Perbezaan antara 'guru' dengan 'cikgu'

Ramai orang berpendapat bahawa 'cikgu' dan 'guru' seerti dan perkataan itu boleh menggantikan satu sama lain.Ada pula pendapat yang mengatakan bahawa 'cikgu' merupakan panggilan kepada guru, misalnya, panggilan Cikgu Sarinah, Cikgu Alijah, Cikgu Salim dan lain-lain.

'Guru' pula maknanya, orang yang mengajar (teacher).

'Guru' pula membawa pengertian umum bagi 'cikgu'.

Contoh ayat:

1. Cikgu Salwa mengajar di sekolah menengah.

2. Anaknya yang sulung menjadi guru.

Perkataan 'cikgu' berasal daripada dua suku kata iaitu 'cik' - singkatan daripada perkataan 'encik'.Kata ganti nama 'encik' juga digunakan sebelum nama perempuan yang belum berkahwin atau digunakan sewaktu bercakap dengan perempuan atau lelaki yang tidak begitu dikenali. Singkatan bagi perkataan ini ialah 'cik'.

Misalnya, Cik Hasyimah, Cik Faizal dan lain-lain.

Kata ganti nama 'cik' yang diikuti perkataan 'gu', membentuk perkataan 'cikgu', yang digunakan sebagai panggilan kepada guru (dalam bahasa Inggeris, teacher).Perkataan 'guru' pula bererti orang yang mengajar, pendidik, pengajar, pengasuh (Kamus Dewan, halaman 420).

Justeru, pendapat yang mengatakan bahawa perkataan 'cikgu' digunakan bagi nama panggilan, misalnya, Cikgu Kamisah, Cikgu Hasnah, Cikgu Farid dan lain-lain (nama-nama khas) dan perkataan 'guru' pula digunakan dalam bentuk nama am bagi perkataan 'cikgu', memanglah betul.Orang-orang dahulu mengatakan bahawa terdapat perbezaan makna dan tugas antara 'cikgu' dengan 'guru' sebab suku kata 'gu' dalam bahasa Sanskrit bererti orang yang mengajar, sementara suku kata 'ru' pula bererti 'contoh yang baik'.

Kedua-dua suku kata itu disatukan menjadi perkataan 'guru' yang bererti 'orang yang mengajar dan menunjukkan contoh yang baik..

'Cikgu' pula bererti orang yang tugasnya hanya mengajar.

Menurut pendapat ini, orang yang dipanggil 'guru' lebih berat tugas dan tanggungjawabnya daripada 'cikgu' sebab 'guru' bertugas mengajar dan menunjukkan contoh yang baik dari segi peribadi dan tingkah laku.Oleh itu, perkataan 'guru' dengan 'cikgu' berbeza makna dan tugasnya.

Cikgu hanya mengajar atau menyampaikan ilmu dan tugasnya selesai selepas waktu sekolah. Selepas waktu kerja, cikgu dan murid membawa haluan masing-masing - bak kata orang, 'Lu sapa, gua sapa'.Berbeza pula dengan guru yang tugasnya mengajar dan menunjukkan contoh yang baik untuk membentuk akhlak dan peribadi anak didiknya.

TUAN GURU

Pada masa dahulu, guru itu dipanggil 'tuan guru' kerana dihormati masyarakat, lantaran ilmu dan akhlaknya yang baik. Dapatan ini saya perolehi semasa pertemuan dan perbualan singkat saya dengan Dr Cikgu Muhammad Ariff Ahmad.

Kesimpulannya, pendapat ini menegaskan bahawa ada perbezaan erti dan tugas di antara 'cikgu' dengan 'guru'. Saya begitu tertarik dengan kata-kata beliau yang pada hemat saya rasional dan mencetus ilham saya menulis rencana ini.Kini, zaman orang berguru telah lenyap ditelan masa. Kita tidak pernah lagi mendengar orang mengatakan, 'Saya menghantar anak berguru,' 'Anak saya berguru di Australia,' atau 'Lydia berguru di Maktab Rendah Tampines.'

Orang mengatakan, 'Saya menghantar anak ke sekolah,' atau 'Anaknya belajar di seberang laut,' walaupun makna 'berguru' itu seerti dengan 'belajar'.Pada zaman dahulu kita pernah mendengar orang mengatakan, 'Anak saya berguru di pesantren.'Dalam Hikayat Hang Tuah dikatakan bahawa 'Hang Tuah pergi berguru ke Gunung Ledang,'dan 'Hang Tuah berguru dengan Adiputra,' atau orang mengatakan, 'Anak saya berguru dengan Tuan guru di kampung seberang.'Pada masa itu orang berguru ilmu agama atau ilmu mempertahankan diri.

Orang yang berguru itu bukan sahaja mendapat ilmu, malah dia juga diasuh dan dididik mencontohi akhlak yang baik daripada tuan guru.Justeru, seseorang yang berguru biasanya tinggal berbulan-bulan atau bertahun-tahun dengan tuan guru sehingga selesai perguruannya, dan sesudah itu barulah dia boleh pulang ke negeri atau kampung halamannya dengan berbekalkan ilmu, akhlak dan peribadi yang baik.

Pada pendapat saya, dapatan Dr Cikgu Muhammad Ariff Ahmad itu benar dan ada lojiknya.

GURU KENCING BERDIRI

Cuba ambil contoh peribahasa Melayu yang berbunyi, 'Guru kencing berdiri, murid kencing berlari.'

Ia bermakna, kelakuan murid mencontohi kelakuan guru, terutama dalam hal yang tidak baik, sebab sebab tingkah laku yang buruk lebih cepat dan mudah ditiru.Peribahasa ini pula tidak boleh diubah menjadi 'Cikgu kencing berdiri, murid kencing berlari,' sebab pada masa ini sememangnya ramai cikgu kencing berdiri, sesuai dengan keadaan tandas awam sekarang yang memerlukan cikgu kencing berdiri!

Selain itu, teringat pula saya pada pantun peribahasa yang mempunyai makna mendalam dan mengesankan. Pantun tersebut berbunyi:

Berburu ke padang datar,
dapat rusa belang kaki;
berguru kepalang ajar,
bagai bunga kembang tak jadi.

Perkataan 'berguru' digunakan juga dalam pantun ini.Mengapa tidak digunakan perkataan 'bercikgu kepalang ajar?' Atau 'Belajar kepalang ajar' sebab tugas guru dengan cikgu berbeza.Begitu juga dengan erti dan penggunaan kekata itu. Maksud pantun ini ialah, ilmu yang tidak sempurna dituntut tidak ada faedahnya.

Perkataan 'berguru' digunakan dalam pantun itu untuk menegaskan bahawa insan yang berjaya dalam kehidupan bukan sahaja mesti berjaya mendapat ilmu, malah dia mesti juga memiliki akhlak dan sahsiah diri yang baik diprolehi atau dicontohi daripada gurunya.Tanggungjawab guru lebih berat dan mencabar, sedangkan cikgu dibayar gaji untuk mengajar dalam jangka waktu tertentu.Kini, amat sukar kita dapatkan khidmat guru (asatizah) yang sanggup mengajar, mendidik dan mengasuh, di samping menunjukkan contoh akhlak yang baik dengan penuh ikhlas tanpa memikirkan sangat tentang upah atau ganjaran kebendaan.

Zaman 'tuan guru', 'tok guru' dan 'mak guru' sudah berlalu. Panggilan tersebut sudah lapuk ditelan zaman dan hanya tinggal kenangan.Oleh itu, ibu bapa perlulah memainkan peranan mereka sebagai 'pak guru' dan 'mak guru' untuk mendidik akhlak, tingkah laku dan sahsiah anak-anak mereka.Peranan ibu bapa masa kini begitu rumit. Mereka bukan sahaja terpaksa bertungkus-lumus mencari nafkah bagi memenuhi tuntutan hidup dan memberi kesenangan kepada anak-anak, mereka juga harus berperanan menjadi 'guru' di rumah, seiring dengan kata-kata bahawa ibu bapalah guru pertama anak-anak dan rumah merupakan sekolah pertama bagi mereka.

Ibu bapa sekarang bukan sahaja perlu menguasai ilmu keibubapaan, malah mereka harus menguasai ilmu keguruan.Ibu bapa sekarang perlu memainkan peranan mendidik, mengasuh dan membentuk peribadi mulia anak-anak agar gejala sosial yang berleluasa masa ini dapat dikurangkan bagi menaikkan martabat masyarakat dan bangsa.Walaupun sibuk mencari kemewahan hidup, kita tidak patut abaikan tanggungjawab dan tugas utama dan terpenting sebagai guru di rumah kerana orang yang dipanggil 'tuan guru', 'tok guru' dan 'mak guru' amat sukar ditemui masa kini.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

Sebatang pensel hasilkan 56 kilometer garisan

SEJAK di bangku sekolah, pelajar telah menggunakan pensel sebagai medium untuk menulis dan merekodkan apa yang dipelajari.

Alat tulis tersebut sebenarnya diperbuat daripada sebatang pigmen yang terdiri daripada bahan grafit berwarna ayau arang.

Pigmen itu diletakkan di dalam sebatang kayu keras atau plastik sebagai material luar yang menyokong dan membentuk pensel.

Secara puratanya, sebatang pensel boleh melakar garisan lurus sepanjang 56 kilometer atau menulis sebanyak 50,000 patah perkataan.

Di Amerika Syarikat, sebanyak dua bilion batang pensel telah dihasilkan setahun dan jika semuanya digunakan untuk membuat garisan, ia boleh menghasilkan garisan mengelilingi bumi sebanyak sembilan kali.

Berbeza dengan pen yang menggunakan cecair, tanda yang dibentuk menggunakan pensel boleh dihilangkan mengginakan getah pemadam.

Memberi revolusi kepada alat tulis berkenaan, ia kini telah dicipta dalam bentuk mekanikal untuk penggunaan yang lebih mudah dan selesa.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

Muhammad Yunus pengasas Bank Grameen

MUHAMMAD Yunus merupakan seorang usahawan dan pakar ekonomi Bangladesh.

Anak ketiga dari sembilan beradik, Muhammad dilahirkan pada 28 Jun 1940 dalam keluarga Islam di perkampungan Bathua berhampiran Jalan Boxirhat di Hathazari, Chittagong, British India (kini Bangladesh).

Bapanya Hazi Dula Mia Shoudagar, seorang tukang emas dan ibunya Sufia Khatun seorang suri rumah.

Masa kanak-kanaknya banyak dihabiskan di kampung sehingga tahun 1944, keluarganya berpindah ke bandar Chittagong dan beliau mula bersekolah di Sekolah Rendah Lamabazar.

Pada 1949, meskipun dirundung kesedihan kerana ibunya diserang penyakit berkaitan psikologi, beliau lulus matrikulasi dari Kolej Chittagong dengan tempat ke-16 di kalangan 39,000 pelajar di Pakistan Timur ketika itu (sekarang Bangladesh).

Semasa zaman persekolahan, Muhammad aktif dalam Persatuan Pengakap dan mengembara ke Pakistan Barat dan India pada 1952 dan Kanada pada 1955 bagi menghadiri Jamboree.

Beliau kemudian belajar di Kolej Chittagong dan menjadi seorang yang aktif dalam aktiviti kebudayaan dan memenangi beberapa anugerah bagi lakonan drama.

Pada 1957, beliau berjaya melanjutkan pelajaran dalam bidang ekonomi di Jabatan Ekonomi Universiti Dhaka sehingga mendapat Ijazah Sarjana Muda dan Ijazah Sarjana empat tahun kemudian.

Selepas tamat pengajian Muhammad bertugas sebagai penolong penyelidik di Biro Ekonomi di bawah Profesor nurul Islam dan Rehman Sohban.

Tidak lama kemudian, beliau dilantik sebagai pensyarah ekonomi di Kolej Chittagong pada 1961 dan menyediakan portfolio bagi sebuah kilang.

Prestasinya yang memberangsangkan menyebabkan beliau mendapat tawaran biasiswa fullbright pada 1965 bagi melanjutkan pelajaran ke Amerika Syarikat (AS).

