Usahawan Harus Memahami pasaran.

Usahawan di negeri ini disarankan agar sentiasa memahami gelagat pasaran dan pembeli bagi memastikan produk yang diusahakan mendapat tempat dalam pasaran dan hasilnya tidak sia-sia.
“Perniagaan bukan suatu yang statik tetapi ianya suatu proses perubahan yang pragmatik,” kata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi Negeri, Dato’ Mohamed Awang Tera di majlis Perasmian Ekspo Satu Daerah Satu Industri (SDSI) di Pusat Dagangan Terengganu (TTC), Kuala Terengganu, petang kelmarin (22 April).
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, YB Dr A Rahman Mokhtar; Timbalan Ketua Setiausaha, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Dato’ Mohd Hashim Abdullah dan Pengurus Besar Yayasan Pembangunan Usahawan, Haji Mustafa Khalid.
Seramai 83 usahawan SDSI melibatkan 94 booth jualan menyertai ekspo kali ini, sekaligus memberi peluang usahawan SDSI terlibat lebih berdaya saing untuk memasarkan produk masing-masing. Katanya, Ekspo SDSI merupakan platfrom terbaik bagi memperkenalkan produk dari setiap daerah yang dibangunkan dan seterusnya memberi laluan kepada usahawan ini memasarkan hasil keluaran mereka kepada bilangan pelanggan yang ramai.
“Kerajaan akan berusaha membangunkan negeri ini sebagai satu destinasi perniagaan yang menarik dan produk-produk SDSI akan diberi nilai tambah dan daya kualiti bagi menempah nama sebagai produk global,” katanya.
Sementara itu, Setiu menampilkan kelainan dengan mengenengahkan urutan tradisional dan mandian wap herba melalui Pusat Rawatan Alternatif (PRA) yang beroperasi di Kampung Nyatoh, Setiu.
Encik Ali Salleh,63, adalah antara 21 tukang urut (12 lelaki dan sembilan wanita) yang bertugas sepenuh masa di PRA dan semua petugas mengikuti beberapa siri kursus berkaitan sebelum diterima bekerja.
Katanya, peluang menyertai Ekspo SDSI ternyata memberi ruang lebih luas kepada orang ramai mendapatkan khidmat urut dari PRA dan dalam tempoh dua bulan beroperasi PRA telah dikunjungi lebih 400 pelangan.
Puan Ruzilah Abu Bakar, 50, dari Kampung Rhu Muda, Marang juga turut melahirkan harapan untuk mendapat peluang lebih luas bagi memasarkan produknya iaitu batik dan barangan hasil laut seperti keropok, ikan bilis, ikan kering dan sebagainya yang selama ini hanya dibeli oleh penduduk tempatan.
“Hasrat meluaskan perniagaan sudah lama dipendamkan, namun sehingga ini masih tercari-cari peluang, moga dengan penyertaan di Ekspo SDSI hari ini, masa depan perniagaan saya lebih baik selepas ini,”katanya.
Unit Komunikasi Negeri

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

0 comments: