tak tahu apa maklum balas orang-orang lama seperti Pak Uda Mamat, Pok Kar dan Pok Adik mengenai kenyataan MB mereka itu kerana apa jua terjadi termasuk pembangunan yang ada di pulau itu, penduduk juga bakal mendapat sedikit tempias daripadanya, baik atau buruk, terpulang.
Apa pun, bagi komuniti selam skuba di negara ini, kenyataan itu bakal menutup satu lagi peluang untuk mereka menyaksikan keindahan alam marin dengan harga berpatutan yang selama ini dikecapi tanpa ada sebarang sekatan.
“Jika selama ini, Redang menjadi antara destinasi percutian selam skuba yang berpatutan, saya khuatir selepas ini walaupun hasrat itu belum mahu diguna pakai, resort sedia ada bakal menaikkan harga pakej dengan sesuka hati dan ini juga akan menutup peluang penyelam skuba domestik untuk menyelam di Pulau Redang.
“Apa pun, saya tidak nampak sebarang perubahan yang bakal berlaku walaupun Pulau Redang ditukar dengan destinasi percutian mewah. Ini kerana, tidak semua orang kaya itu mempunyai perasaan untuk menjaga alam sekitar dan tidak semua orang kurang berada akan memusnahkan alam sekitar,” kata Anuar Abdullah, jurulatih selam skuba yang pernah menjadikan Pulau Redang sebagai pusat selam skubanya selama lebih 10 tahun.
Kenyataan Anuar itu disokong dengan kejadian pada April 2003, di mana kawasan batu karang di Teluk Bertigi dikorek dan dibawa naik hanya untuk membangunkan jeti sebuah resort mewah itu.
Untuk pengetahuan Ahmad, mengikut pengalaman dan pengamatan penulis sebelum kejadian itu, kawasan itu merupakan habitat ikan pari berlegar-legar termasuk penyu.
Kawasan cetek kira-kira 1 hingga 3 meter itu jika dipulihara mampu menjadi destinasi terkemuka bermain bersama ikan pari namun disebabkan perasaan rakus dan mementingkan diri sendiri, ia dikorek sehingga menyebabkan kini kawasan itu mempunyai kedalaman sehingga 20 meter bagi membolehkan segala macam jenis bot menggunakan jeti tersebut.
Tidak hanya itu, resort mewah itu juga pernah ‘dicekup’ Jabatan Alam Sekitar kerana melepaskan kumbahan tidak diproses terus ke dalam sungai dan seterusnya mengalir terus ke laut. Dan semua ini terjadi di dalam Taman Laut.
Bagi komuniti alam sekitar, kejadian itu merupakan satu tragedi. Selain itu, jika Ahmad berpendapat mereka yang menyertai pakej mewah lebih mempunyai nilai menjaga alam sekitar, penulis rasakan MB Terengganu itu sedang bermimpi di siang hari.
Adakah mereka yang tidak berpendapatan tinggi dan ‘miskin’ itu dipandang hina hingga dianggap penyebab kemusnahan alam sekitar?
Sekali lagi penulis ingin membawa Ahmad ke satu insiden yang boleh dikatakan terjadi setiap hari di kebanyakan resort mewah di pulau itu.
Jika MB Terengganu berada di Pulau Redang rasanya penulis dapat pastikan beliau akan dapat menyaksikan lautan manusia dengan jaket keselamatan berwarna oren mudik ke hulu atau ke hilir antara beberapa resort dan chalet dari Pasir Panjang ke Taman Laut di Pulau Pinang atau beberapa lokasi di Teluk Kalong Besar atau Tanjung Cina Terjun.
Penulis katakan lautan manusia disebabkan tidak kurang dari lima hingga enam bot besar selain bot-bot penambang (sama seperti bot penambang antara Kuala Terengganu ke Seberang Takir) yang diubah suai mengangkut pengunjung resort tidak kurang daripada tiga dozen satu bot ke lokasi snorkeling.
Jika dihitung secara kasar, kawasan terumbu karang lokasi snorkeling yang kecil itu mempunyai tidak kurang daripada 120 pengunjung pada satu-satu masa di mana hanya ada lima hingga enam jurupandu snorkeling yang bertugas.