Dengan biasiswa, beliau berjaya memperoleh doktor Falsafah dalam bidang ekonomi dari Universiti Vanderbilt menerusi program lepasan ijazah dalam Pembangunan Ekonomi pada 1971.

Bermula 1969 sehingga 1972, Yunus merupakan seorang penolong profesor ekonomi di Universiti Middle Tennessee di Murfreesboro, Tennessee.

Semasa Perang Saudara di Bangladesh pada 1971, beliau mengasaskan jawatankuasa masyarakat dan mengendalikan Pusat Informasi Bangladesh bersama-sama rakyat Bangladesh yang tinggal di AS bagi mendapatkan sokongan kemerdekaan.

Beliau juga menerbitkan Bangladesh Newsletter dari rumahnya di Nashville dan selepas perang, beliau kembali ke Bangladesh dan dilantik sebagai Pesuruhjaya Perancang kerajaan yang diketuai oleh Nurul Islam.

Bagaimanapun, Muhammad tidak bertahan lama dengan tugasnya, beliau berhenti dan bekerja di Universiti Chittagong sebagai Ketua Jabatan Ekonomi.

Di sana, beliau terlibat dalam program membasmi kemiskinan selepas meninjau keadaan kebuluran pada 1974 dan menjalankan program meningkatkan ekonomi kawasan luar bandar sebagai projek penyelidikan.

Pada 1975, beliau membangunkan Nabajug (Era Baru) Tebhaga Khamar (tiga ladang kongsi) di mana kerajaan mengambilnya sebagai Program Pakej Input.

Pakej berkenaan kemudian dilancarkan oleh Presiden Ziaur Rahman pada penghujung 1970-an.

Bagaimanpun pada 2 Ogos 2005, kerana campur tangan dan dakwaan yang difailkan oleh Bangladesh Legal Aids and Services Trust (BLAST), mahkamah mengisytiharkan Gram Sarkar tidak sah mengikut perlembagaan.

Pada 1976 semasa melawat ke persekitaran termiskin di perkampungan Jobra berhampiran Universiti Chittagong, beliau mendapati satu skim pinjaman kecil dapat membantu kehidupan masyarakat berkenaan.Beliau yang mula memberikan pinjaman sebanyak RM90 kepada kumpulan wanita berkenaan mendapat keuntungan 60 sen bagi setiap pinjaman, dapat mengurangkan kadar kemiskinan serta meningkatkan taraf hidup.Muhammad berjaya mendapatkan pinjaman daripada Bank Janata dan meminjamkannya kepada penduduk Jobra pada Disember 1976.Pada 1 Oktober 1983, projek perintis yang beroperasi sepenuhnya sebagai sebuah bank yang dinamakan Bank Grameen bagi membantu rakyat miskin Bangladesh.Bank Grameen terus berkembang dengan menjalankan banyak projek pertanian seperti Yayasan Nelayan Grameen, Yayasan Pertanian Grameen, Grameen Telecom dan banyak lagi.

Kejayaan model Grameen dalam pinjaman miko telah mendapat perhatian dunia termasuk negara maju dan membangun termasuk AS.Justeru kerana sumbangannya dalam Bank Grameen, Muhammad digelar Ashoka: Pencipta Inovasi bagi Masyarakat.

Pada 2006, yunus dianugerahkan Hadiah Nobel Keamanan atas sumbangannya dalam membangunkan masyarakat dengan Bank Grameen.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

MIDF sasar RM200j dana bantu usahawan PKS

MALAYSIAN Industrial Development Finance Bhd (MIDF) menyasar menyalurkan keseluruhan dana berjumlah RM200 juta menerusi Skim Pinjaman Mudah Enterpris Kecil dan Sederhana (EKS) yang ditawarkannya, menjelang akhir tahun ini.Setakat ini, katanya, MIDF telah menyalurkan pinjaman berjumlah RM34 juta kepada 44 syarikat PKS yang terbabit dalam sektor perkhidmatan dan pembuatan menerusi skim berkenaan.

“Kami menyasar menyalurkan baki pinjaman berjumlah kira-kira RM166 juta lagi sebelum akhir tahun ini untuk dimanfaatkan syarikat PKS. Ia bagi membantu mereka meningkatkan perniagaan ketika keadaan ekonomi negara yang kini semakin bertambah baik,” katanya ketika ditemui pada program Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2010 di Kuching, Sarawak, kelmarin. MIDF, anak syarikat Permodalan Nasional Bhd (PNB), menerima peruntukan dana berjumlah RM200 juta menerusi skim pinjaman mudah EKS menerusi pembentangan Bajet 2010 yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, tahun lalu.

Ia adalah dana tambahan kepada skim sedia ada yang menerima peruntukan berjumlah RM230 juta menerusi Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9). Nik Izani menjelaskan, setakat 31 Mac lalu, MIDF telah menyalurkan pinjaman berjumlah RM687 juta di bawah skim EKS, menerusi modal pusingan di bawah peruntukan RMK-9. Katanya, skim EKS yang disediakan kumpulan perbankan itu mendapat sambutan memberangsangkan berikutan ia menawarkan kadar faedah rendah iaitu empat peratus. “Kadar faedah yang ditawarkan lebih rendah daripada bank komersial lain dan MIDF akan secara agresif mempromosikan skim EKS tahun ini, termasuk pembabitannya dalam MSAM 2010,” katanya. Dalam pada itu, MIDF turut menawarkan tempoh menangguhkan bayaran balik pinjaman, yang mana peminjam hanya perlu membayar kadar faedah saja dalam tempoh dua tahun. Beliau berkata, langkah itu bermatlamat untuk tidak membebankan peminjam yang masih dalam peringkat awal menjalankan projek atau perniagaan mereka.

“Apabila mereka sudah mula menghasilkan produk dan dapat menjana aliran tunai, peminjam akan diminta meneruskan bayaran ansuran penuh selepas tempoh itu,” katanya pinjaman maksimum ditawarkan ialah RM3 juta dengan tempoh bayaran balik antara lima hingga 15 tahun. Nik Izani menambah, Skim EKS tidak saja ditawarkan kepada peminjam yang ingin memulakan perniagaan, malah kepada syarikat yang mahu mengembangkan perniagaan mereka. MIDF yang ditubuhkan pada 1960, meraikan ulang tahun ke-50 tahun ini dan mempunyai tiga perniagaan teras iaitu bank pelaburan, pengurusan aset dan pembiayaan pembangunan. Agensi di bawah Kementerian Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu turut mendapat mandat untuk mengendalikan beberapa skim pinjaman mudah untuk EKS. Ia termasuk Skim Pinjaman Mudah untuk Modenisasi dan Automasi; Skim Pinjaman Mudah untuk Pembangunan Automotif serta bagi penempatan semula kilang.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

Otak-otak Melaka raih jualan lebih RM1.4 juta

MELAKA 25 April - Otak-Otak Melaka, sejenis makanan yang diperbuat daripada ikan yang dihasilkan oleh Cahaya Mala Enterprise (CME) meraih jualan melebihi RM1.4 juta pada tahun lepas.Pengurus CME Sukri Monel berkata CME juga menghasilkan sate, samosa, karipap dan pelbagai perencah masakan yang meraih jualan lebih RM100,000 bagi tempoh yang sama.

"Jumlah keseluruhan jualan produk syarikat kami pada tahun lepas melebihi RM1.5 juta. Ia meningkat RM500,000 berbanding tahun 2008," katanya di sini.Sukri berkata, syarikat yang ditubuhkan bersama isterinya Noormala Ismail pada 2005 itu mencatat jualan RM700,000 pada tahun 2007, 2006 (RM500,00), 2005 (RM100,00) dan pada tahun ini CME menyasarkan jualan lebih RM1.8 juta.Di sebalik catatan jualan yang tinggi untuk produk otak-otak, katanya CME sentiasa berhadapan dengan risiko kerugian yang tinggi kerana produk otak-otak mudah rosak.Bagi mengatasi masalah itu, CME menggunakan kaedah pembekuan 48 jam tetapi kaedah tersebut hanya dapat memanjangkan jangka hayat produk itu selama dua bulan berbanding kaedah blast freezer yang sedang dikaji oleh CME bersama Jabatan Perikanan yang dijangka boleh memanjangkan jangka hayat produk selama dua tahun.

Selain itu, beliau berkata, CME perlu menjual otak-otak dalam bilangan yang tinggi bagi mengatasi kerugian yang disebabkan oleh kerosakan produk tersebut.Katanya CME mempunyai agen yang memasarkan produknya di seluruh Melaka dan Negeri Sembilan selain belian oleh individu termasuk dari luar negara seperti Brunei, Jepun dan New Zealand.Selain daripada jualan kepada agen dan individu, CME memasarkan produknya melalui program promosi anjuran Jabatan Perikanan dan Jabatan Pertanian, katanya.CME belum lagi bercadang untuk memasarkan Otak-Otak Melaka ke luar negara kerana syarikat itu sedang berusaha menguasai pasaran dalam negara terlebih dahulu, katanya.

Beliau berkata syarikat itu mempunyai sebuah kilang di Taman Bertam Perdana di sini yang mempunyai 24 orang pekerja, yang mampu menghasilkan antara 10,000 dan 25,000 keping otak-otak sehari."Bagi menghasilkan 10,000 keping otak-otak, CME memerlukan 250 kg daun nipah dan 150 kg campuran ikan selain campuran bahan lain seperti lada kering dan garam.""Kami ambil bahan mentah utama daun nipah dan campuran ikan dari Johor," katanya.Beliau berkata, campuran bahan-bahan itu menjadikan Otak-Otak Melaka unik kerana mempunyai identiti rasa masyarakat Melaka berbanding otak-otak pengusaha lain.Bagi memastikan resipi tersebut sentiasa digemari, katanya CME sentiasa mendapatkan maklum balas pelanggan seterusnya memperbaiki resipi tersebut dari semasa ke semasa dan hasil usaha itu, Otak-Otak Melaka digemari bukan sahaja masyarakat Melayu tetapi masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Walau pun produk makanan tradisional berkenaan mempunyai pasaran masa depan yang cerah, katanya generasi muda kurang berminat untuk terlibat dalam penghasilan makanan itu.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

Kempen usahawan Butik Mama


Koleksi tudung dan pakaian dari Butik Mama kini semakin mendapat perhatian.

HARI ini jika anda berbicara mengenai perniagaan jenis apakah yang mampu memberikan pulangan yang berbaloi, jawapannya sudah pasti perniagaan melalui Internet. Ia bukan sahaja mampu memasarkan produk ke seluruh dunia malah ia juga mampu menjadikan anda salah seorang usahawan berjaya.

Hakikatnya berniaga dalam talian (online) semakin menjadi pilihan terutama di kalangan suri rumah serta pelajar-pelajar lepasan universiti.

Cara tersebut juga telah disahkan keberkesanannya oleh jutawan Malaysia, Irfan Khairi, di mana beliau menjadi jutawan hanya berniaga melalui Internet.Untuk itu, bagi mereka yang ingin mencuba nasib menjadi usahawan online, Butik Mama kini membuka peluang kepada sesiapa sahaja yang berminat untuk berniaga melalui Kempen Usahawan Butik Mama.

Menurut Pengarahnya, Nor Ainna Ibrahim, 29, melalui kempen tersebut, orang ramai hanya perlu mengeluarkan modal sebanyak RM1,199.

Tambah beliau, hanya dengan jumlah itu orang ramai bukan sahaja akan diberikan produk seperti 20 helai tudung serta 10 pasang jubah malah mereka turut diberikan web hosting dan sub domain untuk membolehkan mereka terus memulakan perniagaan.

''Melalui kempen ini, segala-galanya disediakan oleh pihak kami dan mereka yang ingin menjadi usahawan hanya perlu mengeluarkan modal wang tunai sahaja.

''Anda bayangkan, selain tudung serta jubah diberikan, mereka juga turut disediakan laman web masing-masing untuk terus memulakan perniagaan ini.

''Untuk pengetahuan bersama, perniagaan secara online ini bukan sahaja menguntungkan malah risikonya adalah rendah jika hendak dibandingkan dengan perniagaan-perniagaan yang lain,'' ujarnya ketika ditemui di Utusan Malaysia, baru-baru ini.Jelas beliau lagi, produk keluarannya bukan sahaja dihasilkan di Malaysia tetapi ia juga memberi tumpuan kepada pengguna-pengguna pertengahan.Ini bermakna produk Butik Mama dijual pada harga yang berpatutan dan ia boleh dimiliki oleh sesiapa sahaja.

Pada masa sama, sempena Hari Ibu yang bakal disambut pada setiap hari Ahad minggu ke-2 bulan Mei, Butik Mama dengan kerjasama Utusan Malaysia akan menganjurkan Peraduan Muslimah Bergaya Bersama Ibu Tersayang.Menawarkan hadiah berupa wang tunai berserta produk-produk daripada Butik Mama, peraduan yang terbuka kepada wanita muslimah berumur dari 18 hingga 40 tahun akan berlangsung antara 15 April hingga 30 Jun ini.

Apa yang perlu anda lakukan hanyalah mengumpul sekurang-kurangnya 10 keratan kepala akhbar Utusan Malaysia di samping sertakan dua keping gambar berukuran 3R yang mengandungi sekeping gambar anda sendiri dengan pose menarik dan sekeping lagi gambar bersama ibu tersayang.Anda boleh menghantar seberapa banyak penyertaan dengan disertakan borang penyertaan asal yang lengkap, jelas dan kemas.Selain itu, anda juga perlu menyertakan resit pembelian dari Butik Mama/pengedar/stokis untuk setiap penyertaan.Penyertaan haruslah menggunakan borang seperti yang tersiar di bawah.

Bagi mereka yang berminat untuk menyertai Kempen Usahawan Butik Mama pula, bolehlah hubungi Nor Ainna di talian 012-3056727, email ke alamat mama@butikmama2u.com atau layari laman web www.butikmama2u.com.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

Mencari pelapis generasi berinovasi


Zulkifli Haron turut turun pada memberi bimbingan kepada peserta kursus.


"KREATIVITI dan inovasi merupakan pengetahuan penting yang perlu diterapkan dalam diri setiap lapisan masyarakat.''Perluasan aplikasi ilmu ini pasti dapat membantu negara membangun dengan lebih baik tanpa memerlukan sokongan pihak luar sekali gus mengelak penjajahan ekonomi,''

Demikian harapan Pengarah Urusan Zull Design Autotronic (ZDA), Zulkifli Haron, ketika berucap pada majlis pelancaran Bengkel MEGA Ke Arah Rakan Inovasi Peringkat Kebangsaan 2010 Siri II, di Sekolah Menengah Teknik Tuanku Jaafar (SMTTJ), Seremban, Negeri Sembilan baru-baru ini.

Majlis perasmiannya telah disempurnakan oleh Setiausaha Bahagian Inovasi dan Pengkomersialan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datin Nur Wahidah Wong Abdullah.

Hadir sama, Penolong Ketua Pengarang II Kumpulan Utusan, Ahmad Abdul Hamid dan Pengetua Sekolah, Arshad Md. Yusof

Bengkel MEGA Ke Arah Rakan Inovasi telah dicetuskan oleh Utusan Malaysia menerusi akhbar sisipan MEGA dengan kerjasama syarikat ZDA.SMTTJ merupakan lokasi penganjuran kedua selepas bengkel yang sama diadakan di Sekolah Menengah Teknik Kajang, Selangor Februari lalu.Ia sebagai menyokong usaha kerajaan yang mahu rakyat negara ini meraikan kreativiti menerusi sambutan Malaysia Inovatif 2010.Sama seperti penganjuran pertama, bengkel tersebut dibimbing oleh Zulfadzli Haron.

Bengkel yang bertujuan serta menarik minat masyarakat dalam bidang reka cipta itu memberi fokus kepada aktiviti teori dan praktikal.

Ia dilihat sebagai platform pendidikan teknikal terbaik untuk memupuk minat serta membimbing masyarakat ke arah menjadikan bidang tersebut sebagai kerjaya dan sumber pendapatan.Menurut Zulkifli lagi, kreativiti tidak boleh dilihat sebagai bahan pelajaran semata-mata, sebaliknya ia mencerminkan sikap dan kesungguhan seseorang.

Katanya, kreativiti dan inovasi merupakan elemen paling penting dalam dunia kerana tanpanya, manusia tidak akan ke mana-mana.Justeru, setiap ahli masyarakat diseru supaya sentiasa bergerak ke hadapan mencari dan memperkembangkan inovasi baharu tanpa rasa jemu.

Sejak bengkel berkenaan dianjurkan, pihak ZDA telah menerima banyak pertanyaan dan respons positif menerusi laman web mereka.

Malah, bilangan peserta bengkel juga meningkat dua kali ganda berbanding bengkel siri pertama dengan penyertaan dari segenap peringkat umur.

''Perkembangan baik ini menunjukkan sebenarnya ramai rakyat Malaysia meminati bidang inovasi cuma mereka tidak mempunyai platform yang sesuai untuk bertanya dan berdialog.

'Jadi menerusi bengkel ini, kita akan memberi peluang kepada mereka mengetengahkan idea di samping mempelajari ilmu baru dalam dunia inovasi,'' katanya yang telah berpengalaman lebih 15 tahun menganjurkan kursus seumpama itu.Sejak penganjuran kursus berkenaan, pihaknya turut menggalakkan para peserta menghantar idea inovasi mereka kepada pihak ZDA dalam bentuk lukisan.Ia bertujuan untuk memberi motivasi kepada mereka supaya melihat bidang reka cipta mempunyai potensi dari sudut kerjaya dan kewangan serta dapat menjamin masa hadapan.''Kita akan membayar antara RM50 hingga RM100 untuk setiap lukisan yang dihantar tidak kira sama ada ia boleh berfungsi atau tidak.''Jika produk yang dicipta boleh diperkembang dan dikomersialkan, kita juga akan membayar royalti kepada pencipta produk.

''Kita sangat-sangat memerlukan pelapis. Jadi menerusi cara ini, kita akan dapat mengenalpasti para peserta yang berpotensi terutama daripada kalangan remaja atau lebih dikenali sebagai generasi Y,'' katanya.Dalam perkembangan lain, beliau juga bercadang untuk mengambil para peserta yang berbakat sebagai anak angkat untuk menerima biasiswa ZDA dalam membantu mereka memperkembangkan bakat inovasi.

Ini kerana, beliau amat yakin dengan bakat yang dimiliki oleh rakyat negara ini dan percaya jika mereka diberi peluang, bidang inovasi dan kejuruteraan reka cipta pasti dapat berkembang dengan cemerlang.''Setiap manusia memiliki bakat kreativiti sejak dilahirkan cuma perkembangannya tidak berguru.''Jadi, menerusi peluang ini, saya pasti para peserta akan dapat mempelajari bagaimana mencipta inovasi, menghasilkan produk dan seterusnya memasarkannya,'' jelasnya.Beliau memberitahu, bengkel yang diadakan sebulan sekali itu akan terus bergerak ke negeri-negeri lain dengan sasaran penyertaan peserta seramai 100,000 menjelang akhir tahun ini.Malah beliau bercadang supaya setiap peserta bengkel secara automatik akan menjadi ahli Kelab Reka Cipta ZDA dan Utusan Malaysia yang dirancang penubuhannya tidak lama lagi.

Sementara itu, Datin Nur Wahidah Wong pula menyifatkan penganjuran bengkel berkenaan sebagai sesuatu yang bermanfaat untuk menggalakkan rakyat bersaing dalam era globalisasi.

''Kejayaan negara mempunyai kaitan rapat dengan kejayaan rakyat.

'Jadi, untuk mencapai kecemerlangan, rakyat mesti berani keluar daripada norma kehidupan biasa untuk menghasilkan perubahan positif,'' katanya.

Beliau memberitahu, MOSTI akan sentiasa menyokong usaha memperkembangkan inovasi menerusi kerjasama dengan jabatan kerajaan, pihak swasta dan juga badan bukan kerajaan (NGO).

Ahmad pula berharap agar setiap ahli masyarakat tidak kira umur harus mengambil peluang menyertai bengkel tersebut.''Jika mereka bersungguh-sungguh, tidak mustahil kelompok generasi inovasi ini akan dapat menjana ciptaan yang cukup berguna untuk negara pada masa depan,'' jelasnya.Pada bengkel itu juga, pihak SMTTJ mengadakan pameran inovasi mini untuk mengetengahkan hasil rekaan dan kreativiti pelajar-pelajar sekolah tersebut.

Maklumat lanjut mengenai Bengkel MEGA Ke Arah Rakan Inovasi, boleh hubungi Jabatan Pengurusan Jenama, Utusan Melayu di talian 03-9221 0202 atau emel lieya@utusan. com.my . Mereka juga boleh me layari laman web www.zulldesign.com.my

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

Etika mengguna kad kredit


Pengguna harus bijak menggunakan kad kredit agar tidak 'terperangkap' dengan beban hutan. - gambar hiasan


KAD kredit adalah antara produk institusi kewangan yang paling laris di pasaran. Kad kredit merujuk kepada sejenis kad yang ditawarkan oleh institusi kewangan seperti bank yang digunakan untuk mengganti penggunaan wang tunai.

Penggunaannya makin popular dan boleh dikatakan hampir setiap individu memiliki kad kredit. Sebabnya, ia memberikan kemudahan berbelanja tanpa perlu membawa wang tunai.

Secara mudahnya, kad kredit adalah satu kaedah pembayaran yang membolehkan pemegang kad membeli barangan atau mendapatkan perkhidmatan tanpa menggunakan wang tunai.

Namun, pernahkah kita bertanya bagaimana kad ini berfungsi atau kita hanya tahu gunakannya sahaja! Pihak pengeluar kad kredit apabila menawarkan kad kredit kepada pelanggannya, menerusi kad tersebut seseorang pelanggan itu diberi talian kredit, dengan had maksimum yang boleh dicaj kepada kad tersebut yang disebut sebagai 'had kredit'.

Apabila kad berkenaan digunakan untuk sebarang perbelanjaan maka had kredit yang diberikan akan berkurangan. Apabila bayaran dibuat maka had tersebut akan kembali bertambah dan ini jika pemegang kad kredit membuat bayaran balik baki sepenuhnya.

Namun, pemegang kad kredit biasanya tidak berbuat demikian, mereka sebaliknya hanya membayar jumlah faedah dan bayaran minimum baki pokok yang terhutang, dan tidak akan bayar balik baki yang sepenuhnya. Daripada sudut etika penggunaan kad kredit, kaedah pembayaran ini tidak digalakkan.

Kad kredit jika digunakan mengikut kaedah yang betul memang satu kemudahan yang sangat memberi manfaat kepada masyarakat. Namun, jika sebaliknya ia mengundang padah seperti yang dilaporkan dalam www.kosmo.com.my/kosmo, di mana Bank Negara menjelaskan, jumlah hutang kredit tidak berbayar sehingga Mac tahun 2000 adalah RM5.7 bilion berbanding Mac 1998, sebanyak RM4.4 bilion.

Angka terkini mendedahkan sehingga April 2009, rakyat Malaysia mempunyai tunggakan hutang kad kredit berjumlah RM22.4 bilion. Ia satu peningkatan lebih 400 peratus dalam tempoh satu dekad, dengan jumlah kad kredit yang beredar di pasaran hari ini berjumlah 11 juta.

Fenomena ini sungguh membimbangkan di mana purata setiap pemilik mempunyai 3.17 kad kredit. Namun, hanya kira-kira 60 peratus daripada pemilik kad kredit di negara ini menjelaskan pinjaman mereka mengikut masa ditetapkan. Selebihnya, gagal menjelaskan tunggakan pinjaman yang mencecah RM18.6 bilion berdasarkan statistik Oktober 2006.

Hutang tertunggak

Pemilik kad kredit yang gagal melunaskan hutang dalam tempoh ditetapkan berdepan dengan tindakan mahkamah dan kemungkinan diistihyarkan muflis. Kira-kira 30 peratus kes muflis membabitkan pemegang kad kredit. Kebanyakan pemilik kad kredit yang muflis adalah eksekutif muda berusia bawah 30 tahun.