Mengikut kajian, penggunaan losen penahan matahari dan mereka yang kencing di dalam laut mampu memusnahkan batu karang dalam tempoh yang lama.
Bayangkan impak alam yang mampu dilakukan oleh 120 pengunjung di kawasan berkenaan.
Penulis pernah menginap di hampir semua resort, hotel dan juga chalet di situ pernah menyaksikan sendiri gambar yang menunjukkan ada pengunjung memijak, duduk dan memegang terumbu karang ketika melakukan aktiviti snorkeling di Pulau Redang.
Nampaknya, ada juga mereka yang tidak memakan nasi bungkus membuat ‘onar’ yang mampu memusnahkan alam sekitar dan telahan Ahmad nampaknya kurang tepat.
Bukan nak menidakkan hasrat murni kerajaan negeri namun kenyataan MB Terengganu itu dilihat sebagai salah satu cara untuk ‘mengusir’ pelancong domestik yang rata-rata tidak mampu membayar kos penginapan melebihi RM1,500 semalam selain menutup pintu rezeki saki baki pengusaha chalet bumiputera yang masih bernyawa di Pulau Redang.
Bukan mengatakan Pulau Kapas atau Pulau Perhentian lokasi kurang menarik namun, sebagai pelancong, lebih-lebih lagi sebagai rakyat tempatan, kita mempunyai pilihan di negara sendiri.
Untuk pengetahuan Ahmad, penulis dapat rasakan, jika seseorang itu mempunyai kapasiti untuk membayar harga penginapan lebih RM1,500 semalam, adakah mereka akan ke Pulau Redang?
Adakah Ahmad Said melihat senario ini sama dengan beberapa resort mewah yang ada di Malaysia yang mahu diadaptasikan ke keseluruhan Pulau Redang?
Jika dilihat, pulau-pulau dengan konsep resort mewah itu dibangunkan di atas pulau terpencil dan bukan pulau tumpuan.
Sebenarnya kenyataan Ahmad itu merupakan satu jalan mudah dan pada pendapat Kerajaan Negeri Terengganu ia dapat mengurangkan impak kemusnahan terumbu karang sedia ada.
Bagi penulis, ia tidak akan ke mana-mana selain jika tidak dilakukan dengan betul, bukan hanya kelestarian terumbu karang itu tidak dapat diteruskan, Pulau Redang juga bakal ‘tenggelam’ dan sunyi dari peta pelancongan dunia ekoran tidak mendapat sambutan.
Apa pun, penulis berpendapat, kerajaan negeri perlu melihat senario ini dari dalam di mana penguatkuasaan serta pemerhatian khusus perlu dilakukan dengan pembabitan semua resort tidak kira kecil atau besar.
Hentikan sebarang pembangunan resort adalah langkah terbaik. Sebarang pembangunan sama ada kecil atau besar, lima bintang atau tiada bintang, tidak akan membantu pemuliharaan alam sekitar.
Selain itu, antara langkah awal yang boleh dilakukan ialah mengehadkan jumlah pengunjung di satu-satu lokasi selain menutup lokasi tertentu pada satu tempoh yang lama bagi membolehkan terumbu karang kekal hidup tanpa stres.
Yang penting, penguatkuasaan yang tegas perlu dilakukan oleh semua agensi berkaitan terutama Jabatan Taman Laut dengan memastikan arahan dan juga peraturan dikuatkuasakan dengan tertib dan berintegriti.
Penulis amat berharap, hasrat MB Terengganu itu tidak dilaksanakan tetapi masih mahu melihat satu perubahan positif dilakukan dalam mengekalkan keindahan alam sekitar marin yang ada di Pulau Redang.
Satu pesan penulis, jangan ulangi kesilapan menukar maskot negeri daripada penyu ke Nemo berulang kembali kerana jika ia terjadi, sekali lagi Terengganu bakal diperbualkan, bukan kerana sektor pelancongan yang hebat tetapi kerana ‘kebodohan’ melakukan satu-satu perkara tanpa melakukan pemerhatian yang terperinci.
0 comments:
Post a Comment