Walaubagaimanapun, penggunaan kad kredit bukan sahaja meningkatkan pertumbuhan sektor kredit yang sebelum ini terjejas teruk akibat dari kemurungan ekonomi dekad yang lalu, tetapi merancakkan aktiviti perniagaan dan aktiviti ekonomi masyarakat.

Namun, seperti yang dinyatakan di atas, sedar ataupun tidak, gejala penggunaan kad kredit secara berleluasa tanpa pengawasan menyebabkan berlakunya suasana yang tidak sihat kepada ekonomi dan moral individu serta masyarakat.

Kes-kes muflis yang berlaku, sebahagiannya berpunca daripada penggunaan kad kredit tanpa batasan sehingga menghasilkan hutang tertunggak yang tidak mampu dibayar.

Langkah bijak yang perlu dilakukan oleh masyarakat dalam memilih untuk menggunakan kad kredit ialah dengan memilih kad-kad kredit secara Islam yang ditawarkan oleh perbankan Islam.

Ini kerana ia bukan sahaja menepati syariah malah tiada unsur-unsur menindas dan menganiaya.

Penggunaan kad kredit perlu berteraskan etika dan tatacara tertentu agar ia membawa kebaikan dan tidak membuka ruang kemudaratan kepada para pengguna kad kredit dan harta mereka.

Pertama, masyarakat perlu memahami bahawa penggunaan kad kredit hanyalah untuk memberikan kemudahan kepada mereka ketika berurusniaga tanpa perlu membawa wang tunai kerana ia membahayakan keselamatan pemiliknya di samping menyusahkan.

Dengan adanya kad kredit, mereka tidak perlu mengambil risiko mengeluarkan wang tunai dari bank dan pengguna tidak terbeban membawa wang tunai untuk membuat pembelian atau pembayaran.

Sayangnya, ada di kalangan masyarakat hari ini memiliki kad kredit bukan untuk kemudahan tetapi lebih kepada bermegah-megah. Bagi mereka, kad kredit melambangkan status sosial yang tinggi di mata masyarakat.

Keadaan ini tidak pelik kerana terdapat beberapa lokasi perniagaan seperti restoran dan hotel yang memberikan layanan istimewa kepada pemegang kad kredit kerana ia menonjolkan imej kemewahan.

Hasilnya, terbitlah sifat- sifat negatif yang lain seperti riak, sombong, angkuh, tamak dan iri hati.

Sifat berbangga-bangga sehingga menyebabkan angkuh dan sombong ini jelas bercanggah dengan ajaran Islam. Dalam hal ini, Allah SWT merakamkan pesanan Luqman kepada anaknya dalam al-Quran yang bermaksud: Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri. (Luqman: 18)

Pendek kata, penggunaan kad kredit untuk dibangga-banggakan adalah jelas terpesong daripada tujuan asalnya. Sekiranya niat asal sudah tergelincir, maka tentunya penggunaannya pasti melanggar batasan yang sepatutnya.

Jika motif memiliki kad kredit adalah untuk berbangga-bangga, sudah pasti pengguna akan cenderung kepada membuat pembelian bukan disebabkan keperluan, tetapi untuk kepuasan dan menunjuk-nunjuk. Sehingga ada individu yang memiliki empat hingga lima kad kredit semata-mata bagi menggambarkan bahawa mereka adalah golongan elit dan berstatus tinggi.

Perlu diberi perhatian juga, penggunaan kad kredit hendaklah ketika keperluan yang amat sangat. Masyarakat boleh memiliki kad kredit untuk kemudahan terutamanya ketika berlaku kecemasan. Elak menggunakannya secara melampau dan melebihi had yang tidak sepatutnya.

Ini kerana, ia akan mewujudkan budaya suka berhutang yang amat tidak digalakkan oleh Islam kecuali bagi mereka yang benar-benar berhajat kepadanya.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Diampunkan semua dosa bagi orang mati yang terkorban syahid kecuali jika ia mempunyai hutang (kepada manusia). (riwayat Muslim, 6/38)

Menggunakan kad kredit bermakna kita berhutang dengan pihak bank. Maka setiap kali kita menggunakannya, ia bererti kita menambah satu lagi liabiliti yang perlu dilunaskan.

Semuanya akan dipertanggungjawabkan sehingga kita dipersoal oleh Allah SWT di akhirat kelak sekiranya gagal menunaikannya.

Justeru, masyarakat perlu berfikir terlebih dahulu sebelum membuat pembelian melalui kad kredit. Gunakanlah sekadar keperluan sahaja dan jangan melampaui batasan yang sepatutnya.

Di samping itu, di antara perkara yang perlu dititikberatkan oleh pengguna kad kredit adalah perbelanjaan tersebut tidak boleh melebihi kadar yang munasabah bagi kapasitinya untuk membayar semula.

Ini bermakna, perbelanjaan melalui kad kredit perlu berlandaskan kemampuan pemiliknya, bukan secara sesuka hati. Buat perancangan sebelum membuat pembelian.

Jangan berbelanja mengikut hawa nafsu. Sebaliknya, pengguna kad kredit perlu bijak dalam mengimbangi di antara perbelanjaan dan pendapatannya.

Jika kefahaman dan kesedaran ini gagal dihayati, maka ia akan menyebabkan pengguna kad kredit berhadapan dengan hutang tertunggak akibat perbelanjaan secara berlebihan. Situasi ini tentunya akan menyusahkan dirinya dan keluarga pada masa hadapan.

Jika wang sudah mencukupi, pengguna perlu terus membuat pembayaran. Ingat, setiap hutang wajib dibayar balik.

Sabda Rasulullah SAW: Barang siapa yang meminjam harta orang lain dengan niat ingin mengembalikannya, Allah akan mengembalikan pinjaman itu, namun barang siapa yang meminjamnya dengan niat ingin merugikannya, Allah pun akan merugikannya. (riwayat Al-Bukhari, 2/83 )

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

Nasi bungkus, pelancong mewah

BARU-baru ini ramai terkejut dengan kenyataan Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said yang mahu menjadikan Pulau Redang sebagai destinasi percutian mewah dengan hanya menawarkan pakej penginapan melebih RM1,500 semalaman selain hanya membenarkan pembangunan hotel atau resort lima bintang sahaja.

Malah, kenyataan MB Terengganu itu yang menggambarkan mereka yang memakan nasi bungkus merupakan golongan yang menjejaskan alam sekitar, kurang dapat diterima pelancong domestik yang rata-rata bukan pelancong bertaraf ‘mewah’.

Kenyataan mahu menjadikan Pulau Redang sebagai lokasi pelancongan mewah itu juga menerima pelbagai reaksi pro dan kontra di kalangan peminat selam skuba, pencinta alam sekitar dan juga agensi yang berkaitan dengan pelancongan.

Aktiviti rekreasi marin penulis bermula di Pulau Redang kira-kira 16 tahun lalu.

Malah, sepanjang waktu itu juga, penulis mengenali segelintir orang kampung Pulau Redang ketika mereka masih lagi menjadikan Kuala Sungai Redang sebagai perkampungan mereka.

Tak tahu apa maklum balas orang-orang lama seperti Pak Uda Mamat, Pok Kar dan Pok Adik mengenai kenyataan MB mereka itu kerana apa jua terjadi termasuk pembangunan yang ada di pulau itu, penduduk juga bakal mendapat sedikit tempias daripadanya, baik atau buruk, terpulang.

Apa pun, bagi komuniti selam skuba di negara ini, kenyataan itu bakal menutup satu lagi peluang untuk mereka menyaksikan keindahan alam marin dengan harga berpatutan yang selama ini dikecapi tanpa ada sebarang sekatan.

“Jika selama ini, Redang menjadi antara destinasi percutian selam skuba yang berpatutan, saya khuatir selepas ini walaupun hasrat itu belum mahu diguna pakai, resort sedia ada bakal menaikkan harga pakej dengan sesuka hati dan ini juga akan menutup peluang penyelam skuba domestik untuk menyelam di Pulau Redang.

“Apa pun, saya tidak nampak sebarang perubahan yang bakal berlaku walaupun Pulau Redang ditukar dengan destinasi percutian mewah. Ini kerana, tidak semua orang kaya itu mempunyai perasaan untuk menjaga alam sekitar dan tidak semua orang kurang berada akan memusnahkan alam sekitar,” kata Anuar Abdullah, jurulatih selam skuba yang pernah menjadikan Pulau Redang sebagai pusat selam skubanya selama lebih 10 tahun.

Kenyataan Anuar itu disokong dengan kejadian pada April 2003, di mana kawasan batu karang di Teluk Bertigi dikorek dan dibawa naik hanya untuk membangunkan jeti sebuah resort mewah itu.

Untuk pengetahuan Ahmad, mengikut pengalaman dan pengamatan penulis sebelum kejadian itu, kawasan itu merupakan habitat ikan pari berlegar-legar termasuk penyu.

Kawasan cetek kira-kira 1 hingga 3 meter itu jika dipulihara mampu menjadi destinasi terkemuka bermain bersama ikan pari namun disebabkan perasaan rakus dan mementingkan diri sendiri, ia dikorek sehingga menyebabkan kini kawasan itu mempunyai kedalaman sehingga 20 meter bagi membolehkan segala macam jenis bot menggunakan jeti tersebut.

Tidak hanya itu, resort mewah itu juga pernah ‘dicekup’ Jabatan Alam Sekitar kerana melepaskan kumbahan tidak diproses terus ke dalam sungai dan seterusnya mengalir terus ke laut. Dan semua ini terjadi di dalam Taman Laut.

Bagi komuniti alam sekitar, kejadian itu merupakan satu tragedi. Selain itu, jika Ahmad berpendapat mereka yang menyertai pakej mewah lebih mempunyai nilai menjaga alam sekitar, penulis rasakan MB Terengganu itu sedang bermimpi di siang hari.

Adakah mereka yang tidak berpendapatan tinggi dan ‘miskin’ itu dipandang hina hingga dianggap penyebab kemusnahan alam sekitar?

Sekali lagi penulis ingin membawa Ahmad ke satu insiden yang boleh dikatakan terjadi setiap hari di kebanyakan resort mewah di pulau itu.

Jika MB Terengganu berada di Pulau Redang rasanya penulis dapat pastikan beliau akan dapat menyaksikan lautan manusia dengan jaket keselamatan berwarna oren mudik ke hulu atau ke hilir antara beberapa resort dan chalet dari Pasir Panjang ke Taman Laut di Pulau Pinang atau beberapa lokasi di Teluk Kalong Besar atau Tanjung Cina Terjun.

Penulis katakan lautan manusia disebabkan tidak kurang dari lima hingga enam bot besar selain bot-bot penambang (sama seperti bot penambang antara Kuala Terengganu ke Seberang Takir) yang diubah suai mengangkut pengunjung resort tidak kurang daripada tiga dozen satu bot ke lokasi snorkeling.

Jika dihitung secara kasar, kawasan terumbu karang lokasi snorkeling yang kecil itu mempunyai tidak kurang daripada 120 pengunjung pada satu-satu masa di mana hanya ada lima hingga enam jurupandu snorkeling yang bertugas.

Mengikut kajian, penggunaan losen penahan matahari dan mereka yang kencing di dalam laut mampu memusnahkan batu karang dalam tempoh yang lama.

Bayangkan impak alam yang mampu dilakukan oleh 120 pengunjung di kawasan berkenaan.

Penulis pernah menginap di hampir semua resort, hotel dan juga chalet di situ pernah menyaksikan sendiri gambar yang menunjukkan ada pengunjung memijak, duduk dan memegang terumbu karang ketika melakukan aktiviti snorkeling di Pulau Redang.

Nampaknya, ada juga mereka yang tidak memakan nasi bungkus membuat ‘onar’ yang mampu memusnahkan alam sekitar dan telahan Ahmad nampaknya kurang tepat.

Bukan nak menidakkan hasrat murni kerajaan negeri namun kenyataan MB Terengganu itu dilihat sebagai salah satu cara untuk ‘mengusir’ pelancong domestik yang rata-rata tidak mampu membayar kos penginapan melebihi RM1,500 semalam selain menutup pintu rezeki saki baki pengusaha chalet bumiputera yang masih bernyawa di Pulau Redang.

Bukan mengatakan Pulau Kapas atau Pulau Perhentian lokasi kurang menarik namun, sebagai pelancong, lebih-lebih lagi sebagai rakyat tempatan, kita mempunyai pilihan di negara sendiri.

Untuk pengetahuan Ahmad, penulis dapat rasakan, jika seseorang itu mempunyai kapasiti untuk membayar harga penginapan lebih RM1,500 semalam, adakah mereka akan ke Pulau Redang?

Adakah Ahmad Said melihat senario ini sama dengan beberapa resort mewah yang ada di Malaysia yang mahu diadaptasikan ke keseluruhan Pulau Redang?

Jika dilihat, pulau-pulau dengan konsep resort mewah itu dibangunkan di atas pulau terpencil dan bukan pulau tumpuan.

Sebenarnya kenyataan Ahmad itu merupakan satu jalan mudah dan pada pendapat Kerajaan Negeri Terengganu ia dapat mengurangkan impak kemusnahan terumbu karang sedia ada.

Bagi penulis, ia tidak akan ke mana-mana selain jika tidak dilakukan dengan betul, bukan hanya kelestarian terumbu karang itu tidak dapat diteruskan, Pulau Redang juga bakal ‘tenggelam’ dan sunyi dari peta pelancongan dunia ekoran tidak mendapat sambutan.

Apa pun, penulis berpendapat, kerajaan negeri perlu melihat senario ini dari dalam di mana penguatkuasaan serta pemerhatian khusus perlu dilakukan dengan pembabitan semua resort tidak kira kecil atau besar.

Hentikan sebarang pembangunan resort adalah langkah terbaik. Sebarang pembangunan sama ada kecil atau besar, lima bintang atau tiada bintang, tidak akan membantu pemuliharaan alam sekitar.

Selain itu, antara langkah awal yang boleh dilakukan ialah mengehadkan jumlah pengunjung di satu-satu lokasi selain menutup lokasi tertentu pada satu tempoh yang lama bagi membolehkan terumbu karang kekal hidup tanpa stres.

Yang penting, penguatkuasaan yang tegas perlu dilakukan oleh semua agensi berkaitan terutama Jabatan Taman Laut dengan memastikan arahan dan juga peraturan dikuatkuasakan dengan tertib dan berintegriti.

Penulis amat berharap, hasrat MB Terengganu itu tidak dilaksanakan tetapi masih mahu melihat satu perubahan positif dilakukan dalam mengekalkan keindahan alam sekitar marin yang ada di Pulau Redang.

Satu pesan penulis, jangan ulangi kesilapan menukar maskot negeri daripada penyu ke Nemo berulang kembali kerana jika ia terjadi, sekali lagi Terengganu bakal diperbualkan, bukan kerana sektor pelancongan yang hebat tetapi kerana ‘kebodohan’ melakukan satu-satu perkara tanpa melakukan pemerhatian yang terperinci.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

Jadi pusat alat solek, dandanan gobal

KUALA LUMPUR 13 April. - Malaysia berpotensi besar untuk muncul sebagai pusat global bagi alat solek dan alat dandanan halal, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir.

Beliau berkata, produk itu boleh dihasilkan bagi pasaran eksport kerana Malaysia amat kaya dengan herba-herba unik.

“Syarikat-syarikat mempunyai kelebihan dalam memasuki pasaran global kerana kita telah berjaya menimbulkan kesedaran tentang Standard Halal Malaysia, yang dianggap premium pada skala global,” katanya selepas merasmikan Persidangan Kosmetik dan Alat Dandanan Halal Antarabangsa 2010 di sini hari ini.

“Pasaran kosmetik global bernilai AS$334 bilion dan pasaran kosmetik halal dunia dianggarkan bernilai AS$13 bilion,” katanya, sambil menyebut data-data daripada Institut Sains Penjagaan Peribadi Australia.

Bercakap kepada pemberita, beliau berkata industri itu mungkin merupakan sektor berikutnya yang akan berkembang dalam industri halal, selepas makanan halal dan kewangan Islam.

“Industri ini yang wujud sejak 1980 di negara ini, telah menyaksikan pertumbuhan kukuh khususnya dalam tahun-tahun kebelakangan ini, dan menyumbang 10-20 peratus daripada keseluruhan pasaran kosmetik tempatan. “Pasaran kosmetik halal baru berusia setahun jagung tetapi dalam tempoh sekarang hingga ia matang, peluang yang ada amat luas dan tidak terbatas.

“Malaysia berada pada kedudukan yang amat baik untuk memanfaatkan industri yang pesat berkembang ini,” tegas Mukhriz.

Beliau berkata, berdasarkan tinjauan industri, kosmetik dan alat dandanan halal menguasai sembilan peratus pasaran produk halal pada 2005.

Menurut beliau, tinjauan itu juga menunjukkan 57.6 peratus umat Islam di Singapura dan 37.7 peratus di Indonesia, sedar akan kewujudan produk itu dan akan membelinya jika ada.

“Daripada angka ini, lebih separuh mengakui kesukaran mendapatkan produk kosmetik halal,” kata menteri itu sambil menambah bahawa kira-kira 25 peratus kosmetik yang dijual kini disahkan halal di Timur Tengah.

Pada majlis perasmian persidangan itu, Mukhriz juga melancarkan Malaysia Trade majalah pertama di negara ini yang memberikan tumpuan kepada isu-isu perdagangan dan disasarkan kepada pengeksport dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

Jana pendapatan awal di UMK


PARA pelajar UMK menunjukkan senarai perniagaan yang diiktiraf SSU di Pusat Enterpris Siswa, Kota Bharu, semalam.

KOTA BHARU 13 April – Memasuki alam perniagaan berbekalkan pengalaman menggerakkan syarikat memberi keyakinan kepada mahasiswa untuk mengharungi cabaran lebih besar apabila berada di bidang itu kelak.

Malah bagi sebilangan mahasiswa Universiti Malaysia Kelantan (UMK), ia memberikan pengalaman berharga dan pada masa yang sama menggembirakan mereka dengan pulangan yang diperoleh.Ini dilakukan mahasiswa tahun satu dari jurusan keusahawanan perdagangan, M. Jeevanraj, 21, ‘tauke’ syarikat Jes Motor Services menyediakan khidmat sewa motosikal kepada rakan sekampus.

Katanya, idea untuk menggunakan motosikal miliknya sendiri bagi menjana kewangan tercetus setelah melihat keperluan mahasiswa yang mempunyai pelbagai urusan di luar kampus.

“Mahasiswa kadang-kadang perlu ke bank atau pejabat pos yang berdekatan. Daripada menyewa kereta yang kosnya lebih mahal, mereka memilih untuk menyewa motor saya.“Saya hanya kenakan caj RM2.50 sejam dan sewa topi keledar pula RM1 sahaja. Dalam seminggu saya boleh dapat keuntungan sehingga RM100,” katanya yang baru sahaja memulakan perniagaan itu sejak awal Januari lalu.Pengurus syarikat LMS Global Resources, Sar Muhammad Fadil Abdul Rahman, 23, mahasiswa tahun tiga jurusan keusahawanan perdagangan berkata, dia membuka syarikat itu sejak Julai tahun lalu bersama lima orang lagi rakannya.

Dengan modal permulaan RM1,500 setiap seorang, mereka terlibat dengan perkhidmatan menyediakan mesin basuh kepada kolej kediaman UMK, perkhidmatan sewa kereta dan juga mengurus kedai serbaneka di dalam kolej.“Kami kumpulkan modal itu dengan usaha masing-masing sama ada duit poket sendiri ataupun meminjam dari keluarga dan kenalan yang mempercayai kesungguhan kami.“Alhamdulillah sehingga hari ini, 60 peratus daripada jumlah pinjaman sudah dapat kami langsai,” katanya.Sar Muhammad Fadil berkata, nama syarikat mengambil singkatan daripada perkataan ‘large’ (besar), ‘medium’ (sederhana) dan ‘small’ (kecil) itu, telah membelanjakan RM1,000 untuk kajian dan pembangunan mesin basuh yang diletakkan di kolej kediaman.Katanya, mereka menambah sendiri beberapa komponen kepada 15 mesin basuh biasa yang digunakan itu bagi menjadikan ia sesuai untuk kegunaan ramai dengan caj RM2 sekali basuhan berbanding RM3 jika mahasiswa menggunakan khidmat di luar.Kasyifah Ibrahim, 21, mahasiswa tahun satu keusahawanan teknologi pertanian pula membuka perniagaan kemeja T yang diambilnya terus dari kilang dan juga kedai sekitar Kota Bharu.

Katanya dalam masa sama, dia juga memberi khidmat membuat reka corak mengikut tempahan pelanggan.“Tempahan setakat ini yang paling banyak pernah saya terima adalah dari sebuah sekolah rendah yang telah menempah lebih 100 pasang baju T muslimat.“Selain itu saya menjual pakaian kepada mahasiswa di sini dan juga di rumah apabila balik ke kampung,” katanya yang mendapat purata RM250 sebulan daripada perniagaannya.Kasyifah berkata, dia tidak menghadapi masalah berhubung dan berbincang dengan pembekal dan pihak luar kerana di UMK terdapat kemudahan sebuah pusat sehenti yang disediakan untuk mahasiswa yang membuka perniagaan.

Pusat sehenti yang dikenali sebagai Pusat Enterpris Siswa (SEC) ini dirasmikan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin, pada 18 Februari baru-baru ini

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

Usaha UMK lahirkan ‘pencipta’ peluang pekerjaan

KOTA BHARU 13 April – ‘Penganggur terhormat’ merupakan istilah yang lazimnya dikaitkan dengan lepasan institusi pengajian tinggi di negara ini dan masih menjadi fenomena. Namun amalan sekadar menanti peluang pekerjaan setimpal dengan status sebagai ‘produk’ universiti bukanlah suatu yang harus dilihat sebagai terhormat.Apatah lagi dengan tahap pengajian itu sepatutnya mewajarkan mereka bukan sekadar menanti tetapi berupaya memanfaatkan ilmu dan pengetahuan dengan membuka peluang kerja sendiri.

Sikap menunggu peluang dalam alam realiti penuh persaingan ini cuba dikikis oleh Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang bertapak di negeri yang juga digambarkan sebagai negeri ‘pengeksport’ usahawan dan tenaga kerja terbesar ke seluruh negara.UMK yang baru menginjak usia tiga tahun menyasarkan sekurang-kurangnya 10 peratus daripada graduan sulung mereka pada 2011 nanti sudah bergelar usahawan dan tidak bergantung kepada orang lain untuk mendapat peluang ‘rezeki’.Dekan Fakulti Perniagaan dan Keusahawanan (FKP), Prof. Dr. Mohamed Dahlan Ibrahim berkata, sasaran itu tidak sukar dicapai kerana hakikatnya lebih sembilan peratus atau 111 daripada 1,223 mahasiswa di situ sudah membuka ‘syarikat’ mereka sendiri.

Dr. Mohamed Dahlan memberitahu Utusan Malaysia, selari dengan kewujudan UMK sebagai universiti yang berteraskan keusahawanan, semua pelajar digalakkan untuk aktif berniaga sejak dari awal lagi bagi menyediakan tapak pengalaman.Jelasnya, UMK mahu melahirkan siswazah yang berupaya mencipta peluang kerja untuk orang lain dalam masyarakat dan bukannya yang hanya memikirkan untung nasib sendiri.“Kalau kita mahu melahirkan usahawan, kita kena didik bukan dengan teori tetapi beri mereka peluang untuk aplikasi apa yang diajar dalam kelas.

“Menyuap benda-benda teori adalah mudah dan mereka juga mungkin boleh menjawab kertas peperiksaan dengan cemerlang tetapi kita di sini mahu mahasiswa faham apa itu dunia keusahawanan secara praktikal.

“Untung rugi biarlah mereka tanggung dan rasa sendiri, kita cuma letak syarat mereka mesti memastikan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) tidak rendah daripada 2.0 dan sekiranya itu terjadi mereka dikehendaki menutup perniagaan,” katanya.Di universiti tersebut, selain pelajar FKP sendiri, semua yang mengikuti pelbagai jurusan di fakulti-fakulti lain diwajibkan mengambil 13 jam kredit subjek berkaitan perniagaan dan keusahawanan.Menurut Dr. Mohamed Dahlan, sejak Mac 2008 lagi, sebuah Suruhanjaya Syarikat Universiti (SSU) telah ditubuhkan untuk tujuan itu bagi memudahkan lagi proses melahirkan ‘tauke-tauke besar’ yang mana beliau sendiri bertanggungjawab selaku Pendaftar.Katanya, sebelum itu, sebarang permohonan untuk berniaga dalam kampus secara sah akan diproses mengikut permohonan dan perlu mendapat kebenaran khusus daripada Naib Canselor.

“Namun dengan lahirnya SSU, badan ini sendiri yang mendaftar dan mentadbir selia kesemua aktiviti keusahawanan pelajar di dalam kampus dan ia merupakan cerminan kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang beroperasi di dunia perniagaan sebenar.“Syarikat yang berdaftar dengan SSM secara automatik dikira sudah masuk senarai daftar SSU dan berpeluang mendapat pelbagai sokongan,” ujarnya.Beliau berkata, setakat ini terdapat 54 buah syarikat kesemuanya yang disenaraikan dengan SSU dan 42 daripadanya adalah syarikat yang berdaftar dengan SSM.Jelasnya, ia membabitkan penglibatan mahasiswa tahun satu hingga tiga dari pelbagai fakulti dan kesemuanya membuka perniagaan dengan modal sendiri.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

MEMBONGKAR RAHSIA KEJAYAAN USAHAWAN CINA BERSAMA ANN WAN SENG

Umum telah sedia maklum bahawa orang-orang Cina telah mencipta pelbagai kejayaan dalam perniagaan bukan sahaja di Malaysia, malah di seluruh dunia. Apakah rahsia yang menjadikan mereka sangat berjaya? Budaya? Sikap? Amalan?

Melalui kursus ini para peserta akan didedahkan kepada RAHSIA ini serta bagaimana ianya dapat dijadikan panduan dan dimanfaatkan bagi tujuan perkembangan perniagaan serta mencipta kejayaan secara berterusan.


Peserta akan didedahkan mengenai :

1. Pendedahan falsafah perniagaan orang Cina

2. Pembongkaran rahsia kejayaan perniagaan orang Cina

3. Persoalan mengenai Bamboo Network dan jaringan bisnes orang Cina

4. Perlaksanaan tip-tip perniagaan orang Cina

5. Pengurusan kewangan orang Cina

6. Penerokaan peluang perniagaaan orang Cina


TARIKH : 30 Mei 2009 (Sabtu)

MASA : 9:00 pagi - 5:30 petang

TEMPAT : Dewan Semarak, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya (UM)

PENCERAMAH : Ann Wan Seng

ANJURAN : Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya (UMCCed)


YURAN PENYERTAAN :

1. Individu : RM130

2. Berkumpulan : RM117 (minimum tiga orang satu kumpulan)

3. Pelajar : RM90


Maklumat lanjut hubungi : Shukor (03 - 2698 7497), Shahrul (03 - 2617 3189), atau layari : www.umcced.edu.my.


MAKLUMAT RINGKAS ANN WAN SENG :


Ann Wan Seng anak kelahiran Klang, Selangor ini merupakan seorang tokoh yang telah mencipta pelbagai kejayaan serta memegang portfolio penting, antaranya sebagai Setiausaha Agung Kehormat Persatuan Cina Muslim Malaysia atau lebih dikenali sebagi MACMA, Penolong Setiausaha Agung Kehormat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia Kebangsaan (PERKIM), Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia Cawangan Putra serta Ahli Jawatankuasa Perkim Bahagian Wilayah Persekutuan, dan Penasihat Asrama Baitul Ummah, asrama kanak-kanak yatim, fakir miskin dan mualaf di Taman Setapak Indah, Kuala Lumpur.

Buku yang ditulis beliau antaranya ialah Rahsia Bisnes Orang Cina 'The Bamboo Network' telah terjual melebihi 20,000 naskah dan dinobatkan sebagai Buku Terlaris di Malaysia dan Indonesia. Beliau juga merupakan penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Negeri Selangor 1430 Hijrah / 2009, dan penerima Anugerah Saudara Muslim Cemerlang Peringkat Kebangsaan 2008.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

ilmu ...

http://www.umcced.edu.my/shortcourses/images/sinar_harianB.jpg

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

Berjaya setelah gigih berusaha


Rosmanida Yahya

Kegigihan wanita ini patut dicontohi. Tidak sedikit pun pernah mengenal putus asa dalam usahanya mengejar kejayaan.Memperjuangkan kecintaannya dalam bidang perniagaan, khususnya membabitkan bidang kecantikan, Rosmanida Yahya, 42, mengibaratkan jatuh bangun merupakan lumrah dalam bidang perniagaan.

''Selama 10 tahun saya melibatkan diri dalam perniagaan, saya pernah merasa tertipu, ditipu, kecundang dan jatuh tetapi bangkit semula untuk meneruskan usaha.''Bila saya jatuh saya bertatih semula dari bawah dengan harapan kali ini saya mendapat kejayaan kembali,'' katanya.Sebelum ini, Rosmanida gigih mengusahakan sebuah salon setelah berhenti kerja dari sebuah kolej.

Bukan itu sahaja, semangat yang membara dalam bidang kecantikan menyaksikan wanita itu menceburi bidang andaman dan sebagai perunding kecantikan sambilan selain menjual produk syarikat lain.

Setelah bertahun, kini barulah Rosmanida boleh menarik nafas lega apabila produk kecantikan yang diasaskannya mendapat sambutan.''Saya berani mempertaruhkan produk Riesya Care iaitu sebuah produk kecantikan berasaskan tumbuh-tumbuhan.''Produk ini merupakan bahan kecantikan sampingan untuk wanita yang mahu mengekalkan kecantikan diri mereka tanpa perlu 'meninggalkan' jenama produk sedia ada yang digunakan oleh mereka,'' jelasnya.Dia juga menjelaskan, produk Riesya Care ini sebelum dikeluarkan ke pasaran telah mendapat pengesahan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia, mendapat sijil halal dan pelaksanaan pembangunan dan penyelidikan (R&D) yang berterusan serta galakan daripada Majlis Amanah Rakyat (Mara).

Malah ibu kepada tiga cahaya mata berusia dalam lingkungan sembilan hingga 16 tahun itu, turut berkongsi rahsia dan menggunakan produk yang sama bagi membuktikan produk kecantikan yang dikeluarkannya itu sesuai kepada pengguna tanpa mendatangkan sebarang kesan sampingan.Kini dengan usaha yang berterusan, produk tersebut kini telah ditempatkan di 16 buah cawangan Riesya Care di seluruh negara kecuali di Pahang, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.''Alhamdulillah, Riesya Care yang berpusat di Bangi, Selangor ini telah menerima sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai dan pertaruhan nasib saya di atas perniagaan ini berbaloi,'' katanya yang mendapat sokongan padu daripada suaminya, Shahril Izwan, 40 tahun.

Menjadikan Pengasas Sendayu Tinggi, Rozita Ibrahim sebagai idola untuk terus berkecimpung dalam dunia perniagaan, Rosmanida berharap satu hari nanti produk keluarannya akan diperluaskan ke peringkat global.Dalam pada itu dia juga bercadang untuk mengeluarkan produk kecantikan dalaman secara tradisional dalam masa terdekat.

Rosmanida juga mengalu-alukan penyertaan daripada individu yang mahu bekerjasama memasarkan produk keluarannya. Dia boleh dihubungi di talian 019-2768008.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

Busana Rozyta jadi pusat latihan sehenti


ROZYTA Mohd. Iman (kanan) akan memberikan latihan daripada peringkat asas sehingga peringkat tertinggi dalam bidang jahitan.

PENGALAMAN ditipu pelanggan kadang kala boleh menyebabkan seseorang usahawan itu menjadi tawar hati untuk terus berniaga.

"Manakan tidak, selepas diminta menyediakan segala persiapan untuk majlis persandingannya, segala wang yang dilaburkan untuk membeli pakaian dan peralatan pelamin hangus begitu sahaja," cerita seorang pengusaha butik, Rozyta Mohd. Iman, tentang pengalamannya ditipu pelanggan yang enggan membayar khidmatnya.

Bagaimanapun itu semua tidak mematahkan semangatnya kerana ia adalah asam garam hidup sebagai usahawan, malah menjadikannya lebih matang dalam mengendalikan perniagaan.

Bagi pemilik Busana Fesyen Rozyta itu, kejayaannya membuka butik sendiri tahun lepas selepas lebih 15 tahun terlibat dalam bidang jahitan yang hanya dijalankan secara sambilan di rumah sebelum ini merupakan satu peluang yang tidak harus disia-siakan."Saya bermula dengan belajar menjahit dari arwah ibu dan kemudiannya meningkatkan kemahiran dengan mengikuti kursus di Institut Kemahiran Utara naungan Mara," kata Rozyta yang mempunyai empat orang anak berusia antara enam hingga 17 tahun.Katanya, ketika melakukan perniagaan dari rumah, kerja-kerja menjahit kadang kala terpaksa juga dilakukan di dapur kerana dia masih perlu menyediakan masakan untuk anak-anak dan suami yang pulang dari sekolah dan pejabat.Kini segalanya telah berubah apabila Rozyta telah mempunyai butik sendiri yang juga merupakan pusat latihan untuk melahirkan usahawan wanita dalam bidang jahitan dan perniagaan berkaitan dengan fesyen wanita.

Transformasi

Butik yang diusahakan Rozyta bukan hanya sekadar butik biasa yang memperagakan pakaian rekaan terkini dan mengambil tempahan, tetapi apa yang lebih penting ialah ia telah ditransformasikan menjadi sebuah pusat latihan usahawan wanita.

"Mereka yang berminat menjadi usahawan jahitan boleh mendapat latihan di sini yang akan menawarkan kursus jangka pendek dan panjang," kata Rozyta ketika ditemui di butiknya yang terletak Bandar Perda, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Antara bidang-bidang yang ditawarkan oleh Butik Rozyta ialah kursus lengkap mengenai jahitan wanita dan lelaki, pakaian seragam, sulaman, menjahit langsir dan sarung kusyen.Menurutnya, seseorang peserta kursus perlu menjalani latihan sekurang-kurangnya selama dua bulan untuk satu kursus asas jahitan pakaian wanita, sulaman atau langsir."Selain daripada belajar menjahit, para peserta juga akan didedahkan mengenai peluang-peluang perniagaan yang mereka boleh ceburi," katanya yang telah melatih lebih 300 peserta sejak dua tahun lepas.

Kelebihan belajar menjahit di tempat ini ialah segala kemudahan jahitan disediakan termasuk kain dan alatan jahitan dan pelajar boleh belajar dalam suasana yang selesa."Ini kerana bagi setiap sesi pembelajaran, saya hanya mengendalikan enam hingga 10 orang pelajar sahaja supaya peserta dapat memberi lebih tumpuan," katanya.Selepas tamat latihan, para peserta juga boleh juga bekerja secara sambilan di butik dengan melakukan kerja-kerja menjahit mengikut tempahan.Ketika ini, Butik Rozyta mempunyai empat orang kakitangan sepenuh masa dan juga melatih kakitangan praktikal daripada beberapa institusi latihan kerajaan.Ditanya mengenai kos untuk belajar di butik itu, Rozyta menyatakan pakej pembelajaran di butik ini bermula dengan kos RM1,300 untuk pakej latihan lengkap bagi pakaian wanita.Katanya, butiknya kini sedang merancang untuk menjual pakaiannya di Internet selaras dengan kemajuan teknologi dan trend pembelian terkini."Jika ada rezeki, saya juga berhasrat untuk membuka sebuah kilang pakaian yang mana boleh menerima tempahan dari Internet," katanya.

Kesimpulannya, mungkin ramai daripada kita yang mampu menjadi tukang jahit dengan kemahiran semula jadi dimiliki tetapi berapa ramai pula yang mampu menjadikan ia sebagai satu perniagaan yang berjaya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

KERANGKA NEGARA BARU - NAJIB CIPTA.

PADA 3 April lalu, genaplah setahun Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri Malaysia yang keenam.Pada tahun lalu, melalui bukunya, Menakhoda Zaman, terbitan Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM), Datuk Seri Najib telah menggariskan keperluan untuk menyingkir kelemahan, menyahut cabaran, menggerak perubahan dan membina masa depan negara.Pada 20 Mac lalu, dalam sesi membaca buku anjuran ITNM di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, Datuk Seri Najib membaca Bab 5 daripada buku tersebut, iaitu 'Pertarungan Minda Perang Masa Depan'.Ia menyentuh tentang keperluan memantapkan kepemimpinan yang dinamakan 'kepemimpinan transformasi', iaitu satu bentuk kepemimpinan yang menjana penambahbaikan ketara sehingga sesebuah masyarakat ditransformasi menurut visi dan pemimpin itu.

'Transformasi' menjadi kata kunci terpenting pentadbiran Datuk Seri Najib. Menurut Kamus Dewan, transformasi bermakna 'perubahan bentuk (sifat, rupa, keadaan)'. Dari segi kerajaan, beliau menggunakannya dalam Program Transformasi Kerajaan (PTK), manakala dari segi ekonomi, beliau menggunakannya dalam Program Transformasi Ekonomi (PTE).

Banyak yang telah dibincangkan sebelum ini tentang PTK. Ia adalah reformasi sistem berkerajaan yang paling komprehensif di negara ini. Jika dibandingkan dengan inisiatif yang hampir sama yang pernah dilakukan di negara lain, misalnya di United Kingdom (UK), iaitu seperti yang dirakamkan oleh Andrew Massey dan Robert Pyper (2005) dalam bukunya Public Management and Modernisation in Britain, maka PTK adalah lebih mendalam dan meluas.

PTE baru sahaja diumumkan Datuk Seri Najib di Invest Malaysia 2010 pada 30 Mac lalu. PTE menjadi landasan untuk melahirkan Model Ekonomi Baru (MEB) yang merangkumi tiga prinsip, iaitu berpendapatan tinggi, keterangkuman dan kemapanan.

Dari segi berpendapatan tinggi, matlamatnya adalah untuk rakyat memiliki pendapatan antara AS$15,000-AS$20,000 (RM49,500 - RM66,000) per kapita pada tahun 2020. Keterangkuman bermatlamat untuk membolehkan semua komuniti menikmati kekayaan negara sepenuhnya. Manakala matlamat kemapanan adalah untuk memenuhi keperluan semasa tanpa menjejaskan generasi akan datang. Matlamat akhir MEB adalah meningkatkan kualiti hidup rakyat.

MEB bersifat futuristik dan mengambil kira ciri-ciri negara pada 2020, iaitu berpandukan pasaran, tadbir urus yang rapi, berintegrasi serantau, keusahawanan dan inovatif.

Jika PTK mengandungi enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), maka PTE mengandungi lapan Inisiatif Pembaharuan Strategik (IPS), iaitu menyuburkan kembali sektor swasta, membangunkan tenaga kerja berkualiti dan mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing, mewujudkan ekonomi domestik yang berdaya saing, mengukuhkan sektor awam, tindakan afirmatif yang telus dan mesra pasaran, membina infrastruktur berasaskan pengetahuan, meningkatkan sumber pertumbuhan, dan memastikan kebolehmapanan pertumbuhan.

Jelas bahawa MEB bersifat progresif. Jika dibandingkan dengan pengalaman beberapa buah negara Eropah, seperti yang dibincangkan David Halpern (2010) dalam bukunya The Hidden Wealth of Nations, kita mempunyai peluang untuk bukan sahaja menjadikan rakyat berpendapatan tinggi, tetapi juga lebih sejahtera dan bahagia, iaitu di tengah-tengah perubahan masyarakat sejagat, perubahan nilai dan perubahan peranan kerajaan.

Apakah pendekatan politik unik yang diambil oleh Datuk Seri Najib dalam kedua-dua PTK dan PTE? Jawapannya adalah pendekatan yang amat demokratik, iaitu dengan mengamalkan demokrasi partisipatif atau deliberatif.

PTK tidak dibentangkan begitu sahaja kepada rakyat sebagai program kerajaan yang lengkap dan datang dari atas. Sebaliknya, ia melalui proses perundingan yang panjang seperti kajian, laporan media, makmal, pameran dan maklum balas, serta melibatkan pelbagai pihak berkepentingan.

Begitu juga dengan PTE. Apa yang diumumkan setakat ini adalah laporan daripada Majlis Penasihat Ekonomi Negara. Kini, ia akan dirundingkan melalui pelbagai cara dengan pelbagai pihak berkepentingan sehingga ia diumumkan sebagai inisiatif lengkap pada pertengahan tahun ini.

Memanglah tempoh masa setahun terlalu awal untuk mengukur sejauhmanakah transformasi itu telah dapat dilaksanakan dengan jayanya. Namun demikian, ternyata tempoh masa tersebut mendapat sambutan amat menggalakkan daripada rakyat.Menurut kajian terbaru oleh Merdeka Center, sebanyak 68 peratus rakyat berpuas hati dengan prestasi Datuk Seri Najib sebagai Perdana Menteri. Ini adalah peningkatan yang begitu ketara jika dibandingkan dengan angka 44 peratus pada bulan April 2009, iaitu ketika beliau baru menggantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi. Ia juga merupakan angka terbaik dalam tempoh setahun beliau sebagai Perdana Menteri, berbanding 65 peratus pada Jun 2009 dan 56 peratus pada September 2009.

Angka terbaru dan tertinggi 68 peratus itu dicapai di sebalik isu kalimah Allah dan diikuti dengan serangan terhadap beberapa buah rumah ibadat. Ia juga kesan daripada ekonomi yang mulai pulih serta masalah-masalah yang berlaku di pihak pakatan pembangkang seperti keluar parti dan konflik dalaman.

Dalam ucapannya mengumumkan PTE dan MEB itu, Datuk Seri Najib telah mengungkapkan satu perkara yang amat penting tentang pentadbirannya. Katanya: "Fikirkan sebuah rumah yang disinari mentari Malaysia. Kita memerlukan bumbung - falsafah yang merangkumi kesemua bahagian binaan ini. 1Malaysia merupakan bumbung tempat kita semua berteduh. PTK merupakan satu tiang asas kepada rumah ini. Tiang asas kedua adalah PTE yang akan membangunkan MEB. Dan lantainya, asas di mana kesemua rakyat Malaysia terus bergerak ke hadapan, adalah Rancangan Malaysia Ke-10 dan Ke-11".

Dalam konteks ini, sebenarnya Datuk Seri Najib bukan sekadar melakukan transformasi. Ini kerana transformasi boleh berlaku dalam kerangka lama. Tetapi, sebaliknya, apa yang sedang dilakukannya adalah membina satu 'kerangka baru kerajaan' (new government architecture). Ia meliputi falsafah, gagasan, dasar, program, pelaksanaan, penilaian, pendekatan dan pemikiran yang baru dan segar.

Tempoh masa setahun adalah terlalu awal untuk melihat keberhasilan kerangka baru kerajaan Datuk Seri Najib. Tetapi, kalau membandingkan inisiatif yang pernah diteroka, misalnya, tiga bentuk kerangka kerajaan di Eropah dan Pasifik, iaitu sosial demokrat (Denmark, Sweden, Norway), demokrat-kebajikan Kristian (Belanda, Perancis, Jerman) dan kebajikan liberal (UK, Australia, New Zealand), yang mengambil masa purata satu atau dua dekad untuk memperlihatkan hasilnya, seperti dikaji oleh Jingjing Huo (2009) dalam bukunya Third Way Reforms, maka, Datuk Seri Najib mampu membina satu kerangka baru kerajaan yang progresif dan dalam liganya yang tersendiri.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

2,000 usahawan PKS sertai e-dagang

CYBERJAYA 6 April - Seramai 2,000 usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) telah dikenalpasti akan menyertai program perdagangan elektronik (e-dagang) yang dijadual bermula pada akhir tahun ini, kata Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC), Datuk Badlisham Ghazali.Beliau berkata, program perdagangan elektronik akan menjadi satu platform kepada usahawan PKS untuk menggalakkan mereka menggunakan teknologi, komunikasi dan maklumat (ICT).Badlisham berkata, perolehan syarikat berkaitan ICT termasuk perkhidmatan yang ditawarkan mampu mencatatkan pertumbuhan dua digit kerana mereka telah mencapai tahap matang dalam bidang berkenaan.Beliau berkata demikian selepas lawatan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed ke MDeC, Koridor Raya Multimedia (MSC) Malaysia di sini hari ini.

Mustapa berkata, kementeriannya dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) akan membentuk sebuah jawatankuasa bersama untuk mencari nilai tambah bagi mencapai keputusan lebih baik dalam pembentukan Model Ekonomi Baru (MEB).

Beliau berkata, kedua-dua kementerian itu akan menumpukan kepada tiga bidang utama dalam mencapai matlamat negara berpendapatan tinggi melalui model berkenaan.

Katanya, tiga bidang utama itu adalah meningkatkan produktiviti perusahaan kecil dan sederhana (SME), menarik pelaburan langsung asing (FDI) serta meningkatkan jumlah eksport perkhidmatan ICT ke luar negara.''Sehubungan itu, antara langkah yang diambil ialah merapatkan kerjasama antara Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) dengan SME Corp. yang berperanan meningkatkan produktiviti SME kerana kebanyakan usahawan industri ini masih di tahap rendah," katanya.Mustapa seterusnya berkata, nilai eksport perkhidmatan ICT menunjukkan penurunan sebanyak 60 peratus pada tahun lalu iaitu RM1.98 bilion berbanding RM3.43 bilion pada 2008.''Oleh itu kita mahu Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) bekerjasama dengan MDeC untuk meningkatkan nilai eksport tersebut,'' tambah beliau.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

Dasar Keusahawanan Inovasi IPT akan diumum.


Mohamed Khaled Nordin bersama Sahul Hamid Abu Bakar (kanan) melihat mesin pengimbas ciptaan UiTM sempena Program Jangka Panjang Inovasi dan Kreativiti Universiti Teknologi Mara (UiTM) 2010-2019 di Shah Alam, semalam.

SHAH ALAM 6 April - Kementerian Pengajian Tinggi akan mengumumkan pelaksanaan Dasar Keusahawanan Inovasi melibatkan semua institusi pengajian tinggi (IPT) bagi membolehkan setiap inovasi yang dihasilkan dapat dikomersialkan.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, dasar itu diperkenalkan kerana banyak hasil kajian dan penyelidikan (R&D) tidak mampu untuk dikomersialkan oleh IPT walaupun memiliki hasil inovasi yang baik.

Menurutnya, pengenalan dasar itu dijangka membolehkan elemen-elemen keusahawanan dapat diterapkan di kalangan IPT bagi membolehkan mereka mengkomersialkan semua produk yang dihasilkan sekali gus menyumbang kepada kemewahan negara.

"Tanpa elemen keusahawanan, inovasi yang dihasilkan tidak akan berjaya kerana elemen itu sendiri akan menterjemahkan kejayaan sesuatu inovasi."Di negara kita, setiap IPT sebenarnya mempunyai kemampuan dan kekuatan dari segi kajian dan inovasi. Tetapi ia harus mempunyai satu lagi elemen penting iaitu keusahawanan sebagai tambahan kepada pencapaian inovasi tersebut,'' ujarnya.Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran Program Jangka Panjang Inovasi dan Kreativiti Universiti Teknologi Mara (UiTM) 2010-2019 di sini hari ini.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Dr. Sahol Hamid Abu Bakar.

Program yang lebih dikenali sebagai 'DNA Inovasi UiTM dan Komuniti Tempatan' itu diwujudkan sebagai satu panduan untuk melaksanakan pelan tindakan strategik dalam inovasi serta kreativiti bermula 2010 sehingga 2019.Dalam perkembangan lain, Mohamed Khaled memberitahu, kementeriannya turut bercadang mengenakan yuran kepada pelajar asing yang menuntut di peringkat ijazah sarjana muda di IPT di negara ini mengikut harga kos mulai tahun ini.Kata beliau, bayaran yuran tersebut dibuat bagi memastikan tidak wujud elemen subsidi kerajaan diberikan kepada pelajar asing.''Bagi pelajar asing yang mengikut pengajian peringkat sarjana, doktor falsafah (PhD), tiada subsidi diberikan oleh kerajaan," ujar beliau.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

Barat tidak lagi memonopoli pasaran dunia - Dr. Mahathir

KUALA LUMPUR 6 April - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad memberitahu, negara-negara Barat tidak lagi memonopoli ekonomi dan ilmu pengetahuan kerana kebanyakan produk untuk pasaran dunia kini dihasilkan di negara-negara Asia.Beliau menambah, tidak ada satu ideologi atau falsafah mendominasi dunia sekarang kerana idea untuk membangunkan ekonomi global kini datang daripada semua masyarakat serta negara dan tidak ada sesiapa yang memonopoli ilmu pengetahuan sama ada negara Barat atau Timur.Katanya, negara-negara Barat perlu lihat kepada realiti bahawa produk baru untuk pasaran global datang dari Asia dan di Eropah pula pasaran kewangan telah runtuh.Oleh itu, tegas beliau, Barat perlu melakukan perniagaan yang sebenar bukan memanipulasi pasaran kewangan.

"Mereka perlu keluar daripada perniagaan yang tidak memberi keuntungan seperti memanipulasi pasaran kewangan kerana ia telah runtuh dan kini terpaksa berdepan dengan krisis ekonomi yang teruk."Satu cara sahaja untuk menyelamatkan ekonomi mereka iaitu dengan menjual barang sebenar bukan melakukan manipulasi," katanya.Beliau berkata demikian dalam persidangan video ketika menyertai sesi dialog yang dikendalikan oleh Dr. Frank Jurgen Richter mengenai "Pemindahan Kuasa dari Barat ke Timur dan Dorongan Baru Dalam Perniagaan" dengan 300 peserta Seminar dan Pameran Lebuh Raya Antarabangsa PLUS (Piece 2010) di sini hari ini.Dr. Mahathir kini berada di Sarajevo, Bosnia untuk menghadiri Forum Perniagaan Bosnia selama dua hari yang bermula hari ini.

Katanya, negara-negara Barat kini berhadapan dengan krisis ekonomi yang teruk di mana banyak industri terpaksa ditutup dan terpaksa melaksanakan polisi perlindungan bagi melindungi beberapa industri penting dari produk murah dari Cina serta negara-negara lain.

"Untuk memulihkan ekonomi negara Barat, mereka perlu mengawal sistem ekonomi kapitalisme kerana sistem tersebut memusnahkan ekonomi mereka."Pengaliran modal perlu dikawal kerana ia mampu menjejaskan ekonomi sesebuah negara seperti yang berlaku sekarang."Ini kerana terlalu banyak modal di dalam pasaran sehinggakan bank-bank tidak dapat memungut semula pinjaman yang diberikan menyebabkan keruntuhan sistem kewangan negara Barat," katanya.

Dr. Mahathir menegaskan, negara-negara Barat perlu membentuk sebuah institusi untuk mengawal sistem ekonomi kapitalisme dan pasaran kewangan.Ketika ditanya apakah nasihat yang akan diberikan sekiranya berjumpa dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama, Dr. Mahathir memberitahu:

"Nasihat pertama ialah jangan buat terlalu banyak janji semasa kempen Presiden."

Dr. Mahathir juga memberitahu, Obama perlu lari daripada tradisi kepimpinan AS yang mempunyai satu objektif iaitu mendominasi dunia melalui kekuatan tentera.Mengenai China, beliau memberitahu, AS perlu bekerja dengan negara itu kerana China akan terus menjadi kuasa ekonomi dan kuasa tentera.Maka katanya, jangan sekali-kali menghalang pembangunan ekonomi negara tersebut untuk kemakmuran dunia

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

Fragmen seni Siti Nurhaliza



HARI ini (1 April) genap 15 tahun usia Datuk Siti Nurhaliza meladeni kehidupannya sebagai seorang bintang ternama.Tempoh itu ternyata bukanlah singkat untuk figura unggul ini meletakkan dirinya di puncak kegemilangan serta menikmati kemasyhuran dan kemewahan.

Apa jua yang dimilikinya hari ini bukannya datang bergolek. Sebaliknya ia merupakan hasil kerja keras sehingga menjadi penyanyi nombor satu negara.

Sememangnya tarikh ini cukup signifikan bukan sahaja buat tuan punya badan tetapi juga peminat dan penyokong yang tidak pernah berhenti menyokongnya sejak daripada mula.

Mungkin akan ada yang bertanya masih relevan lagikah Siti diangkat sebagai penyanyi nombor satu Malaysia? Atau ada yang berpendapatan popularitinya sudah tidak sehebat dulu.Lebih-lebih lagi selepas mendirikan rumah tangga bersama usahawan terkenal, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa pada 21 Ogos 2006 yang telah mencetuskan perdebatan dan polemik.

Popular atau tidak rasanya ia tidak perlu dipertikaikan kerana sehingga kini namanya terus menjadi sebutan dan mempunyai nilai berita yang cukup tinggi.Umum mengetahui segala-gala pencapaian dan kejayaan yang dikecapi oleh anak kepada pasangan Allahyarham Tarudin Ismail dan Siti Salmah Bachik ini sepanjang bergelar penyanyi.Jika diselak lembaran hidupnya sejak 15 tahun lalu, pastinya ia telah mencatatkan pelbagai kenangan indah yang pasti tidak akan dilupakan oleh wanita berusia 31 tahun ini.Dalam satu perbualan dengannya baru-baru ini, Siti sendiri ada kalanya tersenyum sendirian tatkala terkenangkan perjalanan seni yang penuh warna-warni itu.

Terlalu banyak kenangan manis yang telah dilakar dan secara peribadi, Siti sendiri tidak menyangka bahawa sudah 15 tahun dia menghiburkan peminat dan masyarakat.Jelas Siti, tempoh yang dilaluinya itu telah merakamkan fragmen yang menggambarkan tangis, ketawa dan duka seorang yang bernama Siti Nurhaliza."Saya amat bersyukur kerana apa yang saya impikan dan hajatkan sepanjang 15 tahun ini semuanya diperkenankan dan dimakbulkan Allah.

"Memang banyak sangat kejayaan yang telah saya kecapi setakat ini dan ia tidak terungkap dengan kata-kata."Saya bertuah kerana kejayaan yang saya kecapi bukan kerana saya seorang tetapi mereka yang banyak membantu dan menyokong saya seperti keluarga, peminat dan pihak media," ungkapnya penuh jujur saat diminta merumuskan usia 15 tahunnya dalam bidang seni.Antara impian yang sudah tercapai seperti dimaksudkan Siti adalah mengadakan konsert pertamanya sebelum berusia 20 tahun, bertemu empat mata dengan penyanyi pujaannya, Celine Dion dan juga menghiburkan peminatnya di seluruh negara menerusi konsert jelajah pada tahun 2004.Lebih membanggakan dan meninggalkan kenangan manis buat Siti apabila dia berpeluang mengadakan konsert solonya di Royal Albert Hall, London, lima tahun lalu selain persembahan di luar negara dan melawat negara-negara yang selalu menjadi mainan mimpinya.

Kerana itulah kata Siti, dia tidak pernah kesal memilih bidang seni sebagai mata pencarian kerana dia amat percaya apa yang tertulis semuanya merupakan ketentuan Allah.

"Apa yang saya lalui sepanjang tempoh itu sudah cukup lengkap untuk menggambarkan siapa diri saya yang sebenar."Kejayaan yang dikecapi dan disulami dengan kegagalan membuatkan saya menjadi lebih kuat dan matang jika hendak dibandingkan 15 tahun lalu," ujar Siti yang mula menempa nama sebaik sahaja bergelar juara Bintang HMI terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada tahun 1995.Memang harus diakui, bukan mudah untuk menjadi seseorang seperti Siti Nurhaliza. Kalau tidak dikuatkan iman dan semangat, memang ia akan membuatkan seseorang itu mudah menyerah kalah.Apatah lagi untuk berdepan dengan tohmahan, kritikan dan pelbagai fitnah serta cerita-cerita dusta yang sering dilemparkan kepadanya.Itu belum lagi dengki khianat daripada orang-orang sekeliling yang sentiasa tidak berpuas hati terhadap pencapaian dirinya sehingga dia pernah digelar sebagai penutup periuk nasi orang lain.

Namun bagi Siti, dia tidak pernah ambil pusing semua itu kerana pokok pangkal, semuanya harus datang dari diri sendiri."Kalau saya hanya duduk dan memikirkan apa yang orang memperkatakan tentang diri saya, memang saya tidak akan berpeluang melakukan apa yang mahu dilakukan."Saya harus bergerak ke depan dan memikirkan perkara yang dapat menjadikan saya seorang yang lebih baik dalam apa jua perkara sekali pun," katanya.Pada masa yang sama, pelantun lagu Purnama Merindu dan Biarlah Rahsia ini masih lagi melihat dirinya mempunyai kelemahan yang perlu diperbaiki.Tanpa segan-silu Siti memberitahu dia mahu terus memperbaiki kemahiran komunikasi serta pertuturannya dalam bahasa Inggeris yang sering diperkatakan masyarakat.

Bukan itu sahaja, pemenang Vokal Wanita Terbaik Anugerah Industri Muzik sebanyak 10 kali itu juga mahu terus belajar dan mempelajari teknik nyanyian agar lebih menarik seandainya mahu melakukan sesuatu yang berbeza dalam muziknya."Saya juga terus mahu menghasilkan dan menerbitkan album yang bagus dan memiliki muzik serta bunyi yang baru seiring dengan peredaran zaman."Selain itu, saya masih menyimpan impian untuk melahirkan album Inggeris dan sebuah album yang muziknya dimainkan dengan iringan orkestra."Bukan itu sahaja, saya juga masih mahu mengadakan konsert tradisional, konsert mega dan beraksi di Dewan Filharmonik Petronas."Bagi merealisasikan impian saya itu, saya akan terus berkerja keras kerana semuanya akan terhasil kalau kita bersabar dan berusaha untuk mendapatkannya," kata Siti yang akan lahir dengan album terbarunya berkonsepkan pop menjelang pertengahan atau penghujung tahun ini.

Teringat kata-kata Siti dalam satu perbualan tidak lama dulu apabila dia juga memasang impian dan mahu melihat albumnya khususnya tradisional untuk dicalonkan dan seterusnya memenangi anugerah Grammy.Siti yang juga dikenali sebagai artis yang tidak betah duduk diam itu juga menyifatkan ulang tahun ke-15 sebagai anak seni membawa seribu makna dalam dirinya.Kini dia boleh tersenyum lebar dan bangga apabila sudah berjaya mengeluarkan produk kecantikan atas namanya sendiri selepas 15 tahun memasang impian.Produknya yang baru sahaja dilancarkan pada 30 Mac lalu itu dengan jenama Simply Siti merangkumi penjagaan kulit muka dan juga barangan kosmetik lain antaranya gincu, pembayang mata, maskara dan pemerah pipi.

Simply Siti juga dilihat sebagai tiket untuk terus meluaskan dan mengukuhkan empayar Siti bukan sahaja sebagai seorang penghibur tetapi juga ahli perniagaan."Simply Siti adalah refleksi kepada apa yang saya suka dan impikan selama ini."Dengan lahirnya Simply Siti juga, ia adalah sebagai jaminan dan persediaan untuk masa depan jika saya sudah tidak menyanyi lagi," ujarnya.Bagaimana dengan anak pula? Sudahkah Siti bersedia untuk berehat dan menumpukan perhatian kepada keluarga?"Insya Allah, masa itu akan tiba juga. Tetapi buat masa ini saya akan sibuk dengan produk saya sehingga hujung tahun," katanya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments